English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : SEMPENA PERASMIAN PUSAT DARAH NEGARA
Lokasi : JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Tarikh : 09-10-2003
 
Terlebih dahulu, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Chua Jui Meng, Menteri Kesihatan Malaysia di atas kesudian untuk menjemput saya merasmikan Pusat Darah Negara pada hari ini. Seterusnya penghargaan terima kasih kerana diberi peluang kepada saya untuk berucap di majlis yang penuh bermakna ini.

2. Kepentingan Perkhidmatan Transfusi darah sebagai satu prosedur penyelamat nyawa telah diiktiraf di negara ini sejak awal tahun 50an. Pada masa itu tabung darah yang dikenali sebagai Tabung Darah Selangor dikelolakan oleh Pasukan Sukarelawan Palang Merah British dan ianya telah beroperasi hanya seminggu sekali. Secara puratanya jumlah penderma adalah 25 orang seminggu. Pasukan polis, angkatan tentera dan jabatan kerajaan telah memberi kerjasama yang sepenuhnya dan merupakan kumpulan penderma utama.

Seorang pegawai perubatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah ditempatkan di Tabung Darah tersebut pada tahun 1958 sebagai pegawai sambilan dan seterusnya pada tahun yang sama seorang penyelia yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi tabung darah telah ditempatkan. Pada masa yang sama jumlah kutipan darah juga telah meningkat dari tahun ke setahun dan sejumlah 5803 unit darah telah dikutip pada tahun 1970. Tabung darah yang lama tersebut akhirnya telah berpindah ke premis baru di Hospital Kuala Lumpur dengan nama barunya Tabung Darah Hospital Kuala Lumpur.

3. Pada tahun 1972, Tabung Darah Hospital Kuala Lumpur telah dinaikkan taraf sebagai Pusat Perkhidmatan Transfusi Darah. Dengan kenaikan taraf tersebut, seluruh tabung darah di hospital-hospital kerajaan telah diletak di bawah penyelarasan pusat ini walaupun dari segi pengurusannya, tabung darah tersebut masih diletak di bawah pentadbiran hospital masing-masing. Diwujudkan juga satu sistem di mana setiap tabung darah di hospital-hospital perlu menepati piawaian yang telah ditetapkan dari segi perolehan darah, penggunaan bahan uji (reagent), tenaga kerja dan peralatan yang harus digunakan. Lanjutan daripada itu, beg plastik telah mula diperkenalkan menggantikan amalan lama mengutip darah menggunakan botol kaca yang sememangnya boleh mempunyai risiko kepada penderma darah dan penerimanya.

Peralatan yang dipakai-buang mula digunakan dalam proses pendermaan darah bagi menghindarkan infeksi melalui transfusi darah. Pada masa yang sama, penggunaan beg plastik bagi mengutip darah telah membolehkan tabung-tabung darah khususnya Pusat Perkhidmatan Darah Kuala Lumpur menghasilkan komponen- komponen darah seperti plasma segar beku dan platelet.

Seterusnya pada tahun 2000, Pusat Perkhidmatan Darah tersebut telah berpindah ke bangunan baru tiga tingkat di Jalan Tun Razak dengan nama barunya sebagai Pusat Darah Negara.

4. Pada hari ini terdapat 112 Tabung Darah di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara yang sedang memberi perkhidmatan transfusi darah. Kutipan darah juga telah meningkat 10 kali ganda sejak 1972 iaitu dari 46,000 unit darah kepada 418,118 unit darah pada tahun 2002. Penderma gantian juga telah menurun dari 30 peratus kepada 1.6 peratus dalam tahun 2002.

Dengan berkembangnya bidang perubatan, jumlah pesakit yang menerima darah juga telah meningkat dari tahun ke setahun. Pada tahun 1992, seramai 85,933 pesakit telah menerima darah dan jumlah penerima darah telah berganda kepada 196,434 pesakit pada tahun 2002 iaitu peningkatan melebihi 100 peratus.

5. Kita sedar bahawa bilangan mereka yang memerlukan darah terus meningkat dari tahun ke tahun. Peningkatan ini menyedarkan kita bahawa pendermaan darah juga harus dijadikan sebagai amalan yang berterusan bagi memastikan bekalan darah sentiasa berada pada tahap yang mencukupi sepanjang masa. Jangka hayat darah yang diderma yang singkat iaitu 42 hari tidak membenarkan tabung darah atau pusat darah menyimpan darah yang banyak pada satu masa. Oleh itu, bagi menjamin bekalan darah sentiasa berada pada tahap yang selamat, amalan menderma darah perlu dipandang penting dan sebagai satu amal jariah yang mulia oleh setiap individu. Sebagai satu usaha murni dalam membantu menyelamatkan nyawa individu yang memerlukannya. Budaya menderma darah harus diadaptasikan sebagai satu cara hidup dalam diri kita.

6. Pada masa yang sama, menderma darah bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, tetapi juga oleh penderma darah sendiri. Selain dari merasa sihat, secara tidak langsung penderma dapat mengetahui perkembangan kesihatan diri dari masa ke semasa. Malah kajian yang telah dilakukan di Finland dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa penderma darah tetap mempunyai risiko rendah untuk menghidap penyakit jantung jika dibandingkan dengan mereka yang tidak pernah menderma darah.

7. Tahun-tahun sebelum 1979, tabung darah di hospital- hospital banyak bergantung kepada penderma gantian untuk mendapatkan bekalan darah. Tetapi mencari penderma gantian telah menjadi satu beban kepada pesakit dan ahli keluarga. Malah kebanyakan darah yang didermakan oleh penderma gantian adalah tidak sesuai untuk digunakan dibanding dengan darah yang didermakan oleh penderma sukarela. Penderma gantian, ada ketika menderma akibat tekanan daripada ahli keluarga atau kerana dijanjikan bayaran. Besar kemungkinan mereka tidak memberitahu sekiranya mereka tergolong dalam kumpulan penderma yang berisiko tinggi.

8. Di sebaliknya, penderma sukarela menderma darah dengan rela hati tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Tujuan mereka menderma darah adalah untuk membantu insan lain. Penderma sukarela menderma tanpa paksaan dan adalah selamat dari penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C.

9. Menyedari akan masalah penderma gantian, maka pada tahun 1979 satu polisi kebangsaan telah dibentuk yang mana dengan rasminya diisytiharkan bahawa semua tabung darah di hospital-hospital termasuk Pusat Perkhidmatan Darah Kuala Lumpur akan berusaha untuk memastikan bahawa setiap penderma darah adalah penderma sukarela. Langkah tersebut telah mula menampakkan kejayaan apabila Wilayah Persekutuan dan Negeri Melaka mencapai seratus peratus penderma sukarela pada tahun 1994.

Angka negeri-negeri yang mencapai seratus peratus penderma sukarela mula meningkat di mana pada tahun 2000, lima negeri lagi iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang telah mencapai seratus peratus penderma sukarela. Pada hari ini saya berasa bangga menyatakan bahawa hampir 99 peratus daripada penderma darah di negara adalah penderma sukarela. Syabas dan tahniah kepada mereka.

10. Sejak kemerdekaan, negara kita telah membangun dengan pesat untuk menjadi sebuah negara maju. Kita telah menyaksikan perkembangannya dalam pelbagai bidang, khasnya dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan tidak ketinggalan juga dalam bidang perubatan.

Malah kemajuan dalam perkhidmatan perubatan menggunakan kaedah dan peralatan moden lagi canggih boleh disamabandingkan dengan perkhidmatan perubatan di negara-negara maju. Namun begitu, kemajuan bidang perubatan tersebut tidak tercapai sekiranya tidak wujud satu sistem perkhidmatan transfusi darah yang terancang, cekap dan bermutu yang telah berkembang bergandingan dengan bidang perubatan. Ini terbukti dengan terdapatnya bekalan darah yang selamat, mencukupi dan berkualiti setiap masa yang mana secara tidak langsung turut berfungsi sebagai satu indikator mencerminkan kemajuan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam Negara. Darah dan produk-produk darah telah menjadi unsur penting bagi rawatan kebanyakan masalah kesihatan seperti pembedahan pemindahan organ, penyakit kanser, penyakit thalasemia dan penjagaan hemofilia.

11. Dengan itu, bersesuaian dengan matlamat untuk menjadikan perkhidmatan transfusi darah dalam negara bertaraf dunia, maka pada hari ini, saya gembira untuk mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan sebuah Pusat Darah Negara yang akan bertanggungjawab ke atas Perkhidmatan Transfusi Darah Negara dengan tugas utamanya, sentiasa mendapatkan bekalan darah yang selamat, mencukupi dan berkualiti. Saya juga difahamkan bahawa pusat ini berperanan memberi perkhidmatan di peringkat nasional dan juga regional bagi kawasan Lembah Klang.

12. Di peringkat regional, pusat ini bertanggungjawab memastikan bekalan darah yang selamat, mencukupi dan berkualiti bagi kegunaan hospital-hospital kerajaan dan swasta yang terdapat di Lembah Kelang. Dengan itu, ianya akan menyelaraskan semua proses pemerolehan darah secara perseorangan dan berkumpulan, melalui penganjuran kempen menderma darah yang tersusun dan terancang. Sebanyak 35 peratus daripada darah yang diperolehi oleh Pusat Darah Negara dibekalkan kepada Hospital Kuala Lumpur, selebihnya digunakan oleh hospital-hospital di Lembah Klang termasuk hospital- hospital swasta.

13. Di peringkat nasional, pusat ini berfungsi sebagai pusat rujukan dan khidmat kepakaran makmal transfusi darah kepada semua tabung darah dalam negara. Ia juga bertindak sebagai pusat latihan bagi kakitangan dalam bidang perubatan transfusi darah serta bertanggungjawab memberi pendidikan kepada masyarakat umum tentang kepentingan menderma darah melalui media massa dan edaran bahan-bahan pendidikan kesihatan.

14. Keupayaannya mengendalikan ujian-ujian sensitiviti mengenal pasti virus HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Siflis menggunakan peralatan canggih dan moden turut memberi harapan kepada pesakit-pesakit untuk menerima darah tanpa sebarang keraguan.

15. Adalah menjadi harapan saya agar pusat ini akan menyerlah sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Transfusi Darah di rantau ini dengan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi.

16. Namun kejayaannya tidak akan tercapai tanpa sokongan rakyat sebagai penderma darah. Sebenarnya kita sebagai rakyat yang sihat sepatutnya sentiasa bersyukur dan merasa bertuah di atas kesihatan dan kesempurnaan yang dikurniakan kepada kita. Di atas rasa kesyukuran itulah kita seharusnya lebih bersedia untuk berkorban supaya mereka yang kurang bernasib baik dapat turut berkongsi kesejahteraan hidup dengan mendapat darah.

17. Bagi mereka yang berasa was-was tentang prosedur pendermaan darah, sukacita saya memberitahu bahawa tabung darah di hospital-hospital dan Pusat Darah Negara kini mempunyai kelengkapan sempurna untuk menderma darah. Malah dengan pelbagai kemudahan, peralatan dan kelengkapan yang sesuai, orang ramai sekarang berpeluang menderma darah dalam keadaan lebih selesa.

18. Namun adalah harapan Kementerian Kesihatan Malaysia penderma tidak mengambil kesempatan ini menggunakan tabung darah sebagai tempat untuk menguji darah setelah melakukan aktiviti yang tidak sihat yang mendedahkan diri kepada HIV, Hepatitis B atau Hepatitis C. Saya juga menyeru agar semua rakyat Malaysia yang sihat tampil ke hadapan untuk menderma darah.

19. Pusat Darah Negara khususnya, menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang ramai menderma darah. Ini termasuk kemudahan meletak kereta, ruang menunggu yang berhawa dingin, dan katil-katil yang selesa untuk berbaring semasa menderma darah. Malah bagi mereka yang berhasrat untuk menderma darah tetapi tidak mempunyai kenderaan untuk ke Pusat Darah Negara, pusat ini turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar pulang penderma. Perkhidmatan seumpama ini diberi kepada penderma dalam kumpulan kecil di sekitar Lembah Klang.

20. Akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan sukarela, kelab-kelab sukan dan rekreasi, pasukan- pasukan berunifom, institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah, institusi-institusi agama, pemimpin- pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan juga orang perseorangan yang telah memberi sokongan yang kuat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia selama ini dengan menganjurkan kempen-kempen menderma darah dan menderma darah.

21. Dengan harapan, sokongan dan sumbangan darah akan berterusan, saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Darah Negara pada pagi yang bersejarah ini.

Kami menerima 4,514,970 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri