English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : UPACARA PENUTUP PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENGLIBATAN IBUBAPA DALAM PENCEGAHAN DADAH
Lokasi : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 27-10-1985
 
Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Dato' Rais Yatim, Menteri Penerangan Malaysia merangkap Pengerusi PEMADAM, kerana sudi meluangkan masa untuk merasmikan majlis penutup Persidangan Kebangsaan Penglibatan Ibubapa Dalam Pencegahan Dadah, dan merakamkan penghargaan atas segala sokongan dan kerjasama yang telah kami terima daripada pihak PEMADAM untuk menjayakan Persidangan ini.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada dif-dif kehormat kerana sudi bersama-sama kami di majlis petang ini.

2. Selaku pengajur Persidangan ini BAKTI telah memilih tema "Pencegahan Dadah Bermula Dari Keluarga Dan Masyarakat" kerana BAKTI berpendapat tema ini menonjolkan kepercayaan BAKTI dan seterusnya mengharapkan agar tindakan-tindakan susulan akan dapat diambil bagi mencapai matlamat untuk menggalakkan penglibatan ibubapa dan masyarakat dalam usaha-usaha membendung serta mencegah masalah dadah di kalangan masyarakat, khususnya dalam lingkungan tiap-tiap unit keluarga.

3. Seramai 243 orang peserta dan pemerhati dari seluruh negara, yang mewakili pertubuhan-pertubuhan sukarela di dalam bidang-bidang sosial, profesyenal, sukan, keagamaan dan lain-lain lagi, serta kelab-kelab perkhidmatan dan lain-lain badan seumpamanya, serta orang-orang perseorangan, telah menyertai Persidangan sepanjang dua hari ini.

4. Enam kertas kerja yang merangkumi aspek-aspek terpenting dari segi peranan ibubapa, kesan-kesan penagihan dadah dan sebagainya telah dibentangkan oleh bukan sahaja pakar-pakar kita di dalam negeri tetapi juga tokoh-tokoh dari luar negeri. Ini telah disusuli pula dengan perbincangan panel-panel yang telah diadakan di Sidang Pleno. Selain daripada pembentangan kertas-kertas kerja dan perbincangan panel-panel ini kami juga telah cuba menjadikan Persidangan ini selengkap yang mungkin dengan menayangkan filem-filem yang ada kaitan dengan masalah dadah yang berdasarkan kepada pengalaman di tempat-tempat lain di luar negeri, juga pendedahan pengalaman pahit seorang bekas penagih dadah, dengan harapan ia akan menambahkan lagi kefahaman dan kesedaran kita, dan moga-moga dapat mendorong kita semua selaku ibubapa dan anggota-anggota masyarakat mengambil tindakan susulan selepas Persidangan ini, bagi mempertingkatkan usaha-usaha membendung ancaman yang merbahaya ini.

5. Setelah mempertimbangkan dengan mendalam dan seluas yang mungkin saranan-saranan yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan perasmian beliau semalam, juga mengambil kira hasil-hasil dari saranan yang dikemukakan dalam kertas-kertas kerja yang dibentangkan dan rumusan-rumusan dari perbincangan panel-panel, maka Persidangan Kebangsaan Penglibatan Ibubapa Dalam Pencegahan Dadah yang telah berlangsung selama dua hari ini telah mengambil keputusan untuk mengemukakan cadangan-cadangan berikut yang difikirkan bukan sahaja dapat memenuhi objektif Persidangan ini, malah merupakan cadangan-cadangan yang mampu dilaksanakan oleh pertubuhan-pertubuhan sukarela, orang-orang perseorangan dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk sama-sama membendung dan mencegah ancaman dadah ini daripada merebak.

6. Cadangan-cadangan yang mahu dikemukakan ini adalah seperti berikut:- Menyedari hakikat bahawa:- - 80% daripada penagih dadah adalah terdiri dari belia berumur 30 tahun ke bawah dan golongan terbesar terdiri dari belia yang berumur di antara 20 hingga 24 tahun yang merupakan sumber tenaga kerja yang paling penting dan bernilai; - ketahanan serta kemajuan negara bergantung kepada wujudnya generasi muda yang sihat, sempurna dari segi fizikal, mental, emosi, kerohanian serta bertaqwa; - penyambungan tradisi dan nilai-nilai murni sesebuah negara adalah terletak di tangan generasi muda yang berpendidikan baik dan bertanggungjawab; - menyedari bahawa dalam usaha memerangi dadah, pencegahan perlu diutamakan; maka Persidangan Kebangsaan Penglibatan Ibubapa Dalam Pencegahan Dadah berpendapat bahawa: Setiap ibubapa, guru, pendidik, pertubuhan-pertubuhan sukarela, pihak swasta, malahan setiap individu di dalam masyarakat adalah bertanggungjawab menghadapi cabaran-cabaran untuk menentukan bahaya dadah dapat dibenteraskan. Bagi tujuan ini sasaran kepada tindakan-tindakan dan usaha-usaha yang dilakukan hendaklah diutamakan kepada pembangunan keluarga yang bahagia, sihat dan berharmoni, kerana dengan wujudnya keluarga yang sedemikian sahajalah yang dapat menjamin keteguhan dan ketahanan negara.

7. Bagi mencapai matlamat ini, Persidangan ini mencadangkan supaya setiap pihak yang berkaitan memberi keutamaan kepada pendidikan yang menyeluruh bagi kanak-kanak dan mewujudkan hubungan yang rapat dan mesra antara anggota-anggota masyarakat setempat, terutamanya. Ini ialah kerana tugas mengawal dan membendung penggunaan dadah paling awalnya bermula dari rumah.

8. Sehubungan dengan ini adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bukan hanya semata-mata kepada wanita sebagai ibu, untuk menentukan supaya setiap kanak-kanak menerima keperluan-keperluan yang menjadi hak mereka dari segi : - persefahaman dan kasih sayang; - pendidikan rohani dan jasmani yang sempurna; - pembesaran dan perkembangan fizikal, mental dan moral di dalam suasana dan perkelilingan yang aman dan berharmoni.

Dengan cara ini sahajalah akan dapat menjamin pembentukan generasi muda yang sempurna dan mempunyai ciri-ciri murni dan nilai-nilai yang dapat dijadikan sebagai benteng yang boleh melindungi dan memperkukuhkan keperibadian mereka untuk menentang ancaman dan tarikan dadah.

9. Persidangan ini juga berpendapat langkah-langkah lain yang boleh diambil dan mampu dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu adalah seperti berikut: a. Mengadakan strategi yang melibatkan keluarga terutamanya ibubapa dan semua pihak seperti berikut:- - usaha bersepadu untuk meningkatkan kualiti hidup belia; - menubuhkan satu organisasi yang tidak hanya menekankan aspek anti dadah sahaja malahan akan melibatkan ibubapa dalam usaha:- * meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan akibatnya; * memberi kaunseling kepada ibubapa penagih; * mengadakan kemudahan untuk aktiviti sihat bagi murid-murid sekolah; * membimbing pelajar dan bekas pelajar yang mempunyai masalah dengan memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan tertentu dan intervensi di saat-saat genting; * berhubung dengan agensi lain untuk menghapuskan dadah di sekolah-sekolah dan dalam masyarakat; * berhubung rapat dengan pertubuhan- pertubuhan belia; * memberi pujian dan penghargaan untuk mereka yang berusaha menghapuskan penyalahgunaan dadah; * menganjurkan siri ceramah, seminar dan mengadakan usaha memperbaiki organisasi ibubapa di peringkat tempatan.

* mengadakan program-program dan sebagainya yang bertujuan untuk membantu bekas-bekas penagih menyesuaikan diri mereka untuk memulakan hidup baru hingga dapat berdikari.

Untuk melaksanakan strategi ini pihak swasta dapat memberikan sumbangan terutama sekali sebagai penganjur-penganjur aktiviti-aktiviti atau program-program yang dirancang untuk pencegahan dadah dan membantu dalam usaha- usaha publisiti dan pendidikan masyarakat.

b. Di samping usaha pemulihan, perhatian perlulah diberikan kepada langkah-langkah pencegahan seperti:- - melibatkan masyarakat sepenuhnya dalam langkah pencegahan; - keluarga harus memberikan asuhan dan bimbangan yang sempurna; - guru perlu menunjukkan contoh dan teladan baik, membimbing sikap positif dan menerapkan nilai mulia; - memberi dorongan dan galakan kepada kegiatan sukan dan rekreasi terutama sekali bagi mengisi masa lapang anak-anak muda; - memasukkan unsur-unsur pencegahan dadah dalam kurikulum sekolah terutama bagi kelas-kelas sivik dan kesihatan.

c. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan media massa adalah amat penting dalam mempengaruhi pencegahan dadah. Oleh itu apa yang disebarkan melalui media massa hendaklah bersifat positif. Bagi mencapai matlamat ini adalah dicadangkan supaya: - Media massa mempastikan penyampaian matlamat dan mesej dilakukan dengan berkesan, ringkas, tersusun, senang difahami dan tidak menjejas mesej penting yang mahu disampaikan secara halus; - Langkah menyebarkan sesuatu rancangan pendidikan atau pendedahan maklumat melalui media massa perlu ada susulan melalui berbagai saluran media yang lainnya demi mempastikan keberkesanaan penyebaran maklumat.

- Media massa dapat memainkan peranan dalam mengubah sikap dan persepsi masyarakat terhadap kegiatan dadah, misalnya mempertingkatkan kempen menukar sikap keluarga dan masyarakat:- * supaya berusaha membentuk suasana persekitaran yang sihat dan bahagia dan menjadikan dadah sebagai suatu perkara yang jelik dan jijik; * juga memudahkan proses penyesuaian semula ke dalam masyarakat bagi bekas-bekas penagih dadah.

d. Dalam usaha memerangi dadah ini, peranan dan sumbangan yang dapat diberikan oleh wanita sebagai ibu dan pendidik juga melalui pertubuhan-pertubuhan sukarela, wanita amatlah penting. Oleh itu Persidangan ini mencadangkan agar wanita, sama ada dengan cara perseorangan melalui pengasuhan anak-anak dan keluarga masing-masing di rumah, atau melalui penggemblingan tenaga dalam pertubuhan-pertubuhan sukarela, hendaklah mempertingkatkan usaha-usaha bukan sahaja dalam bidang-bidang yang lazimnya merupakan kepentingan untuk wanita semata-mata, tetapi hendaklah juga memasukkan dan memberi penekanan kepada program-program dan aktiviti-aktiviti pencegahan dan pembasmian penggunaan dadah terutama di kalangan anak-anak muda. Untuk melaksanakan matlamat ini perlu diadakan latihan-latihan yang khusus bagi melengkapi wanita-wanita dalam menjalankan usaha-usaha ini.

10. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, baik individu-individu, persatuan-persatuan atau agensi-agensi yang telah memberi bantuan dan sumbangan kewangan, tenaga dan masa dalam menjayakan Persidangan ini.

11. Sebutan khas perlu diberi kepada Pasukan Pelapor yang terdiri dari NACIWID, Kementerian Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Perbadanan Kraftangan Malaysia dan 'The Pink Panthers' telah menyediakan rumusan-rumusan dari setiap sessi untuk laporan penuh Persidangan bersama dengan Pasukan Urusetia Persidangan Antarabangsa dan Jabatan Perdana Menteri. Sementara kita di Jamuan Makan Malam di Hotel Merlin malam tadi, mereka bertugas sepenuh masa di sini.

Saya ucapkan syabas dan menyanjung tinggi usaha gigih mereka semua.

12. Kepada para peserta, saya mengucapkan terima kasih BAKTI sekali lagi dan berdoa semoga Tuhan selamatkan kepulangan tuan-tuan dan puan-puan ke negeri dan tempat masing-masing. I wish to specially express our grateful thanks again to Mrs. Carla Lowe, Vice President of The National Federation of Parents Movement For Drug Free Youth California and Mrs. Helga Rathsack, from The Parents Group, West Berlin for their being with us. We hope you will enjoy the rest of your stay here and take back our greetings to your respective groups. We wish a pleasant and safe return home.

13. Semoga Allah Subhanahuwataala memberkati tujuan-tujuan kita bersama dan mencucuri taufik dan hidayahnya juga.

Terima kasih, Wassallam.

Kami menerima 2,761,690 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri