English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN PROGRAM "UTAMAKAN KELUARGA: SEMAKIN HARI SEMAKIN SAYANG" PERINGKAT NEGERI KELANTAN
Lokasi : DEWAN UTAMA, KAMPUS PERUBATAN, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, KUBANG KERIAN
Tarikh : 16-01-2003
 
Alhamdullilah, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurniaNya juga dapat saya bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin wanita negeri Kelantan, baik dari agensi-agensi Kerajaan, swasta mahupun NGO di Dewan Utama USM, Kubang Kerian pada hari ini. Berkumpulnya kita semua dalam majlis gilang gemilang ini adalah satu tanda keprihatinan warga wanita dan keluarga negeri Kelantan terhadap pembangunan institusi keluarga, selari dengan tema "Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang".

2. Masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga adalah sumber terbesar yang menyumbang kepada gejala sosial di negara kita. Tanpa adanya institusi keluarga yang kukuh, proses pendidikan dan pembentukan sahsiah murni terhadap generasi penerus akan terbantut di samping akan merencatkan proses pembangunan negara di masa akan datang.







3. Usaha menjadikan institusi keluarga sebagai asas bagi pembangunan negara ini sudahpun mendapat sokongan dari pucuk pimpinan negara apabila program "Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang" ini telah dilancarkan pada tahun lalu. Saya harap program ini akan berjaya diterima oleh anggota keluarga di seluruh negara.







4. Institusi keluarga adalah penting dalam kehidupan harian kita, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran masa kini. Keluarga yang kukuh, bahagia, sihat, berakhlak, berilmu dan stabil dapat menjamin kejayaan sesuatu masyarakat dan negara. Oleh itu amatlah penting kita mengukuhkan lagi institusi keluarga supaya ia dapat dimanfaatkan demi faedah dan kebaikan kita.







5. Pada hari ini banyak masalah timbul kerana kita tidak lagi memberi perhatian berat kepada institusi keluarga. Kita terlalu mengejar kepentingan keduniaan dan kebendaan sehingga lalai dan tidak mengindahkan kebajikan dan kepentingan keluarga kita. Akibatnya keluarga kita menjadi kucar-kacir dan anak-anak kita terbiar dan terpengaruh dengan gejala-gejala yang tidak sihat.







6. Keluarga harus dijadikan institusi untuk membimbing dan menyemai nilai-nilai murni anak-anak kita. Antara faktor yang penting dalam hal ini ialah pendidikan mereka. Justeru itu, ibu bapa seharusnya berusaha sedaya upaya untuk memastikan anak-anak mereka tidak terbiar; sebaliknya ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan sempurna.Ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama di zaman moden ini. Ibu bapa yang berpengetahuan akan memberi manfaat yang besar kepada semua ahli keluarga. Ibu bapa yang kurang pendidikan tidak akan mampu membantu memperbaiki keadaan keluarga mereka, justeru anak-anak mereka akan terbiar, tanpa perhatian dan pendidikan yang cukup.







7. Anak-anak, yang merupakan generasi penerus dan pelapis kepada kepimpinan negara, harus mendapat pendidikan yang cukup dan sempurna. Pendidikan adalah sumber kekuatan yang mampu meningkatkan taraf hidup sesebuah keluarga itu. Dengan pendidikan, sesebuah keluarga itu akan berjaya mendapat akses kepada lain- lain perkara seperti peluang pekerjaan, perniagaan dan lain-lain. Saya berharap ibu bapa akan terus memastikan pendidikan diberi perhatian sepenuhnya.







8. Sebahagian besar daripada sumber luaran negatif yang mendorong anak-anak kita ke arah kepincangan sosial yang amat merbahaya, ialah seperti penagihan dadah, budaya songsang, `black metal', bohsia, bohjan dan macam-macam lagi, mulai menular dan berleluasa di seluruh pelusuk negara. Sekiranya ibu bapa dan ahli- ahli keluarga berpendidikan, maka sedikit sebanyak gejala ini akan dapat dibendung dan dikawal.







9. Saya memohon ke hadrat Allah S.W.T. agar hasrat yang kita dukungi bersama ini akan dapat dijayakan dan diberkati Allah S.W.T. Dengan niat yang murni, saya dengan lafaz yang mulai, Bismillahi ar-Rahman ar-Rahim, melancarkan program "Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang" peringkat Negeri Kelantan.







Sekian, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Kami menerima 4,514,930 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri