English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN KUNCI PROJEK TAMAN TUN TEJA
Lokasi : RAWANG SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh : 02-08-1999
 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya ke majlis penyerahan kunci Taman Tun Teja, Rawang, Selangor Darul Ehsan di bawah skim tabung pusingan perumahan kos rendah (TPPKR) hari ini.



2. Projek perumahan Taman Tun Teja ini merupakan projek perumahan pertama dilancarkan di bawah program skim TPPKR pada 22 September 1995 dan juga merupakan yang pertama dilancarkan di negeri Selangor. Projek perumahan taman tun teja ini melibatkan pembiayaan berjumlah RM 149 juta. Projek ini dilaksanakan oleh pihak TPPT Sdn. Bhd. Di atas tanah berkeluasan 50 ekar dan menyediakan 2,474 unit rumah kediaman mengandungi 1,140 unit rumah kos rendah, 1,140 unit rumah kos sederhana dan 194 unit rumah teres dua tingkat. Di sini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas di atas daya usaha yang diambil oleh pihak TPPT Sdn. Bhd. Di dalam menangani masalah kekurangan rumah kos rendah di negeri Selangor Darul Ehsan.



3. Setakat 31 julai 1999 pihak TPPT Sdn. Bhd. Telah mengenal pasti 30 cadangan pembangunan melibatkan tanah seluas 3,515 ekar tanah di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor Dan Sabah. Cadangan- cadangan pembangunan ini melibatkan jumlah sebanyak 70,426 unit kediaman berbagai jenis yang mana antara lain melibatkan 29,176 unit rumah kos rendah, 11,102 unit rumah kos sederhana rendah, 20,340 unit rumah kos sederhana dan 9,808 unit rumah kos tinggi.



4. Jumlah keseluruhan peruntukan untuk pembinaan rumah-rumah kos rendah pada masa ini adalah berjumlah RM 2.4 billion. Di antara objektif- objektif peruntukan ini adalah untuk mengatasi masalah kekurangan rumah kos rendah untuk golongan rakyat yang berpendapatan rendah dengan menyediakan tempat kediaman yang sesuai bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan seterusnya mengelakkan masalah sosial. Ianya juga diharap akan memberi peluang kepada rakyat malaysia yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman yang selesa.



Tuan-tuan dan puan-puan,



5. Objektif penubuhan skim tabung pusingan perumahan kos rendah ini adalah bertujuan untuk:-



- Menambahkan jumlah rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah.



- Membantu menyelesaikan masalah perumahan kos rendah di bandar-bandar utama.



- Menggalakkan pemilikan rumah dikalangan golongan yang berpendapatan rendah.



- Meningkatkan taraf hidup bagi golongan yang berpendapatan rendah.



6. Selain daripada TPPKR, beberapa tabung bagi tujuan pembinaan rumah-rumah kos rendah telah diwujudkan di bawah pengawasan bank negara malaysia. Kesemua tabung ini bertujuan membantu menyediakan rumah-rumah kos rendah bagi golongan rakyat yang berpendapatan rendah. Tabung-tabung tersebut dikenali sebagai yayasan perumahan untuk termiskin dan tabung menyegerakan pembinaan rumah kos rendah.



7. Skim yang kedua adalah skim Yayasan Perumahan Untuk Termiskin (YPUT) dengan peruntukan berjumlah RM 800 juta, di mana sebahagiannya disumbangkan oleh sektor swasta. Skim ini telah diwujudkan di bawah pengawasan dan pengendalian pihak perbendaharaan, kementerian perumahan dan kerajaan tempatan serta bank negara malaysia. Tujuan utama yput adalah untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri dan agensi kerajaan membiayai pembinaan rumah-rumah kos rendah bagi golongan yang amat memerlukan. Dengan tabung ini, pihak-pihak yang terlibat akan membina rumah-rumah kos rendah dan pangsa untuk disewakan dan dijual kepada golongan rakyat termiskin. Mereka ini terdiri daripada penduduk-penduduk kawasan setinggan yang berpendapatan rendah terutama di kawasan- kawasan bandar yang terdesak seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang Dan Sabah.



8. Pengagihan peruntukan dilaksanakan dengan mengambilkira faktor-faktor seperti masalah setinggan yang dihadapi berdasarkan kepada perjalanan Program Perumahan Kos Rendah (PPKR) kementerian perumahan dan kerajaan tempatan yang sedia ada, serta peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke enam mengikut negeri. Daripada jumlah peruntukan RM 800 juta, sejumlah RM 589.20 juta telah diagihkan berdasarkan negeri termasuk RM 95.96 juta diagihkan kepada agensi- agensi kerajaan seperti kementerian pertahanan dan jabatan kerajaan tempatan kelolaan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan. Di bawah peruntukan untuk kerajaan negeri, sebanyak RM 50 juta telah diperuntukkan untuk negeri Selangor. Jumlah ini akan melibatkan pembinaan 1,152 unit rumah kos rendah di Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan. Setakat 31 julai 1999, 25 projek telah siap dibangunkan dengan baki 3 projek lagi dijangka siap pada tahun 1999 dan 3 lagi projek dijangka siap pada tahun 2000.



Tuan-tuan dan puan-puan,



9. Skim ketiga yang diwujudkan di bawah tabung perumahan kos rendah adalah tabung menyegerakan pembinaan rumah-rumah kos rendah dengan peruntukan sebanyak RM 500 juta di bawah pengawasan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd. (SPPK). Di bawah program ini, pemaju-pemaju perumahan persendirian diminta membantu kerajaan mencapai objektif menambah bilangan unit rumah kos rendah dengan mempercepatkan proses pembinaan melalui pakej bantuan kewangan yang menarik. Sebagai insentif kepada pemaju- pemaju perumahan untuk menjayakan program ini, pemberi bantuan kewangan di buat di dalam bentuk pembiayaan penyambung di mana pemaju hanya dikenakan faedah sebanyak 2% ke atas modal yang diberikan.



10. Setakat 30 jun 1999, sebanyak 58 projek telah diluluskan oleh SPPK dan institusi kewangan untuk negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Negeri Sembilan Dan Sabah. Jumlah bantuan kewangan yang telah diluluskan setakat 30 jun 1999 ialah sebanyak RM 379.0 juta. Bagi skim khas perumahan kos rendah dan sederhana pula, setakat 30 jun 1999 sebanyak 99 projek telah diluluskan oleh Institusi Kewangan dan jumlah bantuan kewangan yang telah diluluskan setakat 30 jun 1999 ialah sebanyak RM 607.0 juta.



Tuan-tuan dan puan-puan,



11. Secara imbas, skim-skim yang telah disebutkan di atas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan untuk golongan rakyat berpendapatan rendah. Tetapi ingin saya tekankan di sini bahawa usaha-usaha ini masih tidak bermakna jika hasrat kerajaan agar kesemua rakyat dari golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki rumah tidak tercapai.



12. Semua pihak yang terlibat seperti kerajaan- kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan termasuk pihak swasta hendaklah memberi keutamaan terhadap pelaksanaan program perumahan kos rendah bagi membolehkan penyediaan rumah-rumah yang sesuai untuk golongan rakyat yang berpendapatan rendah dapat dicapai dengan jayanya.



13. Sekali lagi, saya ingin tekankan bahawa pemaju-pemaju haruslah bersikap bertanggungjawab dengan membina rumah-rumah kos rendah dengan secepat mungkin mengikut keperluan yang diluluskan oleh pihak-pihak yang berkuasa.



14. Pihak-pihak berkuasa pula perlu memastikan bahawa sijil-sijil menduduki kediaman tidak dikeluarkan sehingga syarat pembangunan dalam membina rumah-rumah kos rendah dipatuhi sepenuhnya. Pihak-pihak berkuasa juga adalah digesa untuk memastikan bahawa pemilihan bakal-bakal penghuni hendaklah dibuat dengan teliti agar sasaran penduduk yang layak sahaja dipilih untuk menduduki perumahan kos rendah ini.



15. Saya ingin menegaskan di sini bahawa nikmat pembangunan tidak akan tercapai tanpa kemantapan ekonomi dan kestabilan politik negara di masa kini. Oleh yang demikian, sokongan tuan-tuan dan puan-puan amat diperlukan bagi menjamin kelancaran projek-projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan untuk kebaikan kita bersama.



16. Pihak kerajaan juga akan memastikan bahawa projek- projek yang dilaksanakan tidaklah hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Penyediaan pelbagai kemudahan akan disediakan bagi menjamin keselesaan penghuni-penghuni rumah yang akan menduduki projek- projek perumahan rakyat ini. Ini penting untuk membantu kita meningkatkan taraf kehidupan serta melahirkan masyarakat dinamik, berilmu serta berakhlak mulia.



17. Pencapaian objektif perumahan kos rendah untuk golongan rakyat berpendapatan rendah hendaklah menjadi kebanggaan kita bersama. Saya yakin negara kita akan menjadi perintis kepada konsep perumahan untuk semua golongan rakyat terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah di Selangor ini.



Tuan-tuan dan puan-puan, 18. Saya telah difahamkan bahawa aturcara majlis pada hari ini melibatkan upacara perletakan batu asas surau di Taman Tun Teja. Saya juga telah difahamkan bahawa pihak pemaju, juruperunding dan kontraktor telah dengan ikhlasnya menyumbang kepada pembinaan surau tersebut. Kerajaan akan turut mempertimbangkan untuk memberi sumbangan sewajarnya bagi tujuan pembinaan surau bagi kemudahan dan keselesaan penduduk disini. Saya juga berharap agar pembinaan surau tersebut dapat dimulakan dengan kadar segera supaya membolehkan penduduk disini menggunakannya dengan secepat mungkin.



19. Akhir kata, saya ingin sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor serta TPPT Sdn. Bhd. Kerana menjayakan Program Perumahan Kos Rendah (PPKR) ini.



Terima kasih.

Kami menerima 2,736,914 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri