English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PESURUHJAYA KEBANGSAAN DAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN TAHUN 2003 PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA
Lokasi : HOTEL CROWNE PLAZA, KUCHING
Tarikh : 26-07-2003
 
Patik dan semua Ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian Persidangan Pesuruhjaya Kebangsaan dan Mesyuarat Agung Tahunan 2003, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Teramat Mulia Tunku, di atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, sudi berangkat mencemar Duli ke Majlis pada pagi ini. Sesungguhnya keberangkatan ke bawah Duli-Duli Tuanku serta perhatian berat Duli-Duli Tuanku terhadap kepanduan adalah sangat di sanjung oleh patik sekalian.

2. Patik memohon ampuni limpah perkenan Duli-duli Tuanku mengizinkan patik menyampaikan sepatah dua kata kepada sekalian.

3. Saya mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan limpah dan izinNya dapat kita berada di dewan ini untuk menghadiri majlis Perasmian Persidangan Pesuruhjaya Kebangsaan dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

4. Pada tahun 2002, Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah mengadakan Sambutan Ulang Tahun ke-85 di Melaka. Pada tahun 2003, persatuan ini telah menjangkau umur 86 tahun. Kalau kita lihat dengan teliti, Persatuan ini telah jauh lebih matang dan maju dari sejak ditubuhkan.

5. Pada tahun ini juga World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) atau Pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia menyambut ulang tahun yang ke- 75. Sambutan ini, pada masa yang sama turut menunjukkan ciri kematangan WAGGGS dan ahli pertubuhan (member organisation) di bawah sayapnya seperti Persatuan Pandu Puteri Malaysia ini.

6. Misi WAGGGS ialah untuk mengembangkan potensi wanita remaja supaya menjadi warganegara dunia yang bertanggungjawab.

7. Di Malaysia, Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) yang menumpukan kepada kegiatan kaum remaja, adalah di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan. Kalau tuan-tuan dan puan-puan melihat dengan teliti, ada persamaan di antara misi WAGGGS dan objektif Kementerian Belia dan Sukan.

Objektif Kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kaum remaja di negara kita ini ialah untuk membina masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan berakhlak tinggi. Juga bergerak maju dalam bidang ekonomi dan sosial yang aktif dan cergas ke arah perpaduan negara. Pada hemat saya, konotasi positif ke arah perpaduan negara ini berkait rapat dengan misi WAGGGS yang ingin membentuk wanita remaja sebagai warga dunia yang bertanggungjawab.

8. Setelah dibentuk remaja yang aktif dalam bidang ekonomi dan sosial serta berjaya memupuk kehidupan harmonis sudah pasti kita sudah mampu mewujudkan warganegara remaja yang bertanggungjawab bukan sahaja di negaranya malah di peringkat global. Kalau dapat ditanam semangat dan kriteria positif ini saya yakin kita sudah membentuk asas ke arah warganegara dunia yang diinginkan. Ini adalah kerana isu- isu semasa dan yang berlaku telah menunjukkan dan membawa kesedaran kepada kita bahawa tiada masalah dunia yang tidak memalitkan antara satu negara dengan negara yang lain. Perkara ini telah berlaku dalam bidang ekonomi, alam sekitar, kesihatan dan politik. Kita masih ingat betapa peperangan di Iraq, pertelingkahan di Palestin, masalah jerebu, masalah penyakit berjangkit begitu mudah mempengaruhi kehidupan penduduk dunia termasuklah kita di Malaysia.

9. Persatuan ini telah banyak mengelolakan aktiviti sama ada sebagai tuan rumah atau sebagai peserta untuk program yang dianjurkan oleh organisasi lain di dalam dan luar negara. Baik program perkhemahan, aktiviti untuk mendapatkan lencana kecekapan, khidmat masyarakat seperti kesedaran penjagaan alam sekitar, menjaga warga emas, memungut derma untuk tabung kebajikan, bertukar-tukar kemahiran dan kesenian. Semuanya pada hemat saya menjurus kepada pembentukan kaum remaja yang berfikiran terbuka, dinamik, rajin berusaha, bertanggungjawab dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

10. Pada peringkat sekolah rendah, jika seorang murid menceburi Tunas Puteri, saya yakin mereka lebih berdikari, boleh bertukar idea tentang kehidupan dan lebih mengenali ramai kawan luar dari kepompong kawasan sekolah mereka. Sesungguhnya aktiviti-aktiviti kepanduan yang dilalui oleh seorang kanak-kanak dari mula menjadi Tunas Puteri hinggalah ke tahap mendapat Lencana Kecekapan dalam kepanduan memungkinkan anak-anak kita lebih rasional dalam pemikiran dan lebih tekad untuk menghadapi cabaran dalam penghidupannya.

11. Justeru, anak-anak remaja kita yang terlibat dengan aktiviti kepanduan sudah berada di platform yang melatih mereka tentang ketahanan dan lebih bersedia dalam menghadapi isu-isu global yang amat mempengaruhi penduduk di seluruh dunia ketika ini.

12. Saya amat berbangga di atas pencapaian persatuan kita sebagai satu pertubuhan bukan Kerajaan yang sama-sama berganding bahu meningkatkan taraf kaum wanita di negara ini.

13. Tidak salah kalau saya katakan kesemua kejayaan ini diraih melalui sumbangan tenaga, buah fikiran dan kepimpinan yang diterajui oleh 100 peratus kaum wanita. Jadi amat sesuai saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli persatuan kerana, di samping dapat memenuhi misi WAGGGS, anda semua telah meletakkannya di persada yang dikenali ramai.

14. Persatuan Pandu Puteri memang satu pertubuhan yang menjadi sinonim dengan pergerakan kaum wanita dan kaum ibu. Sejak saya menjadi Yang Di Pertua Persatuan ini pada tahun 1981, saya telah mengikuti perkembangan peningkatan dari sebuah persatuan yang mempunyai keahlian hanya 10,000 orang sekarang mencecah lebih dari 60,000 orang. Syabas dan tahniah! Saya amat berharap agar puan-puan dan ahli Tunas Puteri, Pandu Puteri, Renjer Puteri, Kadet Puteri dan ahli Kelab Pandu Puteri akan terus melibatkan diri dengan penuh dedikasi dan iltizam di bawah Yang Di Pertua baru kelak.

15. Amatlah wajar bagi saya mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua di atas segala kerjasama, penglibatan dan sumbangan yang diberikan kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, khasnya kepada semua dif, institusi Kerajaan dan bukan Kerajaan, pihak swasta dan individu yang telah tidak jemu-jemu memberi sumbangan sama ada dalam bentuk barangan, tenaga, buah fikiran, wang ringgit dan tidak kurang, sokongan moral. Sesungguhnya sumbangan tuan-tuan dan puan- puan itu amatlah tidak ternilai untuk menjadikan Persatuan ini di tahap yang ada pada masa ini.

16. Sebagai Yang Di Pertua yang bersara, saya memohon maaf jika sekiranya ada kesilapan tutur kata saya selama 22 tahun yang lalu.

17. Patik memohon sembah untuk menyampaikan junjung kasih patik kepada Duli Tuanku di atas kesudian Tuanku menerima watikah sebagai Penaung Di Raja Persatuan Pandu Puteri Malaysia ini. Patik dengan segala rendah diri mengharap Tuanku akan terus menjadi payung kepada persatuan ini demi memartabatkan persatuan ini di negara kita yang tercinta.

Dengan ini juga patik mohon ampun Ke bawah Duli Tuanku jika ada patik tersilap bicara dalam ucapan patik sebentar tadi.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*****

Kami menerima 4,572,649 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri