English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS SEMINAR MEMPERINGATI 100 TAHUN KELAHIRAN ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN
Lokasi : HOTEL LEGEND, KUALA LUMPUR
Tarikh : 10-02-2003
 











Pada jam 10.25 malam, 6 Disember 1990 berakhirlah hayat Tunku Abdul Rahman Putra, tatkala berpisahnya roh dari jasad. Hospital Kuala Lumpur diselebungi mendung. Di Hospital Kuala Lumpur, Tunku telah melalui hari-hari terakhir hayatnya. Segala ikhtiar diusahakan oleh pasukan perubatan supaya usia Tunku dapat dilanjutkan. Tetapi sesuatu kematian itu memperlihatkan kebesaran ILLAHI yang tidak dapat ditandingi oleh manusia; ALLAH maha penentu segala sesuatu, Yang menurunkan ujian, Yang menganugerahkan nikmat, Yang memberikan kehidupan, Yang menetapkan kematian:



"..Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula didahulukan.." (ayat 34, surah Al-Araaf)



2. Seluruh negara berada dalam suasana muram sebaik menerima berita kembalinya Tunku ke Rahmatullah. Terasa satu kehilangan paling besar. Kehilangan bukan sahaja kerana telah berakhirnya hayat seorang insan bernama Tunku Abdul Rahman Putra, tetapi kehilangan yang lebih dari itu. Bagi negara dan warga, telah padam satu kandil kemerlap, pembawa cahaya di malam gelap. Darinya telah terpancar sinar kemanusiaan sejagat yang berakar dari hati insan yang berjiwa besar, insan yang jernih hati, insan yang bersifat pemaaf, insan yang senantiasa menyemarakkan semangat persaudaraan dan insan yang senantiasa menyuarakan kedamaian. Darinya telah dipancarkan sinar kasih dan sinar sayang yang menjadi asas perpaduan kaum dan hubungan harmoni di antara agama dan di antara kaum yang menjadi gagasan kekuatan warga di sebuah negara merdeka.



3. Dengan penuh hikmah dan secara penuh diplomasi, Tunku berjaya membina gagasan perpaduan dan gagasan kerjasama di antara kaum dan di antara agama di negara ini. Kebijaksanaan pendekatan yang menjadi amalan Tunku, merupakan kunci untuk membolehkan rakyat berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya, berbilang bahasa di negara ini dapat hidup rukun dan damai, bersatu, serta saling menghormati - saling memahami di antara satu sama lain. Lalu warga di hari ini dapat mewarisi sebuah negara bangsa yang stabil dari segi politik - yang makmur dari segi ekonomi.



4. Tunku adalah insan yang kaya dengan sifat kemanusiaan dan kaya dengan sifat belas kasihan. Sejarah kelahiran Tunku, bermula dari cerita yang diolah oleh bondanya, Che Menjalara untuk menyelamatkan Penyimpan Mohor kepada Sultan Kedah dari dihukum bunuh serta isteri dan anak-anaknya dari di kerat ibu jari mereka kerana jenayah tidak amanah yang dilakukan oleh Peyimpan Mohor tersebut. Che Menjalara berdatang sembah memohon Sultan Abdul Hamid menangguhkan hukuman atas alasan beliau sedang hamil, walaupun sebenarnya beliau tidak hamil. Niat suci Che Menjalara mendapat lindungan ILLAHI apabila beliau kemudian hamil dan janin yang dikandungannya telah diputerakan pada 8hb. Februari 1903, sebagai putera yang kedua puluh kepada Sultan Kedah ke 24.



5. Meski seorang putera Sultan, Tunku amat rendah diri sifatnya. Di kalangan rakan-rakan sebaya, Tunku dikenali sebagai Tunku Putra, namun bonda dan kekanda- kekandanya selesa memanggilnya secara timang-timangan dengan nama `Awang'; satu nama yang begitu biasa di kalangan rakyat jelata. Semasa berkhatan, Tunku disertai oleh tujuh rakan-rakan sepermainannya yang terdiri dari anak rakyat biasa. Kebiasaan Tunku bermesra dengan rakyat biasa memberikan pengalaman penting yang amat relevan dalam membentuk kemahiran berkomunikasi secara berkesan di hari dewasa Tunku terutama sewaktu bergerak di bidang politik.



6. Tunku memulakan pengajian di sekolah Melayu disamping mengikuti pengajian Al-Quran disebelah petang. Sewaktu memasuki sekolah Inggeris, Tunku mendapat pengawasan dari Master Mohamad Iskandar (bapa kepada Dato' Seri Dr. Mahathir). Tunku berkesempatan mengikuti pengajian di Debsurin School, Bangkok dan selepasnya ke Penang Free School sebelum melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun 1920. Ketika meninggalkan tanah air Tunku berusia 17 tahun. Kerana rasa hormat yang tinggi dan rasa kasih yang mendalam terhadap bondanya, sebaik sampai di Little Stukeley, Tunku mengutuskan warkah menceritakan keadaan di England untuk pengetahuan bondanya.



7. Sewaktu di England, Tunku bergiat aktif dalam organisasi berpesatuan. Tunku telah menubuhkan Persatuan Melayu United Kingdom dan menjadi Setiausaha Agong pertama, sementara Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan dilantik menjadi Presiden pertama. Dengan kehendak Allah swt, rangkaian kerjasama ini kemudiannya muncul semula dalam tahun 1957, apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman ditabalkan sebagai Yang Di Pertuan Agong pertama dan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri pertama negara kita.



8. Tunku juga aktif dalam bidang sukan. Walaupun Tunku adalah anak Melayu berkulit gelap, kebolehan Tunku menyepak bola secara tepat dan kepantasan Tunku berlari hingga mengatasi pemain-pemain tempatan memberikan Tunku kelebihan hingga dipilih mengisi posisi sayap kanan bagi pasukan bola sepak Little Stukeleys dan di kalangan penyokong, Tunku dikenali dengan panggilan `Bobby'. Keberanian memperlihatkan bakat dan sikap tidak mudah mengalah telah membina keyakinan dirinya untuk berasa setanding dengan pemuda- pemuda Inggeris malah penerimaan dirinya dalam pasukan bola sepak tersebut dipermudahkan melalui sifat Tunku yang senang berkawan.



9. Kisah-kisah Tunku sebagai anak muda sewaktu alam pelajarnya penuh berwarna-warni. Kerana wataknya yang berterus terang, Tunku dalam hayatnya tidak pernah berselindung atau bersifat `hipokrit' malah secara bertanggung jawab mengakui secara terbuka segala kebenaran yang dikatakan tentang dirinya. Disebaliknya Tunku pula menasihatkan pihak-pihak yang mensasikan cerita hidupnya sewaktu menjadi penuntut di United Kingdom supaya tidak melakukan dosa kerana mengumpat dan mencerca peribadi orang lain yang amat ditegah oleh Islam.



10. Tunku kembali ke Kedah pada usia 28 tahun. Meski seorang putera Sultan, Tunku tidak diberi layanan istimewa. Tunku telah dihantar bertugas di daerah- daerah yang masih mundur, di Kulim, di Padang Terap dan di Langkawi. Lokasi yang terpinggir ini telah menjadi jembatan penghubung paling berkesan di antara hati rakyat dengan Tunku dan hati Tunku dengan rakyat. Tunku dapat menghayati erti kesusahan dan memahami makna penderitaan. Tunku sendiri mengalami peristiwa hiba kerana kehilangan isterinya Meriam disebabkan malaria ketika bertugas sebagai Pegawai Daerah Padang Terap. Di setiap tempat bertugas, Tunku secara konsisten memperlihatkan sifat belas kasihan, sifat kemanusiaan, sifat kasih, sifat ikhlas, sifat setia, sifat berani. Tunku seringkali berbeza pendapat dengan pihak atasan kerana kelantangannya menyampaikan suara rakyat. Tunku memperlihatkan daya kepimpinan dan daya mengurus yang istimewa lagi berkesan hinggakan setiap sesuatu yang dirancang untuk dilaksanakan mendapat sokongan dan penyertaan orang ramai. Semangat berunding dan amalan bermesyuarah senantiasa dilakukan terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh hidup rakyat.



11. Tunku mendapat kepercayaan memimpin UMNO dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Ogos 1951, bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Dalam pemilihan jawatan Yang Di Pertua UMNO, Tunku memperolehi 57 undi dari 75 perwakilan yang layak mengundi. Pencabar terdekat ialah C. M. Yusof dari Perak yang memperolehi 11 undi. Tunku mensifatkan pertandingan untuk mengisi jawatan dalam parti sebagai satu proses pemilihan pemimpin dan diterima dengan fikiran terbuka dan hati yang lapang sesuai dengan semangat demokrasi yang didukong oleh parti. Sikap terbuka Tunku kepada saingan politik nyata terbukti kerana sewaktu Tunku menjadi Perdana Menteri, C.M. Yusof telah dilantik menjadi Yang di Pertua Dewan Rakyat.



12. Sifat ikhlas dan rendah hati serta jiwa takwa kepada ILLAHI diperlihatkan ketika Tunku menyampaikan ucapan kemenangan selepas pemilihan sebagai Yang Di Pertua UMNO.



Quote: "Saya merakamkan penghargaan kepada usaha besar Dato' Onn dalam menyatu padukan orang Melayu dan saya memohon pertolongan dan pertunjuk ILLAHI untuk melaksanakan tanggung jawab berat yang harus diteruskan."



13. Kepada rakan-rakan rapatnya, Tun Abdul Razak, Sheikh Ahmad, Sulaiman Abdul Rahman dan Dr. Ismail Abdul Rahman Tunku menyatakan,



Quote:



"Terimalah saya sebagai saya, yang memiliki kelemahan di samping kekuatan. Pada usia 48 tahun, saya tidak berjanji dapat mengubah sifat-sifat peribadi saya".



14. Tunku memperlihatkan contoh bahawa kesediaan memegang jawatan tinggi memerlukan pengorbanan besar. Atas hasrat mahu menumpukan perhatian, fikiran, tenaga dan masa kepada tugas-tugas parti, Tunku mengambil ketetapan meletakkan jawatan sebagai Presiden Mahkamah Session di Kuala Lumpur. Memahami situasi tersebut, Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi Britain ketika itu menawarkan Tunku kerusi menjadi anggota Majlis Perundangan Persekutuan dengan elaun RM500.00 sebulan. Tunku menjual dua buah rumah miliknya di Pulau Pinang untuk membiayai urusan parti. Tunku menanggung gaji seorang kerani dengan wangnya sendiri untuk menguruskan pentadbiran parti. Tunku juga memandu keretanya sendiri untuk berkunjung dari negeri ke negeri.



15. Dalam ucapan sulung sebagai Yang Di Pertua UMNO, Tunku mengingatkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah negeri Melayu namun orang Melayu mengalu-alukan kaum-kaum lain yang membuktikan kesetiaan kepada Tanah Melayu. Tunku memperlihatkan sifat toleransi dan tidak tamak dengan kesediaan berkongsi kuasa dalam pilihanraya Persekutuan yang diadakan pada 27 Julai 1955. Walaupun Tunku menghadapi tuntutan untuk meletakkan 90 peratus calon Melayu, melalui PERIKATAN, Tunku meletakkan 35 calon Melayu, 15 calon Cina dan 2 calon India. Kesemua calon PERIKATAN kecuali seorang calon Melayu di Krian menang di dalam pilihanraya tersebut; berbanding dengan PARTI NEGARA yang meletakkan 29 calon Melayu dan seorang calon Cina, tetapi kalah kesemuanya. Pada 9 Ogos 1955, anggota Jemaah Menteri yang pertama telah mengangkat sumpah jawatan dengan komposisi 6 Melayu, 3 Cina dan 2 India.



16. Ketegasan dan azam Tunku mahu memerdekakan negara tidak dapat dilemahkan oleh sesiapa jua. Ketika menyampaikan titah sempena sambutan Jubli Intan memerintah Johor, Sultan Ibrahim secara terbuka menyuarakan supaya tuntutan memerdekakan negara tidak wajar diperjuangkan dengan terlalu ghairah. Tunku lalu membuat keputusan meninggalkan Johor bersama anggota Jemaah Menterinya untuk pulang ke Kuala Lumpur, lalu mengutus warkah kepada Menteri Besar Johor memaklumkan dukacita mereka kerana tidak akan menghadiri acara- acara sambutan seterusnya.



17. Namun Tunku memperlihatkan contoh, sempadan di antara ketegasan perjuangan rakyat dengan kesetiaan kepada Raja. Untuk itu Tunku tetap mengadakan rundingan dengan wakil Raja-Raja Melayu dan rombongan merundingkan kemerdekaan dengan kerajaan British dilaksanakan secara bersama dengan wakil Raja-Raja Melayu. Pada 8 Februari 1956, Tunku mencapai usia 53 tahun. Pada hari tersebut Tunku mendapat hadiah hari ulang tahun keputeraan paling berharga. Perjanjian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di tanda tangani pada hari tersebut di antara Tunku dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Britain bagi tanah jajahan.



18. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diistiharkan pada 31 Ogos 1957. Tunku memilih berpakaian Melayu penuh beristiadat, lengkap bertanjak dengan berkeris. Tunku memulakan pengistiharan kemerdekaan dengan kalimah `Bismillahir Rahmanir Rahim'. Peristiwa penting tersebut dihadiri oleh rakyat dari segenap lapisan, pelbagai kaum, pelbagai agama; dari pelbagai perkhidmatan, kehakiman, pentadbiran awam, pasukan keselamatan, pemimpin politik dan badan-badan perniagaan, hatta Raja-Raja Melayu.



19. Tunku menghadapi tanggung jawab berat dan cabaran besar untuk mengisi kemerdekaan supaya kemerdekaan dapat memberi erti dan makna kepada warga. Sistem pentadbiran yang cekap lagi berkesan diwujudkan. Tunku berpegang kepada prinsip bahawa perkhidmatan awam hendaklah diisi oleh kumpulan professional, yang neutral dari segi politik, dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan yang bebas. Jawatan-jawatan utama perlu segera diserahkan kepada warga sendiri sedangkan bilangan mereka yang layak amatlah terbatas. Peluang pendidikan untuk anak bangsa perlu diperbanyakkan, prasarana asas perlu dibangunkan. Keselamatan negara adalah satu kemestian dan menjadi lebih mencabar kerana negara ketika itu menghadapi ancaman dalaman dari Parti Komunis Malaya. Usaha mendapat pengiktarafan di peringkat antara bangsa dan usaha menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain perlu dirintis. Kestabilan politik perlu ditingkatkan dan pertumbuhan ekonomi perlu dijanakan. Hubungan baik, persefahaman, sikap saling menghormati dan jalinan kerjasama di antara warga pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya, pelbagai bahasa perlu dijamin.



20. Tunku secara bijaksana telah dapat memberikan tempat dan kedudukan kepada semua pihak melalui penggubalan satu perlembagaan negara yang cukup komprehensif dan berwawasan jauh. Agama Islam dijadikan agama negara dan agama-agama lain diberikan kebenaran untuk dianuti. Institusi Raja-Raja Melayu dipertahankan melalui formula Raja Berperlembagaan yang terus mempertahankan kedaulatan Institusi tersebut. Bahasa dan Kebudayaan Melayu mengambil keutamaan dan menjadi teras kebudayaan nasional, tanpa niat menghalang amalan bahasa dan kebudayaan lain. Kedudukan istemewa orang Melayu dijamin sebagai warga peribumi di negara ini. Sistem kerajaan yang dapat mengimbangkan di antara satu sama lain diperkenalkan dengan mengwujudkan tiga cabang utama dalam jentera negara terdiri dari Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif.



21. Dalam menggubal dasar luar negara, sesuai dengan sentimen semasa dan rakyat yang begitu baru mengalami perang dunia kedua dan ingatan segar terhadap kekejaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dan sesuai dengan enviromen antarabangsa semasa yang terbahagi kepada puak komunis dan bukan komunis, Tunku lebih selesa dengan puak barat dan negara-negara Komanwel. Di samping itu, mungkin didorong pengaruh pemikiran sebagai seorang Islam, Tunku lebih selesa berdamping dengan negara-negara Arab dan bertanggung jawab menganjurkan Persidangan Islam pertama dalam tahun 1964 yang dihadiri oleh 19 negara-negara Islam di Kuala Lumpur. Usaha Tunku tidak berakhir disitu. Usaha tersebut mendapat perhatian dari Al Malik Faisal, sejak tahun 1960 ketika Putera Faisal masih menjadi Menteri Luar Saudi Arabia. Dalam tahun 1970 Al Malik Faisal setelah mendapat bayangan hasrat Tunku melepaskan jawatan Perdana Menteri menjemput Tunku mengisi jawatan Setiausaha Agong Sekretariat Islam di Jeddah. Apabila Tunku menyatakan jawatan tersebut kurang sesuai dengan watak peribadinya, Al-Malik Faisal yang dikenali sukar senyum, telah menjawab dengan senyuman mengatakan,



Quote: "Saya tahu segala-galanya tentang Tunku, Saya bukannya mahu melantik seorang imam, Saya menjemput Tunku membantu menguruskan perpaduan di kalangan umat Islam yang saya yakin Tunku dapat memenuhinya".



22. Ketika memenuhi tanggung jawab yang diamanahkan oleh Al-Malik Faisal, Tunku bukan sahaja berjaya merintis jalan ke arah menyatukan pemimpin-pemimpin negara Islam, malah Tunku adalah arkitek yang telah mencetuskan penubuhan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah instrumen kewangan untuk membantu negara-negara dan umat Islam yang miskin.



23. Sikap Almarhum Tunku yang mengutamakan keadilan dan perikemanusiaan juga menjadikan Almarhum penentang ulung "apartheid" Afrika Selatan. Almarhum telah mengutuk dasar tersebut di Persidangan Komanwel di London pada tahun 1960 dan melancarkan pemulauan terhadap barang-barang Afrika Selatan yang kemudiannya turut disertai oleh beberapa negara lain. Akibat tekanan ini, Afrika Selatan telah terpencil dari Komanwel pada tahun 1961.



24. Tunku adalah tokoh yang mempunyai minat yang pelbagai, oleh itu kegiatan sukan dan kebudayaan tidak terlepas dari perhatiannya. Melalui Pesta Bola Merdeka yang diperkenalkan dalam tahun 1957, Tunku telah memberi nafas baru kepada Persekutuan Bola Sepak Asia dan bermula dari situ dilantik memimpin Persekutuan tersebut selama 19 tahun. Tunku juga berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan Melayu. Malah Hamzah Dolmat telah Tunku jemput dari Singapura untuk mengembangkan bakat seni di Kuala Lumpur. Penubuhan Kementerian Penerangan serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan adalah dalam rangka usaha Tunku untuk memajukan sukan dan kebudayaan.



25. Dalam kebatasan sumber dan kepakaran, sesuai dengan keadaan ketika itu, Tunku telah melihat keperluan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang diperlengkapkan dengan kemudahan dan monumen tertentu. Pembinaan Mesjid Negara, Kampus Universiti Malaya Kuala Lumpur, Stadium Merdeka, Stadium Negara, Muzium Negara, Tugu Negara, Bangunan Parlimen, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang adalah di antara usaha-usaha melalui kerajaan yang dirintis oleh Tunku.



26. Tunku juga adalah insan biasa, seorang hamba Allah yang pastinya tidak lepas dari kekurangan dan kelemahan. Dan dalam keadaan berada di puncak keriangan kejayaan untuk menjadi Perdana Menteri yang paling gembira di dunia, Tunku menghadapi dugaan. Tragedi 13 Mei, berpunca dari rusuhan kaum meninggalkan luka dalam dan parut besar di hati Tunku. Tunku tidak dapat menahan perasaan sedih dan muram kerana peristiwa tersebut. Bila diteliti, bila dihalusi, antara punca kepada dugaan tersebut adalah kerana Tunku telah terlalu banyak di buai dengan cerita-cerita kejayaan dan kegembiraan. Sedikit demi sedikit Tunku telah mula dijauhkan dari realiti dan kebenaran.



27. Inilah yang harus dijadikan pengajaran dan ingatan kerana pemimpin terutama yang berada di kedudukan yang tinggi bergantung kepada keikhlasan nasihat orang-orang yang sering berdamping dan berada di sekelilingnya. Orang-orang yang mendapat kepercayaan pemimpin hendaklah memenuhi amanah dan tanggung jawab dengan bersifat jujur, bersifat ikhlas, berani berkata benar dan mengutamakan kepentingan umum dari kepentingan diri atau kumpulan.



28. Warna-warna kehidupan dan liku-liku jalan perjuangan yang dirintis oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah meninggalkan kepada kita satu khazanah berharga. Kita kini mewarisi sebuah negara merdeka yang stabil secara politik dan makmur dari segi ekonomi. Kita dapat meneruskan wawasan dan usaha Tunku membina satu barisan warga yang bersatu padu meski datang dari pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya, pelbagai bahasa.



29. Tunku telah memperkenalkan kepada negara ini amalan perkongsian dalam kerajaan. Perkongsian kuasa ini telah dijayakan oleh Parti Perikatan dan terus diikuti oleh Parti Barisan Nasional. Formula inilah yang memberi kekuatan dan pengaruh kepada kerajaan Barisan Nasional hari ini. Semua dasar kerajaan mempunyai matlamat utama iaitu perpaduan negara. Perpaduan akan membawa kepada kestabilan. Kestabilan akan menjayakan pemerintahan dan pembangunan negara dan dengan itu rakyat dan negara akan menikmati keamanan, keselamatan dan kemakmuran. Institusi demokrasi melalui pemilihan kerajaan yang ditentukan oleh rakyat tetap diteruskan. Pergantungan institusi demokrasi berikutan Tragedi 13 Mei 1969 hanyalah untuk satu tempoh yang singkat. Sebaik sahaja keamanan negara dipulihkan, MAGERAN (MAJLIS GERAKAN NEGARA) dibubarkan dan kuasa Parlimen dikembalikan.



30. Demikian di antara jasa, di antara khidmat, di antara bakti, di antara sumbangan, di antara peranan, di antara pengorbanan yang telah disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, seorang insan, seorang pemimin, seorang negarawan yang memiliki begitu banyak sifat-sifat kemuliaan.



31. Tunku semasa hayatnya telah menjadi milik dan kepunyaan umum. Tunku telah dapat menyentuh setiap hati dan setiap jiwa rakyat. Pada hari kemangkatan Tunku, seluruh kita terasa hiba. Dunia merasakan kehilangan seorang kawan yang jujur lagi ikhlas. Negara kehilangan seorang bapa, seorang negarawan sejati. Ketika jenazah Tunku ditempatkan di Bangunan Parlimen untuk diberikan penghormatan terakhir, Raja, pemimpin dan rakyat dari segenap lapisan, dari pelbagai kaum, dari pelbagai agama berkunjung beramai-ramai. Di antara mereka, lebih ramai yang tidak pernah berpeluang bertemu Tunku semasa hayatnya, lebih ramai mereka dari kalangan orang bawahan, pekerja biasa, buruh, petani, penjaja kecil, penjual ikan, pemandu teksi, pelajar dan mahasiswa, dan pelbagai kumpulan lagi. Kesemuanya memperlihatkan wajah sedih, wajah muram, wajah duka, wajah hiba, ada yang menangis sedu, ada yang teresak- esak; lambang keikhlasan kasih dan tanda keikhlasan sayang kepada seorang tokoh, seorang pemimpin, seorang negarawan yang amat berjasa.



32. Tunku Abdul Rahman Putra telah meninggalkan kita secara jasad. Peninggalan Tunku yang amat berharga sedang kita warisi. Ingatan kita kepada Tunku akan lebih bererti dan tanda kasih kita kepada Tunku akan lebih bermakna, jika kita dapat meneruskan usaha-usaha baik dan memanjangkan niat murni Tunku menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang aman - sebuah negara bangsa yang makmur. Penghargaan kita kepada jasa Tunku menjadi lebih bererti dan penghormatan kita kepada bakti Tunku menjadi lebih bermakna jika kita dapat mewujudkan perpaduan yang tulin lagi padu di antara warga pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya, pelbagai bahasa di bumi Malaysia ini.



33. Marilah sama-sama generasi kita memperkukuhkan azam dan memperkuatkan tekad berusaha ke arah menjamin keamanan dan kemakmuran Malaysia supaya kita juga dapat mengikuti jejak langkah Tunku, mewariskan kepada generasi muka sebuah negara bangsa yang merdeka, sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi mulia, sebuah negara bangsa yang aman lagi makmur.



34. Sama-samalah di Majlis ini kita membacakan suratul FATIHAH, semoga diterima Allah dan ganjarannya disampaikan kepada Al Marhum Tunku Abdul Rahman Putra.



Terima kasih.



Kami menerima 4,625,631 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri