Isu Mengenai Kajian Dan Pindaan Semula Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan

Questioned By
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Bin Mohamed Said (BN-UMNO) [P087 Kuala Krau]

The Question
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Mohamed Said [ Kuala Krau ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan akan mengkaji dan meminda semula Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jika sesuatu RUU tidak diperkenan Yang di-Pertuan Agong dalam masa 30 hari dari tarikh RUU tersebut dikemukakan, maka RUU seolah – olah diperkenankannya berikutan pindaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Ogos 1983, agar kejadian Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 tidak berulang.

Answered By
YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad (PH-PPBM) [P004 Langkawi]
The Prime Minister of Malaysia

The Answer

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak tiga kali iaitu melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 [Akta A566], Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 [Akta A584] dan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 [Akta A885].
  2. Pindaan yang dibuat pada tahun 1994 ke atas peruntukan Fasal (4) dan (4A) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan bertujuan memastikan agar suatu Rang Undang-undang tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menjadi undang-undang setelah diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen dan disembahkan untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
  3. Dengan pindaan kepada Fasal (4A) tersebut, melainkan dalam hal-hal yang menyentuh secara langsung keistimewaan Raja-Raja, sesuatu Rang Undang-undang akan tetap menjadi Rang Undang-undang setelah berakhir tempoh 30 hari ianya diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen.
  4. Mengikut prinsip sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita, kuasa membuat undang-undang adalah hak Parlimen. Justeru itu, peruntukan Fasal (4) dan (4A) tersebut menghapuskan segala keraguan tentang hak Parlimen membuat rang undang-undang. Ia menolak keraguan bahawa Parlimen sebenarnya tidak berkuasa dan negara ini diperintah oleh Raja yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak tertakluk kepada Perlembagaan.
  5. Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa tindakan hendaklah dilaksanakan berpandukan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dalam menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, menurut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan.
  6. Oleh itu, kedudukan berkenaan dengan perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan kini adalah selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
  7. Pindaan tersebut dan pindaan-pindaan sebelumnya tidak sewajarnya dilihat sebagai langkah menggugat kemuliaan Raja-Raja tetapi bagi memaktubkan prinsip yang disepakati iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi legislatif yang mewakili kehendak rakyat. Kemuliaan Raja-Raja terus tetap dipertahankan dalam konteks Raja Berperlembagaan.
  8. Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebahagian darinya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri. Terlebih penting, persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih lagi diperlukan jika Akta yang dicadangkan menyentuh kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
  9. Dalam konteks inilah berlakunya tafsiran yang tidak tepat pentadbiran terdahulu dengan menggunakan peruntukan Fasal (4) dan (4A) untuk melulus dan menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara 2015. Ini kerana kita dapati Akta Majlis Keselamatan Negara tersebut jelas memberi kesan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat, yang mana kuasa tersebut tidak lagi bermakna. Perisytiharan darurat adalah keistimewaan yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong kerana implikasinya amat serius. Ianya memberi hak kepada kerajaan untuk menggantung pelaksanaan undang-undang. Dengan ini Kerajaan boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa dibicara.
  10. Kerajaan akan mengkaji lebih lanjut perkara ini sekiranya terdapat keperluan untuk tafsiran mengenainya diperjelaskan lagi.

Sekian, terima kasih.



Similar Posts:

643 total views, 7 views today

Share:
Scroll to top