Sambutan Hari Malaysia 2018

SALINAN MEDIA
UCAPAN YAB PERDANA MENTERI, TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD,
SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2018
DI PADANG MERDEKA, KOTA KINABALU PADA 16 SEPTEMBER 2018 (AHAD)


1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat bersama-sama di Padang Merdeka, Kota Kinabalu untuk merayakan Hari Malaysia yang ke-55.

2. Kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan yang menanda permulaan kemerdekaan bagi Malaysia. Kali ini sambutan Hari Malaysia pula adalah untuk memperingati hari ketika Malaysia ditubuh dan menjadi Negara kita bersama.

3. Walaupun kita sudah menyambut Hari Malaysia berulang kali, namun kali ini ia agak berbeza kerana buat pertama kalinya, ia disambut dengan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh gabungan parti politik yang berlainan.

4. Pakatan Harapan mengganti Barisan Nasional yang sebelum itu Perikatan, yang telah memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia sejak Merdeka lagi, iaitu selama 61 tahun.

5. Perubahan ini bukan sesuatu yang kecil kerana sebelum pilihanraya ke-14, penganalisis dan pemerhati politik rata-rata mengatakan adalah sukar, malahan ada yang mengatakan adalah mustahil, “impossible” untuk menjatuhkan Kerajaan yang sudah bertapak sejak 61 tahun yang lalu.

6. Alhamdulillah, Pakatan Harapan berjaya walaupun tidak dijangka. Kejayaan ini adalah kehendak rakyat. Ia adalah sejenis “people’s power”- kuasa rakyat. Barang siapa yang membelakangkan rakyat akan terima nasib yang sama. Pakatan Harapan dan Parti Warisan harus memahami hakikat ini.

7. Perubahan ini telah membawa kepada penggunaan slogan Malaysia Baharu secara meluas. Secara langsung harapan rakyat dan pemerintah berkait rapat – kita sudah tidak mahu cara pemerintahan kleptokrasi yang menolak demokrasi dan tidak berpandu kepada undang-undang.

8. Antara perkara pokok yang kita mahu ubah bersama-sama adalah budaya rasuah yang begitu menular dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, dan jentera Kerajaan dibawah mereka.

9. Kepercayaan bahawa “Cash is King” – Duit adalah Raja – jelas tidak benar. Tolak sahajalah slogan ini dan kembali kepada Bersih, Cekap dan Amanah.

10. Malam ini kita bersama-sama di Sabah, salah satu wilayah yang bersama dengan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu yang bersetuju bergabung untuk membentuk keluarga yang lebih besar yang kita panggil Malaysia.

11. Semasa pembentukan Malaysia yang termeterai secara rasmi pada 16 September 1963 dalam perjanjian yang kita panggil Malaysia Agreement atau MA 63, keempat-empat wilayah ini bergabung sebagai “equal partners” atau rakan yang seangkatan – berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

12. Bagaimanapun, perjalanan yang dilalui Malaysia sejak itu agak berliku dan dua tahun selepas pembentukan Malaysia, Singapura terkeluar dari gabungan.

13. Tahun-tahun berikutnya telah juga menukar status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri-negeri di dalam Malaysia.

14. Malaysia Baharu dan Kerajaan Pakatan Harapan mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak. Ini adalah sebahagian dari proses yang akan dilaksana setelah kajian MA 63 disiapkan.

15. Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana di dalam MA 63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

16. Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif.

17. Kajian MA 63 pastinya akan menimbulkan keperluan penilaian semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini.

18. Harapan kita, apa saja penilaian semula yang dilakukan terhadap amalan-amalan ini perlulah dilakukan di dalam semangat setia kawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi di antara kita.

19. Tanpa semangat dan sikap ini, kesatuan kita sebagai satu Negara dan satu Bangsa akan terhakis dan keindahan yang kita kecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang.

20. Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan pasti tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak dan akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksana mengikut kehendak dan keperluan rakyat di sini.

21. Di masa yang sama, saya yakin, hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat “reciprocity” atau timbal balik diantara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

22. Atas semangat ini, pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak pastinya sedar ada diantara negeri-negeri di Semenanjung yang juga masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan yang berterusan daripada Kerajaan Pusat.

23. Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau “encumberances”.

24. Ini saya percaya telah berjaya mengeratkan hubungan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Keakraban yang terbina inilah yang telah membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat diantara pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini.

25. Banyak yang telah kita lalui bersama di dalam Negara yang kita panggil Malaysia.

26. Benar, perjalanannya tidaklah sentiasa lancar dan tersusun. Adakala kita tergelincir dan hilang arah. Yang penting, keupayaan kita “to pick ourselves up” atau bangun dan kembali ke landasan yang betul.

27. PRU ke-14 telah membukti keupayaan kita untuk bangun setelah terpesong dari landasan yang telah kita bina bertahun-tahun yang lalu. Walaupun kita telah terpesong amat jauh beberapa tahun kebelakangan ini dan kerosakan akibatnya amat besar dan susah untuk dibaiki, kita tidak ada pilihan melainkan terus berusaha memulih keadaan.

28. Mahu tidak mahu kita perlu membetulkan kerosakan tersebut kerana jika kita mengalah dan membiarkan ia berterusan, nilai kita sebagai sebuah Negara yang bebas dan berdaulat akan hilang. Ini bermakna kita telah membenarkan mereka yang telah mengkhianati Negara kita menang. Ini tidak boleh kita benarkan.

29. Jika pada tahun 1957 kita memerdekakan Semenanjung Tanah Melayu dari penjajahan, bergabung pada tahun 1963 untuk memperkukuhkan kedaulatan kita, tahun 2018 ialah kemerdekaan dan penggabungan kali ke-2 dari zaman kleptokrasi kuku-besi.

30. Seperti mana tahun 1957 dan 1963 telah meletak tanggungjawab yang besar kepada kita, tahun 2018 turut meletak tanggungjawab yang sama jika tidak lebih besar di bahu kita.

31. Rakyat dan pemimpin tidak takut dengan cabaran ini. Kita telah lalui cabaran 1957 dan 1963 dengan jayanya. Dan kita tetap berjaya menangani cabaran 2018, InsyaAllah. God Willing.

32. Ini negara kita. Kitalah yang akan menentukan nasib kita. Tidak ada orang lain yang boleh menentukan nasib kita. Bangunlah dan berjuanglah untuk mencapai matlamat negara tercinta ini.

33. Selamat Hari Malaysia. Sayangilah Malaysiaku kerana Malaysia Kita Punya.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

136 total views, 4 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 9 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top