English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : KOLOKIUM KE-11 WANITA PEMADAM KEBANGSAAN
Lokasi : GENTING INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE, GENTING HIGHLANDS
Tarikh : 18-01-2003
 

"Tangan yang mengayun buaian itu boleh menggegarkan dunia". Kata-kata ini mengandungi hikmahnya tersendiri dan menegaskan peranan wanita, khususnya kaum ibu, di dalam membentuk dan mencorakkan hidup anak-anak mereka. Lantaran itu menentukan peranan anak-anak ini dan sumbangan mereka kelak di dalam masyarakat.



2. Kaum wanita mempunyai kuasa dan mempunyai peranan kritikal dalam membina benteng perlindungan yang kukuh terhadap kedudukan sesebuah keluarga itu. Justeru, wanita harus sedar akan peranan teras mereka ini dan sentiasa sanggup sedia untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka di dalam bidang keibubapaan, sentiasa bersedia mendapatkan maklumat-maklumat terkini, mengenai pengendalian keluarga dan mekanisma imunisasi terkini melindungi keluarga mereka daripada kejutan-kejutan sosial yang negatif dan yang boleh memusnahkan.



3. Wanita-wanita, khususnya kaum ibu, tidak boleh lagi mengharapkan orang lain untuk menjalankan tugas mereka. Jika tidak, sedikit demi sedikit, kesejahteraan keluarga terhakis dan tanpa disedari keluarga itu menjadi keluarga bermasalah dan sukar dibentuk semula (reengineered) atau menstabilkannya kembali. Di era masyarakat dilanda dengan gejala-gejala sosial yang mencabar, seperti keganasan, dadah dan HIV/AIDS, wanita perlulah peka terhadap peranan mereka dan memperkasakan diri untuk menjadi benteng pertahanan pertama dalam melindungi keluarga mereka.



4. Masyarakat kini pada dasarnya adalah masyarakat materialisme. Ibu bapa misalnya begitu ghairah mengejar taraf dan kemajuan ekonomi. Ada kala keghairahan ini mencetuskan kepincangan di dalam keluarga. Ibu bapa kurang masa untuk anak-anak mereka. Anak-anak ini pula tidak punyai punca rujukan atau tempat mengadu kerana keluarga kini biasanya berbentuk nuklear, tidak lagi berbentuk `extended'. Akibatnya rakan-rakan menjadi saluran meluahkan perasaan. Kerapkali rakan-rakan ini juga punyai masalah.



5. Pada hari ini juga saban kali terdengar keganasan di dalam keluarga. Deraan pelbagai rupa berlaku - fizikal, mental, seksual dan sebagainya. Kaum ibu sendiri menjadi mangsa. Anak-anak juga begitu. Bak kata pepatah "harapkan pagar, pagar makan padi". Datuk, ayah dan abang sendiri terlibat di dalam pelbagai perbuatan keji. Kaum wanita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan meratap sendirian bahawa mereka tidak berdaya berbuat apa-apa. Mereka tetap boleh berbuat sesuatu. Mereka perlu lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Jika tidak dapat bertindak sendirian, bertindaklah secara lain seperti mendapatkan nasihat kaunseling atau berkongsi pengetahuan dan berkongsi kepakaran.



6. Merancang keluarga merupakan salah satu cara mengelakkan `sexual abuse and incest' terutamanya (sumbang mahram). Manusia sememang suka menyalahkan orang lain atau pihak lain. Adakala, tuduhan itu tepat tetapi kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab dan peranan kita untuk sama-sama mengelakkan atau mencegah kejadian yang tidak baik berlaku.



7. Contoh yang ternyata sekali ialah dalam keadaan perumahan yang sempit untuk didiami oleh keluarga yang ramai. Sepasang suami isteri yang muda perlu bijak dalam menentukan bilangan keluarga yang mereka kehendaki mengambil kira bukan sahaja kemampuan kewangan untuk saraan keluarga, tetapi sama penting, mengambil kira berapa bilik tidur yang ada di dalam rumah. Untuk keluarga ramai menduduki satu bilik tidur sahaja memanglah tidak sesuai. Apabila ahli keluarga bertambah dan membesar, haruslah anak lelaki dan perempuan tidur berasingan bilik. Masalah ini bertambah rumit jika ahli keluarga lain umpamanya datuk, nenek atau bapa saudara dan sepupu menumpang duduk bersama. Kita selalu tidak menyoal kejujuran dan kasih sayang saudara mara yang bersama dengan keluarga kita sendiri kerana kepercayaan keluarga besar adalah baik. Akibatnya, timbul situasi yang kondusif bagi boleh berlakunya sumbang mahram atau penderaan ibu dan kanak-kanak.



8. Ikatan keluarga yang longgar boleh memberi kesan yang buruk kepada anggota keluarganya terutama kepada anak-anak. Anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang dan perlindungan, terdedah kepada pelbagai pengaruh luaran, ancaman, cabaran dan dugaan. Bagi yang kurang ketahanan dalaman, pengaruh-pengaruh negatif akan mudah menular masuk dan mempengaruhi nilai kehidupan mereka ke arah keburukan dan kerosakan.



9. Antara yang memusnahkan hidup mereka ialah dadah.



Dadah kini dianggap musuh negara nombor satu. Yang merumitkan lagi keadaan dan menjadi ancaman serius kepada masyarakat kini ialah kaitan dadah dengan penyakit HIV/AIDS.



10. Kira-kira lima belas tahun dahulu, pada persidangan antarabangsa U.N. I.C.D.A.I.T., presidennya Y.A.B. Dato Seri Dr Mahathir Mohamad telah memberitahu dunia bahawa "Arus perjuangan kita hanya akan dapat diubah apabila kita berjaya mempertingkatkan kesedaran awam bahawa dadah boleh membunuh dan boleh memusnahkan hidup manusia. Kita harus betulkan salah anggap penagihan dadah berlaku pada anak orang lain, bukan anak kita; punca masalah dadah pula terletak di tempat orang, bukan di tempat kita sendiri. Hakikatnya barisan perjuangan adalah di dalam setiap individu, setiap rumahtangga, di dalam setiap komuniti dan di dalam setiap negara." 11. Kata-kata ini masih lagi tepat dan benar pada hari ini. Banyak pula antara kita yang masih belum sedar dan insaf tentang hakikat ini. Pada bulan April 1985, saya sendiri terlibat sama di dalam persidangan "say no to drugs" anjuran Nancy Reagan untuk 17 "First Ladies" dari merata dunia. Dalam bulan Oktober 1988 pula, saya berpeluang melawat Hale House di Harlem, New York.



12. Hale House adalah sebuah institusi swasta di Harlem, New York ditubuhkan oleh seorang wanita tua berkulit hitam (Mrs. Hale) yang peka atas keadaan dalam masyarakat kulit hitam di New York. Wanita-wanita dan ibu-ibu masyarakat ini adalah miskin, menghisap dadah, kerap kali mereka melacurkan diri dan kerap melahirkan anak. Anak-anak ini ditinggalkan di luar pintu atau tangga rumah Mrs. Hale.



13. Mrs. Hale mempunyai anak perempuan, Dr. Barbara Hale; mereka berdualah mewujudkan Hale House untuk menjaga anak-anak kecil ini yang kebanyakannya gian kerana dadah atau berpenyakit HIV.



14. Penglibatan saya itu masih mempunyai kesan ke atas saya sehingga hari ini dan saya tetap peka dan insaf bahawa dadah itu adalah pemusnah kepada individu, keluarga, komuniti dan negara.



15. Sebagai menjelaskan betapa seriusnya masalah dadah dan kaitan dadah dengan HIV/AIDS, berikut adalah maklumat yang semestinya membuka mata dan hati kita. Sehingga akhir 2001, di seluruh dunia, 40 juta dihitung dijangkiti virus HIV/AIDS. Di seluruh Asia pula, kira-kira enam juta dijangkiti. Di Malaysia, bilangan yang hidup dengan penyakit HIV di antara tahun 1986-2000 adalah 38,340 orang. Mereka yang menghidapi AIDS pula adalah 4,722 dan 3,567 daripada mereka ini meninggal. Pada tahun 2000 juga, 9.4 peratus daripada yang dijangkiti HIV adalah wanita. Pada masa yang sama 8.3 peratus adalah yang menghidap AIDS.



16. Angka-angka ini menjelaskan bencana yang dihadapi oleh masyarakat kita kini. Ia juga mengingatkan kita apakah yang boleh dan perlu dibuat untuk mencegah keadaan ini bertambah berleluasa. Apakah yang kita kaum wanita boleh lakukan untuk melindungi anak-anak kita? Pencegahan lebih afdal daripada pengubatan.



17. Kerajaan Malaysia amat peka kepada masalah yang sedang melanda negara ini. Kerajaan telah menggubal pelbagai undang-undang dalam usaha memerangi wabak dadah. Berbagai-bagai projek dan program telah dilaksanakan. Memandangkan pentingnya peranan wanita di dalam usaha-usaha pencegahan, dua kementerian, iaitu Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Kementerian Perpaduan Negara dan Kemajuan Masyarakat telah menggubal beberapa akta bagi tujuan melindungi wanita dan kanak-kanak serta memperkasakan wanita agar berupaya memainkan peranan yang lebih penting dan berkesan. Kementerian Pendidikan pula tidak berhenti- henti menonjolkan usaha-usaha pencegahan di kalangan murid, pelajar, ibu bapa, guru dan komuniti.



18. Kerajaan juga melalui agensi dadah kebangsaan telah memberi fokus kepada empat bidang di dalam usaha memerangi dadah - keluarga bebas dadah, sekolah bebas dadah, tempat kerja bebas dadah dan komuniti bebas dadah.



19. Hakikatnya, walau apa pun, perjuangan dan peperangan ke atas wabak ini tetap kurang berkesan tanpa penglibatan orang ramai. Sebab itu Kerajaan menggalakkan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs) lebih bergiat di dalam membantu usaha-usaha Kerajaan memerangi wabak ini. Saya sungguh gembira PEMADAM, sebagai sebuah NGO memerangi dadah telah pun menghasilkan pelan bertindak lima tahun yang memberi fokus kepada empat bidang yang disebutkan tadi. Pastinya perhimpunan hari ini menjadi testimoni kepada kesungguhan dan komitmen PEMADAM.



20. Ibu bapa, khususnya ibu-ibu adalah punca rujukan terdekat bagi anak-anak mereka di rumah. Dengan itu mereka mempunyai peluang terbaik untuk menyemai anak- anak mereka dengan nilai-nilai murni melalui bimbingan dan teladan yang baik. Ibu bapa tidak boleh "memajakkan" tanggungjawab mereka kepada orang lain, yakni meletakkan tugas mendidik dan membimbing anak- anak mereka kepada orang lain. Jika tidak berjaga-jaga, kesejahteraan anak-anak mereka akan tergadai. `Parents cannot afford to abdicate their responsibilities'.



21. Begitu juga, ibu bapa tidak boleh membeli kasih sayang anak. Ibu bapa yang banyak wang tetapi kurang masa, memberikan segala-gala kebendaan kepada anak-anak mereka sebagai menebus dosa tidak memberi masa kepada anak-anak ini. Kasih sayang yang palsu begini akan membawa pulangan yang palsu pula. Sebab ini jugalah ada kalanya ibu bapa dikatakan sebagai `the missing link' di dalam peperangan membasmi dadah.



22. Sayugia diingatkan, selain daripada anak-anak yang menghadapi masalah itu, ibu bapa adalah orang yang terdekat kepada masalah itu dan impaknya. Cubit peha kiri paha kanan terasa sakit. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Meluangkan masa untuk anak-anak adalah satu pelaburan. Pulangan sahamnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.



23. Ibu bapa harus ingat juga tentang peranan agama di dalam membentuk perawakan dan sahsiah anak-anak.



Pengetahuan dan amalan agama dapat membina ketahanan dalaman yang kukuh yang tidak mudah dicabar gugat.



Agama membekalkan anak-anak dengan falsafah dan amalan hidup yang sentiasa mendampingi mereka di mana sahaja mereka berada, tanpa perlukan kehadiran guru memegang rotan atau pegawai polis memegang cotar.



24. Sebagai penutup kata, saya sebagai seorang ibu ingin menyampaikan pesan kepada saudari-saudari sebagai ibu dan bakal ibu, tentang peranan dan tanggungjawab kita di dalam melahirkan keluarga bahagia. Keluarga yang harmonis itu kebahagiannya dikongsi bersama. Oleh itu kita harus sedar bahawa banyak yang boleh kita lakukan sebagai ibu untuk memastikan anak-anak kita dan keluarga kita sentiasa terlindung dan terpelihara daripada gejala negatif luaran dan dalaman yang boleh melemahkan mereka dan memudahkan mereka terjebak dengan gejala pemusnah seperti dadah. Jika anda lihat di pameran di luar terdapat poster "the power of love" atau "kuasa kasih sayang" - kasih sayang mengikat erat hubungan ibu bapa dan anak. Beri anak kita sepenuh kasih sayang yang diperlukannya.



25. Jadikanlah ibu bapa idola, model dan contoh yang baik dan unggul bagi anak-anak kita. Mungkin ini sukar dicapai, tetapi sekurang-kurangnya tonjolkanlah contoh- contoh, sikap-sikap yang baik dan mulia.



26. Saya adalah seorang fanatik anti merokok kerana saya percaya bahawa merokok adalah "the stepping stone towards drug taking". Kini, ramai wanita, remaja dan dewasa merokok dan bertambah bilangan mereka. Mereka anggap memegang sebatang rokok antara jari mereka dan menghisap dan menyemburkan asap rokok, suatu fesyen dan status sosial. Kepada saya, yang terburuk sekali dipandang ialah seorang wanita merokok.



27. Selain menjahanamkan paru-paru dengan `nicotine', wanita itu terbuka kepada risiko kanser paru-paru, kerongkong dan sakit jantung. Bagi kumpulan remaja pula, merokok secara cubaan pun akan mendedahkan mereka kepada gejala dadah. Selepas tahap ini, remaja dan wanita yang kurang iman akan terus mencuba dadah yang lebih keras lagi seperti heroin dan kokain.



28. Saya biasa bersama dengan penagih-penagih dadah, ibu bapa dan keluarga mereka dan mendengar cerita- cerita mereka. Betapa kesalnya mereka, betapa ruginya mereka. Allah S.W.T. memberi insanNya akal yang waras dan tubuh badan yang sempurna dan sihat. Bahan-bahan makanan dan minuman yang bersih dan subur terdapat banyak di sekitar kita. Keluarga kecil dan besar dikurniakan kepada kita. Kenapalah kita tidak menghargai dan bersyukur atas nikmat Tuhan ini, malah kita sanggup memusnahkan diri kita dengan rokok dan najis dadah.



29. Saya juga biasa bergaul dengan pesakit HIV/AIDS, kanak-kanak dan dewasa. Amatlah sedih sekali melihat kebanyakan mereka adalah bangsa saya sendiri, yang lambat laun akan pergi.



30. Oleh itu, saudari-saudari, ibu bapa sekalian, insaf dan sedarlah kita supaya kita harus lebih bertanggungjawab atas keluarga kita dan lakukanlah segala usaha yang boleh bagi mencegah dan menghapuskan gejala penyalahgunaan dadah di dalam keluarga, masyarakat dan negara kita yang tercinta ini.



31. Oleh itu untuk anak-anak berilah bimbingan, masa, peluang dan galakan. Berikan dia tanggungjawab dan hak mempunyai watak berbeza. Berikan pujian, keyakinan diri dan ketenteraman. Beri dia segala yang diperluinya.



Yang penting sekali, beri mereka kasih sayang dan pelukan, tidak kira umur mereka. Lebih anda memberi kasih sayang, lebih anda akan menerima kuasa hikmat kasih sayang.



32. Dengan pesanan yang ikhlas ini, saya sentiasa berharap kaum wanita, kaum ibu akan terus komited membina keluarga harmonis, aman dan bahagia, demi masa depan masyarakat dan negara kita.



Sekian, terima kasih.



Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



 


Kami menerima 4,514,945 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri