English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : PERASMIAN KONVESYEN JAWATANKUASA KEUTUHAN PENGURUSAN (JKP) 1999
Lokasi : RENAISSANCE PALM GARDEN HOTEL HOTEL, PUTRAJAYA
Tarikh : 20-09-1999
 
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnianya, kita semua dapat berhimpun dalam majlis perasmian konvensyen jkp bagi tahun 1999. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah BPR selaku penyelaras jawatankuasa keutuhan pengurusan dan juga selaku setiausaha bersama jawatankuasa khas kabinet mengenai keutuhan pengurusan kerajaan bersama Ketua Pengarah MAMPU, kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya untuk merasmikan konvensyen JKP 1999 ini.



2. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan penghargaan kepada pihak BPR, MAMPU dan INTAN kerana telah berjaya menganjurkan konvensyen JKP 1999 yang saya difahamkan merupakan kali kedua setelah kejayaan mengadakan bengkel JKP pada tahun lalu. Penggembelingan usaha dan tenaga secara smart-partnership atau perkongsian pintar ini melambangkan kesepaduan jentera kerajaan dalam melaksanakan program atau aktivitinya ke arah merealisasikan objektif atau matlamatnya. Jawatankuasa khas kabinet mengenai keutuhan pengurusan kerajaan atau ringkasnya JKKMKPK dan jemaah menteri telah menerima semua resolusi bengkel JKP tahun lalu, saya mengucapkan syabas kepada para peserta sekelian.



Tuan-tuan dan puan-puan,



3. Pada 8 haribulan Januari 1998 yang lepas, YAB Perdana Menteri telah mengeluarkan arahannya berkaitan gerakan pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan. Arahan nombor 1 tahun 1998 ini merupakan salah satu langkah ke arah memantapkan lagi sistem pengurusan pentadbiran kerajaan. Ianya juga merupakan kesinambungan daripada beberapa langkah reformasi pentadbiran kerajaan yang telahpun diperkenalkan sebelum ini. Di antara langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah meliputi usaha-usaha memperkemaskan struktur dan fungsi jawatankuasa khas kabinet mengenai keutuhan pengurusan kerajaan atau ringkasnya JKKMKPK yang saya pengerusikan sekarang ini, memperkemas dan memperkukuhkan struktur dan fungsi BPR, mengkaji dan meluluskan akta pencegahan rasuah 1997, mempertingkatkan struktur dan peranan biro pengaduan awam serta meneruskan usaha-usaha bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam melalui usaha-usaha berterusan, seperti reengineering, benchmarking dan ms ISO 9000, di samping projek-projek di bawah applikasi perdana misalnya electronic government.



4. Berdasarkan maklumbalas yang diperolehi, saya mendapati bahawa arahan YAB Perdana Menteri no. 1 tahun 1998 telah diterima sebagai pelengkap kepada langkah- langkah kemajuan pentadbiran kerajaan yang telah diperkenalkan sebelum ini. Sebagaimana kita semua sedia maklum, JKP dibentuk berasaskan kepada prinsip-prinsip menyeluruh, sistematik, bersepadu dan berterusan. Penubuhan JKP di semua peringkat bertujuan supaya usaha- usaha memperbaiki kelemahan pentadbiran, pengurusan kewangan, pembanterasan jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota pentadbiran kerajaan dapat dipertingkatkan oleh agensi-agensi kerajaan secara dalaman dan menyeluruh, merangkumi aspek-aspek kecekapan, ketelusan, integriti dan akauntibiliti.



Tuan-tuan dan puan-puan,



5. Sebagaimana kita sedia maklum, lebih dua tahun negara kita dilanda kegawatan ekonomi. Kerajaan sedang, telah dan akan terus melaksanakan program-program pembaharuan ekonomi seperti yang telah diputuskan oleh majlis tindakan ekonomi negara, termasuk langkah-langkah pemulihan ekonomi. Alhamdulillah, negara kita dapat memulihkan ekonominya dengan cepat. Salah satu faktor yang membantu negara kita dapat keluar dari kegawatan ekonomi ini adalah disebabkan negara mempunyai pentadbiran awam yang berintegriti tinggi dan cekap. Syabas saya ucapkan kepada perkhidmatan awam malaysia. Walau bagaimanapun, masih banyak tindakan yang perlu dilakukan. Justeru itu, anggota dan organisasi perkhidmatan awam perlu terus bekerja kuat untuk memasti dan menyegerakan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan, sama ada yang bertaraf kecil, sederhana mahupun besar. Adalah diyakini, pelaksanaan pembangunan dalam kadar yang segera akan dapat menjamin pertumbuhan aktiviti ekonomi yang cergas.



6. Bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kewangan, saya menyeru supaya semua anggota perkhidmatan awam malaysia untuk mengambil inisiatif dan memberi sepenuh komitmen untuk menyegerakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kelewatan akibat sikap sambil lewa, melengah-lengahkan atau menangguhkan kerja akan memberi peluang kepada pegawai yang tidak jujur untuk mengambil kesempatan melakukan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Faktor-faktor keutuhan mestilah terus dikekalkan dan dijadikan benteng di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.



7. Pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan awam akan dapat membantu kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi. Peningkatan keutuhan perkhidmatan awam juga dapat mengurangkan pembaziran di dalam perbelanjaan. Berdasarkan kajian beberapa buah negara lain, kelemahan dalam pengurusan kewangan akibat penyelewengan, kelemahan pentadbiran dan pengurusan kewangan boleh mengakibatkan sesebuah kerajaan terpaksa membayar urusan perolehannya 20 peratus lebih tinggi daripada jumlah sebenarnya. Kerajaan berpendapat bahawa kesan buruk jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan kelemahan pengurusan kewangan di negara ini tidaklah sehingga membawa kepada kerugian sebesar 20 peratus. Namun begitu, dalam suasana kegawatan ekonomi, langkah-langkah untuk mengurangkan kerugian kerajaan akibat kelemahan ini perlu dipertingkatkan dalam kadar yang segera.



8. Sistem pentadbiran kerajaan yang cekap dan bebas daripada gejala rasuah akan meningkatkan jumlah pelaburan dalam negara ini. Pada tahun lepas kerajaan telah mengeluarkan arahan meminta supaya semua agensi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri untuk menyemak semula dasar, undang-undang, peraturan-peraturan pentadbiran, prosedur kerja, borang-borang, dan segala jenis dan kaedah cara kerja yang boleh menghalang atau melambatkan sesuatu tindakan diambil.Langkah dan tindakan ini diambil bertujuan untuk menghindar kerenah birokrasi, memudah dan mempercepatkan prosedur kelulusan permohonan daripada orang awam. Langkah ini selain daripada mempercepatkan pemulihan ekonomi, ianya juga akan memberikan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berkesan kepada pelanggan kita iaitu masyarakat ramai.



9. Sehubungan dengan itu, untuk menentukan kejayaan dan keberkesanan pelaksanaan JKP, semua pengerusi JKP sama ada di peringkat kementerian mahupun kerajaan negeri, perlulah memainkan peranan penting dengan menerajui usaha -usaha melalui mekanisme pelaksanaan JK di peringkat masing-masing. Saya meminta semua pengerusi JKP dan ketua -ketua jabatan menentukan yang mereka sendiri mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat JKP di jabatan masing -masing. Pada masa yang sama tuan-tuan perlu menentukan bahawa mesyuarat diadakan pada masa-masa yang telah ditetapkan dan tidak gagal di dalam menyedia dan melaporkan maklumbalas kepada penyelaras jkp setiap tiga bulan sekali.



10. Melalui mekanisme JKP inilah ketua-ketua jabatan diharapkan dapat mengenalpasti isu-isu dan masalah yang dapat membantu mereka meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan jabatan sekaligus mengurangkan masalah dan kelemahan-kelemahan pentadbiran, unsur-unsur dan gejala salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan. Bagi menentukan jabatan dapat mengenalpasti isu-isu dan masalah-masalah tersebut, ketua-ketua jabatan mestilah mengambil sikap terbuka. Aduan, teguran dan cadangan daripada orang awam dan pegawai-pegawai dalam jabatan hendaklah dilihat sebagai satu proses memberi maklumbalas yang membina, positif dan ke arah penambahbaikan. Oleh yang demikian gunakanlah maklumbalas ini bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran yang ada di dalam organisasi masing-masing.



11. Saya amat berharap supaya semua ketua-ketua setiausaha kementerian dan setiausaha kerajaan negeri serta urusetia-urusetia JKP masing-masing mengkaji laporan-laporan maklumbalas yang dihantar oleh agensi- agensi di bawah kawalannya. Tindakan ini penting kerana melalui saluran inilah, isu-isu dan kelemahan- kelemahan dapat dikenalpasti. Sebagai contoh, pada masa lalu didapati banyak jabatan atau agensi kerajaan mengemukakan masalah ketiadaan garis panduan bagaimana hendak menguruskan soal penerimaan dan pemberian hadiah. Perkara ini telah dijadikan isu berbangkit oleh JKP kementerian, dibincangkan oleh pasukan khas perunding JKP, dibawa ke mesyuarat jawatankuasa khas kabinet, diluluskan oleh jemaah menteri, dan akhirnya satu dasar kerajaan mengenai penerimaan hadiah oleh anggota perkhidmatan awam telah dikeluarkan. Pada masa yang sama, jika didapati perkara atau isu yang dihadapi memerlukan perbincangan dan suatu keputusan dasar dari kerajaan pusat, maka wajarlah perkara ini dilaporkan melalui maklumbalas jkp bagi membolehkan penyelaras JKP dan urusetia bersama membawanya kepada jawatankuasa khas kabinet mengenai keutuhan pengurusan kerajaan yang sekarang ini saya sendiri pengerusikan.



Tuan-tuan dan puan-puan,



12. Ketegasan dan komitmen para pemimpin selaku ketua jabatan membawa perubahan dalam usaha meningkatkan integriti di- kalangan warga agensi di bawah sempadan kuasa masing-masing. Ianya merupakan faktor penentu utama atau critical success factor kepada kejayaan di dalam gerakan yang menyeluruh ini. Tindakan pemimpin dalam sesebuah organisasi akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu tindakan. Kita perlu melaksanakan ketelusan atau transparent bila berhadapan dengan isu-isu ke arah mensejahterakan rakyat. Kita juga mestilah tidak menyembunyikan kelemahan-kelemahan kita hanya semata-mata untuk menjaga imej jabatan dengan sweeping under the carpet segala kelemahan. Sebaliknya para pemimpin perlu peka kepada perubahan dan mendapatkan khidmat rundingan mana-mana pihak berkaitan yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.



13. Akhir sekali, saya amat berharap semoga konvensyen JKP yang diadakan selama satu hari setengah ini akan dapat melahirkan idea-idea yang bernas bagi memperkemas dan melengkapkan lagi jentera pentadbiran awam. Insyaallah ianya akan dapat menjana ke arah melahirkan pengurusan kerajaan yang bercirikan good governance. Tumpuan dan komitmen penuh dan padu daripada para peserta adalah perlu bagi menjaya dan merealisasikan objektif dan matlamat konvensyen JKP ini.



14. Dengan lafaz bismillahir rahmaannir rahiim, saya dengan sukacitanya merasmikan konvensyen jawatankuasa keutuhan pengurusan 1999.



Terima kasih.

Kami menerima 2,687,472 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri