English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : PERASMIAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN 1995
Lokasi : INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) KUALA LUMPUR
Tarikh : 17-11-1995
 
1. Bersyukur saya kehadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin dan hidayahNya dapat kita bersama-sama hadir di majlis yang penuh bermakna pada pagi ini. Terlebih dahulu saya merakamkan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk Hari Keluarga Kebangsaan yang sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan merasmikan Hari Keluarga Kebangsaan bagi tahun 1995.

2. Keluarga adalah penting bagi kita semua. Ini kerana keluarga itu sendiri berperanan sebagai institusi yang memberi perlindungan, kasih sayang, bimbingan dan didikan kepada pembentukan peribadi seseorang. Tetapi dalam keadaan realiti, peranan asas keluarga nampaknya terlalu ideal bagi sesebuah keluarga masa kini. Kenapakah keadaan ini boleh berlaku? Ini adalah kerana ahli-ahli dalam keluarga kerapkali tidak memberi perhatian serius dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Keluarga lebih menumpukan kepada pembangunan material dan mengabaikan pembangunan rohaniah dan moral. Keadaan ini boleh membawa kepada keruntuhan sistem nilai kekeluargaan seperti krisis rumahtangga, keruntuhan akhlak, perceraian dan penderaan. Kesemua ini menjurus kepada masalah sosial yang kita hadapi masa kini.

3. Dalam era pembangunan ekonomi yang pesat, keluarga telah mengalami transformasi dalam pola perhubungan manusia dan kualiti hidup. Keluarga yang bermasalah tidak mungkin dapat menikmati mutu hidup yang baik. Kita sedar banyak faktor yang terlibat di dalam menentukan kesejahteraan sesebuah keluarga. Sikap dan sistem nilai yang dipegang di dalam sesebuah keluarga adalah teras utama ke arah mewujudkan sebuah keluarga yang kukuh dan sejahtera.

Nilai-nilai positif dan membina perlu disemai dan dipupuk dari awal lagi kepada ahli-ahli keluarga supaya anak-anak mempunyai tabiat dan watak yang baik dan bersedia menghadapi cabaran apabila besar.

Seperti tema tahun ini, toleransi adalah salah satu nilai yang penting yang perlu diamalkan dalam hidup berkeluarga.

4. Sesungguhnya tiada jalan yang mudah bagi kita untuk membina dan memperkukuhkan sesebuah institusi keluarga yang harmoni lagi sejahtera. Untuk membentuk dan membangunkan keluarga, kasih sayang, komitmen, perancangan dan persediaan yang sempurna amat diperlukan. Justeru itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan dalam memahami dengan lebih mendalam proses perkembangan mental, fizikal, kerohanian, emosi dan sosio-budaya seseorang individu supaya peranan dan hubungan antara setiap ahli keluarga dapat diimbangkan.

Dengan kesedaran, kesungguhan dan keprihatinan individu dalam keluarga, perkara ini bukanlah mustahil untuk dicapai. Sehubungan itu, ibubapa adalah `Role-Model' yang paling berkesan dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai-nilai dan norma-norma murni. Kita mesti bijak membuat pertimbangan dalam memberikan keutamaan dan pengurusan masa berkualiti kepada anak-anak dalam kesibukan tugas harian kita.

5. Peranan media massa juga penting dalam usaha kita menerapkan nilai-nilai murni bagi mencerminkan budaya yang sesuai kepada anak-anak dan masyarakat Malaysia. Pendidikan berterusan boleh dilakukan dengan berkesan menerusi pelbagai saluran komunikasi seperti akhbar, majalah, teater, konsert, lagu, televisyen dan radio. Dalam hal ini adalah penting bahawa mesej kekeluargaan ini diselaraskan setanding dengan hasrat negara membangunkan institusi keluarga yang kukuh dan berdaya tahan. Sepatutnya kita bersyukur dengan tahap kemakmuran dan perpaduan masyarakat yang wujud di negara kita. Kita berasa sedih dan simpati apabila mendengar dan melihat keganasan dan kezaliman yang berlaku di beberapa negara luar. Misalnya, di Rwanda dan Bosnia Herzegovina berlaku pertumpahan darah akibat peperangan dan pembunuhan yang kejam. Keadaan ini berlaku kerana tidak ada sikap toleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan sikap toleransi adalah akar umbi perpaduan yang amat perlu kita hargai dan kekalkan.

6. Adalah dijangkakan pada tahun 2000 negara akan mengalami perubahan yang lebih pesat. Proses globalisasi akan terus mempengaruhi corak kehidupan keluarga. Penduduk Malaysia dijangkakan akan bertambah kepada 22.7 juta. Perubahan pembangunan pesat ini akan membawa kepada perubahan dalam sistem dan nilai kekeluargaan. Misalnya, trend keluarga luas telah diambilalih oleh trend keluarga nuklear.

Tempat rujukan, tempat mengadu masalah telah berubah daripada keluarga kepada orang luar. Umur perkahwinan telah meningkat. Pertambahan keluarga dwi pekerja dan wanita dalam pekerjaan semakin meningkat ke-52 peratus menjelang tahun 2000.

Keluarga tunggal yang diketuai oleh wanita yang disebabkan oleh perceraian dan kematian juga meningkat. Ini bermakna, penjagaan anak dan ibu bapa yang sudah tua yang biasanya dijalankan oleh wanita di rumah, perlu diberi perhatian dan penjagaan alternatif juga perlu diusahakan.

7. Konsep dan definasi keluarga kini menjadi perkara hangat yang didebatkan di arena antarabangsa dan satu konsensus masih belum dicapai. Di Persidangan Antarabangsa mengenai Wanita di Beijing baru-baru ini, saya telah menyuarakan bahawa Malaysia akan terus berpegang kepada definasi keluarga dalam ertikata perhubungan di antara seorang lelaki dan perempuan yang berdaftar dan sah, dengan anak-anak dan ahli keluarga mereka. Pendapat ini adalah berbeza dengan negara-negara barat di mana lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin ataupun sesama jantina dianggapkan sebagai keluarga.

8. Bersyukurlah kita bahawa di Malaysia institusi keluarga dan aspek kekeluargaan diberi perhatian oleh Kerajaan. Berbagai usaha telah dijalankan bagi memantapkan hubungan kekeluargaan bukan sahaja di sektor Kerajaan tetapi juga pihak swasta dan NGOs.

Ini adalah satu petanda yang baik, di mana menunjukkan bahawa masyarakat telah sedar dan mula memberi `response' kepada isu kekeluargaan. Saya yakin, sekiranya usaha seperti ini dipergiat dan diteruskan, insya-Allah masa depan keluarga Malaysia akan lebih cerah.

9. Sempena dengan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 1995, marilah kita bersama-sama menyingkap kembali apakah sumbangan kita kepada keluarga. Di samping itu, kita perlu mengkaji, menerokai dan meningkatkan keupayaan kita ke arah pemupukan tingkah-laku toleransi dalam keluarga kita supaya keluarga kita terus berada dalam keadaan harmoni.

10. Akhir sekali saya berharap institusi keluarga di negara ini akan dapat memainkan peranan yang lebih membina dan berkesan dalam membentuk satu bangsa Malaysia yang bertoleransi, berharmoni dan matang. Saya berharap agar tema Hari Keluarga Kebangsaan tahun ini akan kita hayati dan amalkan bersama-sama. Semoga kerjasama semua pihak dan golongan masyarakat dalam mewujudkan sikap toleransi melalui aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang sihat akan berterusan. Tahniah diucapkan kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kerana dapat menerbitkan video klip toleransi keluarga. Saya juga mengucapkan syabas di atas usaha LPPKN merangka pendidikan kekeluargaan secara berterusan melalui penerbitan pakej latihan modul- modul pembangunan keluarga. Saya yakin kursus- kursus seperti ini dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat dan berharap usaha ini akan sama- sama kita manfaatkan sebagai panduan kepada pengukuhan institusi keluarga dan hidup berharmoni dan bahagia dalam suasana kekeluargaan. Tahniah juga diucapkan kepada pemenang-pemenang peraduan melukis poster peringkat antarabangsa kerana mengharumkan nama Malaysia.

11. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Keluarga Kebangsaan tahun 1995 beserta dengan dua upacara khusus iaitu, pelancaran video klip keluarga dan pelancaran pemasaran pakej latihan modul-modul pembangunan keluarga.

Kami menerima 2,756,135 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri