English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : PROGRAM MESRA RAKYAT
Lokasi : FELCRA BERHAD, SEBERANG PERAK
Tarikh : 20-04-2001
 


Syukur Alhamdulillah, pada pagi ini dapat saya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam satu majlis yang sungguh bermakna di FELCRA Berhad Seberang Perak, Kg. Gajah, Perak Darul Ridzuan.



2. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih dan merakamkan rasa gembira kerana dapat berkumpul bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Mesra Rakyat ini. Melalui majlis ini saya dan para pemimpin akan dapat melihat sendiri kemajuan projek yang dilaksanakan dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Ini adalah sejajar dengan arahan kabinet supaya semua pemimpin mengamalkan pengurusan secara hands on dan turun ke padang bersama rakyat. Inilah prinsip kerajaan untuk mempastikan supaya setiap perancangan dan ringgit peruntukan yang disediakan dapat dibelanjakan dan mencapai matlamat untuk kesejahteraan rakyat. Ini tidak terkecuali untuk pembangunan luar bandar.



Teras pembangunan luar bandar di bawah RMke 8 3. Dalam Rancangan Malaysia ke 8, pembangunan luar bandar akan terus diperhebatkan ke arah mewujudkan desa yang maju, menarik dan menguntungkan dengan masyarakatnya progresif, sejahtera dan cemerlang, di samping tetap memelihara alam sekitar. Skop dan tumpuan program pembasmian kemiskinan pula tidak terhad kepada pembangunan rakyat termiskin, sebaliknya diperluaskan kepada golongan miskin dan hampir miskin di bawah program kesejahteraan rakyat.



4. Tumpuan utama pembangunan luar bandar ialah memperluaskan liputan (outreach) dan kualiti prasarana asas, bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa tetapi yang lebih penting menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan penggunaan teknologi maklumat. Di samping itu, kerajaan akan memperlengkapkan lagi prasarana luar bandar dengan menambah program lampu jalan kampung, telekomunikasi desa dan kemudahan-kemudahan asas.



5. Dari aspek pembangunan sosial dan manusia, perancangan program adalah menjurus kepada pembentukan masyarakat desa yang berjati diri melalui peningkatan kemahiran, sikap positif/murni dan meminimumkan gejala sosial. Antara program yang diberi tumpuan adalah pendidikan tidak formal, termasuk pendidikan prasekolah dan pendidikan seumur hidup, peningkatan penyertaan wanita, menangani gejala sosial, pengukuhan gerakan desa wawasan, pengukuhan bina insan serta peningkatan mutu perkhidmatan dan kemudahan fizikal program masyarakat.



6. Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha menyusun semula ekonomi desa dengan menjuruskan kepada program pertanian komersial. Di samping itu, pembangunan aktiviti ekonomi lain seperti pelancongan desa, kajian pemasaran produk desa dan pembangunan keusahawanan desa akan digiatkan lagi.



7. Kerajaan juga akan memastikan rakyat desa tidak menjadi mangsa digital divide (ketinggalan kerana tidak menguasai teknologi komunikasi dan maklumat) dan kesan globalisasi serta liberalisasi perdagangan. Justeru, program pusat komuniti elektronik desa, pembangunan usahawan ICT desa, industri berasaskan ICT, kelas literasi komputer, meningkatkan akses prasarana ICT dan pembangunan aplikasi ICT yang mesra golongan sasaran akan dilaksanakan.



Pemodenan sektor pertanian 8. Tumpuan di atas adalah selaras dengan dasar wawasan negara yang terkandung dalam rangka rancangan jangka panjang ke 3(RRJP 3). Dasar ini memberi tumpuan ke arah meningkatkan keutuhan dan daya saing negara. Di dalam RRJP 3, sektor pertanian menjadi salah satu jentera penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara. Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar 3.5% dalam tempoh rancangan. Ini hanya boleh dicapai melalui penyusunan semula sektor pekebun kecil, pelaksanaan pertanian komersial yang berpandukan pasaran dan penggunaan teknologi yang keseluruhannya boleh meningkatkan produktiviti dengan strategi pemasaran yang lebih mantap.



9. Kesemua prasyarat ini memerlukan kesediaan dan komitmen tuan/puan untuk menyertai nya dan mempunyai pegangan hidup, sikap dan etika bekerja yang lebih profesional. Ini termasuklah menjadikan kerja bertani sebagai satu kerjaya sepenuh masa sebagaimana pekerja kilang serta mempunyai disiplin diri yang tinggi.



10. Dari pemerhatian semasa masuk ke dalam kawasan projek ini, saya dapat lihat betapa luasnya estet padi FELCRA Berhad Seberang Perak. Sememangnya kita dapat lihat keadaan begini di tempat-tempat lain seperti di negeri Kedah, Perlis dan di utara Perak. Tetapi yang menarik hati saya ialah pengurusan estet padi di sini diurus di bawah satu bumbung. Ini bermakna kesemua kira-kira 1,300 keluarga peserta yang terdiri dari tuan- tuan dan puan-puan sendiri, telah dapat bekerjasama di bawah satu pengurusan. Dengan satu pengurusan ini, tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja telah mewujudkan semangat perpaduan, malahan telah melaksanakan dasar kerajaan ke arah memodenkan sektor pertanian seperti yang disebut sebelum ini.



Langkah-langkah mengatasi masalah kejatuhan harga komoditi utama 11. Pada hari ini kita menghadapi masalah kejatuhan harga komoditi termasuklah harga padi, sawit dan getah. Kejatuhan ini mula dirasa sejak pertengahan tahun lepas. Kita dapati pendapatan pekebun kecil getah, kelapa sawit, kelapa, padi dan beberapa tanaman komoditi lain telah merosot berbanding pada tahun-tahun lepas. Terdapat di sesetengah tempat, harga jualan buah sawit lebih rendah dari belanja untuk memotong dan mengangkut buah sawit ke kilang.



12. Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan amat perihatin dan telah mengadakan dasar-dasar untuk membantu mereka yang terlibat demi memelihara dan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi pekebun kecil termasuk tuan- tuan dan puan-puan. Bagi sektor padi, faktor-faktor yang menyebabkan kejatuhan harga padi pada tahun lepas adalah penuaian yang serentak di seluruh negara, stok padi yang tinggi di kilang dan terdapat sindiket penyeludupan beras dari negara jiran. Saya telah arahkan supaya polis mengambil langkah lebih ketat bagi mengawal dan mencegah penyeludupan. Kita juga mengambil langkah meluaskan pasaran beras ke negeri Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga telah memperkenalkan harga minimum padi RM550/tan dan meneruskan subsidi baja kepada pemilik sawah 6 hektar ke bawah. Dengan cara ini kita dapat mengawal harga pasaran padi dan beras dengan lebih baik.



13. Dalam jangka panjang, selaras dengan dasar negara untuk membekalkan sekurang-kurangnya 65% keperluan beras negara dihasilkan dalam negara, usaha-usaha peningkatan pengeluaran padi akan ditumpukan di dalam 8 kawasan jelapang padi (granary area) yang telah dikenal pasti, termasuklah di Seberang Perak ini. Pesawah di luar kawasan jelapang padi yang telah dikenalpasti adalah digalakkan mengusahakan tanah mereka dengan kegiatan ekonomi yang lebih lumayan dengan menggunakan pelbagai skim bantuan yang disediakan oleh kerajaan, sama ada di bawah kementerian pembangunan luar bandar mahu pun kementerian pertanian.



14. Industri sawit juga mengalami kejatuhan harga yang teruk kerana penawaran minyak sawit dan lelemak adalah lebih berbanding dengan jumlah penggunaan. Bagi mengurangkan lebihan, dasar kerajaan ialah memperluaskan penggunaan minyak sawit dan telah meminta tenaga nasional untuk menggunakan minyak sawit sebagai bahan bakar bagi stesen janakuasa elektrik nya yang mana sesuai. Dengan dasar ini dianggarkan 400,000 tan stok dapat digunakan.



15. Bagi pokok-pokok sawit tua yang lebih 25 tahun - (tapi di sini semua pokoknya masih muda) kerajaan galakan pemiliknya menanam semula dengan menyediakan insentif RM1,000 - RM1,100 sehektar mengikut jenis tanaman. Kawasan yang dikenalpasti ialah lebih kurang 200,000 hektar. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan sambutlah seruan kerajaan supaya pokok tua tersebut ditebang dan ditanam semula.



16. Alhamdulillah, harga sawit sejak kebelakangan ini sudah mulai kelihatan meningkat sedikit. Sama-samalah kita berdoa supaya harganya akan terus naik. dengan cara ini dapatlah tuan-tuan dan puan-puan menikmati hidup yang lebih baik seperti dahulu.



17. Bagi pemilik kebun getah tua pula, kerajaan bersetuju menyediakan dana atau tabung tanam semula getah bernilai RM1,000 juta atau RM1 bilion. Bagi pekebun kecil yang pokoknya belum mencapai umur layak ditanam semula, kerajaan menyediakan bantuan untuk mendapat peralatan sistem torehan frekuansi rendah (lits) dan baja bernilai RM1,000/hektar yang diberi percuma kepada yang memiliki tanah kurang daripada 4 hektar dan secara 70% geran dan 30% pinjaman kepada yang memiliki lebih daripada 4 hektar. Pekebun kecil yang menyambut seruan kerajaan dengan mengeluarkan lebih banyak getah cair(lateks) pula akan dibayar harga premium RM0.10/kg lebih dari harga biasa.



18. Pengalaman dan pengajaran yang diperolehi daripada arah aliran harga komoditi utama ialah tiadanya jaminan bahawa pekebun kecil akan mendapat pendapatan yang stabil dan lumayan jika bergantung kepada tanaman tunggal (mono crop). Menyedari hakikat ini, kerajaan galakan tanaman komoditi utama secara integrasi dengan tanaman-tanaman lain serta ternakan. Kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi bantuan sara hidup kepada petani yang termasuk dalam golongan termiskin.



19. Pengumuman bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini sudah pasti meningkatkan harapan tuan-tuan dan puan-puan. Agensi-agensi kerajaan yang terlibat sudahpun dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan dari pekebun kecil terlibat. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan bersabar kerana perancangan untuk melaksanakan skim-skim bantuan ini memerlukan sedikit masa untuk menyelaraskan butir-butir pelaksanaannya. Agensi-agensi terlibat kini sedang memperincikan mekanisme dana dan tatacara pengagihan bantuan. Saya telah mengarahkan kementerian yang terlibat mengeluarkan maklumat dan risalah lengkap tentang jenis- jenis bantuan dan nilai bantuan-bantuan tersebut.



20. Dalam pada itu, kerajaan lebih suka melihat tuan- tuan dan puan-puan lebih berinisiatif dan berdikari untuk membangunkan taraf sosio-ekonomi masing-masing. Kerajaan cuma mahu membantu secara asas sahaja. Saya bangga dengan pencapaian aktiviti huluan dan hiliran yang telah tuan-tuan dan puan-puan lakukan secara berkoperasi. Koperasi FELCRA Seberang Perak telah dapat menjalankan projek bernilai RM20 juta setahun ini termasuk aktiviti kilang pemprosesan padi.



21. Semua kegiatan yang tuan-tuan jalankan telah dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat tempatan. Seterusnya secara tidak langsung meningkatkan keluaran dalam negeri kasar. Hasil yang dieksport pula dapat meningkatkan keluaran negara kasar. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.



22. Walau bagaimanapun, buat masa ini kita mesti ambil langkah-langkah untuk mengekalkan pertumbuhan negara yang dijangka terjejas ekoran kemelesetan ekonomi amerika syarikat yang memberi kesan kepada eksport keluaran industri utama negara seperti barang-barang elektronik. Sebagai langkah "pre-emptive", kerajaan telah mengumumkan tambahan belanjawan berjumlah RM3 bilion bagi tahun 2001 ini untuk penyediaan infrastruktur seperti pembinaan bangunan sekolah tambahan, bangunan dewan, empangan bakun dan lain-lain kemudahan sebagai usaha meningkatkan pertumbuhan daripada dalam negara sendiri.



23. Satu lagi peluang perniagaan yang tidak mempunyai banyak kesan daripada kemelesetan ekonomi adalah sektor pelancongan. Pada tahun 1999, seramai 7.93 juta pelancong datang ke Malaysia. Ini memberi pendapatan sebanyak RM12.3 bilion. Pada tahun 2000, pula seramai 10.22 juta pelancong datang yang memberi pendapatan sebanyak RM18.8 bilion.



24. Saya berharap koperasi-koperasi dan syarikat- syarikat milik pekebun-pekebun kecil dapat bersaing bagi merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dan juga menerokai bidang berpotensi seperti pelancongan kerana banyak tempat dan produk menarik di kawasan Seberang Perak ini yang boleh dipasarkan.



Kestabilan politik sebagai asas penting pertumbuhan ekonomi 25. Suka saya menyatakan bahawa faktor keamanan dan kestabilan politik adalah penting untuk menjamin pertumbuhan ekonomi. Dengan adanya kestabilan politik dan keamanan, maka pelaburan luar negara akan meningkat.



26. Oleh itu, saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan hindarkan penglibatan aktiviti-aktiviti yang boleh mengeruhkan keamanan negara dan kestabilan politik. Janganlah menyebarkan khabar-khabar angin seperti akan wujud pergaduhan kaum. Janganlah juga kita berdemonstrasi untuk menjayakan sesuatu matlamat.



27. Perpaduan kaum harus dipelihara sebagai kunci kestabilan negara. Pada hari ini kita lihat perpaduan kaum Melayu telah menjadi semakin renggang. Ini semua kerana ideologi politik yang berbeza dan bercanggah. Kita haruslah, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, merapatkan semula jurang pemisah ini.



28. Saya membuat pemerhatian bahawa jalan kampung yang dilalui oleh penduduk di sini masih lagi berwarna merah. Tidak ada turapan tar di jalan sepanjang 16 kilometer lagi yang memerlukan peruntukan untuk menaik taraf jalan tersebut. Jadi di sini saya telah minta yang berhormat Dato' Azmi mempertimbangkan peruntukan yang sesuai disediakan mulai tahun ini, dan pelaksanaan sepenuhnya dibuat berperingkat-peringkat.



29. Saya juga ingin melihat bandar Seberang Perak ini dirancang semula mengikut program perancangan yang menepati keperluan pusat pertumbuhan yang dapat menjana sebanyak mungkin aktiviti ekonomi dan sosial. Di sini perlu ada segala kemudahan untuk mewujudkan masyarakat desa yang terlatih di bidang komputer. Di sini perlu ada peluang peningkatan ekonomi melalui pembangunan aktiviti huluan dan hiliran yang lebih agresif. Di sini perlu ada penyertaan sektor swasta secara lebih meluas bagi memenuhi perkembangan pelbagai sektor yang produktif. Saya menyeru supaya kerjasama semua pihak dapat diwujudkan bagi menjayakan bandar ini setaraf dengan bandar-bandar kecil lain.



30. Akhir sekali suka saya menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan terus memberi sokongan kepada kerajaan untuk menjayakan semua program yang sedang dilaksanakan dan dirancang. Tuan-tuan dan puan-puan perlulah menjadi peserta yang aktif dalam pembangunan.



31. Kita perlulah sentiasa berusaha untuk memelihara keamanan dan kestabilan negara. Insya Allah kita akan memperolehi keberkatan dalam apa jua yang kita lakukan.



Terima kasih.

Kami menerima 2,756,480 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri