English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS KONVOKESYEN KHAS UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK 2003
Lokasi : DEWAN UNIMAS, UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK
Tarikh : 28-08-2003
 
Saya bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya sahaja dapat kita berkumpul dalam Majlis Konvokesyen Khas hari ini untuk saya menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains dari UNIMAS.

2. Bulan Ogos 2003 adalah bulan yang paling bertuah bagi saya kerana saya diberi kehormatan oleh tiga universiti tempatan. Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada UNIMAS kerana kehormatan yang dianugerahkan kepada saya hari ini dalam Majlis Konvokesyen Khas. Terima kasih, UNIMAS.

3. Sesungguhnya, kejayaan ini adalah hasil daripada pengorbanan, sokongan dan keprihatinan ayah, ibu, nenek dan adik-beradik saya.

4. Ayah saya memecahkan tradisi orang-orang Melayu pada tahun tiga puluhan. Ketika itu orang Melayu takut menghantar anak-anak mereka, khasnya anak-anak perempuan, ke sekolah Inggeris yang kebanyakannya ketika itu adalah "mission schools". Orang Melayu takut agar anak-anak mereka akan dimasukkan kepada agama Kristian. Ayah saya tidak bimbang dan menghantar sendiri ketiga- tiga anak perempuannya ke Methodist Girls' School, St. Mary's School dan Pudu English School, Kuala Lumpur. Beliau penuh yakin bahawa, dengan ajaran agama Islam yang diberi kepada anak-anaknya serta doanya, anak- anaknya akan masih orang Melayu beragama Islam ketika tamat persekolahan.

5. Ibu saya pula pendorong yang utama. Bonda tidak menghantar saya mula bersekolah di Methodist Girls' School. Waktu itu saya berumur lima tahun dan masuk ke darjah 0. Saya tidak menangis. Kawan-kawan berbagai bangsa sekeliling saya dan cepat bermesra dan bermain bersama-sama mereka.

6. Tetapi pada tahun 1947, bonda menghantar saya ke Singapura, untuk memasuki Kolej Perubatan King Edward VII. Bonda hantar saya sehingga ke pintu masuk Kolej itu dan sambil memeluk saya berpesan "belajar baik- baik". Saya berumur 21 tahun ketika itu dan menitiskan air mata ketika bonda tinggalkan saya seorang diri. Pesanan bonda dan surat-surat beliau penuh dengan doa, mengiringi dan memberi perangsang kepada saya sepanjang kursus perubatan.

7. Latihan untuk menjadi Doktor sebelum 1957 amat sukar sekali. Bagi saya yang tiada kelulusan sains di sekolah kecuali Matematik dan Biologi, setiap peperiksaan profesional amat sukar dilalui. Setiap anak tangga ke atas, menjadi suatu cabaran bagi saya. Tiada tahun di mana saya tidak perlu mengulangi peperiksaan hinggalah ke kemuncak kejayaan pada 1955. Saya terpaksa tekun belajar dan berusaha bersungguh-sungguh lebih pada rakan-rakan yang bukan Melayu, supaya bersama- sama berjaya akhirnya.

8. Pernah kita mendengar kata-kata orang tua kita; kalau bekerja kuat sekarang, ganjarannya akan datang pada kemudian hari berganda-ganda banyaknya.

9. Saya percaya kini saya menerima ganjaran hasil kerja keras yang saya lakukan 48 tahun dahulu! Syukur Alhamdulillah! Saya berharap siswa-siswi UNIMAS akan tumpukan sepenuh perhatian kepada pendidikan ketika mereka berpeluang berada di Universiti ini. Usaha gigih siswa-siswi akan dibalas dengan kejayaan dan ganjaran kelak. Masa berjalan cepat dan peluang keemasan seperti yang didapati sekarang bagi generasi muda, datang sekali sahaja. Oleh itu, saya amat berharap siswa-siswi tekun belajar supaya tidak menghampakan diri sendiri, harapan ibubapa dan adik-beradik dan harapan bangsa dan negara.

10. UNIMAS Universiti Ke-8, ditubuhkan semasa peringkat awal pelancaran Wawasan 2020 berperanan penting bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju melalui perindustrian dan pembangunan masyarakat. Sehubungan dengan itu UNIMAS berpeluang menyahut tuntutan ini dengan memberi perhatian kepada pembangunan tenaga manusia bagi mengukuhkan industri negara, membangun bangsa Malaysia sebagai bangsa yang penyayang, toleran, pengguna dan penjana sains dan teknologi.

11. Program pengajian UNIMAS direka dan dirancang dengan tujuan memberi ilmu yang lengkap kepada pelajar- pelajar dalam bidang masing-masing. Ianya telah membuktikan bahawa terdapat kesesuaian dengan kehendak industri dan keperluan masyarakat.

12. Saya berasa bangga dengan falsafah dan objektif program-program perubatan dan kesihatan UNIMAS yang berorientasikan komuniti. Dengan terdapatnya empat kumpulan graduan perubatan dan kejururawatan semenjak tahun 2000, kesemua mereka ini telah diterima dengan baik oleh masyarakat di bandar dan di luar bandar, dan perkhidmatan yang diberi disanjung tinggi. Begitu juga dengan pencapaian dalam bidang penyelidikan dan pengeluaran pelajar-pelajar sarjana khususnya dari Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IKPK).

13. Pencapaian graduan-graduan ini adalah hasil dari pendekatan inovatif dalam pendidikan perubatan dan kesihatan yang diamalkan di UNIMAS, iaitu aplikasi `Problem-Based Learning' atau pembelajaran berasaskan permasalahan, `Horizontal and Vertical Integration' atau pembelajaran bersepadu, `Early Clinical Exposure' di mana pelajar-pelajar didedahkan kepada pembelajaran klinikal semenjak tahun satu, dan `Community Oriented' iaitu berorientasikan komuniti.

14. Pendekatan pendidikan perubatan seperti ini jauh berbeza dari pendidikan perubatan yang saya lalui pada tahun lima puluhan. Perubahan seperti ini perlu dan harus dibuat bagi membekalkan pelajar-pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan bagaimana untuk menangani dan mengurus maklumat dan ilmu pengetahuan baru yang kerap ditemui.

15. Cabaran baru yang dihadapi oleh golongan profesional perubatan pada masa kini ialah wujudnya penyakit-penyakit berjangkit yang baru. Antara contoh- contoh penyakit tersebut termasuk variasi baru penyakit Creutzfeldt-Jakob, Ensefalitis Nipah, Virus Ebola, HIV, Hepatitis C dan SARS. Kebanyakan kematian yang berlaku di negara-negara membangun adalah disebabkan oleh penyakit berjangkit dan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti adalah golongan kanak-kanak.

16. Alhamdulillah negara kita dapat mengawal dengan baik beberapa wabak penyakit berjangkit yang telah melanda rantau ini. Kejayaan mengawal wabak-wabak ini dibantu oleh penyelidik-penyelidik dan staf yang berkhidmat di hospital. UNIMAS tidak ketinggalan dalam usaha ini dan telah turut membantu semua pihak bagi menangani sebarang permasalahan kesihatan.

17. Dengan adanya pembangunan kadang-kadang akan berlaku juga penemuan baru yang boleh mengugat kesihatan, dan ini dipengaruhi oleh mobilisasi penduduk, respon pada antibiotik dan sikap staf kesihatan dan perubatan. Oleh itu kurikulum perubatan mestilah melibatkan isu-isu pemantauan penyakit, pencegahan dan kawalan, infrastruktur kesihatan awam dan latihan, penyelidikan bersesuaian dan kerjasama antara agensi- agensi kesihatan dan perubatan. Semua usaha ini adalah untuk memantapkan lagi kualiti penjagaan kesihatan.

18. Saya percaya UNIMAS berazam mengeluarkan graduan serba boleh, iaitu di samping mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas, mereka juga dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat, mampu berkhidmat dengan berwibawa, beretika tinggi dan bertanggungjawab. Prinsip pembangunan insan secara menyeluruh ini amat penting sekali dan diamalkan dengan pendekatan kursus-kursus generik dan pelengkap. Graduan-graduan harus sentiasa peka atas pentingnya pergaulan mesra dengan masyarakat supaya mudah mereka yakin dan menerima apa jua perubahan atau rawatan yang perlu diperkenalkan dalam sesuatu situasi demi kebaikan taraf hidup dan kesihatan masyarakat.

19. Saya mengucapkan tahniah kepada graduan-graduan dan ibubapa mereka yang telah hadir pada Majlis Konvokesyen UNIMAS pada 9 - 10 Ogos lepas. Saya juga mengucapkan tahniah kepada UNIMAS atas kejayaan mengadakan program- program yang menentukan hasil yang terbaik dari graduan- graduan setiap tahun.

20. Saya dengan penuh rendah hati mengucapkan terima kasih kepada UNIMAS atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Sains, yang saya terima bagi pihak ibubapa, nenek dan adik-beradik saya, para guru, professors, lecturers, lab assistants, nurses, midwives dan khasnya bagi pihak seorang tutor saya yang menentukan saya lulus dalam "repeat examination" dalam Physics, dan seterusnya membimbing saya hinggalah kini. - Mahathir Mohamad.

Kami menerima 4,514,984 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri