English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PENEMPATAN SEMULA SETINGGAN KAMPUNG SUNGAI KAYU ARA TENGAH
Lokasi : KAYU ARA, DAMANSARA
Tarikh : 17-02-2003
 











Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis penempatan semula setinggan di Kampung Kayu Ara Tengah di Damansara.



2. Saya amat gembira melihat begitu ramai penduduk kampung sungai kayu ara berada di sini untuk menyaksikan, menyertai dan menikmati hasil usaha kerajaan untuk menaikkan taraf hidup golongan masyarakat bandar yang kurang bernasib baik. Ini adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa peka untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan pembelaan.



3. Memang menjadi wawasan kerajaan untuk merapatkan jurang antara golongan berada dan kurang berada terutama untuk mengimbangkan kualiti kehidupan mereka. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan pembela rakyat, kita akan terus berusaha untuk memberi kemudahan perumahan ini.



4. Kerajaan faham akan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk setinggan dinegara ini. Umpamanya penduduk kampung sungai kayu ara ini, yang sebelum ini terpaksa duduk di kawasan persekitaran yang daif, tidak selesa dan sesak. Untuk mengatasi masalah itu, kerajaan terpaksa membangunkan kawasan-kawasan setinggan bagi memberi keselesaan kepada penduduknya. Kita akan pastikan setiap projek perumahan baru itu disediakan kemudahan-kemudahan rekreasi, kawasan lapang dan kemudahan- kemudahan lain yang diperlukan bagi tujuan mempertingkatkan lagi taraf keselesaan penduduk.



5. Teras dasar perumahan yang diutamakan di bawah rancangan malaysia ke-8 ialah penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa oleh penduduk dari semua peringkat pendapatan dengan penekanan diberi kepada pembangunan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.



6. Di bawah RM ke-8, adalah dianggarkan keperluan rumah berjumlah 782,300 unit. Ini adalah disebabkan oleh pertambahan penduduk, pembentukan isi rumah baru dan penggantian rumah yang sedia ada. Daripada jumlah yang dirancangkan, sebanyak 93 peratus adalah merupakan keperluan baru manakala bakinya adalah untuk penggantian rumah. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.223 bilion untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai. Bagi memastikan rumah yang dibina mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa, kerajaan akan terus menyediakan program sokongan melalui penyediaan kemudahan infrastruktur dan langkah-langkah penguatkuasaan yang akan memastikan pembinaan rumah yang sistematik dan cekap.



7. Di bawah program perumahan kos rendah awam, kerajaan telah menetapkan rekabentuk rumah seperti berikut; keluasan rumah 60 meter persegi, 3 bilik tidur, ruang tamu, dapur dan satu bilik air. Kemudahan sosial seperti masjid, dewan komuniti, rumah kedai dan sekolah akan disediakan oleh kerajaan. Saya sedar tentang rungutan pembeli bahawa ada rumah kos rendah awam terdahulu, sama ada flet atau rumah teres hanya mempunyai satu atau dua bilik tidur dan penghuninya terpaksa tinggal dalam keadaan yang sempit bagi keluarga yang besar. Ini juga tidak menepati konsep hidup selesa. Sebab itu kerajaan telah menetapkan syarat-syarat ketat pada semua pemaju projek perumahan kos rendah awam mematuhi syarat tersebut.



8. Saya juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan barisan nasional memahami akan masalah-masalah yang dihadapi oleh tuan-tuan dan puan-puan sekelian, dan kami sedang melakukan apa yang terdaya untuk menyusun semula struktur masyarakat, merapatkan jurang perbezaan pendapatan, membasmi kemiskinan dan yang paling penting sekali, untuk menyediakan peluang-peluang yang saksama untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat malaysia.



9. Sepanjang tempoh rm ke-8, kerajaan akan mempergiatkan lagi usaha-usaha untuk menaikkan taraf hidup rakyat melalui peningkatan kemudahan asas yang merangkumi kemudahan perumahan, kesihatan, rekreasi dan pendidikan. Projek- projek perumahan dan perkhidmatan sosial akan terus menjadi keutamaan kerajaan dalam rancangan pembangunan negara dan juga untuk mempertingkatkan mutu kehidupan dan membantu mewujudkan masyarakat yang penyayang.



10. Segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan rakyat tidak akan membawa erti sekiranya kita tidak dapat memupuk "culture of maintenance" atau budaya selenggara di dalam jiwa kita. Rata-rata kita lihat negara kita ini mempunyai infrastruktur yang terkini dan cantik serta bangunan-bangunan yang hanya boleh dilihat dinegara maju. Malangnya, budaya selenggaraan tidak dipraktikkan. Tidak bermakna jika kita bermegah dengan Menara Berkembar Petronas jika kawasan persekitarannya kotor dan tidak terjaga. Tabiat mengambil jalan mudah, seperti membuang sampah ditepi jalan, di dalam longkang dan sungai sepatutnya dikikis. Kita sepatutnya gunakan kemudahan yang sedia ada dan berusaha untuk menjaga persekitaran kita.



11. Apabila kita tidak mengamalkan tabiat ini, pelbagai masalah akan wujud. Umpamanya di bandar-bandar besar negara ini, adalah menjadi satu perkara yang agak menghairankan kenapa banjir berlaku sekiranya hujan lebat. Ini dapat kita lihat sendiri di kuala lumpur, pulau pinang dan lain- lain bandar besar. Sistem perparitan yang disediakan di bandar-bandar ini adalah antara yang terbaik dan ada juga pihak-pihak berkuasa tempatan menyediakan sistem penebatan banjir. Malangnya, sistem perparitan atau penebatan banjir ini tidak berkesan. Antara sebab berlakunya banjir ialah longkang dipenuh sampah sarap dan tidak mampu menampung pengaliran air.



12. Di sini saya ingin menggesa pihak-pihak berkuasa tempatan supaya mengamalkan budaya penyelenggaraan, atau "culture of maintenance". Kepada orang ramai, saya ingin menyeru supaya kemudahan yang ada digunakan dengan cara yang betul iaitu dengan membuang sampah sarap di tempat- tempat yang ditentukan, bukan membuangnya di longkang, sungai atau ditepi jalan.



13. Kepada pihak-pihak berkuasa tempatan, selenggaralah apa yang patut diselenggarakan. Jangan tunggu sehingga bencana menimpa baru pekerja-pekerja dikerah untuk menyelesaikan masalah. Saya percaya tiap-tiap pihak berkuasa tempatan mempunyai peruntukan untuk penyelenggaraan longkang, pembuangan sampah dan lain-lain lagi. Gunakanlah peruntukan ini dengan sebaik-baiknya. Tidak guna kita ghairah memasang lampu berwarna-warni untuk menghiasi bandar yang persekitarannya kotor. Saya berharap agar penyelenggaraan itu sentiasa bergerak dan tidak tertumpu hanya bila berlaku sesuatu yang tidak baik. Cukup sudah rasanya kita membaca dalam akhbar berita-berita satu pihak menyalahkan pihak yang lain sekiranya berlaku bencana. Usahlah kita tuduh menuduh. "fix the blame, don't find somebody to blame".



14. Berbalik kepada kawasan baru ini, saya berdoa mudah- mudahan segala-gala yang baik dalam kehidupan masyarakat di tempat ini akan wujud. Inilah yang saya hasratkan dapat wujud di tempat ini - masyarakat yang bersatu padu dan hidup aman sejahtera.



15. Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada puncakdana kerana menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan projek perumahan bagi penempatan semula penduduk-penduduk di sini. Usaha puncakdana, yang patut dicontohi oleh pemaju-pemaju lain, adalah satu bukti "smart partnership" antara kerajaan dan pihak swasta. Saya memberi jaminan bahawa kerajaan barisan nasional diperingkat pusat dan negeri akan terus menyokong pemaju- pemaju yang berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan kehidupan rakyat di negara ini.



Terima kasih.





Kami menerima 4,512,221 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri