English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN PUSAT RAHMAT
Lokasi : AUDITORIUM DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
Tarikh : 02-11-1999
 
Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya berada di majlis pelancaran pusat rahmat ini. Sesungguhnya, saya merasa amat berbangga dan berterima kasih kerana dijemput untuk melancarkan pusat rahmat (rundingcara harian membantu yang termiskin) pada hari ini.



2. Kepesatan kegiatan ekonomi bandar telah memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Keadaan ini terjadi hasil daripada perluasan aktiviti ekonomi di pusat-pusat bandar terutamanya di sektor pembuatan dan perkhidmatan. Peluang ekonomi yang lebih besar yang terdapat di pusat-pusat bandar ini terus menarik migrasi masuk penduduk. Migran masuk penduduk dari luar bandar atau dari bandar-bandar kecil mengakibatkan konsentrasi penduduk di pusat-pusat bandar semakin meningkat.



3. Kadar pembandaran telah meningkat daripada 34.2 peratus pada tahun 1980 kepada 51.1 peratus pada tahun 1991 dan ianya dijangka akan meningkat kepada 58.8 peratus pada akhir dekad ini. Sehubungan itu, penduduk yang mendiami kawasan bandar telah meningkat daripada 4.75 juta pada tahun 1980 kepada 9.47 juta pada tahun 1991 dan 13.68 juta pada tahun 2000.



4. Berbeza dengan keadaan di setengah negara, pertumbuhan penduduk bandar yang agak pesat di malaysia tidak diikuti dengan peningkatan kadar kemiskinan bandar. Malahan penduduk bandar telah menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan kualiti hidup yang lebih baik. Kadar kemiskinan di kalangan isi rumah bandar telah berkurang daripada 7.1 peratus pada tahun 1990 kepada 2.1 peratus pada tahun 1997. Walaupun penduduk bandar kian meningkat, bilangan isi rumah miskin terus berkurangan kepada 55,400 pada tahun 1997, berbanding 82,000 pada tahun 1990.



5. Kemiskinan bandar dapat ditemui di mana-mana sahaja dalam dunia ini, termasuk di kalangan negara- negara maju. Malaysia tidak terkecuali. Perangkaan yang ada tidak menafikan bahawa kemiskinan masih wujud di kawasan bandar. Sungguhpun kemiskinan bandar di Malaysia pada masa kini bukan merupakan satu masalah yang serius, namun kepesatan proses pembandaran dan transformasi struktur ekonomi yang diterajui oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan dijangka akan menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada warga kota dan pihak pengurusan bandar. Kegawatan ekonomi yang melanda negara baru-baru ini menunjukkan golongan miskin bandar mengalami kesan yang lebih ketara akibat daripada peningkatan kadar pengangguran dan inflasi serta pengurangan sumber pendapatan.



6. Usaha mengatasi kemiskinan bandar selama ini dilaksanakan menerusi dua strategi utama iaitu: (i) menyediakan peluang peningkatan pendapatan; dan (ii) menyediakan kemudahan perumahan, fizikal dan sosial. Penjanaan pekerjaan baru samada secara formal atau tidak formal telah dihasilkan melalui kepesatan pertumbuhan ekonomi bandar yang diterajui oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan. Strategi peningkatan kualiti hidup pula dilaksanakan melalui penyediaan perumahan kos rendah dan kemudahan asas seperti air paip, elektrik serta kemudahan sosial seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur bandar.



7. Cabaran pembasmian kemiskinan bandar dalam alaf baru ialah untuk memastikan ianya sentiasa terkawal (in control) dan mudahurus (manageable). Dalam hal ini langkah akan diambil untuk menyelaras dan memperkemas pelaksanaan pelbagai program awam yang melibatkan golongan miskin, seperti perumahan kos rendah, premis perniagaan kecil dan bantuan pendidikan. Mekanisme pelaksanaan pembasmian kemiskinan bandar akan diperkukuh bagi memastikan program berkaitan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan, majlis agama negeri dan pertubuhan bukan kerajaan dapat diselaraskan supaya ia menjadi lebih berkesan dan meminimakan kebocoran.



Tuan-tuan dan puan-puan,



8. Bersesuaian dengan penekanan utama kerajaan kepada projek-projek menambah pendapatan, program keusahawanan bandar perlu dilaksanakan dengan lebih meluas. Program keusahawanan bandar untuk golongan miskin bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan, tetapi ianya juga boleh memupuk semangat berdikari dan bekerjasama di kalangan mereka. Bagi tujuan ini, lebih banyak kemudahan kredit mikro akan disediakan bagi membolehkan golongan miskin bandar menyertai aktiviti perdagangan dan perniagaan.



9. Selain daripada projek menambah pendapatan, bantuan kebajikan secara terhad dan terpilih perlu disediakan terutamanya kepada golongan miskin yang tidak produktif. Program ini boleh ditingkatkan pelaksanaannya tanpa memerlukan peruntukan tambahan atau baru. Tindakan yang perlu diambil hanyalah menyelaras pelbagai program bantuan kebajikan sediada oleh pelbagai agensi awam di kawasan bandar. Di samping itu, program ini juga dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa mewujudkan satu institusi baru atau kakitangan tambahan. Langkah yang perlu hanyalah menubuh satu pusat setempat yang diurus secara bijak (smart menagament) dan bersama (joint management) dengan pelbagai agensi yang terlibat. Perkongsian satu daftar umum mengenai kumpulan sasar juga memastikan program pembasmian kemiskinan bandar dapat dijalankan secara berkesan dan mengelak kebocoran.



10. Dari segi dasar dan strategi, pengurangan kemiskinan bandar hendaklah diinstitusikan sepenuhnya ke dalam keseluruhan proses perancangan pembangunan bandar. Dalam ertikata lain, pembangunan fizikal bandar hendaklah mengambilkira kesan dan impak ke atas golongan miskin di bandar. Aspek ini kurang diberi perhatian selama ini dan menyebabkan sebahagian daripada golongan miskin bandar tersisih daripada arus perdana pembangunan ekonomi bandar.



Tuan-tuan dan puan-puan,



11. Di dalam memantapkan lagi usaha pembasmian kemiskinan di negara ini, kerajaan telah memutuskan agar tugas sebagai penyelaras pembasmian kemiskinan dipikul oleh kementerian pembangunan luar bandar. Sehubungan dengan ini, kerajaan telah membuat keputusan agar usaha-usaha pengurangan kemiskinan yang dijalankan oleh kementerian pembangunan luar bandar tidak sahaja tertumpu di kawasan luar bandar , malahan juga di kawasan bandar.



12. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Y.B. Dato' Annuar Musa sebentar tadi, terdapat sebanyak 38 program untuk membantu golongan miskin di Kuala Lumpur sahaja, samada dilaksanakann oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Oleh kerana kurangnya penyatuan di dalam tindakan atau usaha-usaha pengurangan kemiskinan ini, maka kesan dan impaknya tidak begitu jelas. Sehubungan dengan itu, apabila cadangan penubuhan pusat setempat bagi menyelaraskan segala usaha-usaha pengurangan kemiskinan di bandar ini dikemukakan kepada saya, maka saya menyetujuinya. Oleh yang demikian, penubuhan pusat rundingcara harian membantu yang termiskin atau singkatannya pusat rahmat ini adalah tepat pada masanya.



13. Saya dimaklumkan bahawa terdapat dua kaedah yang boleh digunakan oleh pusat rahmat untuk membantu golongan-golongan termiskin di bandar ini. Pertama, melalui kaedah "walk-in" dimana kumpulan sasar atau sesiapa sahaja yang mengetahui keadaan kemiskinan yang menimpa jiran mereka datang ke pusat rahmat. Kedua, melalui kaedah "reaching-out" dimana petugas-petugas pusat rahmat termasuk sukarelawan- sukarelawan akan membuat lawatan dan juga penyiasatan di kawasan-kawasan tumpuan untuk mengenalpasti sendiri klien-klien pusat rahmat. Inilah jenis perkhidmatan yang sepatutnya menjadi amalan jabatan/agensi kerajaan yang berdepan dengan kumpulan sasar. Sehubungan dengan itu, saya berharap agar semua jabatan/agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, terutamanya yang terlibat dalam pusat rahmat, menginstitusikan kaedah "reaching-out" ini dalam proses kerja mereka.



14. Saya juga berharap agar kerjasama di antara 11 jabatan / agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan yang menjadi tulang belakang kepada pusat rahmat ini dapat dipertingkatkan terutama di dalam menangani kes-kes melalui slogan "rapid assistance". Saya tidak mahu kerjasama yang diwujudkan ini akhirnya tinggal slogan sahaja dan usaha-usaha murni yang telah dibuat ini tidak membawa kesan.



Tuan-tuan dan puan-puan,



15. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya ingin menyeru kepada semua, terutama kepada badan-badan korporat, agar turut serta menyumbang tenaga dan berganding bahu di dalam usaha-usaha pengurangan kemiskinan terutamanya di dalam membantu pusat rahmat menangani masalah kemiskinan di bandar. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang (caring society).



16. Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha murni merealisasikan penubuhan pusat rahmat ini. Dengan lafaz bismillahirahmannirrahim, saya melancarkan pusat rahmat (pusat rundingcara harian membantu yang termiskin) ini.



Terima kasih.

Kami menerima 3,847,469 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2017 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri