English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN OSMAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT KENAIKAN PANGKAT JAWATAN UTAMA SEKTOR AWAM (JUSA) DAN JAWATAN KHAS SEKTOR AWAM
Lokasi : HOTEL MARRIOT, PUTRAJAYA
Tarikh : 19-01-2005
 
TALKING POINTS Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN OSMAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA DI MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT KENAIKAN PANGKAT JAWATAN UTAMA SEKTOR AWAM (JUSA) DAN JAWATAN KHAS SEKTOR AWAM PADA 19 JANUARI 2005, HOTEL MARRIOT, PUTRAJAYA Bismillahir rahmanir rahim Y. Bhg. Tan Sri Jamaluddin bin Ahmad Damanhuri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Y. Bhg. Dato Izzuddin Bin Dali Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Y. Bhg. Tan Sri, Dato-Dato Ahli Lembaga Kenaikan Pangkat, Y. Bhg. Dato-Dato, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan tetamu yang diraikan, serta para hadirin yang dihormati sekelian, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

1. Syukur Alhamdullillah, di atas segala nikmat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izinNya jua dapat kita berkumpul bersama-sama dalam majlis pada malam ini bagi meraikan tuan-tuan dan puan-puan yang telah dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi. Terlebih dahulu saya memohon maaf di atas kelewatan mengadakan majlis ini kerana saya difahamkan ada di kalangan saudara-saudari yang telah pun bersara sebelum dapat diraikan dalam majlis seumpama ini. Walau bagaimanapun masih belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Y. Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin tuan-tuan dan puan-puan kerana telah dinaikkan pangkat.

Hadirin yang dihormati sekelian, Tugas dan tanggungjawab yang lebih besar

2. Saudara-saudari adalah sebahagian daripada sejumlah kecil penjawat awam yang berpeluang untuk mengisi jawatan-jawatan penting di dalam perkhidmatan Kerajaan. Oleh itu adalah amat wajar saudara-saudari semua, mula menyemak dan menyedari bahawa kenaikan pangkat ini datangnya bersama tanggungjawab dan amanah yang lebih besar. Sehubungan dengan itu, cabaran-cabaran juga bertambah dan berbeza daripada sebelumnya. Persoalannya di sini ialah adakah kita mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang.

3. Amanah dan tanggungjawab yang paling utama ialah kepimpinan yang perlu kita laksanakan untuk membawa organisasi ke arah pencapaian matlamat dan objektif organisasi selaras dengan harapan dan tuntutan pucuk pimpinan Kerajaan dan stakeholders. Saudara-saudari perlu bersedia untuk melakukan perubahan dan inovasi terutama dalam halatuju dan juga sistem bekerja. Kita semua berada dalam kedudukan di mana kita berupaya mencorakkan persekitaran organisasi dan perkhidmatan kerajaan. Sama-samalah kita menjadi pemimpin yang berupaya memimpin organisasi bagi memenuhi ekspektasi yang tinggi daripada pelanggan.

4. Saudara-saudari juga perlu sedar dan peka dengan persekitaran yang dinamik masa kini dan mengambil peluang darinya, serta proaktif terhadap kemungkinan yang akan timbul. Sekiranya kita tidak berubah mengikut persekitaran serta tidak mengubah mengikut keperluan semasa, kita tidak akan mempunyai daya tahan dan daya saing berbanding dengan lain-lain sektor, yang mana akhirnya dikhuatiri kita akan menjadi tidak relevan.

5. Kita perlu musahabah diri dan cermin diri kita sama ada kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sempurna atau tidak; melihat semula segala kesilapan dan kelemahan diri dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memperbaiki diri kita sebelum kita dapat memperbetul dan memperbaiki orang lain. Sekiranya ada performance atau competency gaps, kita perlu mengambil langkah-langkah positif dengan meninjau balik apa ilmu dan kemahiran yang diperlukan supaya dapat memperlengkapkan diri untuk menjadi pemimpin yang berkesan dan boleh dicontohi oleh kakitangan di organisasi tanpa mengira sama ada mengetuai sebuah unit, bahagian mahupun jabatan.

Para hadirin sekelian, Kepimpinan Yang Berkesan

6. Saudara-saudari adalah merupakan Ketua ataupun pegawai-pegawai kanan di organisasi masing-masing, dan juga pemimpin di pelbagai peringkat organisasi. Kepimpinan yang berkesan di semua peringkat organisasi merupakan faktor penentu kepada kejayaan organisasi dalam menangani cabaran-cabaran hasil daripada perubahan persekitaran.

7. Sehubungan dengan itu, saudara-saudari perlu berusaha untuk membangunkan kepimpinan yang mantap di semua lapisan organisasi untuk menyemarakkan lagi budaya berprestasi tinggi dalam organisasi. Dalam konteks ini, kepimpinan yang berkesan bermaksud menjayakan visi, strategi dan fokus organisasi; membina komitmen yang tinggi di kalangan pekerja; dan menggerakkan organisasi ke arah kejayaan.

8. Antara peranan penting kepimpinan adalah untuk menggerakkan dan memotivasikan pekerja. Kepimpinan yang berwibawa dapat mencetuskan perasaan bangga kakitangan bawahan dalam menjalankan tugas, serta memberi inspirasi dan dorongan yang baik untuk kakitangan terus memburu kecemerlangan, di samping mengekalkan tahap etika dan integriti yang tinggi. Hanya dengan memiliki kepimpinan yang berani mengambil tindakan untuk berubah, kita akan berupaya untuk meningkatkan moral anggota dalam menangani sebarang kegiatan penyelewengan dengan tindakan yang tegas dan pantas.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Komitmen Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan

9. Sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap juga perlu, bagi memenuhi tuntutan rakyat dan masyarakat perniagaan yang terus meningkat. Sehubungan itu, saudara-saudari sebagai ketua atau pegawai-pegawai kanan di organisasi masing-masing perlu komited untuk terus berusaha meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

10. Hasrat murni Kerajaan ini perlu diambil perhatian serius. Ketua-ketua agensi perlu meningkatkan usaha untuk mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing. Ini termasuk sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan, serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.

11. Ketua-ketua agensi juga perlu rajin “turun ke padang” dan memantau usaha-usaha yang sedang dijalankan untuk memastikan keberkesanannya. Dalam hal ini, usaha-usaha penambahbaikan perlu ditumpukan kepada prosedur-prosedur utama, khususnya yang melibatkan pelanggan utama agensi bagi memberi impak yang besar dan kesan yang jelas. Saya yakin usaha-usaha penambahbaikan ini boleh membawa impak yang besar kepada perjuangan kita untuk menjadikan Perkhidmatan Awam yang cekap dan berupaya memainkan peranan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Saya amat berharap saudara-saudari akan meneruskan usaha meneliti peluang-peluang penambahbaikan yang dituntut oleh bukan sahaja pucuk pimpinan negara malah rakyat jelata.

Para hadirin yang dihormati sekelian, Pendekatan Pengurusan Sumber Manusia Di Dalam Perkhidmatan Awam 12. Pengurusan Sumber Manusia dalam perkhidmatan awam perlu berubah. Ini adalah selaras dengan perkembangan semasa dan peningkatan kehendak pelanggan dan “stakeholders”. Ianya juga selaras dengan penubuhan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di peringkat kementerian dan jabatan, sehingga setengah-tengah kementerian diketuai oleh Gred Utama C.

13. Pengurusan Sumber Manusia pada masa kini tidak boleh tertumpu kepada hal-hal pengurusan personel kakitangan seperti urusan pertukaran dan penempatan, serta menguruskan hal-hal pemangkuan dan kenaikan pangkat sahaja, tetapi ianya harus merangkumi aspek “career path” tiap-tiap anggota perkhidmatan awam. Ini kerana kerjaya seseorang anggota perkhidmatan awam bukan sahaja apabila ia berjaya dinaikkan pangkat, tetapi aspek-aspek lain seperti kaunseling, motivasi bekerja, latihan dan sebagainya harus diberi penekanan dalam persekitaran sekarang.

14. Dalam hal ini, saya menyambut baik Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam yang akan diumumkan oleh JPA tidak lama lagi, melalui satu Pekeliling Perkhidmatan yang baru. Dasar ini menekankan keperluan pihak Kementerian dan Jabatan untuk menyediakan pelan latihan yang khusus dan terancang ke arah meningkatkan kompetensi pegawai dan kakitangan masing-masing. Ia juga mewajibkan setiap pegawai dan kakitangan di semua peringkat mengikuti latihan sekurang-kurangnya tujuh hari dalam satu tahun.

15. Ini adalah merupakan satu dasar yang baik untuk dilaksanakan bagi memastikan setiap pegawai perkhidmatan awam dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang bersesuaian melalui program pembangunan kompetensi dan pembelajaran berterusan. Maka sewajarnyalah saudara-saudari sebagai ketua-ketua atau pegawai-pegawai kanan di agensi masing-masing memberi sokongan dalam pelaksanaan dasar ini, dengan menggalakkan pegawai dan kakitangan di bawah pengawasan saudara-saudari untuk menghadiri kursus dan latihan. Adalah diharapkan, melalui penguasaan ilmu pengetahuan yang bersesuaian, serta pembudayaan sikap yang positif dan nilai-nilai murni, akan dapat mempertingkatkan budaya kerja yang berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

Penutup

16. Semoga Y. Bhg. Dato-Dato, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan akan terus berkhidmat dengan cekap, cekal, berhemah dan berintegriti tinggi ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang cemerlang. Kepada yang telah bersara, saya ucapkan Selamat Menjalani Kehidupan Baruyang lebih aman dan rileks. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dinaikkan pangkat. Akhir kata, “Selamat Maju Jaya kepada semua.

Sekian.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kami menerima 4,624,582 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri