English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN LPF
Lokasi : HOTEL ALLSON KELANA, SEREMBAN
Tarikh : 09-01-2003
 











Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru dan seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Penganjur di atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Konvensyen LPF Jubli Emas Penapisan Filem di Malaysia, pada malam ini.



2. Pembangunan negara kini berada pada tahap pencapaian yang membanggakan dengan hala tuju yang jelas iaitu untuk kita mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan mengikut acuan kita sendiri. Sebagai negara yang progresif, aman damai serta makmur, kita harus mempunyai daya ketahanan yang kukuh dan semangat patriotisme yang tinggi untuk mampu berdaya saing dalam era globalisasi yang penuh peluang dan cabaran.



3. Untuk mencapai cita-cita ini, banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Antaranya ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang berakhlak tinggi, berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan kerohanian yang murni serta budi pekerti yang luhur. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara agar memainkan peranan masing-masing dalam usaha menjamin supaya negara dapat melahirkan insan yang berjiwa mulia .



4. Sebelum kita mencapai yang dihasratkan seperti di atas tadi, di depan kita adalah cabarannya. Cabaran yang saya maksudkan ialah penjajahan media atau imperislisme media. Media mempunyai pengaruh yang amat besar kepada manusia. Dan pengaruh itu telah digunakan untuk menawan dan menjajah minda orang lain supaya menyokong atau bersetuju dengan agenda-agenda sosial yang digerakkan terutama yang bertentangan dengan nilai-nilai Asia dan Timur. Media yang menjadi mercu tanda masyarakat moden hari ini ialah filem, produk TV dan muzik. Dengan menggunakan elemen atau pendekatan hiburan, pihak luar yang mempunyai agenda tertentu boleh saja mengubah persepsi sosial dan budaya sesebuah masyarakat.



5. Media menjadi keperluan hidup dalam era modenisasi masa kini. Malah media juga cukup mudah diakses dengan teknologi canggih. Kerana itu imperalisme media boleh saja berlaku di ruang-ruang tamu rumah kita di mana ada peti televisyen, di pusat-pusat hiburan atau di pawagam-pawagam yang menayangkan filem. Imperialisme media adalah salah satu usaha mengeksport budaya dan tidak semua budaya yang datang bersama filem dan produk tv sesuai dengan iklim sosial dan budaya kita.



6. Filem telah dijadikan agen kepada fahaman atau cara hidup anti sosial, anti agama pada dekad globalisasi ini. Filem menjadi begitu penting dalam proses globalisasi dengan hasrat untuk menjadikan ``satu budaya satu dunia''. Filem-filem Hollywood antaranya telah menjadi pengeksport doktrin penting ke arah ``satu budaya satu dunia''. Memang benar, industri filem adalah sebuah industri hiburan, tetapi filem yang dieksport juga mempunyai nilai-nilai yang bertentangan dengan budaya negara yang mengimport. Ini suatu yang sangat membimbangkan dan kita terpaksa membanteras nilai-nilai yang bercanggah dan membawa idealisme yang tidak sesuai dengan negara ini.



7. Sebelum saya bercakap mengenai penapisan filem, elok rasanya kita sama-sama merasionalkan pemikiran untuk melihat apa yang berlaku dan dilakukan oleh pihak luar untuk melancarkan penjajahan dalam bentuk baru. Melihat penapisan filem secara berasingan dengan proses penjajahan media, sudah pasti akan mengulangi kontroversi badan penapisan filem kita kononnya tidak mempunyai sense of arts atau tidak menghormati creative licence yang diberikan kepada golongan seniman. Creative licence atau sense of arts bukanlah menjadi lesen untuk kita membuka diri kepada angkara yang boleh memudaratkan. Malah ia kena dimanfaatkan dengan penuh kewarasan dan tanggungjawab.



8. Saya ingin saudara-saudara memberikan sedikit masa untuk melihat melampaui mekanisme penapisan dengan mengambil budaya dan moral sebagai kayu ukur sama ada wajar atau tidak wajar kita mengiyakan idelogi luar yang tidak sesuai dengan kita. Saya ingin mengambil contoh bagaimana Barat (dalam konteks ini Amerika) mengubah persepsi dunia terhadap keganasan menerusi filem-filem yang dieksport ke seluruh dunia (kecuali beberapa negara yang menutup pintu kepada filem Amerika). Ganas dan kejam secara tidak disedari menjadi sebahagian daripada elemen yang menghiburkan. Ukuran umum semakin banyak adegan ganas, pemusnahan atau kekejaman maka semakin tinggi nilai hiburannya.



9. Mereka menggunakan seni sebagai lesen untuk melanggar etika moral dan budaya manusia. Dengan seni, kekejaman terhadap manusia dibolehkan. Kita sebenarnya turut menjadi tidak bermoral kalau menerima gagasan seni yang difahami oleh pihak luar. Atau adakah kita telah bersedia untuk menerima apa yang dikatakan sense of arts dan mengenepikan etika moral?



10. Saya ingin menekankan bahawa kita tidak akan toleran terhadap sesuatu yang boleh memudaratkan rakyat. Dan mereka (orang luar) tidak boleh memaksa kita menerima nilai-nilai (yang sebenarnya ditolak di negara mereka) atas alasan seni. Adakah kita bermoral dan tinggi rasa perikemanusiaan kalau menerima keganasan sebagai suatu hiburan? Tetapi inilah yang menjadi content penting filem-filem atau produk tv dari luar. Kalau kita toleran bererti kita dijajah supaya menerima definisi seni yang songsang yang orang lain tidak terima.



11. Saya percaya cabaran tugas paling besar yang dihadapi oleh LPF ialah imperialisme media dan globalisasi menerusi ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang ini. Cabarannya bukan saja daripada segi mekanisma seperti peralatan canggih untuk memastikan penapisan dilakukan dengan baik.



12. Malah LPF juga mendapati cabaran di segi persepsi daripada masyarakat. Ini adalah salah satu bukti bagaimana kesan daripada imperialisme media yang menerima sesuatu karya seni (filem umpamanya) seperti yang difahami dalam konteks budaya luar. Maka LPF dilihat tidak relevan dan tidak ada apa yang dikatakan penghayatan seni dalam membuat tapisan.



13. Seperti kata Pengerusi LPF sebentar tadi, kerja-kerja menapis filem di negara ini bukanlah sesuatu yang senang. "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul", Ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dari segi latar belakang sejarah serta komposisi masyarakatnya iaitu pelbagai keturunan, bahasa serta adat resam dan agama.



14. Kepelbagaian ini ditambah pula dengan perbezaan dari segi cita rasa dan minat. Oleh itu persepsi terhadap filem dan peranannya tentulah juga berbeza-beza antara golongan muda dengan dewasa, antara masyarakat bandar dengan luar bandar. Ini belum lagi disebut mengenai tuntutan agama masing-masing.



15. Ada yang menyatakan bahawa penapisan yang dibuat oleh LPF itu sangat ketat manakala satu pihak yang lain merungut yang LPF terlalu liberal. Ini menjadi cabaran yang ulung bagi ahli-ahli LPF. Oleh yang demikian, Garis Panduan Penapisan yang disediakan itu dihasrat untuk merentasi perbezaan-perbezaan persepsi tadi supaya ia menjadi satu instrumen pengukur bagi memeriksa kesesuaian sesuatu filem itu.



16. Suka saya maklumkan bahawa dalam menggubal Garis Panduan Penapisan Filem, rujukan dibuat bukan sahaja kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara bahkan kepada undang-undang serta peraturan yang berkaitan, termasuk Akta Hasutan, Akta Polis, Kod Etika Penyiaran, Undang-undang Syariah, Fatwa dan Pendapat Jumhur Ulama. Ia telah digubal oleh pakar-pakar dari berbagai disiplin dalam dan luar Kerajaan. Oleh itu dalam menapis filem, LPF tidak membuat keputusan dengan sewenang-wenang, tetapi sentiasa membuat rujukan kepada Garis Panduan ini yang telah diluluskan oleh Kerajaan.



17. Intipati dari Garis Panduan penapisan filem ialah pemansuhan adegan-adegan atau dialog keterlaluan yang bertentangan dengan tatasusila kita dan mengutamakan nilai-nilai yang baik. Justeru itu bagi mereka dalam industri perfileman, saya menyeru agar mengelak daripada membuat atau mengimport filem-filem berunsur negatif terutama yang terang-terang bertemakan tahyul, serta berunsur khurafat dan syirik.



18. Bagi filem-filem tempatan, tidak ada banyak masalah dalam hal ini. Saya percaya industri perfileman tempatan mampu menghasilkan filem-filem baik yang bermutu tinggi dan mengandungi faktor-faktor sosio-budaya yang unggul yang dapat dihayati oleh masyarakat dari perspektif pembangunan insan. Negara kita tidak ketandusan institusi sosial dan individu yang mampu memainkan peranan dalam menyuntik semangat ke arah memperkukuhkan industri perfileman tempatan.



19. Bagi filem-filem yang hendak disiarkan melalui TV ada baiknya di perbanyakkan program yang bercorak kekeluargaan dan pembangunan masyarakat. Syarikat-syarikat yang besar di negara ini digesa mengambil tanggungjawab sosial dengan menajakan filem-filem jenis ini dan bukan semata-mata sanggup menaja hanya filem-filem yang sensasi dan bercorak blockbuster.



20. Dalam konteks industri filem tempatan, saya percaya LPF bukanlah menjadi faktor kekurangan penghasilan filem- filem bermutu kita. Kalau dibandingkan dengan beberapa negara lain pihak penapisan mereka lebih ketat kerana sebab- sebab politik atau agama, LPF dianggap toleran dan memahami keperluan seni kecuali perkara-perkara yang dianggap akan memberikan implikasi sosial yang buruk.



21. Saya percaya seorang seniman yang baik akan menghasilkan sesuatu karya dalam lingkungan budaya dan keterbatasannya. Dia mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan sudah tentu boleh menyesuaikan karyanya dengan kehendak setempat. Karyawan filem bukan saja perlu kreatif berkarya tetapi juga mempunyai daya sensiviti yang tinggi untuk memahami budaya dan sosial masyarakat di sekelilingnya.



22. Kebebasan berkarya bukanlah isunya. Ini kerana di mana- mana negara sekali pun kebebasan berkarya tidak pernah wujud. Sebaliknya karyawan dalam sesebuah masyarakat perlu memiliki self censorship yang tinggi untuk menikmati kebebasan dia berkarya. Kita perlu tahu mengenai mana boleh dan tidak boleh dibuat. Self censorship juga adalah antara kayu ukur seseorang karyawan.



23. Apa yang kalangan masyarakat atau karyawan harus faham ialah kerajaan tidak pernah mengikat kekebasan berkarya asalkan mereka berkarya dalam keterbatasan daripada aspek sosial dan budaya. Membenarkan melakukan sesuatu yang memberi implikasi buruk bukanlah memberi kebebasan berkarya tetapi boleh dianggap sebagai kerajaan tidak peka terhadap keharmonian rakyat.



24. LPF pula perlu juga memainkan peranannya sesuai dengan peredaran masa, tanpa mengurangkan keutaman objektifnya untuk memelihara keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Walau apa pun, LPF tetap diperlukan untuk menentukan agar unsur-unsur yang bercanggah dengan nilai-nilai murni masyarakat tidak dibenarkan dalam filem.



25. Langkah ini penting kerana ia dapat membantu memelihara moral masyarakat agar terus berada di tahap yang tinggi, disamping menentukan penghayatan seni tidak bercanggah dengan prinsip Rukunegara. Masyarakat berhemah tinggi dan berakhlak mulia adalah ciri-ciri jatidiri bangsa yang dihasratkan di dalam Wawasan 2020.



26. Anjakan paradigma yang perlu diambil oleh LPF adalah dalam bentuk perluasan ruang lingkup peranannya. Daripada hanya menumpukan kepada memeriksa dan menapis filem, peranan wajar diperluaskan kepada mendidik masyarakat agar peka terhadap nilai-nilai murni.



27. LPF juga saya fikir perlu mempotretkan lembaga ini sebagai sebuah institusi sosial yang memainkan peranan dalam pembentukan budaya yang harmoni. LPF perlu mengubah persepsi umum bahawa mereka hanya memotong atau menapis filem. Tetapi juga perlu ditekankan tapisan dibuat berdasarkan tanggungjawab untuk menangkis imperialisme media ke atas masyarakat negara ini.



28. Tugas LPF ini juga perlu dilihat sebagai salah satu cabang dalam keselamatan negara. Ini kerana antara tugasnya ialah menangkis idealisme atau idelogi yang dikesani diserap di sebalik lapisan yang bernama seni dan disalut dengan elemen hiburan. Ternyata tugas LPF cukup besar dan masyarakat tidak lagi melihat dari sudut memotong atau memusnahkan sesebuah karya filem.



29. Langkah LPF yang telah mula menyiarkan melalui akhbar akan tajuk-tajuk filem yang diharamkan adalah satu tindakan yang baik. Selain itu, tibalah masanya bagi LPF mewujudkan satu sistem rujukan yang mantap dimana maklumat boleh didapati secara on-line tentang filem-filem yang sesuai ditonton dan filem-filem yang diharamkan.



30. Saya ingin menegaskan jua bahawa penayangan filem yang belum ditonton tapis dan diluluskan oleh LPF merupakan satu kesalahan di bawah Akta Penapisan Filem 2002. Takrif filem mengikut akta ini meliputi filem sinematografi dan semua jenis pita video, disket, cakera laser, urutan gambar bergerak sama ada diiringi oleh bunyi atau pun tidak.



31. Dalam hal ini permainan video dan play stations adalah tidak terkecuali daripada takrif ini. Namun tanggungjawab mengemukakan filem untuk ditapis oleh LPF pula terletak pada pihak yang empunya filem itu sendiri. Dengan itu saya menyeru agar masyarakat tempatan memberi sokongan padu kepada usaha Kerajaan menentukan filem-filem yang diluluskan oleh LPF sahaja yang boleh dipamerkan.



32. Sempena Jubli Emas Penapisan Filem di Malaysia, saya dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim sukacita merasmikan Konvensyen LPF 2002 dan mengucapkan tahniah serta syabas kepada LPF.



Terima kasih.





Kami menerima 4,622,630 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri