Jaminan Kerajaan Terhadap Hak-Hak Melayu dan Bumiputera

Questioned By
Dato’ Dr. Shamsul Anuar Bin Haji Nasarah (BN-UMNO) [P055 Lenggong]

The Question
Dato’ Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [ Lenggong ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah jaminan Kerajaan terhadap hak-hak Melayu dan Bumiputera terus terbela seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta menghormati peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan seperti perkara yang melibatkan penggunaan Bahasa Melayu di dalam urusan rasmi Kerajaan.

Answered By
YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad (PH-PPBM) [P004 Langkawi]
The Prime Minister of Malaysia

The Answer

Tuan Yang di-Pertua,

1. Perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu dan mengiktiraf kedudukan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tetap terjamin dan dipertahankan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

2. Tambahan pula, peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain yang telah diperuntukkan secara jelas di bawah Fasal (1) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menetapkan ia menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melindungi kedudukan istimewa tersebut.

3. Berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk melindungi tiga bidang yang menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak, iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri, berhak untuk menentukan perizaban apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah bagi jawatan dalam sektor awam, pemberian biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas serta pemberian permit atau lesen yang dikehendaki oleh undang-undang Persekutuan bagi mengendalikan apa-apa perdagangan atau perniagaan, bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

4. Selain itu, peruntukan berkaitan dengan Bahasa Melayu dinyatakan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, mana-mana orang adalah bebas untuk menggunakan, mengajar serta belajar bahasa-bahasa lain, selain bagi maksud rasmi. Berdasarkan peruntukan ini juga, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa kaum-kaum lain di negara ini.

5. Selanjutnya, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] dan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] turut memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Selain itu, bagi memasti bahasa Melayu terus kekal diperkasa dan diguna bagi maksud rasmi, Kerajaan telah mewujudkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 iaitu Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam yang terpakai kepada semua agensi Perkhidmatan Awam serta semua Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Berdasarkan Pekeliling tersebut, penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diperuntukkan selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

6. Berdasar kepada peruntukan-peruntukan tersebut di atas, adalah jelas Kerajaan Pakatan Harapan menjamin serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebarang cadangan pindaan yang menyentuh hak dan keistimewaan yang diperuntukkan di bawah Perkara 152 dan 153 PP adalah tertakluk kepada Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

7. Berdasar kepada Fasal (5) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, Rang Undang-Undang berkaitan dengan pindaan berhubung dengan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya (mengenai kebebasan bercakap dan bersuara), peruntukan Bahagian III (kewarganegaraan), Perkara 38, 70, 71(1) (mengenai kedudukan Raja-Raja), 63(4), 72(4) (keistimewaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri), 152 (bahasa kebangsaan) atau 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak) tidak boleh diluluskan tanpa terlebih dahulu dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

8. Selanjutnya, Fasal (4) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja manakala Fasal (5) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

9. Selain itu, Kerajaan melalui Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan mengenai hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam beberapa peruntukan lain bagi memastikan hak-hak mereka terus terbela di bawah Perlembagaan antaranya seperti yang berikut:

(i) Perkara  89 yang memperuntukkan mengenai hak perizaban tanah simpanan Melayu;
(ii) Perkara 90 berkenaan dengan peruntukan khas berhubungan dengan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka, serta tanah pegangan Melayu di Terengganu; dan
(iii) Perkara 161A yang memperuntukkan berkaitan kedudukan istimewa anak Negeri Sabah dan Sarawak.

10. Sehubungan itu, diperhatikan bahawa perkara berhubung hak-hak Melayu dan Bumiputera serta penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah terjamin seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang cadangan pindaan berhubung perkara-perkara tersebut hendaklah dirundingi dan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan kehendak Perkara 159 dan Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sebelum ia boleh dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.


Similar Posts:

264 total views, 1 views today

Share:
Scroll to top