English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : PELANCARAN SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA
Lokasi : TAMAN TASIK CYBERJAYA
Tarikh : 03-03-2003
 











Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2003 pada hari ini.



2. Saya merasa gembira kerana 3 Mac setiap tahun kita terus dapat mengadakan sambutan Hari Landskap Negara. Hari Landskap Negara adalah amat bermakna untuk kita semua. Ia bukan sahaja bertujuan untuk mencapai Wawasan Kerajaan menjadikan Malaysia Negara Taman menjelang tahun 2005 tetapi sebagai langkah awal ke arah menjadi "a fully developed Garden Nation" atau Negara Taman yang Maju dan berteknologi tinggi menjelang tahun 2020. Impian ini memang boleh kita capai. Yang perlu ialah komitmen, kegigihan, kerjasama dan kemahuan semua pihak, baik perancang, pelaksana atau pengguna.



3. Pembangunan yang pesat hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan telah membawa perubahan ketara terhadap alam sekitar negara, terutamanya persekitaran yang berdekatan dengan kawasan perbandaran. Perubahan ini berlaku begitu cepat kesan hasil pertumbuhan ekonomi yang pesat dan menggalakkan. Perubahan ketara ini berlaku ke atas alam sekitar negara. Kawasan hutan telah menjadi kawasan pembangunan. Dalam merancang pembangunan yang kita perlu pastikan ialah pembangunan itu dilaksanakan dengan menyeluruh (holistic), mapan dan terancang. Tujuannya ialah untuk meningkatkan kualiti hidup dan pencapaian pembangunan mapan tanpa memudaratkan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Dalam hubungan ini, kesedaran untuk memelihara alam sekitar melalui cara penglandskapan yang profesional dan sistematik di dalam segala rancangan pembangunan negara perlulah diutamakan.



4. Yang menyedihkan masih ada pihak yang mengabaikan aspek yang saya sebutkan tadi. Ketiadaan keseimbangan antara pembangunan dengan perancangan gunatanah dan penglandskapan untuk kawasan yang lebih sensitif terus berlaku. Kegiatan menebang pokok-pokok, penolakan tanah di kawasan yang berbukit-bukau serta menarah tanah tebing bukit masih berjalan dengan nyata dan ketara. Kawasan bukit yang dulu indah dan hijau, kini sudah hilang dari pandangan kehijauannya. Akibat kerakusan itu maka berlaku bencana seperti banjir kilat, pencemaran air, udara dan tanah, hakisan tanah dan runtuhan serta kemerosotan kesuburan tanah.



5. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengakibatkan impak negatif terhadap kualiti persekitaran. Kita tidak boleh mengorbankan semua ini semata-mata atas nama pembangunan. Saya tidak dapat menerima alasan ini. Pembangunan tidak seharusnya disertai dengan pemusnahan pokok dan kawasan semulajadi secara menyeluruh. Dengan kemajuan teknologi dan kepakaran yang ada, kita boleh mengelakkan pemusnahan kawasan semulajadi ini. Yang demikian saya menyeru semua pihak yang berkenaan terutamanya pihak pemaju perumahan supaya mengamalkan sikap yang lebih bertanggungjawab dalam menjalankan kerja-kerja mereka. Saya juga menyeru agar pihak berkuasa tempatan mengambil langkah yang berkesan mengawal aktiviti-aktiviti seperti ini tidak diulangi pada masa akan datang. Undang- undang yang sedia ada sudah mencukupi untuk mendakwa mereka yang ingkar mematuhi peraturan di mahkamah dan tiada sebab ia harus di lambat-lambatkan kerana perbuatan ini dilakukan secara jelas.



6. Sejak Deklarasi Langkawi 1989 dan Deklarasi Kuala Lumpur 1992 berkenaan Alam Sekitar dan Pembangunan, Kerajaan telah memberi penekanan tentang kepentingan penghijauan bukan saja di negara kita tetapi juga dunia. Malaysia berpegang kepada pernyataan prinsip bagi hutan dalam Agenda 21 yang dipersetujui di Persidangan Antarabangsa Alam Sekitar di Rio de Janeiro dalam tahun 1992. Dalam pernyataan itu semua negara perlu mengambil bahagian dalam penghijauan dunia melalui penanaman pokok dan pemeliharaan pokok. Sebarang kerja penanaman pokok bukanlah untuk diri atau persekitaran negara tetapi ia turut menyumbang kepada peningkatan kualiti alam sekitar dunia, seperti cuaca, pengudaraan, sumber-sumber air, kepelbagaian biologi (flora dan fauna) dan pengeluaran makanan.



7. Bagi negara kita, kita telah mematuhi pernyataan tersebut. Kita telah banyak menanam pokok melalui Kempen Menanam Pokok sejak tahun 1997. Dalam tahun 2001 melalui Kempen "Millennium Tree Planting" kita telah menanam sebanyak 110,461 dalam masa satu minit dan rekod ini telah mencapai tahap Guinness World Record. Ini dengan jelasnya menunjukkan komitmen kerajaan dan seluruh rakyat terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan persekitaran untuk mencapai tahap kualiti hidup menyeluruh bukan sahaja untuk negara bahkan untuk dunia.



8. Saya juga merasa bangga dengan perlaksanaan program kempen penanaman pokok yang dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mensasarkan penanaman pokok sejumlah 6.5 juta pada tahun 2005 dan 20 juta pokok pada tahun 2020.Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah memberikan kerjasama padu dalam menjayakan program ini. Walau bagaimanapun saya merasakan masih ada ruang untuk semua Kerajaan Negeri mempertingkatkan lagi usaha menanam pokok di negeri masing-masing supaya sasaran 20 juta pokok dapat dicapai.



9. Selain daripada sasaran kuantiti, Kerajaan juga peka dengan kualiti landskap yang dihasilkan. Seperti yang kita ketahui Malaysia mempunyai banyak pokok-pokok yang cantik dan menarik sama ada daripada bunga, daun atau batang. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah mengarahkan semua Kerajaan Negeri supaya menanam tidak kurang daripada 30% daripada jumlah pokok-pokok yang ditanam dengan pokok yang mengeluarkan bunga yang berwarna atau daun yang bertukar warna. Kita mahu meningkatkan kualiti landskap kita supaya kelihatan lebih cantik dan ceria dan ini akan memberi impak yang kuat kepada pelancong negara luar. Baru-baru ini Kerajaan juga memutuskan agar setiap Bandar diadakan satu jalan yang di landskap dengan cantik seperti Bintang Walk di Kuala Lumpur, Hang Tuah Mall di Melaka dan Batu Pahat Walk di Johor, di mana ruang legar di landskap dengan indah dan pokok-pokok dihias dengan lampu-lampu supaya ia menjadi tempat tumpuan pelancongan.



10. Kerajaan sedar pembangunan landskap dan taman awam mempunyai peranan di dalam pembangunan sosial Negara. Dalam program PINTAS (Pelan Tindakan Sosial Negara) kerajaan bersetuju membiayai pembangunan taman-taman awam peringkat bandar dan wilayah untuk kesejahteraan rakyat. Kerajaan percaya dengan adanya kemudahan taman awam, rekreasi yang mencukupi akan membantu mengurangkan gejala sosial terutama di kalangan remaja. Saya gembira kerana usaha pembangunan Taman Awam ini telah pun dipelopori oleh Jabatan Landskap Negara semenjak ditubuhkan pada tahun 1996.



11. Saya merasa bangga kerana dalam masa yang singkat pembangunan bidang landskap telah begitu maju di Malaysia. Ini terbukti seperti yang kita dapat lihat di Putrajaya, Cyberjaya dan KLCC. Kita tidak mahu mewujudkan kawasan hijau dengan `concrete jungle' yang hodoh seperti yang kita dapat lihat dikebanyakkan negara maju.



12. Tugas untuk menjadikan Malaysia negara hijau bukan tugas kerajaan semata-mata. Ia hendaklah dipikul secara bersama oleh pihak swasta, misalnya pemaju, pekilang, dan sektor korporat atau orang perseorangan dengan menaja mengindahkan kawasan-kawasan tertentu di bandar atau kota. Suasana kehijauan ini akan menjadi sebahagian hidup masyarakat negara ini. Saya perlu sebutkan juga di sini mengenai kesukaan pihak tertentu menghias dalam bangunan atau di kawasan luar bangunan dengan bunga plastik. Walaupun dilihat cantik tetapi ia tidak menyumbangkan kepada kualiti alam sekitar.



13. Sesungguhnya sambutan Hari Landskap Negara telah berjaya sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat tentang pentingnya landskap dalam kehidupan harian. Malahan cara sambutan Hari Landskap Negara di Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila IFLA (International Federation of Landscape Architects) yang beribu pejabat di Peranchis telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Landskap Sedunia atau World Landscape Day mengikut model Malaysia. Ini bermakna kita boleh berjaya dalam apa jua bidang jika kita mempunyai komitmen, kesungguhan dan bersemangat Malaysia Boleh.



14. Saya percaya dengan keperihatinan yang ada pada setiap rakyat, Malaysia boleh mencapai matlamat menjadi sebuah Negara Taman yang indah, selesa, selamat dan progresif menjelang tahun 2020. Selaras dengan tema Hari Landskap Negara kali ini iaitu `Negara Indah Rakyat Sejahtera', saya menyeru semua pihak berganding bahu dan berusaha dengan penuh tekad untuk menjadi Malaysia Negara taman yang indah, bersih dan selamat.



15. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Hari Landskap Negara 2003.



Terima kasih.












? ?

Kami menerima 4,622,396 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri