Perhimpunan YAB Perdana Menteri Bersama Warga JPM Bagi Bulan Ogos 2018

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam sejahtera

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Menteri-menteri;
Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawainya dan seterusnya hadirin sekalian.

Saya baru sahaja balik daripada Negara Jepun. Saya ke Negara Jepun ini sudah hampir 100 kali bermula tahun pada 1961. Sejak daripada masa itu, saya melihat negara Jepun ini semakin lama semakin maju. Tahun 1961, mereka baru sahaja mengalami peperangan. Negara mereka hancur. Sepatutnya mereka berasa amat marah kepada mereka yang menggugurkan bom dan lain-lain letupan ke atas negara Jepun. Tetapi yang berlaku tidak seperti yang dijangka, sebaliknya negara Jepun berbaik dengan musuhnya, Amerika Syarikat. Tetapi yang lebih utama ialah usaha orang-orang Jepun untuk memulih bagi membangunkan semula negara mereka, dan hari ini kita lihat hasilnya.

Saya berpendapat bahawa berjayanya bangsa Jepun ini dalam memulih semula negara mereka dan membangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang kedua di dunia, disebabkan oleh pegangan mereka kepada nilai hidup yang mulia. Mereka mempunyai semangat patriotisme yang amat kuat. Mereka sanggup berkorban untuk memulih semula negara mereka. Pada mulanya, selepas perang mereka amat miskin, tetapi selepas keadaan itu, mereka sanggup bekerja dengan upah hanya dengan satu bola nasi dengan sos. Itu sahaja bayaran yang diberikan kepada pekerja.

Namun, mereka bekerja dengan cukup kuat. Tidak peduli masa, tidak peduli iklim samada waktu sejuk atau panas. Mereka bekerja kerana yakin sumbangan mereka itu akan menghasilkan pemulihan negara mereka dan pemulihan itu mungkin lebih baik daripada sebelum peperangan berlaku. Inilah yang terjadi kerana semangat patriotisme. Tetapi bukan semangat itu sahaja yg ada pada orang Jepun, mereka juga adalah bangsa yang berpegang kuat kepada budaya bekerja kuat. Tidak menghabiskan masa dengan sia-sianya. Mereka bekerja dengan kuat bukan semata-mata untuk upah, tetapi mereka berasa bangga dengan hasil kerja mereka. Mereka bangga kerana kerja mereka menyumbang kepada pemulihan negara mereka. Itulah balasan yang mereka idamkan.

Ini amat penting kalau kita mempunyai semangat yang sebegitu, yakinla negara kita akan dapat dipulih dan akan dapat bangun sehingga kita menjadi sebuah negara maju. Ini lah yang mendorong orang Jepun kerana mereka berpegang kepada nilai hidup yang mulia. Apabila bekerja, mereka bekerja dengan cepat. Selain daripada itu, mereka juga beramanah dan mereka mempunyai satu kepercayaan atau sifat atau pun nilai hidup yang menyumbang bertambah kepada kejayaan mereka. Saya telah sebut berkali-kali bahawa orang Jepun ini mempunyai perasaan malu yang amat kuat. Tetapi mereka bukan berasa malu seperti kita berasa malu. Kita berasa malu kalau kita menjadi miskin ataupun tidak dapat sesuatu. Bagi mereka, perasaan malu ini datang apabila mereka gagal melaksanakan sesuatu dengan sebaik mungkin.

Sebab itu apabila mereka disuruh berperang, mereka rela mati dan akan berasa malu kerana kegagalan mereka mencapai arahan akan matlamat mereka. Sebab itu, jika mereka kalah dalam berperang, beribu-ribu askar mereka akan lompat jatuh daripada lift untuk membunuh diri.

Tetapi apa yang berlaku berkenaan dengan perasaan malu mereka ini ialah setiap sesuatu yang mereka lakukan, hendaklah yang terbaik mungkin. Sebab itu, harini kita anggap barangan Jepun dan kereta Jepun mempunyai kualiti yang tinggi. Jauh lagi tinggi daripada kereta Proton. Sebab itu orang kita lebih suka beli kereta Jepun walaupun mahal daripada kereta Proton. Tetapi, ia tidak seperti itu di Negara Jepun apabila mereka telah masuk ke bidang automotif, mereka mengeluarkan kereta yang tidak begitu tinggi mutunya. Lama kelamaan mereka dapat perbaiki sebab kereta keluaran mereka itu dibeli oleh rakyat mereka walaupun tidak sebaik mungkin kerana mereka mempunyai perasaan patriotisme secara praktikal bukan sahaja semangat tetapi gerak geri dan perbuatan mereka mencerminkan perasaan patriotisme mereka. Sebab itu, mereka bantu sebarang industri daripada negara mereka. Oleh kerana bantuan mereka terhadap industri-industri ini termasuk pembuatan kereta semakin lama semain maju dan hari ini mereka sudah sampai ke tahap negara yang dikenali dunia. Sebagai sebuah negara yang keluarannya yang bermutu tinggi. Ini adalah hasil daripada pengorbanan mereka iaitu membeli barangan buatan daripada negara mereka sendiri.

Sebenarnya, selama lima belas tahun tanpa henti, saya telah ditugaskan oleh orang Jepun untuk mengajar anak-anak Jepun yang umur belasan tahun di Fukoka, Jepun tentang budaya Jepun. Ini adalah kerana anak muda Jepun masih keliru. Mereka lihat dalam diri, budaya yang berlainan sama sekali daripada budaya yang disampaikan oleh ibu bapa mereka. Sebab itu, mereka perlu dibawa semula kepada budaya yang memberi kejayaan kepada mereka. Saya telah perkenalkan polisi Pandang Ke Timur sebab di timur ada Jepun dan sekarang ini ada Korea dan China. Mereka maju dengan pesatnya sebab polisi budaya mereka. Mereka bekerja keras dan mereka menentukan hasil kerja yang sebaik mungkin. Mereka juga berjaya bersaing sehingga hari ini kita tak nampak lagi kereta buatan mereka atas jalan raya kita dan dikalahkan oleh kereta Toyota, KIA, Hyundai.

Oleh itu, whether you succeed or fail, depends on your culture. Pegawai-pegawai kerajaan lebih bertanggungjawab dan hendaklah buktikan bahawa pegangan mereka ialah kepada budaya yang mulia, budaya yang menolak segala perbuatan yang tidak baik dan rasuah umpamanya. Kalau negara kita mempunyai pegawai yang berminat dengan rasuah, percayalah negara kita ini akan hancur. Hari ini pun, ia sudah sampai ke tahap itu. Kita hutang bertrillion ringgit dan sekarang kita menghadapi masalah untuk mentadbir negara kerana kekurangan wang. Dulu kita lihat, gaji pegawai-pegawai naik tetapi kenaikan gaji dan upah itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan jika ia disusuli dengan kenaikan kos sara hidup kita. Gaji kita lebih tetapi daya beli kita sama dengan gaji kita yang dinaikkan. Negara yang kaya bukan membayar gaji yang lebih tetapi mempunyai daya beli, pendapatan yang lebih tinggi dan meningkat sepanjang masa. Ini bergantung kepada produktiviti kita, dan daya keluaran kita. Jika daya keluaran kita itu meningkat bersama-sama dengan upah yang kita dapat, maka daya beli kita juga akan meningkat.

Tetapi jika daya keluaran kita itu kurang di tahap yang lama walaupun gaji naik, kos sara hidup akan meningkat kerana barangan yang lama dan murah dahulu akan jadi mahal. Mereka juga akan dikurangkan oleh pekerja yang bergaji tinggi, kos pengeluaran akan meningkat dan kos sara hidup juga akan meningkat. Jadi waktu itu, walaupun gaji kita meningkat kepada 25 peratus, tetapi daya beli kita tidak meningkat kepada 25 peratus. Dengan itu, kita sekali lagi memohon supaya ditambah gaji dan upah tetapi jika ditambah tanpa daya pengeluaran yang meningkat dan tambahan gaji yang kita dapat tidak mempunyai apa makna sekalipun.

Sebab itu, kita perlu semai nilai hidup yang mulia. Bagi dewasa, penyemaian ini sukar dilakukan kerana mereka sudah serap nilai hidup yang lama tetapi bagi anak-anak kita yang belasan tahun, mereka perlu disemai dengan nilai hidup yang mulia supaya negara kita terkenal sebagai negara yang bekerja kuat, tidak mungkir janji dan tidak meminta upah yang lebih sebaliknya menunggu kepada daya dan kualiti keluaran kita yang tinggi. Jika kita dapat dalam pemerintahan kerajaan membuktikan bahawa kita mempunyai kualiti yang sebaik mungkin, dan daya kerja kita menghasilkan pentadbiran yang terbaik di dalam dunia ini, maka percayalah walaupun kita terpaksa berdiri di tengah panas pagi-pagi ini, mendengar syarahan daripada Perdana Menteri tetapi hasilnya mungkin baik juga.

Harapan saya adalah saya dapat semaikan nilai hidup yang mulia yang akan menjayakan bangsa dan negara kita supaya kita sekali lagi akan dihormati sebagai ‘Harimau Dunia’.

Sekian. Terima kasih.

Similar Posts:

87 total views, 1 views today

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Scroll to top