English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI MOHD SIDEK BIN HAJI HASSAN
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KUALITI SEKTOR AWAM (AKSA)
Lokasi : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 28-11-2006
 
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang penuh bermakna pada malam ini, iaitu majlis untuk memberi pengiktirafan kepada agensi-agensi sektor awam dan juga organisasi swasta yang telah berjaya dipilih sebagai penerima Anugerah Kualiti Sektor Awam bagi tahun 2006. Penganjuran Anugerah Kualiti Sektor Awam merupakan sebahagian dari usaha berterusan Kerajaan untuk menerapkan budaya kualiti dalam Perkhidmatan Awam dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam.



2. Sistem penyampaian merupakan teras utama perkhidmatan awam kepada rakyat, sektor perniagaan dan pihak-pihak yang berkepentingan. Sistem penyampaian yang cemerlang akan terhasil berasaskan prinsip-prinsip integriti, kepercayaan dan gandingan mantap di kalangan semua pihak yang berkepentingan. Ia juga diperkukuhkan lagi melalui amalan berdialog dan berbincang antara sektor, khasnya sektor awam dan sektor swasta. Melalui cara ini, segala dasar yang digubal atau perkhidmatan yang diberikan akan mudah difahami serta diterima oleh rakyat dan lain-lain pelanggan. Apabila nilai-nilai tersebut diamalkan dan menjadi satu budaya, maka ikatan di kalangan semua sektor akan menjadi kukuh, harmoni dan selari. Dengan demikian, hasrat kerajaan untuk menggerakkan jentera kerajaan dan swasta bagi sama-sama membangun negara akan lebih mudah tercapai.



Para hadirin sekalian,



3. Prestasi kerja yang cemerlang di kalangan anggota perkhidmatan awam memainkan peranan penting bagi menjayakan Misi Nasional dan Wawasan 2020. Pelaksanaan MS ISO 9001, Petunjuk Prestasi Utama (KPI), dan Lawatan Pemantauan atau Inspektorat merupakan amalan terbaik (best practices) dalam melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan yang telus, efisien, responsif dan berintegriti.



4. Usaha yang dijalankan menerusi program Anugerah Kualiti Sektor Awam, yang mencapai kemuncak pada malam ini, merupakan satu inisiatif untuk mengadakan benchmark ke arah peningkatan prestasi kerja cemerlang di kalangan agensi sektor awam. Saya yakin agensi-agensi yang telah mengemukakan pencalonan, yang telah di senarai pendek dan yang bakal menerima anugerah, telah sedaya upaya mematuhi dan memenuhi kriteria kecemerlangan yang telah ditetapkan. Proses penganugerahan ini juga boleh dijadikan sebagai alat mengukur dan memperkukuh jentera pentadbiran berdasarkan kepada standard dan amalan terbaik.



5. Anugerah Kualiti Sektor Awam merupakan anugerah tertinggi pencapaian kualiti untuk agensi yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang-bidang yang dipertandingkan. Sebanyak enam (6) kategori anugerah telah dipertandingkan, iaitu Anugerah Kualiti Perdana Menteri, Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam, Anugerah Perdana Teknologi Maklumat, Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Anugerah Perdana Pihak Berkuasa Tempatan serta Anugerah Perdana Pentadbiran Daerah dan Tanah. Penyertaan bagi Anugerah Kualiti Perdana Menteri dan Anugerah Perdana Teknologi Maklumat adalah juga terbuka kepada sektor swasta dan sektor sosioekonomi. Untuk makluman semua, semenjak Anugerah-anugerah ini diperkenalkan, sebanyak 100 penerima telah memenangi anugerah-anugerah ini. Saya percaya pencapaian agensi-agensi yang telah berjaya selama ini, telah turut menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan awam negara kita.



6. Pada tahun ini, sebanyak 107 pencalonan telah diterima dari pelbagai pihak untuk berbagai kategori yang dipertandingkan. Dari jumlah tersebut, hanya 18 telah terpilih untuk menerima anugerah pada malam ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada agensi-agensi yang bakal menerima anugerah masing-masing sebentar nanti. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyertai Anugerah Kualiti Sektor Awam tahun 2006. Kepada yang telah berusaha, tetapi masih belum berjaya mencapai kemenangan, jadikanlah persaingan ini sebagai proses peningkatan mutu untuk terus membina kekuatan yang ada, di samping memperbaiki kelemahan yang masih wujud. Kepada Panel-panel Penilai pula, saya mengucapkan terima kasih di atas usaha dan sumbangan yang telah diberikan.



Para hadirin sekalian,



7. Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya berharap agar proses penganugerahan ini akan menjadi dorongan kepada agensi-agensi Kerajaan untuk terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keupayaan penyampaian perkhidmatan ke tahap yang paling cekap dan berkesan. Kita juga mengucapkan terima kasih dan amat berbangga dengan komitmen dan kesungguhan Y.A.B Perdana Menteri dalam menyokong usaha-usaha pengiktirafan dan gerakan kualiti Perkhidmatan Awam. Kehadiran Y.A.B Datuk Seri bersama-sama kita pada malam ini cukup bermakna untuk memberi dorongan dan semangat kepada kami semua untuk terus berusaha bagi meningkatkan mutu Perkhidmatan Awam Malaysia supaya lebih cemerlang dan gemilang, serta menjadi antara yang terbaik di dunia.



Sekian,

Wabillahitaufik walhidayah

Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh



Kami menerima 4,509,517 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri