English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : PERASMIAN SEMINAR SEMPENA HARI KANAK-KANAK SEDUNIA YANG KE TIGA PULUH
Lokasi : DI HOTEL DAYANG, PETALING JAYA
Tarikh : 03-12-1983
 

Yang Berbahagia Datin Paduka Zaleha Ismail, Yang di-Pertua, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia;


Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Yang Berbahagia Puan Sri-Puan Sri;


Dato-Dato dan Datin-Datin; Para hadirin yang dihormati sekalian.



Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama pagi ini di majlis Seminar Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang Ke Tiga Puluh.



2. Tema seminar hari ini "Keperluan Kanak-Kanak - Cabaran Kepada Masyarakat" sangatlah tepat kerana ia akan menggerakkan masyarakat untuk bertindak membangunkan pusaka yang sangat kita hargai - iaitu kanak-kanak - kurniaan Tuhan kepada kita dan warisan yang bernilai kepada negara.



3. Jika kita merenung kembali kepada bilangan penduduk di negara ini pada tahun 1981 yang berjumlah 13.8 juta orang, kita akan dapati iaitu 3.01% ialah golongan bayi yang berumur 1 tahun ke bawah; 16.5% meliputi kanak-kanak pra-sekolah, iaitu kumpulan umur 1 - 6 tahun; 14.5% meliputi kanak-kanak sekolah rendah di dalam lingkungan 7 - 12 tahun dan 14.06% ialah kanak-kanak sekolah menengah dalam lingkungan umur 13 - 18 tahun. Dari jumlah ini kita dapati bahawa 47.07% - kira-kira separuh - penduduk negara ini adalah dalam lingkungan umur 18 tahun ke bawah. Demikian besar golongan muda ini, lebih-lebih lagi jika ditinjau pula perkembangan kependudukan negara kita, golongan kanak-kanak merupakan satu golongan yang tidak statik, tetapi terus bertambah, tahun demi tahun. Maka wajar benarlah kita menginsafi peranan kita sebagai anggota masyarakat, dalam perkembangan kanak-kanak di negara kita ini.



4. Dalam menuju ke matlamat ini kita sering mendengar seminar-seminar dianjurkan oleh kedua-dua pihak awam dan swasta, yang menyentuh berbagai isu berkaitan dengan kanak-kanak. Ini adalah petanda yang sihat kerana ianya menunjukkan betapa kita mengambil berat tentang masa hadapan generasi muda kita. Tahun 1979, iaitu Tahun Antarabangsa Kanak-Kanak, telah menghasilkan laporan-laporan yang padat dan resolusi-resolusi yang konkrit, dan saya sering juga berfikir apakah semua rumusan ini telah dilaksanakan?


5. Salah satu kelemahan kita, adalah tindakan susulan yang kurang memuaskan selepas seminar. Saya percaya kegagalan ini adalah di antara lain-lain sebab, kerana resolusi-resolusi dan laporan-laporan tersebut tidak disebarkan secara meluas, dan cadangan-cadangan baik itu tidak jelas dan sukar difahami oleh semua lapisan masyarakat. Bagaimana pun, saya sungguh gembira melihat Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia mengambil langkah yang bijak, dan menggabungkan tema Hari Kanak-Kanak Sedunia dengan Tahun Komunikasi Sedunia, 1983. Saya yakin ini akan melahirkan persefahaman yang lebih berkesan terhadap resolusi-resolusi yang dicapai, dan seterusnya, akan merentas jalan ke arah usaha-usaha yang lebih bersungguh-sungguh, oleh semua lapisan masyarakat, dalam bidang perkembangan kanak-kanak yang sempurna.



6. Saya perhatikan, kertas-kertas kerja yang tuan-tuan dan puan-puan akan bincangkan, menyentuh semua aspek keperluan asas kanak-kanak, bagi menjamin perkembangan menyeluruh mereka. Harapan saya supaya penekanan akan dibuat, mengenai peranan ibubapa dalam pendidikan kanak-kanak. Misalnya, ibubapa perlu memahami sepenuhnya, keperluan kesihatan dan makanan berzat, bagi kanak-kanak lima tahun ke bawah - bahawasanya 90% daripada pertumbuhan otak dan 50% daripada pertumbuhan badan manusia berlaku dalam lima tahun permulaan, mestilah difahami.



7. Kebanyakan kita menyalah-anggapkan bahawa pendidikan bermula di sekolah dan penyemaian nilai-nilai hidup dan disiplin adalah tanggungjawab guru semata-mata. Sebenarnya, pengalaman-pengalaman pembelajaran bermula dari sejak bayi dilahirkan dan pendidik pertama dan model baginya adalah ibunya sendiri. Sementara proses pendidikan diteruskan di rumah, ia juga berkembang ke sekolah dan suasana kelilingnya. Di sekolah perkembangan kanak-kanak secara formal dibentuk oleh pendidik yang terlatih. Tetapi dirumah pendidikan itu dijalankan secara disedari atau tidak oleh ibu-ibu.



8. Bagaimanapun, perubahan masyarakat, pendedahan kepada keganasan dan lain-lain pengaruh negatif melalui media, kelompok rakan dan keadaan sekeliling, mengakibatkan kanak-kanak hari ini menghadapi berbagai-bagai masalah. Ini membuatkan peranan mendidik anak semakin kompleks dan pengetahuan serta pengalaman mendidik anak yang diwarisi dari emak ke anak sudah kurang sesuai.



9. Selain daripada perhatian kepada kanak-kanak yang normal, perlindungan bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik, terutamanya yang cacat, perlulah dititikberatkan. Saya gembira bahawa tuan-tuan dan puan-puan akan juga menumpukan perhatian terhadap keperluan golongan ini. Dengan adanya perkhidmatan-perkhidmatan pemulihan, lebih ramai kanak-kanak mula tampil untuk mendapatkan pemulihan. Amatlah jelas, kita kekurangan kemudahan pemulihan sekarang dan sukalah saya menyeru kepada semua untuk memenuhi keperluan ini. Laporan akhbar baru-baru ini menunjukkan berlakunya penganiayaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak cacat oleh keluarga mereka. Ini amatlah dikesalkan, dan tindakan positif perlu diambil oleh agensi-agensi awam yang berkaitan, untuk menubuhkan satu perkhidmatan lawatan ke rumah-rumah yang khusus untuk membantu ibubapa-ibubapa serta melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran untuk mengendalikan anak mereka dengan sempurna.



10. Pertumbuhan pesat pusat-pusat asuhan, dan taman didikan kanak-kanak sebagai usaha niaga adalah membimbangkan. Rakyat negara ini membelanjakan kira-kira $24 juta setahun untuk membiayai anak-anak mereka di institusi-institusi tersebut untuk mendapatkan jagaan dan pendidikan pra-sekolah. Oleh itu saya berharap mereka yang bertanggungjawab mengendalikan kanak-kanak di institusi-institusi ini, haruslah mempunyai kemahiran dan latihan yang secukupnya bagi memenuhi perkembangan kanak-kanak dari segi fizikal, mental, emosi dan kerohanian. Dalam konteks ini, saya menyeru agensi-agensi awam yang berkenaan untuk mengkaji kemungkinan mengawal perbekalan untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini.



11. Dalam keghairahan untuk menggalakkan pencapaian akademik di kalangan kanak-kanak, ibubapa sering terlupa akan pentingnya perkembangan yang seimbang. Ia sepatutnya berganding bersama dengan minat terhadap seni halus seperti seni lukis, seni musik, drama, tarian dan sebagainya.



12. Saya ingin melihat, lebih ramai kanak-kanak melibatkan diri dalam kegiatan kreatif ini. Pertubuhan-pertubuhan belia yang mempunyai kemampuan dan infrastruktur mungkin tertarik untuk mewujudkan projek ini sebagai khidmat permulaan mereka kepada kanak-kanak, sebagai tanda Tahun Antarabangsa Belia, 1985.



13. Banyak perbincangan, baru-baru ini mengenai kurang minat membaca di kalangan penduduk Malaysia. Minat suka membaca seperti yang kita semua ketahui, bermula sejak kecil dan inilah masanya untuk menyemai minat di kalangan kanak-kanak. Malangnya bilangan perpustakaan terhad, dan harga buku adalah tinggi. Sungguhpun demikian, FELDA, RISDA dan KEMAS mempunyai perkhidmatan perpustakaan yang tersendiri. Setengah-setengah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, menjalankan Perpustakaan Bergerak di kawasan pedalaman, tetapi ini tidak mencukupi dan saya mencadangkan supaya masyarakat tempatan berusaha mengadakan bilik-bilik bacaan bagi kanak-kanak.



14. Pada Tahun Antarabangsa Kanak-Kanak 1979, masalah keperluan padang permainan bagi kanak-kanak ditimbulkan semula. Tetapi sehingga ini, hanya pemaju-pemaju perumahan di kawasan-kawasan terbesar sahaja, yang memenuhi syarat ketetapan itu. Saya berharap dalam perbincangan hari ini, tuan-tuan dan puan-puan akan mengkaji kemungkinan menggerakkan semula Persatuan Padang-Padang Permainan, menerusi agensi-agensi awam yang tertentu.



15. Sejak dari tahun 1947, negara ini telah mengadakan peruntukan undang-undang bagi melindungi kanak-kanak dan orang-orang muda. Sungguhpun demikian, kita masih mendengar kejadian pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak, kanak-kanak terdampar, penjualan bayi dan sebagainya. Ini amatlah dikesalkan, kerana masyarakat tidak berusaha untuk mengambil tahu mengenai perbekalan undang-undang ini. Selagi mereka tidak menukar sikap ingin ambil tahu, selama itulah penganiayaan terhadap kanak-kanak akan berterusan.



Di sinilah pentingnya kertas kerja terakhir "Peranan Media Massa Dalam Usaha-Usaha Perkembangan Kanak-Kanak Yang Sempurna". Tidak dapat dinafikan bahawa, media massa mempunyai jentera, kemahiran dan kemampuan untuk memainkan peranan mendidik masyarakat. Media massa boleh memperluaskan penerangan-penerangan penting, dalam perkembangan kanak-kanak dan perkara-perkara yang berkaitan, dengan secara teratur, jelas, dan mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Mereka boleh menggalakkan penulis-penulis cerita kanak-kanak, puisi-puisi dan muzik. Di samping itu mereka boleh melindungi kanak-kanak dari disalahgunakan oleh pengiklan-pengiklan keganasan dan sebaliknya membimbing mereka dalam bidang pengetahuan dan teknologi. Media cetak dan media elektronik perlu memperuntukkan ruang dan masa yang lebih bagi perkara-perkara yang berfaedah kepada kanak-kanak.



16. Berbalik kepada tema Hari Kanak-Kanak Sedunia 1983, iaitu "Keperluan Kanak-Kanak - Cabaran Kepada Masyarakat" saya percaya bahawa masyarakat kita memang sedar akan keperluan kanak-kanak. Kesedaran inilah, yang telah mendorong mereka menubuhkan beberapa pertubuhan sukarela, di merata negara, untuk mengendalikan berbagai jenis perkhidmatan sosial termasuk yayasan-yayasan pemulihan, dan rumah anak-anak yatim di peringkat tempatan. Ini sangatlah dibanggakan, dan saya mengucapkan tahniah kepada pekerja-pekerja sukarela ini, yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh minat dan dedikasi.



17. Sungguhpun demikian saya jangka semua pihak, ibu-ibu, pemimpin, pendidik dan masyarakat amnya, sedar bahawa masih banyak lagi keperluan-keperluan kanak-kanak yang belum dipenuhi. Oleh itu saya harap, pertubuhan-pertubuhan sukarela bagi kebajikan kanak-kanak, akan bersama-sama mengkaji semula rancangan-rancangan yang mereka laksanakan, untuk diselaraskan dengan keperluan-keperluan yang baru muncul, bagi menentukan semula projek-projek keutamaan mereka. Dengan adanya perancangan yang realistik, mengikut keutamaan, keperluan kanak-kanak di negara ini, saya jangka, akan dapat menarik perhatian dan minat sektor swasta untuk memberi bantuan. Sektor swasta pula perlulah menganggap ini sebagai sumbangan mereka, ke arah membentuk satu generasi kanak-kanak Malaysia yang sempurna.



18. Saya juga ingin menasihatkan pertubuhan-pertubuhan sukarela supaya berhati-hati, kerana dalam mempelbagaikan perkhidmatan-perkhidmatan kebajikan kanak-kanak, ada kemungkinan perkhidmatan-perkhidmatan ini bertindihan, terutamanya, bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang mudah dikendalikan dan popular. Untuk mengelakkannya saya mencadangkan sebuah badan pusat mengambil tanggungjawab mengkaji setiap perkhidmatan kebajikan kanak-kanak, dan mengenal pasti bidang-bidang yang memerlukan penekanan, serta bidang-bidang baru yang perlu diwujudkan. Seterusnya badan tersebut perlulah menyediakan satu rancangan induk.



Di antara lain-lain fungsinya, badan ini boleh bertugas sebagai pusat sumber maklumat, atau data bank, pusat penerangan bagi menyebarkan maklumat penting berkaitan dengan kemudahan-kemudahan baru dan isu-isu semasa terhadap kanak-kanak. Saya kira, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia mampu menjalankan tugas-tugas ini. Oleh yang demikian saya menyarankan supaya Majlis tersebut meneliti segala cadangan saya dengan serius, dan seterusnya membuat persediaan untuk menerima tanggungjawab-tanggungjawab baru ini, secocok dengan tema Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini, iaitu, "Keperluan Kanak-Kanak - Cabaran Kepada Masyarakat".



Para hadirin yang dihormati,


19. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, yang sekali lagi telah berusaha untuk mengadakan seminar, berkaitan dengan isu kanak-kanak. Sebagai ibubapa dan ahli masyarakat yang diamanahkan untuk melindungi, dan mendidik anak-anak kita, saya percaya kita semua merasa bangga dan bertanggungjawab menyertai seminar hari ini. Saya berdoa semoga segala perbincangan ini akan menghasilkan resolusi-resolusi yang konkrit dan sesuai untuk menjadi asas perancangan akan datang. Dengan nama Allah Yang Maha Pengaseh dan Penyayang saya merasmikan Seminar "Keperluan Kanak-Kanak - Cabaran Kepada Masyarakat".


Kami menerima 2,607,326 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri