English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT TAHUNAN BAKTI KE-26
Lokasi : SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh : 02-07-2003
 
Saya memanjatkan terlebih dahulu kesyukuran saya ke Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya sahaja kita dapat berkumpul di sini bagi kali ke-26. Dengan berkat Allah S.W.T. saya harap Mesyuarat Tahunan BAKTI ini akan kita sama-sama sempurnakan dengan licin dan jayanya, Insya'Allah.

2. Sebagai Yang Di Pertua, saya mengalu-alukan kesudian hadir saudari-saudari pada petang ini dan mengucapkan selamat datang dan berbanyak terima kasih, khasnya, kepada Tetamu Kehormat BAKTI, YBhg. Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah. Kehadiran beliau memberi kehormatan tinggi ke BAKTI dan saya, bagi pihak semua ahli-ahli, menyatakan penghargaan kami atas kehadiran beliau dan ucapan beliau sebentar lagi.

Terima kasih.

3. BAKTI telah pun mengakhiri 25 tahun kewujudannya pada dua bulan dahulu. Sekarang BAKTI di permulaan tahun ke-26. Syukur alhamdullilah, dengan usaha dan kemampuannya sendiri, BAKTI berjaya menyempurnakan segala urusan dan aktiviti- aktiviti BAKTI tanpa memberhentikan sesuatu aktiviti di atas sebab-sebab kekurangan sambutan atau kewangan. Sumbangan derma kepada masyarakat diteruskan/walaupun derma wang itu dikurangkan sedikit. Dengan perbelanjaan dan sumbangan yang berhemah ini, BAKTI dapat juga teruskan projek-projeknya.

4. Untuk makluman YBhg. Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah, aktiviti-aktiviti yang ketara dan berjaya dilakukan oleh BAKTI dalam sesi tahun pentadbiran 2003 / 2004 ialah:

(i) Perayaan sambutan Tahun ke 25 BAKTI pada 30 Januari 2003 dan acara-acara kesyukuran dan perayaan bersama dengan kanak-kanak kurang bernasib baik di Genting Highlands. Dalam Majlis Perayaan 25 tahun, BAKTI telah dapat mengumpulkan seberapa banyak bekas pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli penaja BAKTI dari tahun 1977 - 2003. Malangnya, Penaja Utama dan Yang Di Pertua BAKTI yang pertama, Yang Amat Berbahagia Tun Suhailah Hussein, tidak dapat hadir.

BAKTI menganugerahkan beliau dengan Bintang Penaja Utama BAKTI sebagai menghormati beliau dan jasa-jasa beliau sebagai wanita yang mewujudkan BAKTI dan pemimpin BAKTI yang pertama dari tahun 1977 - 1981. Pemimpin-pemimpin BAKTI berikutnya dan ahli-ahli yang berjasa kepada BAKTI dengan cemerlang dalam 25 tahun kewujudan BAKTI, telah jua diberi pengiktirafan dan kehormatan dengan penganugerahan Bintang- Bintang Kecemerlangan dan Kesetiaan.

(ii) Aktiviti yang kedua yang terbesar bagi BAKTI, ialah membina Pusat Komuniti BAKTI di Bukit Kiara bagi memenuhi hasrat BAKTI mengadakan Pejabat sendiri dan juga ruang-ruang bilik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan, pendidikan, kaunseling dan sebagainya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Sebuah dewan serba guna juga dimasuki dalam pembinaan ini di mana gelanggang badminton disediakan bersama. Bangunan ini sedang dalam binaan dan hampir 80 peratus siap. Insya'Allah, ia akan siap sempurna pada bulan Ogos ini.

5. Tetamu kehormat yang dijemput oleh BAKTI tahun ini ialah seorang wanita, tokoh dalam bidang pendidikan, isu-isu pembangunan dan permasalahan wanita, isu-isu akibat perang dan konflik ke atas wanita dan kanak-kanak, dan juga penyakit-penyakit berjangkit seperti HIV / AIDS.

6. YBhg. Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah telah di lahirkan di Alor Star, Kedah dan lulusan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (MBBS) pada tahun 1973, dan (MHPED) pada tahun 1997 dari University of New South Wales, Doctorate in Medicine (MD) dari Universiti Malaya pada 1992-1997. YBhg. Prof. Dato' Dr. Sharifah kini menyandang jawatan Timbalan Pengarah di Bahagian Pendidikan Tinggi Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pendidikan Malaysia, setelah menyandang beberapa jawatan Pengarah dan Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Oleh kerana pengalamannya, beliau adalah Pakar Rujuk dalam bidang Pendidikan Perubatan dan Penjaminan Kualiti Pendidikan Tinggi.

7. YBhg Prof. Dato' Dr. Sharifah juga aktif dalam bidang sukarela dan khidmat masyarakat. Antara jawatan-jawatan penting yang disandang adalah Timbalan Presiden, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Persatuan Siswazah. Beliau dilantik oleh Kerajaan untuk menganggotai:

(i) Majlis Perundangan Ekonomi Negara - Tahun 2000-2001

(ii) Majlis Teknologi Maklumat Negara - Tahun 1998-2004

(iii)Majlis Penasihat Wanita Negara - Tahun 1995-2003 Di peringkat antarabangsa beliau adalah Penasihat Sumber Manusia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2000.

8. Itulah ringkasan YBhg. Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah. Marilah kita mendengar kata-kata perangsang tokoh wanita ini yang berjaya mencapai tahap yang cemerlang dalam berbagai bidang demi pembangunan dirinya sendiri dan kaum wanita keseluruhannya. Kita perlu berbangga dengan pencapaian beliau yang menunjukkan kepada mata dunia bahawa wanita Malaysia juga mengambil tempat dalam antarabangsa dan dihormati dan disegani.

9. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kehadiran beliau dalam Majlis Penemuan Mesyuarat Tahunan BAKTI. Saya sendiri menunggu-nunggu mendengar ucapan beliau.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum.

*****

Kami menerima 4,654,476 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri