English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN SERENTAK SEMBILAN INSTITUSI LATIHAN JABATAN TENAGA RAKYAT(I.L.J.T.R.) DAN PELANCARAN E-TRAINING I.L.J.T.R.
Lokasi : PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) SELANGOR, LOT 5934, SEKSYEN 36 SHAH ALAM, BUKIT KEMUNING, SELANGOR
Tarikh : 11-01-2003
 











Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera



YB Datuk Dr. Fong Chan Onn Menteri Sumber Manusia



YAB Dato' Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo Menteri Besar Selangor



Yb Dr. Abdul Latiff bin Ahmad Timbalan Menteri Sumber Manusia



Dif-dif Kehormat



Tuan-tuan, Puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekelian



Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah, kurnia dan izinNya kita dapat bersama-sama di majlis yang amat bermakna ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Manusia kerana memberi penghormatan kepada saya untuk menyampaikan ucapan, seterusnya merasmikan dengan serentak empat buah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (atau dikenali sebagai ADTEC) dan lima buah Institut Latihan Perindustrian (I.L.P.) yang telah siap dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh.



Saudara dan saudari sekelian,



2. Kita sedia maklum Dasar dan Strategi Pembangunan Negara telah BERJAYA MEMAJUKAN Malaysia MENJADI sebuah negara perindustrian moden dan telah menghasilkan pelbagai kemajuan, BAIK DARI SEGI ekonomi MAHUPUN sosial. Kini NEGARA menghadapi cabaran-CABARAN yang lebih besar DI ABAD KE-21. Proses globalisasi dan liberalisasi yang pesat, serta pelbagai kemajuan di dalam bidang sains dan teknologi (SEPERTI di dalam teknologi maklumat dan komunikasi (I.C.T.) dan bioteknologi), TERUS mengubah PERSEKITARAN EKONOMI, SOSIAL DAN POLITIK DUNIA.



3. NEGARA MEMBANGUN SEPERTI MALAYSIA tiada pilihan lain untuk MENANGANI PELBAGAI CABARAN INI DENGAN PANTAS DAN BERKESAN. KITA PERLU TERUS MENCIPTA semula DIRI KITA ("REINVENT OURSELVES") AGAR TETAP RELEVAN DI PENTAS DUNIA. KALAU DAHULU KITA MENGEJAR PERINDUSTRIAN, KINI KITA PERLU BERTUKAR MENJADI SEBUAH EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN (k- ekonomi) bagi mengekalkan kadar pertumbuhan yang pesat dan meningkatkan dayasaing negara. Dengan penambahan input pengetahuan, kita berupaya beralih daripada pertumbuhan yang didorong oleh input kepada pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti.



4. Kerajaan telah menggariskan beberapa strategi untuk terus memacu pembangunan negara. Antara strategi tersebut ialah:



Meningkatkan pertumbuhan produktiviti melalui pemantapan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pekerja;



Mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan ("research and development" atau R&D") serta memperkukuhkan asas-asas sains dan teknologi negara;



Meningkatkan asas sumber manusia negara bagi mempastikan kesinambungan bekalan tenaga manusia yang mempunyai tahap pengetahuan, kemahiran teknikal dan kemahiran berfikir yang tinggi; dan



Mempergiatkan usaha bagi memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dan budaya cemerlang di kalangan Rakyat.



Perkara terakhir ini amat penting kerana etika kerja yang unggul perlu menjadi landasan sumber manusia negara. Kita mahu etika kerja itu mendampingi pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam menjana pembangunan yang kekal dan bermakna.



5. Justeru, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada penghasilan apa yang ditakrifkan sebagai k-pekerja ("k- workers" atau "Knowledge workers"), iaitu pekerja yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran, serta sistem nilai dan budaya yang cemerlang. Saya yakin sekiranya kita boleh membekalkan "k-workers" kepada setiap sektor, setiap industri dan setiap peringkat kerja, Malaysia mampu meningkatkan produktiviti dan daya saingnya, agar dapat mencapai cita-cita besar Wawasan 2020 tidak lama lagi.



Saudara dan saudari sekelian,



6. Selaras dengan perkembangan terkini, Corak permintaan untuk tenaga manusia akan terus berubah ke arah teknologi tinggi dan industri berasaskan sains, seperti I.C.T. dan bioteknologi. Umpamanya, kecanggihan dalam proses pengeluaran akan memerlukan seramai 137,200 jurutera dan 331,700 pembantu jurutera yang terlatih dalam bidang elektrikal dan elektronik, kimia, mekanikal, I.C.T. dan teknologi-teknologi lain, sehingga tahun 2010.



7. Strategi jangka panjang kerajaan turut menitikberatkan peningkatan latihan kemahiran, termasuk di peringkat yang lebih tinggi. Institusi latihan awam dan swasta dijangka mengeluarkan 301,859 orang pekerja mahir dan separuh mahir pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Ini adalah peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan 187,439 orang pekerja mahir yang dikeluarkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh. Sejumlah 15 institusi latihan kemahiran baru, termasuk sembilan institut latihan kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia, dijangka beroperasi di bawah RMK8 dengan pengambilan seramai 12,400 orang pelajar.



8. Sehingga kini, tanggungjawab latihan kemahiran banyak dipikul oleh kerajaan. Oleh itu, saya ingin menyeru agar pihak swasta turut memainkan peranan di dalam bidang pendidikan dan latihan ini. Ini amat penting kerana skema latihan vokasional negara masih terlalu berorientasikan institusi, iaitu pelajar menggunakan kebanyakkan masa di institut latihan kemahiran. Ini perlu diubah kepada struktur latihan kemahiran yang lebih berorientasikan industri. Struktur baru ini lebih berasaskan konsep perantisan ("apprenticeship") seperti yang diamalkan di Negara-negara maju seperti Jerman. Masalahnya, struktur latihan kemahiran baru ini akan melibatkan perbelanjaan yang amat tinggi. Kerajaan tidak mampu melaksanakannya secara bersendirian. Oleh itu, ia memerlukan peranan sektor swasta yang lebih besar.



9. Kewujudan sistem latihan kemahiran yang berkesan amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara. seperti sistem pendidikan yang lain, sistem latihan kemahiran juga harus dipertingkatkan. Saya difahamkan sistem latihan kemahiran secara konvensional turut akan beralih kepada sistem latihan dan pendidikan secara elektronik (atau dikenali sebagai "E-Training"). Institusi pendidikan dan latihan di dalam negara telah mula menggunakan sistem E-Training dan penggunaannya akan dikembangkan lagi. Antara penggunanya ialah Institusi Latihan Jabatan Tenaga Rakyat di bawah Kementerian Sumber Manusia yang akan melaksanakan sistem latihan kemahiran E- training ini (yang turut akan dilancarkan pada pagi ini). E-Training akan menawarkan persekitaran latihan yang interaktif, membolehkan penuntut belajar mengikut kesesuaian tempat dan masa mereka, dan menyediakan pembelajaran secara jarak jauh bagi membolehkan seseorang individu mengikuti latihan tanpa hadir ke institut. walaupun perkembangan ini dialu-alukan, saya berharap sistem latihan ini akan tetap mengekalkan latihan praktikal yang sudah semestinya menjadi asas utama dalam latihan kemahiran.



Saudara dan saudari sekelian,



10. Saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Sumber Manusia di atas usaha-usahanya membangunkan tenaga kerja mahir, terutamanya bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kementerian telah berjaya membangunkan 20 buah institut latihan, dan bilangan ini akan bertambah apabila kesemua institut yang dirancang di bawah rmk8 siap dibina. saya dimaklumkan Institut-institut tersebut kini menawarkan 33 kursus di peringkat sijil dan 20 kursus di peringkat diploma; manakala seramai 14,141 orang pelajar peringkat sijil dan diploma telah dikeluarkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke tujuh. Oleh kerana latihan kemahiran begitu penting kepada pembangunan negara seterusnya, saya berharap usaha-usaha tersebut dapat dipertingkatkan lagi, baik dari segi kuantiti mahupun kualiti sumber manusia yang dihasilkan.



11. Maka dengan itu, dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan secara serentak pembukaan Pusat Latihan Teknologi Tinggi dan Institut Latihan Perindustrian, Jabatan Tenaga Rakyat, iaitu ADTEC Shah Alam, ADTEC Mahang, ADTEC Batu Pahat, ADTEC Taboh Melaka, I.L.P. Kangar, I.L.P. Muar, I.L.P. Pedas, I.L.P. Kota Kinabalu dan I.L.P. Kota Samarahan, serta merasmikan e-training bagi institusi latihan Jabatan Tenaga Rakyat.



Sekian, terima kasih.





Kami menerima 4,512,314 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri