English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : PERASMIAN DAN PENYERAHAN KUNCI PROJEK RUMAH KOS RENDAH GADEK MELAKA
Lokasi : MELAKA
Tarikh : 09-01-2003
 



Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izinya kita dapat bertemu di dalam Majlis Perasmian dan penyerahan kunci Projek Perumahan Awam Kos Rendah di Gadek Alor Gajah pada petang ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2003 kepada orang- orang Melaka dan saya berharap tahun 2003 ini akan meningkatkan semangat kita untuk lebih bekerja keras dan mengembeling tenaga bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman, rakyat akan hidup selesa, pertumbuhan ekonomi akan mencapai tahap yang lebih baik berbanding tahun 2002 .



2. Kerajaan akan terus memainkan peranan menentukan Negara Malaysia yang kita cintai ini membangun ke arah negara maju seperti mana yang kita rancangkan . Walaupun dalam usaha mancapai cita-cita kita, Negara terpaksa menghadapi pelbagai rintangan tetapi Alhamdulillah sehingga kini berkat daripada kerjasama semua pihak kita telah dapat mengatasi rintangan tersebut. Melalui dasar dan strategi yang berkesan negara kita telah dengan cepat dapat mengatasi masalah kegawatan ekonomi dan pada tahun 2002 pertumbuhan ekonomi telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik.



3. Kerajaan sentiasa peka dengan perubahan ekonomi dunia dan akan terus melaksanakan mekanisma dan strategi yang terbaik supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan, rakyat akan dapat peluang bekerja dan beroleh pendapatan , aktiviti ekonomi dalam negara akan lebih cergas dan aktif dan yang paling penting negara sentiasa dalam keadaan aman dan rakyat bebas menjalankan aktiviti sosio ekonomi harian.



4. Selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru, Kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan untuk membela hidup rakyat miskin . Ini termasuk projek rumah- rumah termiskin (PPRT), projek rumah kos rendah, bantuan- bantuan kepada rakyat miskin , kemudahan-kemudahan sosial supaya rakyat miskin juga dapat sama-sama merasa kenikmatan pembangunan negara.



5. Saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan YAB. Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang telah merancang dan melaksanakan berbagai projek bagi kemudahan rakyat, membantu orang miskin, membina rumah PPRT dan melaksanakan projek-projek sosio ekonomi termasuk menubuhkan Pusat Pembela yang menjadi saluran aduan untuk orang ramai . Dengan usaha yang gigih dan strategi yang berkesan saya percaya hasrat Negeri Melaka untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini dapat dicapai.



6. Adalah menjadi dasar Kerajaan untuk menyediakan rumah yang mencukupi , berkualiti dan mampu dibeli atau disewa oleh penduduk dari semua peringkat pendapatan. Kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana rendah supaya semua golongan masyarakat berupaya memiliki rumah. Bagi golongan termiskin kita binakan rumah PPRT. Dasar Kerajaan ini merupakan dasar terbaik yang menjadi contoh kepada negara-negara membangun yang lain. Dengan adanya rumah yang sempurna maka akan dapat mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dikalangan masyarakat . Ini dapat membina institusi keluarga yang teguh dan berdaya tahan bagi mencapai satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan penyayang.



7. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-8 , Kerajaan akan mempercepatkan pembangunan perumahan bagi memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat terutama rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Dalam Rancangan Malaysia ke-8 (2001-2005), sejumlah 615,000 unit rumah akan dibina kerana berlaku pertambahan keluarga. Bagi mempastikan agihan perumahan itu dibuat secara saksama, maka 61.6% atau 379,300 unit yang akan dibina adalah rumah kos rendah dan sederhana rendah. Manakala 134,000 unit atau 35.33% akan dibina oleh pihak swasta. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah berjaya menyiapkan projek rumah kos rendah Gadek Fasa I ini. Saya difahamkan semua rumah-rumah yang dibina ini telah habis dijual dan syarikat akan melaksanakan pembinaan Fasa II berikutnya.



8. Setiap Kerajaan Negeri diminta untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan memberi penekanan kepada peningkatan kualiti rumah yang dibina dan menyediakan lokasi yang sesuai supaya dapat mewujudkan suasana hidup yang selesa. Di sini saya ingin menyeru semua Kerajaan Negeri supaya memberikan kerjasama penuh dengan Kerajaan Pusat, terutamanya dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya pembinaan rumah-rumah yang dimaksudkan dapat disegerakan.



9. Pada 27 Februari tahun lalu, Kerajaan Pusat telah membuat keputusan bahawa semua Program Perumahan Awam Kos Rendah sebagai projek Kerajaan Pusat atas nama Program Pemilikan Rumah Awam. Pihak Jabatan Perumahan Negara akan terlibat secara langsung memilih tapak perumahan supaya kerja-kerja membina rumah ini dapat dijalankan mengikut jadual. Kerajaan Pusat akan membiayai kos tanah dan 50% kos infrastruktur akan dibiayai dalam bentuk subsidi. Manakala Kerajaan Negeri ditugaskan membuat pemilihan bagi pembeli yang layak melalui sistem pendaftaran terbuka dengan penglibatan kerajaan Pusat. Dalam program ini sejumlah 40,000 unit rumah dijangka dibina dalam tempoh lima tahun ini. 10. Selain daripada membina rumah, kualiti perkhidmatan perlu dipertingkatkan untuk kesejahteraan hidup penduduk. Dalam usaha Kerajaan ini, penduduk juga perlu bekerjasama menjaga kebersihan dan kemakmuran hidup berjiran. Setiap kawasan perumahan patut menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan untuk membantu Kerajaan dalam usaha membangunkan dan membentuk masyarakat bersatu padu dan hidup dengan harmoni.



11. Dalam melaksanakan projek perumahan, sistem pengawasan pembangunan perumahan yang bersepadu patut diamalkan bagi memudahkan pemantauan dan penyelesaian masalah pembangunan. Menerusi sistem ini , Kementerian Perumahan dan Kerajaan Negeri dapat merekodkan butir-butir perlaksanaan projek yang diluluskan lesen oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya pemantauan projek dapat dibuat dengan lebih sistematik. Dengan itu Kerajaan Negeri boleh membandingkan projek-projek yang terlibat dengan perancangan awal menerusi kelulusan-kelulusan pemberian milik tanah, usaha sama atau pengswastaan tetapi tidak dimajukan secara berterusan. Maklumat pelaksanaan projek perlu diselaraskan dalam usaha pemantauan diperingkat negeri atau persekutuan. Saya berharap dapat diperkemaskan sistem pemantauan ini secara sistematik dan laporan kemajuan berkala dapat disediakan. Pada peringkat permulaan ini saya berharap pihak Kerajaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat mengesan pemaju-pemaju perumahan yang telah diberi lesen untuk melaksanakan projek perumahan awam kos rendah atau membina rumah awam kos rendah dalam projek perumahan bercampur tetapi tidak melaksanakannya dengan segera. Mana- mana pemaju yang gagal membina rumah-rumah tersebut akan diberi tempoh tertentu sebelum tindakan diambil membatalkan pemberian projek itu. Kita tidak mahu lagi melihat pembinaan projek perumahan awam tergendala atau terbengkalai kerana ia bukan saja membantut usaha kerajaan menyediakan rumah untuk rakyat tetapi ia juga melibatkan kos-kos lain yang mungkin akan meningkat.



12. Matlamat dasar perumahan negara ialah bertujuan supaya semua rakyat di negara ini memiliki rumah. Dalam pada itu kerajaan juga ingin melihat pemilikan rumah ini dibuat secara saksama dan bukan hanya mampu dimiliki oleh golongan yang berada sahaja. Misalnya, taman-taman perumahan di kota atau bandar, kerajaan mahu melihat penduduknya benar-benar mencerminkan campuran kaum rakyat Malaysia. Pembangunan kawasan-kawasan perumahan yang didiami oleh pendudukan dari pelbagai kaum adalah langkah bijak bagi meningkatkan lagi perpaduan di kalangan rakyat kita. Semakin lama rakyat dapat tinggal dan hidup di tempat yang sama, sehingga ke anak cucu dan cicit, semakin banyak pula kerjasama, persefahaman dan kepentingan bersama dapat terjalin di kalangan mereka. Oleh itu kerajaan telah mengambil langkah tegas untuk memperbanyakkan lagi pembinaan rumah yang berasaskan kepada keperluan dan kemampuan rakyat dan bukannya untuk keuntungan semata-mata.



13. Saya sedar banyak desakan dibuat bagi melonggarkan kuota atau meninggikan kuota pemilikan rumah. Tujuan kuota ini dikuatkuasakan ialah bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi dalam urusan pembelian rumah terutama yang melibatkan perumahan swasta. Kerajaan tidak mahu berlakunya pemisahan kaum-kaum di Malaysia. Kerajaan sedia memberi kelonggaran, misalnya, sekiranya rumah atau rumah kedai yang tidak ada pembeli Melayu dalam tempoh yang dipersetujui, maka ia boleh dijual kepada sesiapa sahaja.



14. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah menjemput saya merasmikan projek Rumah Awam Kos Rendah Gadek pada petang ini dan dengan ucapan Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan majlis ini.



Terima kasih.


Kami menerima 4,654,422 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri