English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN OSMAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PROJEK PERLUASAN SISTEM PERMOHONAN DAN PEMANTAUAN TANAH (LAMS) KE PENTADBIRAN TANAH SEMUA NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA
Lokasi : DEWAN THEATRETTE PEJ SETIAUSAHA KERAJAAN NEG SEMBILAN WISMA NEGERI, NEGERI SEMBILAN
Tarikh : 03-03-2005
 
TEKS UCAPAN

KETUA SETIAUSAHA NEGARA

DI MAJLIS PERASMIAN PROJEK PERLUASAN SISTEM PERMOHONAN DAN PEMANTAUAN TANAH (LAMS)

KE PENTADBIRAN TANAH SEMUA NEGERI

DI SEMENANJUNG MALAYSIA

DI DEWAN THEATRETTE

PEJ SETIAUSAHA KERAJAAN NEG SEMBILAN

WISMA NEGERI, NEGERI SEMBILAN

3 Mac 2005



Bismillahir rahmanir rahim



Yang Berbahagia Dato Izzudin Bin Dali ,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan,



Yang Berhormat Dato Hj Hamzah Bin Hj Ghazali,

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan,



Yang Berbahagia Datin Paduka Nazariah binti Mohd Khalid,

Ketua Pengarah MAMPU,



Yang Berbahagia Dato Hj. Radzi bin Yusof,

Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian,



Yang Berbahagia Dato-Dato, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.



Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.



1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat kita berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna pada petang ini. Terlebih dahulu, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan projek Perluasan Sistem Permohonan dan Pemantauan Tanah atau Land Application and Monitoring System, ringkasnya LAMS pada petang ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada para hadirin sekelian kerana telah meluangkan masa bagi memberi sokongan kepada satu lagi usaha untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada orang ramai.



Saudara-saudari sekelian,



Usaha Memantapkan Urusan Pentadbiran Tanah



2. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, kecekapan dan keberkesanan urusan berkaitan tanah begitu dituntut oleh semua pihak. Pentadbiran tanah seperti proses permohonan tanah, pendaftaran hak milik, tukar syarat, dan lain-lain lagi, merupakan aktiviti yang berkait rapat dengan rakyat dan masyarakat perniagaan. Oleh itu, ketidakcekapan di pihak pejabat Kerajaan yang menguruskannya boleh memberi kesan langsung kepada pembangunan dan kadar pertumbuhan negara.



3. Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya jentera pentadbiran di peringkat daerah dikaji semula supaya lebih berupaya memberi perkhidmatan yang cepat, cekap dan berintegriti, Kerajaan telah menjalankan satu kajian yang komprehensif, iaitu kajian Pentadbiran Daerah dan Tanah Dengan Tumpuan kepada Urusan Tanah yang telah dilaksanakan bersama oleh dahulunya, Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dan pihak MAMPU. Hasil daripada penemuan kajian tersebut, Strategi Baru Urusan Pentadbiran Tanah telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 2 Mac 2004.



4. Pakej strategi tersebut melibatkan pelaksanaan 47 perakuan yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan urusan tanah. Ini meliputi perekayasaan (reengineering) sistem dan proses kerja bagi 7 bidang utama tanah, serta penambahbaikan kepada aspek-aspek sokongan bagi memantapkan proses-proses utama urusan pentadbiran tanah. Di antara langkah-langkah yang dipersetujui bagi mempercepatkan tindakan ialah penurunan kuasa, percantuman aktiviti atau tugasan, pengguguran atau pemansuhan, melakukan tindakan atau tugasan serentak, pewujudan aktiviti atau proses baru, pembinaan proses generik bagi menggantikan proses yang pelbagai dan memendekkan masa memproses.



5. Daripada pemerhatian saya, beberapa perakuan ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Penubuhan Pasukan Tindakan Khas atau Flying Squad yang bertujuan mengurus tunggakan dalam empat bidang urusan tanah iaitu, pendaftaran urus niaga dan bukan urus niaga, pemberi milikan tanah, pendaftaran dan pengeluaran hak milik strata, serta penukaran hak milik sementara kepada hak milik kekal merupakan antara tindakan serta-merta yang telah dilaksanakan. Penubuhan pasukan ini juga telah menyemarakkan semangat pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan tunggakan kerja sedia ada. Gabungan usaha Pasukan Tindakan Khas dengan kakitangan pihak berkuasa negeri sedia ada, telah berjaya menyelesaikan sebahagian besar kes-kes tertunggak.



6. Ini dapat kita lihat di mana sehingga 18 Februari tahun ini, sebanyak 99.58% jumlah tunggakan bagi pendaftaran urus niaga dan bukan urus niaga telah berjaya diselesaikan. Bagi pemberi milikan tanah, jumlah tunggakan sedia ada telah berkurang sebanyak 19.05%. Dari segi pendaftaran dan pengeluaran hak milik strata pula, sebanyak 63.62% petak telah diselesaikan, manakala urusan penukaran hak milik sementara kepada hak milik tetap, telah berjaya menyelesaikan tunggakan sebanyak 16.77%. Kejayaan ini amat menggalakkan dan setakat ini saya merasa puas hati dengan apa yang telah dicapai. Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat, dan semoga pencapaian ini akan terus meningkat sehingga tiada lagi tunggakan.



7. Selain menghadapi tunggakan yang banyak, sistem pentadbiran tanah sedia ada juga mengalami masalah pemantauan bagi status permohonan tanah yang diterima. Menyedari bahawa pemantauan yang sistematik dapat memberi gambaran yang tepat, maka aplikasi Land Application and Monitoring System atau LAMS telah diperkenalkan sebagai langkah jangka pendek, bagi membantu kerja-kerja pemantauan supaya lebih mudah dan berkesan, sebelum projek E-Tanah yang merupakan projek utama yang dicadangkan oleh Kerajaan dibangunkan bagi meningkatkan prestasi pentadbiran tanah secara keseluruhan.

Hadirin yang dihormati sekalian,



8. Kejayaan Kerajaan Negeri Perak dalam memantau semua jenis permohonan tanah di semua peringkat yang berjumlah hampir 31,000 permohonan, melalui Sistem Permohonan Tanah Berkomputer Perak, merupakan contoh terbaik untuk dimanfaatkan. Aplikasi LAMS yang akan dilancarkan pada petang ini merupakan satu kejayaan pendekatan perkongsian pintar. Sistem Permohonan Tanah Berkomputer Perak yang merupakan asas kepada pembangunan LAMS telah diperkemas dan dipertingkatkan bagi mengambil kira keperluan seluruh Pentadbiran Tanah Negeri di Semenanjung Malaysia dalam urusan permohonan tanah. Saya merasa amat gembira kerana hasrat Kerajaan untuk menerapkan budaya berkongsi melalui pendekatan perkongsian pintar seperti ini, telah disambut baik oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri. Saya percaya keputusan untuk melaksanakan LAMS ke semua negeri di Semenanjung Malaysia adalah bertepatan dengan waktunya dalam usaha kita meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran tanah.



9. Majlis pada petang ini menandakan satu lagi kejayaan usaha ke arah meningkatkan perkhidmatan yang diberi di peringkat pentadbiran tanah. Projek ini yang dilaksanakan secara fast track telah dimulakan pada 16 Disember 2004 dan kini saya difahamkan bahawa semua pentadbiran tanah negeri telah boleh menggunakan aplikasi ini untuk mendaftar dan memantau permohonan-permohonan tanah yang baru. Bagi melicinkan lagi pelaksanaannya, saya juga dimaklumkan bahawa semua anggota yang terlibat telah dibekalkan dengan peralatan komputer. Pemindahan maklumat bagi permohonan yang masih aktif dari fail manual ke dalam aplikasi LAMS juga dijadualkan akan siap menjelang pertengahan tahun ini.



10. Pencapaian ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa komitmen daripada semua pihak. Penglibatan penuh pihak pengurusan atasan terhadap pelaksanaan LAMS ini, merupakan resipi kejayaan projek ini. Ketua-ketua pentadbiran tanah negeri telah berjaya menggerakkan anggota mereka untuk mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi memastikan pelaksanaan LAMS berjalan dengan lancar. Penamaan dan penglibatan Champions dari setiap agensi telah dapat mempermudah usaha-usaha penambahbaikan aplikasi LAMS. Walaupun skop aplikasi LAMS ini merupakan sebahagian kecil aktiviti dibandingkan dengan keseluruhan urusan pentadbiran tanah, saya yakin pelaksanaannya boleh memberi banyak faedah kepada orang ramai dan pejabat-pejabat tanah dalam menangani kelewatan yang dialami selama ini.





Projek E-Tanah



Hadirin yang dihormati sekalian,



11. Pelaksanaan LAMS pastinya akan dapat memberi pengalaman yang berguna dalam usaha membangun dan melaksanakan projek E-Tanah yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian. Saya menganggap pelaksanaan LAMS sebagai latihan awal dalam menyediakan anggota pentadbiran tanah untuk melaksanakan projek E-Tanah kelak.



12. Projek E-Tanah akan dilaksanakan secara bersepadu dengan pendekatan yang menyeluruh untuk memodenkan semua urusan pentadbiran tanah. Buat masa ini, beberapa pentadbiran tanah negeri telah pun mewujudkan aplikasi masing-masing bagi mengendalikan urusan pentadbiran tanah. Oleh itu, pembangunan projek E-Tanah akan mengambil kira semua aplikasi tersebut bagi memastikan sistem yang dibangunkan memenuhi semua keperluan tersebut. Saya difahamkan bahawa Pasukan Projek sedang mengambil tindakan bagi memastikan projek E-Tanah dapat dilaksanakan seawal mungkin di lokasi perintis di Pulau Pinang agar kemudiannya dapat dikembangkan ke semua negeri.



Harapan



13. Saya sedar bahawa pelaksanaan LAMS secara fast track bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak cabaran yang perlu diharungi, dengan tempoh jangka masa pelaksanaan yang begitu singkat di samping melibatkan pelaksanaan ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, projek ini telah berjaya disiapkan dan saya merasa amat bangga di atas kejayaan yang telah dicapai. Semua itu adalah hasil usaha gigih mereka yang terlibat kerana begitu prihatin dalam merealisasikan hasrat Kerajaan bagi mencekapkan lagi penyampaian perkhidmatan. Semoga usaha gigih seumpama ini akan dapat diteruskan dan menjadi teladan kepada yang lain.



14. Kita semua sedia maklum bahawa sebarang perubahan yang diperkenalkan mungkin akan menimbulkan sedikit ketidakselesaan di pihak pelaksana atau pengguna aplikasi. Ini merupakan suatu perkara yang biasa dan perlu diuruskan dengan bijak supaya masalah yang timbul tidak menjadi halangan kepada kejayaan yang telah dicapai setakat ini. Perubahan yang diperkenalkan perlu diterima dengan minda yang terbuka. Dengan cara demikian, saya pasti semua anggota Perkhidmatan Awam yang terlibat dengan perubahan cara bekerja ini, akan dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit, dan seterusnya menjadi kebiasaan kepada diri mereka. Kerjasama erat dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pihak juga diharap akan sentiasa berterusan agar pelaksanaan projek LAMS dan projek E-Tanah, apabila siap nanti, akan dapat mencapai objektifnya.



Hadirin yang dihormati sekelian,



Penutup



15. Sebelum saya akhiri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Pentadbiran Tanah Negeri Perak Darul Ridzuan kerana telah menyokong program perkongsian pintar dengan membenarkan Sistem Permohonan Tanah Perak dijadikan asas untuk pembangunan LAMS yang akan dilancarkan sebentar lagi. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha gigih pihak MAMPU dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dalam menjayakan projek ini, walaupun dalam masa yang begitu singkat. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus yang telah sudi menjadi tuan rumah bagi majlis perasmian pada petang ini. Akhir sekali, ucapan terima kasih saya kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.



16. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan ini merasmikan Projek Perluasan Sistem Permohonan dan Pemantauan Tanah atau LAMS ke Pentadbiran Tanah semua negeri di Semenanjung Malaysia.





Sekian,

Wabillahitaufiq walhidayah wasalamualaikum

Warahmatullahi wabarakatuh.

Kami menerima 4,624,568 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri