English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN BUNGKUSAN HARI RAYA AIDILFITRI OLEH PARA PENDERMA KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
Lokasi : DEWAN KEMENTAH, WISMA PERTAHANAN, KUALA LUMPUR
Tarikh : 04-12-2001
 
Sujud syukur seharusnya kita lakukan kerana atas kurniaan Allah S.W.T. sahaja, majlis yang mulia ini dapat diadakan sekali lagi. Sementara negara Islam yang lain bertempuran dan nyawa rakyatnya tidak berketentuan, kita rakyat Malaysia berada dalam aman damai, selesa dan sejahtera. Sementara negara itu mengharapkan bantuan makanan dari luar negara, melalui lautan, udara dan sebagainya kita di sini mewah merata- rata dengan makanan khasnya dalam bulan Ramadhan ini. Mereka mati kerana kebuluran, sementara kita akan mati kerana kekenyangan.

2. Oleh itu, insafilah, sedarilah saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan betapa bertuah dan rahmatnya negara dan kita rakyat Malaysia kerana nikmat Allah S.W.T. yang begitu banyak sekali kita terima sejak kita capai kemerdekaan negara. Syukur Alhamdulillah.

3. Bagi pihak rakan-rakan penderma yang terdiri daripada korporat, syarikat-syarikat, persatuan- persatuan dan institusi-institusi yang sentiasa prihatin dan insaf atas perasaan Angkatan Tentera Malaysia di mana-mana jua sebagai Yang Dipertua BAKTI, saya sampaikan ucapan terima kasih kepada YB Menteri Pertahanan dan P.A.T. kerana menjemput kami semua dalam majlis tahunan ini. Kami adalah jenis masyarakat yang "tak minta, kami beri, tak jemput, kami datang juga"!

4. Negara Malaysia ini bertuah dari segala sudut. Kita mempunyai masyarakat yang berperasaan, berjiwa prihatin atas keadaan sekitar rumah kita, kampung, masyarakat dan dalam negara. Malahan kita juga tersentuh hati apabila berlaku sesuatu di negara asing. Perasaan inilah, sentuhan hati inilah yang dipuji dan digalakkan oleh agama.

5. Oleh itu, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan tinggi kepada semua dermawan yang budiman yang membawa buah tangan pagi ini untuk menyampaikan hasrat kita, bukan sahaja kerana dikehendaki beramal bakti, tetapi kerana sasaran amal kebajikan kita ini ialah suatu golongan yang terpilih sebagai pengaman negara kita.

6. Seperti biasa, anggota Tentera akan meninggalkan anak isteri, tanpa soal untuk ke tempat bertugas di perbatasan negara, di laut, di udara, dalam negeri dan juga di luar negara. Kini lebih lagi mereka akan dikehendaki bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan negara. Kita ini terlalu dekat dengan wilayah-wilayah yang bermasalah dan perlu berjaga-jaga.

7. Oleh demikian, rakyat haruslah berterima kasih dan menyanjung tinggi jasa ATM yang kita tahu telah menjalankan tugas dengan profesional, cekap dan taat setia. Kepada mereka, khasnya mereka yang bertugas di kawasan-kawasan tertentu, berjauhan dan di pendalaman, percayalah bahawa wira-wira negara tidak akan kita lupakan, bukan sahaja pada hari-hari menjelang hari- hari Perayaan, tetapi pada setiap masa. Tidak ada seorang antara para hadirin, saya percaya, yang tidak mengenang budi, jasa dan pengorbanan wira kita, setiap kali membaca surat khabar mengenai apa yang berlaku di Afghanistan, di Palestin, di Filipina umpamanya. Kita berdoa dan berusaha tidak akan negara ini sampai ke tahap itu, Insya-Allah.

8. Bersama-samalah kita berdoa semoga semua anggota ATM dilindungi Allah S.W.T. daripada bala - bahaya, supaya tugas-tugas dan tanggungjawab mereka dilakukan dengan sempurna, dan akhirnya dapat pulang ke anak isteri, Insya-Allah. Kita doakan juga semoga wira-wira kita terus berjuang dengan cekap dan penuh dedikasi, taat setia kepada Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan kita. Nama Pasukan Keselamatan Malaysia harum di dunia. Teruskanlah demi agama, bangsa dan negara.

9. Sambil memperingati wira-wira kita yang bertugas, tidak kita lupa anak isteri mereka yang tinggal. Tanggungjawab dan tugas para isteri sama beratnya seperti suami. Senjata isteri ialah iman, ketabahan hati dan cekap menjaga diri dan keluarga tanpa suami. Saya amat memuji golongan isteri-isteri ini yang bersemangat kuat dan berharap mereka jua di lindungi Allah S.W.T. dan diberi taufik dan hidayah supaya tidak berasa terlalu kesepian.

10. Peranan BAKAT dan pihak Kebajikan Kementah amatlah penting di sini supaya para isteri sentiasa bermoral tinggi dan sentiasa dalam keadaan ceria dan sejahtera. Allah sahaja memberi rahmat kepada mereka.

11. Bagi pihak para dermawan, sekali lagi saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri dan Panglima Angkatan Tentera atas jemputan ini. Semoga sumbangan kami diterima dengan selesa dan baik oleh wira-wira kita di mana mereka berada. Semoga juga, pada bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah memberkati usaha kita berbakti kepada ATM dan negara. Dimana jua mereka berada, kami ucapkan "Selamat Hari Raya dan Selamat Bertugas".

12. Mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin sampaikan sebuah sajak yang diubahsuai daripada sajak "Kekasih" oleh Allahyarham Dato Dr Usman Awang, Sasterawan Negara kita yang baru sahaja pulang ke Rahmatullah pada 29 November 2001. Sajaknya diubahsuai untuk majlis ini dan diberi nama "Janjiku Bila Kau Pergi". Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat sejahtera atas roh Allahyarham, Insya-Allah.

13. Sajak ini akan diiringi oleh Koperal Rahizat dengan violinnya, dan Private Francis dengan acoustic guitarnya. Kedua-dua mereka diuruskan oleh Mejar Nurhayati dan saya amat berterima kasih. Terimalah "Janjiku Bila Kau Pergi".

14. "Janjiku Bila Kau Pergi" Akan ku bendung hati dalam dada Menjadi kuat, tenang, sabar dan tidak sepi Akan ku tahan air mata Menjadi lautan saban hari Akan ku doa bila engkau pergi Dengan harapan ku kau akan kembali Oh Tuhan ku, lindungilah suami Insan yang berani Ku relakan ia pergi Akan ku pintal buih-buih Akan ku anyam gelombang-gelombang Akan ku tenun awan gemawan Janjiku pada mu, oh Pahlawan Akan ku petik bintang timur Menjadi penawar untuk hatimu Akan ku jolok bulan gerhana Menjadi lampu menyuluhi rindu Akan ku rebahkan matahari Mencepatkan siang menjadi malam Oh Kekasih, itulah janji Dari isterimu yang sepi Bila kau pergi hingga kau kembali

Kami menerima 2,784,390 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri