English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI MOHD SIDEK BIN HAJI HASSAN
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PENGERUSI-PENGERUSI LEMBAGA TATATERTIB PERKHIDMATAN AWAM KALI KE-IV
Lokasi : HOTEL ROYAL BINTANG, SEREMBAN
Tarikh : 15-10-2009
 

Bismillahir rahmanir rahim



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh



Salam 1 Malaysia, Salam Sejahtera dan selamat pagi.



Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia



Y. Bhg. Tan Sri Jamaluddin Bin Hj. Ahmad Damanhuri

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia



Y.B. Dato’ Mat Ali Bin Hassan

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin,

Tuan-tuan dan Puan-puan,



Sidang hadirin yang dihormati sekalian.



Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul dalam Majlis Perasmian Persidangan Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam Kali Ke-IV pada hari ini. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian menjemput saya bagi merasmikan Persidangan pada kali ini, yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem pengurusan tatatertib perkhidmatan awam. Adalah diharapkan Persidangan ini akan memberikan impak yang bermakna dalam usaha kita untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan demi kebaikan dan kemajuan perkhidmatan awam negara, khasnya dan seluruh rakyat Malaysia, amnya.



3. Tema persidangan pada kali ini iaitu “Budaya Integriti; Peneraju Transformasi” adalah selari dengan eskpektasi Kerajaan untuk meningkatkan budaya kerja berprestasi tinggi di samping memperkukuhkan integriti di kalangan penjawat awam negara kita. Sesungguhnya pembudayaan kerja yang mengutamakan disiplin dan integriti bukanlah sesuatu yang baru, malah ia merupakan usaha berterusan Kerajaan semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi.



4. Slogan dan konsep seperti “Bersih, Cekap, Amanah”, “Kepimpinan Melalui Tauladan”, “Islam Hadhari” dan yang terkini “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah antara gagasan yang diutarakan oleh Kerajaan, dalam usaha memupuk budaya kerja positif dan amalan murni yang harus dipraktikkan bukan sahaja di kalangan penjawat awam malah turut meliputi sektor swasta.



5. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa pembentukan sebuah jentera Kerajaan yang berprestasi tinggi telah secara langsung berjaya mencorakkan pembangunan Malaysia sehingga membawa kepada transformasi daripada sebuah negara yang hanya berorientasikan pertanian dan komoditi pada awal kemerdekaan, kepada sebuah negara yang berada di kalangan 20 negara perdagangan utama di dunia pada masa ini. Tanpa sektor awam yang efektif, tidak mungkin negara kita akan mencapai apa yang telah dikecapi pada hari ini.



6. Namun dalam usaha memantapkan perkhidmatan awam sebagai jentera penggerak ke arah pembangunan negara, tidak dapat tidak kita perlu meneliti semula sama ada tahap integriti dan disiplin anggota perkhidmatan awam berada pada tahap yang memuaskan atau sebaliknya. Dalam hal ini, saya ingin merujuk kepada perbandingan statistik Laporan Tahunan Tatatertib Bagi Tahun 2008 dan 2007.



7. Berdasarkan statistik, didapati pertambahan yang ketara dalam kes-kes tatatertib melibatkan penjawat awam pada tahun 2008 jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, sejumlah 2,159 kes tatatertib direkodkan, manakala pada tahun 2008, terdapat 3,383 kes tatatertib iaitu peningkatan sebanyak 36.2%. Dari jumlah tersebut, Perkhidmatan Awam Persekutuan mencatatkan pertambahan kes sebanyak 27.4%, Perkhidmatan Awam Negeri mencatatkan pertambahan kes sebanyak 57.6% manakala Pihak Berkuasa Tempatan mencatatkan pertambahan sebanyak 30%.



8. Keadaan ini boleh ditafsirkan melalui 2 senario, iaitu, pertama, telah wujud kesedaran yang meluas di kalangan Ketua Jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang melanggar peraturan; dan kedua, ia juga boleh ditafsirkan sebagai suatu petanda bahawa tahap integriti dan disiplin anggota perkhidmatan awam semakin menurun. Saya percaya dan berharap tafsiran yang pertamalah yang betul.



9. Walau apa pun, usaha intensif dan berterusan perlu dipergiatkan dalam memastikan anggota perkhidmatan awam terus meletakkan disiplin dan integriti sebagai tonggak utama dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Masa telah berubah, begitu juga dengan bentuk dan dinamik cabaran yang mendatang. Kita tidak boleh berdiam diri mahupun berpuas hati dengan prestasi semasa, tanpa mengorak langkah ke arah memperkasakan diri kita bagi menghadapi gelombang cabaran pada masa hadapan.



KEWAJIPAN MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PIHAK BERKUASA TATATERTIB

Saudara-saudari sekalian, 



10. Peranan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam adalah penting dalam usaha membentuk sebuah perkhidmatan awam yang berdisiplin dan berintegriti. Sebagaimana saudara-saudari sedia maklum, pembayaran emolumen anggota perkhidmatan awam melibatkan peruntukan yang besar setiap tahun. Persoalannya, adakah perbelanjaan tersebut setimpal dengan mutu kerja yang dihasilkan oleh penjawat awam?



11. Dalam hal ini, saya berpendapat selain memberikan imbuhan kepada penjawat awam atas daya usaha yang ditunjukkan, kita juga tidak harus lupa kepada prinsip carrot and stick dalam mengurus sumber manusia sektor awam. Pemberian imbuhan kepada pegawai berprestasi tinggi hendaklah juga diiringi dengan tindakan yang bersesuaian terhadap anggota yang melanggar peraturan, supaya hasrat untuk mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang profesional, efektif dan inovatif dapat direalisasikan.





12. Tindakan tatatertib bukan semata-mata bertujuan untuk memberikan balasan atau hukuman setimpal kepada pegawai atas sesuatu perbuatan salah laku. Apa yang lebih penting ialah, supaya ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada penjawat awam lain, agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Justeru, prinsip deterrent seharusnya dijadikan sebagai asas pertimbangan utama dalam memutuskan sesuatu kes yang dibawa ke pertimbangan Lembaga Tatatertib.



13. Dalam hubungan ini, masih lagi terdapat kes-kes yang dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang didapati dikenakan hukuman yang ringan atau dibebaskan sama sekali walaupun kesalahan yang dilakukan adalah berat. Hukuman buang kerja dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu bentuk penganiayaan dan sesuatu yang zalim sedangkan salah laku pegawai amat serius serta memberikan kesan besar kepada keutuhan dan kewibawaan organisasi secara keseluruhan. Malah ada juga kes yang melibatkan kecuaian sehingga mengakibatkan kerugian yang besar dari segi wang ringgit kepada Kerajaan, tetapi tidak ada sebarang tindakan punitif dikenakan kepada pegawai yang terbabit. Saya berharap dalam mempertimbangkan kepentingan pegawai, Lembaga juga perlu memberi pertimbangan kepada imej perkhidmatan, nama baik lain-lain pegawai dan lebih penting, kepentingan negara kita.



14. Ini tidak bermaksud Pihak Berkuasa Tatatertib perlu mengenakan hukuman berat ke atas semua kes yang dibawa ke pertimbangannya, tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah mengenai tanggungjawab untuk mengenakan hukuman yang setimpal ke atas salahlaku pegawai-pegawai awam. Dalam hubungan ini, saya berpandangan adalah sesuatu yang wajar jika hukuman-hukuman tatatertib yang dikenakan itu mengambilkira 2 perkara:



• Pertamanya, hukuman yang seimbang dikenakan, tertakluk kepada fakta dan merit kes yang dipertimbangkan, iaitu tidak terlalu ringan sehingga pegawai tidak merasa takut atau gerun dengan hukuman tersebut, dan juga tidak terlalu berat sehingga pegawai merasa kecewa dan hilang semangat untuk bekerja; dan



• Keduanya, hukuman tatatertib perlu dijatuhkan walaupun dalam keadaan yang agak sukar. Janganlah pula oleh kerana seseorang Ketua Jabatan ingin sentiasa menjadi popular di kalangan pegawai bawahannya, tindakan tatatertib langsung tidak diambil. 



[ PENGUATKUASAAN – KESALAHAN DI BAWAH PERATURAN JALAN RAYA ]



15. Saya sedar dan memahami bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk tuan-tuan dan puan-puan serta ahli-ahli Lembaga Tatatertib menjatuhkan hukuman bagi sesuatu pelanggaran tatatertib. Sebagai manusia biasa, kita mempunyai perasaan belas kasihan mahupun simpati terhadap pegawai yang diadili. Namun demikian, pertimbangan yang harus menjadi keutamaan ialah kepentingan organisasi perlu sentiasa didahulukan berbanding kepentingan individu yang terlibat. Sebagai contoh, jika perbuatan salah laku seperti tidak hadir bertugas dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan, pastinya ia akan menjejaskan morale kakitangan lain di agensi yang sama, yang komited dalam melaksanakan tugas. Oleh itu, dalam hal ini, pegawai yang melakukan kesalahan perlu dikenakan tindakan tegas dan setimpal atas kesalahannya supaya ia menjadi pengajaran kepada pegawai lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. 



PENGUATKUASAAN PERATURAN DAN PENGUASAAN KEMAHIRAN DALAM PENGURUSAN TATATERTIB

Tuan-tuan dan Puan-puan,



16. Selain aspek deterrent dalam menimbangkan sesuatu kes tatatertib, saya turut berpendapat bahawa setiap anggota Lembaga Tatatertib perlulah mempunyai kefahaman yang mendalam berhubung peruntukan Undang-Undang serta Peraturan-Peraturan tatatertib yang berkuatkuasa. Pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang berkaitan, perlu dihayati oleh setiap anggota lembaga agar pengurusan tatatertib dapat dijalankan dengan tepat, efektif dan memenuhi kehendak serta semangat perundangan yang berteraskan prinsip keadilan. Tanpa pengetahuan yang mendalam mengenai peraturan yang berkaitan, adalah mustahil untuk Lembaga Tatatertib menjalankan tangggungjawabnya dalam mengurus, mengawal serta menguatkuasakan peraturan tatatertib ke atas pegawai yang diadili.



17. Kefahaman mengenai prinsip keadilan adalah penting memandangkan setiap keputusan Lembaga Tatatertib tertakluk kepada semakan, sama ada di peringkat Lembaga Rayuan Tatatertib mahupun di Mahkamah sekiranya pegawai tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Rayuan.



18. Dalam pada itu, anggota Lembaga Tatatertib bertanggungjawab untuk memahami semua tatakelakuan dan larangan yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, bagi memastikan tindakan kawalan tatatertib dapat dijalankan dengan tepat dan berkesan. Dalam perkara ini, kefahaman yang cetek berhubung Peraturan yang berkaitan seringkali menyebabkan kepincangan di dalam sesuatu tindakan tatatertib sehingga boleh mengakibatkan tindakan yang dikenakan diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah, dan ia akhirnya membawa kerugian kepada pihak Kerajaan. Sewajarnya, semua bentuk tindakan haruslah diteliti dari pelbagai aspek bagi memastikan ia dapat dipertahankan sekiranya dicabar.



MEMBUDAYAKAN INTEGRITI

Tuan-tuan dan Puan-puan,



19. Pembudayaan integriti dan disiplin memerlukan keazaman semua pihak dan tidak hanya tertumpu kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Ia menuntut kepada pemupukan nilai-nilai positif yang perlu disemai dari awal dan perlu dilaksanakan secara berterusan. Ini kerana isu integriti bukanlah suatu perkara yang ringan dan pembudayaannya memerlukan kesinambungan dan istiqamah oleh Ketua-Ketua Jabatan. Saya berpendapat, untuk menyampaikan sesuatu mesej yang berkesan kepada anggota bawahan, ia perlu dilakukan secara berulang-ulang agar mesej yang hendak disampaikan berjaya dihayati oleh segenap peringkat.



20. Dalam hubungan ini, pembudayaan integriti juga boleh dilihat dari sudut yang berbeza, di mana Ketua Jabatan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang bersalah, hanya setelah pegawai tersebut melalui proses awal seperti kaunseling, nasihat mahupun teguran secara pentadbiran. Dalam erti kata lain, tindakan tatatertib diambil sebagai langkah terakhir atau last resort untuk tujuan mendisiplinkan pegawai awam, namun ini tertakluk kepada keseriusan salah laku oleh pegawai terbabit.



21. Selain itu, dalam memastikan tindakan yang dilakukan adalah tepat dan mengikut lunas yang telah ditetapkan, nasihat perundangan sewajarnya diperoleh terlebih dahulu. Ini bagi memastikan pegawai yang dikenakan tindakan mendapat keadilan yang sewajarnya.



MENERAJUI TRANSFORMASI

Hadirin yang dihormati sekalian,



22. Saya difahamkan Persidangan pada kali ini turut melibatkan penyertaan daripada Syarikat-Syarikat berkaitan Kerajaan atau GLCs, yang akan bersama-sama berkongsi pengalaman dalam pengurusan disiplin syarikat-syarikat tersebut. Sejajar dengan saranan Y.A.B. Perdana Menteri supaya satu transformasi dilaksanakan dalam perkhidmatan awam, saya berpendapat kita tidak harus terkongkong dengan peraturan dan prinsip sedia ada sahaja, tetapi kita harus bersedia untuk membuka minda dengan mengambil best practices daripada pelbagai sumber dalam usaha untuk memperkemaskan pengurusan tatatertib perkhidmatan awam.



23. Sudah tiba masanya perkongsian pengalaman GLCs berkenaan diadaptasi di dalam pengurusan disiplin pegawai awam bagi memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam. Dalam hal ini saya berpendapat jika prinsip mahupun prosedur-prosedur yang diamalkan di GLCs berkenaan dapat memantapkan pengurusan disiplin sektor awam, kita harus bersedia untuk berubah dengan meminda peraturan-peraturan sedia ada dan seterusnya melengkapkan diri kita dalam segenap aspek ke arah menuju transformasi yang diharapkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri.



PENGUATKUASAAN HUKUMAN TATATERTIB



24. Saya percaya, tindakan tatatertib yang efektif, cepat dan tepat akan mampu memberikan kesan terutamanya dari sudut pengajaran kepada pegawai lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. Pengenaan hukuman yang setimpal dengan kesalahan juga secara langsung atau tidak, mewujudkan perasaan takut untuk melakukan sesuatu kesalahan. Justeru, tanggungjawab yang dipikul oleh tuan-tuan dan puan-puan selaku Pengerusi Lembaga Tatatertib dalam melaksanakan tindakan tatatertib adalah sangat besar dan ia perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan komitmen yang jitu. Saya percaya, seandainya usaha kita untuk membudayakan integriti dan disiplin di kalangan penjawat awam dapat membuahkan hasil yang diharapkan, matlamat kita untuk melakukan transformasi dalam perkhidmatan awam akan terlaksana jua. 



25. Dengan yang demikian, saya ingin mencadangkan beberapa langkah bagi memantapkan peranan anggota Lembaga Tatatertib Jabatan dalam pengurusan tatatertib sesebuah agensi awam:



i) Pertama, memudahkan urusan tindakan tatatertib dan prosedur agar sesuatu tindakan tatatertib dapat diambil dengan cepat dan berkesan; 



ii) Kedua, mengemas kini semua peraturan berkuat kuasa termasuk Akta dan peraturan berkaitan supaya ia menepati kehendak dan perubahan masa. Dalam aspek ini, sebarang peraturan yang tidak relevan perlu dimansuhkan, manakala prosedur yang terlalu birokratik dipinda tanpa mengetepikan aspek perundangan; 



iii) Ketiga, memantapkan aspek pengetahuan pegawai terlibat dalam urusan tindakan tatatertib. Dalam hal ini, semua pegawai yang mengendalikan urusan tatatertib perlu mendalami peraturan-peraturan penting berhubung tatatertib untuk memastikan proses tindakan tatatertib berlaku dengan cepat, tepat dan berkesan; 



iv) Keempat, memastikan Urus setia Lembaga Tatatertib melaksanakan peranan yang berkesan dengan memperoleh skills, knowledge dan attitude yang betul; 



v) Kelima, proses dokumentasi perlu dilakukan terutamanya yang melibatkan ruling, kes-kes yang dicabar di mahkamah serta peraturan berkaitan; dan 



vi) Keenam, latihan yang sistematik perlu digiatkan dan diadakan secara berkala kepada semua pegawai yang terlibat dalam pengurusan tatatertib di jabatan.



26. Semoga langkah-langkah tersebut dapat dipraktikkan di jabatan dan agensi masing-masing demi pengurusan tatatertib yang sistematik dan berkesan. Akhir sekali, saya berharap dan saya berdoa kepada Allah SWT agar Perkhidmatan Awam Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang dan mampu berdaya saing di arena global selaras dengan hasrat untuk kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.



27. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pengerusi-Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam Kali ke IV bagi tahun 2009.



Selamat Bersidang.



Sekian,

Wabillahittaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Kami menerima 4,782,286 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2020 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri