English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN SERTA MEMPERKENALKAN PENYANDANG KURSI DR. SITI HASMAH BT MOHD ALI
Lokasi : HOTEL MANDARIN ORIENTAL, KUALA LUMPUR
Tarikh : 26-08-2003
 
Yang Berusaha Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob Naib Canselor Universiti Malaya; Yang Berbahagia Dato' Asiah Abu Samah Yang diPertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia; Timbalan-Timbalan Naib Canselor; Professor Dr. Halijah Ibrahim; Profesor Penyandang Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd Ali Ahli-ahli Persatuan Siswazah Wanita Malaysia; Dif-dif Jemputan; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Terlebih dahulu saya mengucap syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita hadir bersama-sama di majlis yang mulia pada pagi ini.

2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan untuk saya menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya melancarkan Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

3. Ucapan terima kasih istimewa ditujukan kepada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia yang telah memberi penghormatan yang besar kepada saya. Mereka bukan sahaja telah berusaha dengan gigihnya untuk mencari dana yang begitu besar untuk menubuhkan Kursi ini, tetapi telah menamakan Kursi itu dengan nama saya, kepada Dato' Asiah dan rakan-rakan beliau di dalam persatuan, ribuan terima kasih diucapkan. Projek ini sememangnya amat sesuai dilaksanakan oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia yang ahli-ahlinya terdiri daripada lulusan institusi-institusi pengajian tinggi, baik dalam mahupun dari luar negara.

4. Terima kasih juga ditujukan kepada Universiti Malaya kerana telah sudi menerima cadangan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia untuk menempatkan kursi ini di Universiti Malaya. Pada hemat saya, pilihan ini amat tepat, memandangkan Universiti Malaya merupakan universiti yang pertama didirikan di negara kita. Untuk sekian lama Universiti Malaya telah mengeluarkan ratusan lulusan yang memegang teraju dalam negara yang baru mendapat kemerdekaan dan yang pesat membangun. Saya juga merupakan antara lulusan Universiti Malaysia, walaupun pada masa saya menuntut dahulu, kampusnya terletak di Singapura.

5. Kepada Dato' Naib Canselor dan rakan-rakannya yang terlibat dalam proses pengurusan penubuhan Kursi ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih. Saya difahamkan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia telah mendapat sokongan yang kuat daripada pihak Universiti Malaya untuk menjayakan penubuhan Kursi ini.

6. Pada kesempatan ini saya juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma yang telah bermurah hati dalam sokongan mereka. Tanpa sumbangan mereka, Kursi ini tidak dapat diwujudkan dalam masa yang singkat ini. Walaupun harga penubuhan Kursi ini agak tinggi juga, namun kemurahan hati para penderma amat menggembirakan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih daun keladi.

7. Kepada penyandang Kursi yang pertama, Profesor Dr. Halijah Ibrahim, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Beliau telah memenangi satu hadiah yang istimewa sifatnya dan saya percaya peluang itu akan digunakan untuk memperdalamkan lagi penyelidikan dalam bidang yang telah puan pilih. Pelantikan Dr Halijah Ibrahim sebagai penyandang Kursi ini merupakan satu lagi kejayaan wanita dalam bidang akademik dan sama- samalah kita dengan akan syarahan beliau yang membentang rancangan penyelidikan yang akan dilaksanakan semasa menyandang Kursi tersebut.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

8. Penubuhan Kursi ini, pada hemat saya, mempunyai pelbagai implikasi. Pertama, usaha sebuah persatuan sukarela mencari derma dan menubuhkan sebuah Kursi `endowment' amat dialukan. Saya berharap usaha ini akan dicontohi dan diikuti oleh persatuan dan badan- badan lain. Negara kita masih memerlukan galakan bagi para akademik kita untuk menjalankan pelbagai penyelidikan, lebih-lebih lagi dalam bidang-bidang baru yang ada kaitan dengan proses pembangunan negara. Kerajaan memang sedia mengadakan peruntukan dalam pelbagai bentuk, tetapi sokongan daripada pihak-pihak lain juga diharapkan agar prosesnya menjadi lebih pesat.

9. Kepada para akademik, terutama akademik wanita, saya menyeru agar penubuhan Kursi ini di Universiti Malaya dijadikan sebagai galakan tambahan kepada penglibatan mereka dalam bidang penyelidikan dan penerbitan. Kita selalu diingatkan bahawa kita sekarang berada di dalam era globalisasi dan dunia kita semakin sempit. Dalam konteks ini saya ingin melihat penglibatan para akademik kita semakin luas, menjangkau dunia antarabangsa. Luaskanlah kegiatan kerjasama tuan- tuan dan puan-puan dengan para akademi di luar negara, adakan lebih banyak penyelidikan dan penerbitan bersama serta pertukaran maklumat dengan rakan-rakan di universiti luar. Dengan demikian, Malaysia akan menjadi lebih dekat dengan institusi-institusi antarabangsa, dan akan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada bidang dunia ilmu.

10. Pada kesempatan ini, saya juga ingin melihat para akademik wanita di negara ini mencatat kejayaan yang lebih tinggi, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang pentadbiran dan pengurusan. Saya tahu bahawa pelajar wanita lebih banyak di institusi- institusi pengajian tinggi. Tetapi bagaimana pula senario para akademi wanita sebagai pentadbir? Walaupun sudah ada seorang dua Timbalan Naib Canselor, masih belum ada Naib Canselor wanita. Walaupun sudah ada banyak Dekan wanita, jumlahnya difakulti-fakulti "science-based", rasa saya, masih agak kecil. Dalam konteks ini, saya menyeru kepada para akademik wanita supaya bersifat lebih gigih dalam bidang pentadbiran dan bersedia menerima cabaran apabila ditawarkan jawatan-jawatan pentadbiran. Dan mereka yang berkuasa dalam pemilihan bakal pentadbiran, harapan saya ialah apabila dalam keadaan demikian, jenguk-jenguklah juga kepada barisan akademik wanita.

11. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Prof Dr Halijah, penyandang Kursi Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang pertama, dan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan usaha ini, terutama Persatuan Siswazah Wanita Malaysia dan Universiti Malaya. Saya berdoa agar projek ini akan membawa hikmah kepada semua pihak yang berkenaan.

12. Dengan harapan itu, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan penubuhan Kursi Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pelantikan penyandangnya yang pertama.

Kami menerima 4,653,255 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri