English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PERPADUAN PERINGKAT KEBANGSAAN 1999
Lokasi : DEWAN MAJLIS DAERAH BENTONG
Tarikh : 16-09-1999
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh



Bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnianya, kita dapat berhimpun di sini pada pagi ini dalam majlis yang penuh bermakna dan bersejarah ini, iaitu majlis sambutan hari perpaduan peringkat kebangsaan 1999.



2. Saya sungguh berbangga kita dapat mengadakan majlis sambutan ini selepas 16 hari kita menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara kita. Pada sambutan itu, kita telah menyaksikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum telah menunjukkan satu semangat perpaduan yang tinggi dengan berarak dengan megah dan gagah yang benar-benar mencerminkan satu bangsa baru Malaysia.



3. Tadi saya ada menyebut hari ini adalah bersejarah bagi kita kerana pada hari ini 16 September, kita meraikan penubuhan Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak setelah rakyat kedua-dua negeri itu memilih untuk bersama-sama kita. ini satu lagi kejayaan bagi negara ini yang telah berjaya mengintergrasikan rakyat kedua negeri yang dipisahkan oleh laut Cina Selatan. Semasa kita memperingati ulang tahun penubuhan Malaysia ini, kita seharusnya insaf dan mengambil iktibar tentang sejarah negara kita. Kita patut mengenang kembali pahit maung dan susah payah orang-orang yang terdahalui daripada kita yang telah berjuang untuk memerdekakan negara kita ini. Kita wajar memperingati golongan generasi selepas merdeka ini kerana kita tidak mahu mereka dilalaikan dengan menganggap bahawa kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang kita sedang nikmati sekarang hanya datang dengan begitu sahaja sedangkan masih banyak negara di dunia ini yang sudah merdeka tetapi masih menghadapi perbalahan kaum yang mengorbankan banyak nyawa. Yang terbaru yang kita sama- sama dapat saksikan ialah di Timor-Timor.



Tuan-tuan dan puan-puan



4. Mewujudkan perpaduan kaum adalah tugas utama kerajaan Barisan Nasional. Pengalaman peristiwa 13 Mei 1969 cukup pahit bagi rakyat di negara ini. Peristiwa itu telah membuktikan kepada pemimpin dan rakyat ini betapa buruk dan bahayanya perasaan perkauman itu. Ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban dan banyak pula harta benda yang hancur musnah. Umum mengetahui sebahagian besar konflik antara kaum berlaku berpunca dari perebutan ekonomi dan politik. Gabungan kedua- duanya - ekonomi dan poltik - kerana masing-masing mahu membela kaum mereka maka mereka dengan mudah menggunakan senjata perkauman untuk memperjuangkan kepentingan mereka. waktu itu perasaan perkauman amat tebal yang juga menjadi penghalang besar kepada kerajaan untuk melihat rakyat di negara ini bersatu padu. Lebih menyedihkan lagi sentimen perkauman terus menjadi agenda utama parti-parti politik waktu itu.



5. Oleh kerana kerajaan pada waktu itu tidak mahu peristiwa itu berulang beberapa langkah dan strategi kemudiannya telah diatur. Antaranya langkah-langkah penting yang dilancarkan selepas peristiwa itu ialah; menggubal dasar ekonomi baru yang antara lain bertujuan untuk membasmikan kemiskinan tanpa mengira bangsa, menyusun semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi antara kaum yang ada di negara ini. Kerajaan juga telah mencipta ideologi negara atau rukun negara yang menjadi pegangan dan panduan rakyat. Dengan terciptanya rukun negara kita dapat wujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu dari semua rakyat malaysia tanpa mengira kepercayaan dan perbezaan kaum. Setelah semua kaum di negara ini menikmati segala kemakmuran dan kebebasan, maka cabaran utama yang kita akan hadapi pula ialah untuk mengekalkan perpaduan yang sudah sedia terjalin itu dalam usaha kita untuk menjadikan Malaysia negara maju pada tahun 2020. Kita menyedari tanpa perpaduan dan keharmonian, kita tidak akan mampu untuk membawa negara ini ke tahap yang kita ingin capai. Tanpa perpaduan adalah sukar bagi kita untuk memupuk persekitaran politik yang sihat, ekonomi yang terus meningkat maju dan juga menjamin kedudukan sosial rakyat.



6. Hari ini kita telah sama-sama lihat perpaduan kaum di negara ini semakin meningkat kukuh. Masing-masing kaum terus dapat menikmati kemakmuran ekonomi negara dan tidak ada kaum yang rasa mereka dianaktirikan. Dalam hal ini kita patut bersyukur kerana berkat pandangan jauh pemimpin perikatan pada waktu itu dan BN pada hari ini telah meletakan landasan yang telah menjadi asas utama kepada pencapaian perpaduan kaum di negara ini.



7. Rukun negara, sepertimana yang saya sebutkan tadi merupakan kata sepakat yang menjadi panduan kepada semua rakyat Malaysia. Sebagaimana yang saya jelaskan ia dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ia wujud pada waktu mana rakyat tidak mengenali institusi-institusi yang menjadi lambang keistimewaan Malaysia dan apakah ia patut dihormati secara bersama. Apabila rukun negara dicipta maka dengan sendirinya kelima-lima prinsip yang terkandung dalam rukun negara itu diterima dan dipertahankan secara bersama oleh semua rakyat Malaysia. Dalam kata lain, kerana semua rakyat memiliki rukun yang sama, tidak ada sebab lagi sesiapa yang berasa tersisih kerana memikir pihak satu lagi lebih berhak dari yang satu lagi. Oleh itu rukun negara telah menjadi tiang yang kukuh berdiri tegak yang mesti dipertahankan oleh setiap rakyat negara ini. Negara akan jadi hancur dan rakyat akan berbalah semula jika kelima-lima prinsip rukun negara itu tidak dipertahankan dan ditegakkan. Tetapi yang menjadi persoalan sejauhmana rakyat mengingati kelima-lima prinsip rukun negara itu. Saya percaya sebahagian besar yang ada di sini hari ini tidak dapat mengingati atau lupa kelima-lima prinsip rukun negara itu. Yang perlu sekarang bagaimana kita hendak memperkukuhkan lagi keberkesanan penghayatan rakyat terhadap rukun negara. Saya tidak mahu rukun negara hanya dilafazkan sewaktu kita menyambut hari ulangtahun kemerdekaan tetapi ia hendaklah dijadikan ikrar sewaktu perhimpunan bulanan baik di sekolah, pejabat ataupun di institusi pengajian tinggi. Oleh itu marilah kita memperkukuhkan azam kita untuk setia kepada rukun negara.



Tuan-tuan dan puan-puan



8. Saya berharap perhimpunan perpaduan kebangsaan kita pada hari ini bukan sekadar untuk memenuhi agenda tahunan sahaja. Apa yang kita ingin pupuk di negara ini ialah satu perpaduan di kalangan rakyat malaysia yang berbilang keturunan dan agama yang mempunyai perasaan kekitaan yang mampu melampaui batasan identiti kaum atau negeri mereka. Kita mahu rakyat yang berbilang kebudayaan, keturunan dan juga kepercayaan untuk hidup makmur dan yang berlandaskan semangat saling hormat menghormati dan kesediaan untuk bertolak ansur demi untuk kepentingan bersama. Sudah pastinya juga bangsa yang bersatupadu yang ingin kita lihat terbentuk pada tahun 2020 ialah yang berlandaskan semangat ketaat dan patriotisme yang tinggi yang tidak berbelah bagi sifatnya. Tetapi pada hari ini ada segolongan masyarakat yang menyatakan mereka setia pada negara tetapi pada yang sama telah mencetuskan hura-hara di negara sendiri atas nama kebebasan dan kepentingan puaknya. Ada juga parti yang berlambangkan islam tetapi pada masa yang sama mengajak rakyat membenci kerajaan dan sesama umatnya. Ada juga golongan yang sanggup menggadai maruah bangsa dan negara tanpa setitikpun ada perasaan cinta kepada negara.



9. Golongan ini hanya kecil tetapi api boleh menyala hanya memerlukan satu gores mancis untuk memulakannya. Jika golongan yang tidak bertanggungjawab ini tidak membendung ketaksuban mereka, maka keamanan negara kita akan terancam. Kerajaan barisan nasional tidak pernah menyekat mana-mana golongan daripada menyuarakan pendapat mereka. Namun demikian, demokrasi tidak memberi hak kepada golongan minoriti atau majoriti untuk menimbulkan huru-hara di negara kita dan memecahbelahkan masyarakat.



10. Kita telah berjuang selama 42 tahun untuk mencapai perpaduan yang kita nikmati pada hari ini. Kita tidak boleh membiarkan perjuangan kita ini disia-siakan oleh kumpulan yang mempunyai matlamat sempit untuk berkuasa.



11. Orang asing memang ingin melihat kita berada dalam keadaan yang tidak harmoni dan berpecah belah. Justeru itu janganlah kita terpengaruh dengan orang asing ini yang cuba mengajar kita. Kita sebenarnya lebih tahu dengan apa yang kita sedang dan akan buat. Kita telah buktikan bahawa dasar-dasar kita lebih berjaya mengatasi masalah masyarakat majmuk dan keadaan yang tidak seimbang di negara kita. Teruskanlah tekad kita untuk memperkuhkan lagi perpaduan sesama kita. Ketepikan perasaan emosi dan pandulah akal fikiran kita kepada fikiran yang serderhana dalam menyelesaikan masalah kita.



12. Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya melancarkan sambutan hari perpaduan peringkat kebangsaan ini dengan rasminya.



Terima kasih.

Kami menerima 2,709,262 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri