Yang Berhormat Drs. Suleiman Mohamed, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.
Saya mengucapkan tahniah dan syabas di atas daya usaha pihak Karunmas-Exclusive Flora (M) Sdn. Bhd. kerana menganjurkan Festival Bunga Raya, yang julung-julung kali diadakan di negara ini.
2. Sepertimana para hadirin sedia maklum, Bunga Raya ialah Bunga Kebangsaan negara kita. Prinsip-prinsip Rukunegara adalah berasaskan kepada kelima-lima kelopak Bunga Raya.
Walaupun lambang Bunga Raya digunakan sebagai perhiasan tetapi Bunga Raya sendiri tidak mendapat tempat sewajarnya sebagai Bunga Kebangsaan negara kita. Sebaliknya bunga-bunga lain seperti Bunga Orkid, Bunga Ros, Bunga Carnation dan lain-lain bunga lebih digemari dan dihias di rumah, pejabat, kedai dan hotel dan di majlis majlis rasmi mahupun tidak rasmi.
3. Bunga Raya tidak begitu mudah didapati di kedai-kedai bunga atau di supermarket, mungkin kerana ianya tidak di tanam secara komersial. Di negara kita terdapat banyak jenis Bunga Raya dalam beberapa warna yang menarik, tetapi sekiranya kita lihat di sekitar ibukota tidak banyak pokok Bunga Raya yang ditanam.
4. Oleh kerana tidak banyak pokok-pokok Bunga Raya yang ditanam di kawasan-kawasan bandar maka tidak hairanlah kenapa orang ramai tidak menghiraukan Bunga Raya. Sekiranya pokok-pokok Bunga Raya ditanam dengan banyaknya di kebun-kebun bunga, di pejabat-pejabat kerajaan di kaki lima sekitar bandar, di bangunan-bangunan swasta dan juga di kawasan rumah saya yakin dengan sendirinya Bunga Raya akan mendapat perhatian sebagai Bunga Kebangsaan kita.
Kalaulah setiap warganegara menanam sebatang pokok Bunga Raya di kawasan rumah, kedai, pejabat atau bangunan mereka, saya percaya dalam beberapa tahun lagi maka banyaklah pokok Bunga Raya terdapat di negara kita.
5. Pada hemat saya sekiranya kita menjalankan kempen untuk memperkenalkan Bunga Raya dan melambangkannya sebagai bunga yang popular dan mudah didapati di negara kita, maka saya yakin Bunga Raya akan mengambil tempat yang sewajarnya di hati sanubari kita.
Para hadirin sekalian,
6. Kecantikan Bunga Raya yang sedia ada tidaklah cukup dengan hanya mencintainya sebagai Bunga Kebangsaan sahaja. Kecantikan Bunga Raya yang sedia ada akan bertambah cantik lagi jika ianya diketengahkan oleh penggubah-penggubah bunga. Saya berharap penggubah-penggubah bunga di negara ini khasnya tuan-tuan dan puan-puan yang berada di sini dapat turut sama dalam memperkenalkan gubahan Bunga Raya dengan kreativiti sendiri agar gubahan-gubahan tersebut bertambah menarik.
7. Pada pendapat saya, salah satu lagi sebab mengapa Bunga Raya tidak begitu popular ialah kerana ianya mudah layu.
Satu daripada cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan membuatnya secara tiruan. Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan boleh membuat bunga-bunga tiruan daripada berbagai jenis kain sama ada kain sutera, baldu, net, lace, cotton dan lain-lain. Ianya boleh juga digunakan dalam gubahan untuk perhiasan. Buat masa ini suri-suri rumah dan hotel-hotel gemar menggunakan bunga-bunga tiruan yang dihias dalam pasu-pasu yang besar dan diletak di tengah-tengah ruangan atau di atas meja resepsi hotel-hotel. Sekiranya kita menggalakkan penggunaan Bunga Raya tiruan saya percaya gubahan-gubahan yang direka-bentuk tentulah menarik sekali.
Apabila ada bahan-bahan yang menarik, tentulah memikat kaum wanita untuk membelinya. Dalam hal ini saya berharap Bunga-Bunga Raya tiruan boleh dibeli di kedai-kedai bunga dan supermarket.
Para hadirin sekalian,
8. Usaha pihak Karunmas-Exclusive Flora Sdn. Bhd. mengeluarkan bunga-bunga tiruan yang diperbuat daripada kain menunjukkan negara kita juga mampu dan mempunyai idea dalam mengeluarkan bunga-bunga tersebut yang selama ini dikuasai oleh negara-negara lain seperti Thailand dan Taiwan. Kita juga haruslah mencari idea dan berikhtiar untuk menggunakan bahan tempatan lain yang boleh disatukan dalam membuat gubahan bunga seperti 'driftwood' atau akar kayu yang mudah didapati di negara kita. Selain daripada itu barang-barang anyaman dan pasu-pasu tembikar yang sedia ada boleh juga digunakan dalam gubahan-gubahan tersebut. Ianya sudah tentu akan membantu perkembangan perindustrian kraftangan negara ini.
9. Saya berharap penyertaan tuan-tuan dan puan-puan dalam pertandingan ini bukan sahaja kerana hadiah-hadiah yang menarik tetapi juga kerana semangat cintakan kepada Bunga Kebangsaan. Saya yakin Festival Bunga Raya ini akan memperkenalkan Bunga Raya sebagai bunga kebanggaan dan kegemaran penduduk Malaysia.
10. Akhir kata saya berharap agar pertandingan ini akan dapat mencapai kejayaan dan matlamat yang diharapkan.
Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Festival Bunga Raya dan Pameran Bunga-Bunga Sutera ini.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|