English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN RAYUAN HARI PAHLAWAN TAHUN 2003
Lokasi :
Tarikh : 29-07-2003
 
(RAKAMAN PADA HARI JUMAAT, 18 JULAI 2003, JAM 9.30 PAGI)

Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurniaNya, kita dapat hidup dalam suasana aman dan sejahtera dan dengan izinNya jua kita akan dapat menyambut Hari Pahlawan pada 31 Julai 2003 yang akan datang. Negara menyambut Hari Pahlawan bagi mengenang peranan dan jasa-jasa anggota pasukan keselamatan, terutamanya anggota-anggota tentera, dalam menegakkan keselamatan dan keamanan serta mempertahankan maruah negara dari ancaman dalam dan luar.

2. Bagi generasi baru betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab anggota-anggota tentera kepada keamanan negara mungkin kurang disedari kerana mereka lahir dan hidup di dalam suasana aman sejahtera, jauh dari sebarang konflik dan ancaman. Tetapi bagi generasi lama, yang pernah mengalami peristiwa-peristiwa yang mencemaskan dan menggugat keselamatan negara, mereka sangat-sangat memahami bagaimana kewujudan pasukan keselamatan adalah sangat besar ertinya kepada kehidupan seharian kita. Apabila berlaku peristiwa-peristiwa yang mengancam keselamatan negara, rakyat akan terus terbayang teringatkan anggota-anggota tentera sebagai pelindung daripada ancaman-ancaman tersebut. Anggota-anggota tentera adalah ibarat lambang keselamatan dan kesejahteraan negara.

3. Jika kita singkap kembali lembaran sejarah tanah air, peranan anggota-anggota tentera kita telah bermula beberapa tahun sebelum Peperangan Dunia Kedua dengan penubuhan Regimen Askar Melayu. Dalam peperangan tersebut anggota- anggota regimen ini telah berjuang dengan penuh kegigihan bagi mempertahankan kesejahteraan tanah air pada waktu itu, sehingga ramai yang terkorban dan tewas. Di samping Regimen Askar Melayu, ramai anak watan telah menyertai tentera British dalam peperangan tersebut, dan beberapa ramai pula telah menyertai pasukan sukarela Force 136.

4. Selepas tamat Peperangan Dunia Kedua, kebangkitan pasukan tentera negara telah menghadapi cabaran baru dari kegiatan keganasan Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang mana telah mengorbankan ramai anggota tentera kita, di samping ramai lagi yang cedera dan cacat sepanjang hayat mereka.

Belum pun habis ancaman keganasan PKM, negara menghadapi pula konflik konfrontasi dari regim lama Indonesia di mana ramai lagi anggota tentera terkorban dan tercedera. Walau bagaimanapun anggota-anggota tentera kita telah berjuang dengan tabah dan gigih sehinggalah kita dapat mengecapi keamanan dan kesejahteraan pada masa ini.

5. Peranan dan tanggungjawab anggota-anggota tentera kita adalah sangat besar dan tidak dapat dinafikan merupakan sumbangan utama kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara yang kita nikmati sekarang ini. Hingga ke hari ini sejarah telah membuktikan bahawa keamanan dalam sesebuah negara itu hanya terjamin apabila ada pasukan tentera yang dapat mempertahankan kedaulatannya dan melindungi rakyatnya, dan anggota-anggota tentera kita telah berjaya melakukan kewajipan ini dengan sebaik-baiknya.

6. Sebagai rakyat yang dapat hidup dengan aman makmur dan sejahtera, kita patut bersyukur di atas pengorbanan anggota- anggota tentera kita. Kita juga patut berbangga bahawa di samping menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara, anggota-anggota tentera kita telah menyumbang tenaga kepada keamanan di seluruh dunia seperti di Congo, Bosnia, Somalia dan Kampuchea.

7. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, dalam menjalankan tugas mereka, ramai anggota tentera kita telah terkorban, meninggalkan balu-balu dan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang. Ramai juga yang tercedera dan cacat sepanjang hayat mereka. Apabila mereka berhenti dari perkhidmatan tentera, terpaksa mencari pekerjaan yang lain bagi meneruskan kehidupan mereka. Sebahagian dari golongan ini berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai, sementara yang lain yang mana kecederaan mereka agak teruk tidak begitu bernasib baik dan mengharapkan belas kasihan dan bantuan orang ramai. Ramai juga antara bekas-bekas tentera ini yang telah terlalu tua dan uzur dan menghidap penyakit kronik serta tidak berdaya untuk menyara hidup sendiri. Sebahagian besar mereka ini merupakan veteran-veteran Perang Dunia Kedua yang termasuk Force 136 dan Sarawak Trackers.

8. Golongan bekas tentera yang memerlukan bantuan ini tidaklah ramai jika dibandingkan dengan jumlah bekas tentera negara keseluruhannya. Kerajaan sendiri telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk membantu bekas- bekas tentera ini, seperti mengadakan latihan-latihan pekerjaan sebelum bersara, menyerapkan mereka ke rancangan kemajuan tanah dan berbagai aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain. Kerajaan juga telah menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM bagi membantu soal-soal kebajikan dan pembayaran pencen. Walau pun Kerajaan telah menyediakan bantuan-bantuan kepada bekas tentera ini, tidak bermakna tanggungjawab kita sebagai rakyat negara ini yang telah mengecapi nikmat keamanan dan kemakmuran hasil khidmat anggota-anggota tentera, telah terlepas begitu sahaja. Marilah kita membalas budi khidmat mereka yang telah berkorban tenaga dan jiwa demi untuk memastikan kesejahteraan kita semua. Hulurkanlah sumbangan mengikut keupayaan masing-masing sebagai penghargaan kepada pengorbanan mereka.

9. Pada tahun lepas, dalam aktiviti Hari Pahlawan, Kementerian Pendidikan telah melancarkan program yang diberi nama `Hari Patriotik' di sekolah-sekolah seluruh negara. Program ini bertujuan menyemai semangat patriotik dan cintakan tanah air di kalangan pelajar-pelajar yang merupakan generasi muda masa kini, dengan harapan mereka akan membentuk masyarakat penyayang dan prihatin di masa akan datang. Di dalam program tersebut pelajar-pelajar diperkenalkan kepada peranan tentera negara dan sejarah perjuangan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menegakkan keamanan. Program yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan ini sangat baik dan positif, yang mana dalam jangka masa panjang akan dapat membina generasi Malaysia yang penyayang, prihatin dan cintakan tanah air. Melalui program yang dijalankan ini Kementerian Pendidikan telah berjaya mengumpulkan sumbangan dari pelajar-pelajar dan kakitangan sejumlah RM288,000.00 ( Dua Ratus Lapan Puluh Lapan Ribu Ringgit Malaysia) untuk Tabung Rayuan Hari Pahlawan pada tahun lalu. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Pendidikan atas daya usaha menggerakkan aktiviti yang murni ini.

10. Kita tidak perlu menunggu lama sehingga pelajar- pelajar masa kini dewasa, untuk membentuk masyarakat yang penyayang dan prihatin. Kita boleh memulakannya daripada sekarang dengan memberi sumbangan kepada mereka yang sangat- sangat memerlukan. Secara tidak langsung, tindakan kita membantu mereka yang memerlukan ini akan menjadi teladan dan mengukuhkan semangat patriotik yang disemai di kalangan pelajar-pelajar iaitu anak-anak kita sejak di bangku sekolah lagi.

11. Dengan mengambil sempena keunggulan program `Hari Patriotik' yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di sekolah-sekolah, Jawatankuasa Rayuan Hari Pahlawan telah memutuskan supaya aktiviti ini dijadikan program utama dalam Rayuan Hari Pahlawan pada tahun ini. Aktiviti ini dinamakan `Program Patriotik' dengan kumpulan sasarnya diperluaskan kepada seluruh penduduk negara ini, meliputi kakitangan kerajaan, syarikat swasta, industri, orang perseorangan dan lain-lain. Jawatankuasa Rayuan Hari Pahlawan telah pun mengedarkan surat-surat rayuan sumbangan derma dan cenderamata kepada orang ramai. Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang mendapat cenderamata ini sumbangkanlah derma mengikut keupayaan anda dan pakailah cenderamata tersebut di baju anda sebagai tanda sokongan kepada perjuangan bekas-bekas tentera dan sebagai penghargaan kepada jasa bakti mereka pada 31 Ogos.

12. Berkaitan dengan Program Patriotik ini juga, saya dimaklumkan bahawa beberapa institusi pengajian tinggi telah menyediakan program-program yang menarik bersama pelajar masing-masing, di samping menganjurkan kutipan derma Rayuan Hari Pahlawan. Inisiatif ini sangat dialu- alukan dan kita berharap lebih banyak institusi pendidikan tinggi menggerakkan aktiviti-aktiviti sebegini bagi menjayakan pembentukan masyarakat yang penyayang dan prihatin di negara kita. Semoga usaha semua pihak membina masyarakat penyayang dan prihatin ini, sambil memberi sumbangan bantuan kepada bekas tentera yang memerlukan akan mendapat keredhaan Allah hendaknya.

13. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, golongan bekas tentera yang memerlukan bantuan tidaklah ramai jika dibandingkan dengan jumlah bekas tentera keseluruhannya. Sebahagian daripada mereka telah berjaya dengan berbagai kerjaya, sama ada dengan bantuan Kerajaan atau atas usaha mereka sendiri. Saya ucapkan syabas di atas usaha dan kejayaan mereka. Kepada golongan ini saya harap janganlah lupakan rakan-rakan seperjuangan anda yang kurang bernasib baik dan hulurkanlah bantuan yang sepatutnya. Anggaplah bahawa perjuangan tuan-tuan sebagai anggota tentera masih berterusan, walaupun dalam suasana dan medan perjuangan yang berbeza.

14. Akhir kata, saya selaku Penaung kepada program Rayuan Hari Pahlawan ini menyeru kepada semua penduduk negara ini, dari setiap lapisan masyarakat, tampil ke hadapan membantu golongan bekas tentera yang sangat memerlukan bantuan dengan menghulurkan sumbangan derma. Setiap ringgit derma tuan-tuan akan dapat melegakan keperitan yang dideritai oleh bekas-bekas tentera dan tanggungan mereka, dan sumbangan tuan-tuan sangat besar ertinya. Bagi pihak Jawatankuasa Rayuan Hari Pahlawan dan bekas tentera, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penderma budiman dan kepada yang belum menderma, hulurkanlah sumbangan anda. Semoga Allah memberkati kita semua, InsyaAllah.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kami menerima 4,512,308 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri