English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : SIARAN LANGSUNG SEWAKTU TERCETUSNYA SERANGAN AMERIKA SYARIKAT KE ATAS IRAQ
Lokasi : PUTRAJAYA
Tarikh : 20-03-2003
 











Pada kira-kira jam 10.30 pagi, 20 haribulan Mac 2003, waktu tempatan, tentera Amerika Syarikat bersama Britain dan beberapa negara lain telah melancarkan serangan terhadap negara Iraq.



Serangan tersebut telah dilakukan tanpa mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia amat kesal dengan tindakan tersebut, kerana ia membelakangkan proses pelbagaihala dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta sangat bercanggah dengan undang-undang antarabangsa yang menjadi asas keselamatan dan kestabilan dunia.



Serangan tersebut tidak mendapat restu, malah dibantah secara keras oleh kebanyakan negara dan warga dunia termasuk dari kalangan rakyat Amerika Syarikat dan Britain sendiri. Malaysia telah berulang kali menyuarakan di PBB dan kepada Amerika Syarikat pendiriannya bahawa masalah Iraq hendaklah diselesaikan melalui proses pelbagaihala. Kekerasan dan peperangan sepatutnya hanya digunakan sebagai pilihan terakhir dengan kelulusan PBB apabila cara-cara lain jelas tidak berhasil. Malaysia berpendapat tiada bukti yang cukup atau alasan yang munasabah untuk menyerang Iraq. Negara tersebut telahpun mematuhi secara progresif perlucutan senjata selaras dengan usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MKPBB). Malaysia meragui dakwaan bahawa Iraq berupaya mengancam negara lain, apa lagi mengancam Amerika Syarikat yang merupakan kuasa ketenteraan terbesar di dunia dan terletak begitu jauh dari Iraq.



Dunia kini sedang berhadapan dengan saat-saat amat genting berikutan tindakan Amerika Syarikat serta sekutunya. Tindakan ini merupakan satu detik hitam dalam sejarah dunia - sebuah negara besar bersama sekutunya, tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan keadilan sejagat telah menyerang sebuah negara yang tidak lagi berkeupayaan mempertahankan negara mereka.



Lebih membimbangkan, ialah kemusnahan yang boleh berlaku berikutan tindakan ketenteraan dengan menggunakan peralatan senjata yang paling canggih ke atas Iraq yang sudah tentu akan membawa implikasi yang dashyat ke atas negara dan rakyat yang telah menanggung derita selama 12 tahun akibat sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.



Malaysia tidak berganjak dengan pendirian tegas bahawa peperangan bukanlah cara bagi menyelesaikan konflik antarabangsa. Malahan kita akan terus bersama masyarakat antarabangsa yang tidak bersetuju dengan peperangan untuk terus mengutuk perbuatan yang kita anggap primitif.



Penggunaan kekerasan secara preemptif oleh Amerika Syarikat dan sekutunya bukan sahaja mengancam asas-asas perundangan antarabangsa tetapi melahirkan satu `precedent' yang merbahaya di arena politik antarabangsa. Dengan menjadikan peperangan sebagai satu alat untuk memusnahkan negara-negara yang lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri, sudah tentu membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya.



Peperangan yang dicetuskan ini memberi kesan buruk yang tidak hanya terbatas di Iraq dan kawasan berdekatan. Kesan buruknya akan melimpah ke seluruh rantau Asia Barat, malah ke seluruh dunia. Kerjasama dunia dalam kempen menentang keganasan antarabangsa akan terjejas. Sentimen anti-Amerika akan meningkat di kalangan rakyat seluruh dunia, dan perasaan ekstremis dan militan juga dikhuatiri akan bertambah.



Peperangan juga membawa erti pembunuhan dan kemusnahan. Ramai jiwa akan terkorban, lebih ramai manusia akan cedera dan lebih banyak sumber dunia yang akan musnah. Peperangan yang menggunakan senjata moden boleh membawa kemusnahan lebih besar dan boleh mengakibatkan kerosakan lebih luas. Ramai pihak yang lemah lagi tidak bersalah, orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak dijangka turut menjadi mangsa peperangan. Ramai isteri akan menjadi janda, ramai suami boleh menjadi duda, ramai anak yang akan menjadi yatim, ramai ibu dan ramai ayah yang akan kehilangan anak, ramai abang dan kakak yang akan kehilangan adik dan ramai adik yang akan kehilangan abang dan kakak.



Urusan perdagangan dan urusniaga dunia akan terjejas secara langsung. Bekalan minyak akan tergendala, dan harga minyak akan naik. Sektor pengangkutan dan sektor pelancongan juga akan menghadapi kemelesetan jika perang ini berlarutan dan merebak. Ekonomi dunia akan kembali muram. Pengangguran dijangka meningkat. Kesan peperangan ini akan mencetuskan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh ramai warga dunia.



Negara kita tidak terlepas dari kesan negatif peperangan ini, dan kita perlu mengambil langkah- langkah untuk mengurangkan kesan buruk kepada negara. Kerajaan akan bertindak aktif dalam mengurus ekonomi negara. Pasaran modal, sistem kewangan dan sektor- sektor lain akan ditadbir dan dikawalselia agar terus stabil, kukuh dan berdayamaju.



Dalam pada itu, warga Malaysia haruslah berfikiran dan bertindak bijak dalam menghadapi krisis yang sedang melanda ini. Warga Malaysia hendaklah sama sekali menghindarkan diri dari melakukan tindak tanduk disebabkan pengaruh emosi yang boleh menjejaskan ketenteraman dan kestabilan negara, demi menjamin kegiatan ekonomi dan perdagangan serta kehidupan harian rakyat tidak akan terjejas. Perhimpunan yang hendak diadakan haruslah bersusila dan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Polis supaya ketenteraman awam dan juga kepentingan asing di negara ini tidak terancam. Sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum hendaklah dielakkan.



Malaysia perlu berusaha secara bersungguh untuk membuktikan kepada para pelabur bahawa keselamatan pelaburan dan keselamatan diri mereka di negara ini tetap terjamin. Malaysia tidak harus menimbulkan sebarang kebimbangan kepada pelawat dan pelancong yang berkunjung ke negara ini. Warga Malaysia hendaklah memperlihatkan sikap dan watak yang menghargai perdamaian dan sama sekali tidak merestui keganasan dalam apa jua bentuk.



Sayugia ditegaskan bahawa peperangan yang dicetuskan terhadap Iraq adalah keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Amerika Syarikat bersama sekutunya. Yang kita tentang secara tegas adalah dasar Kerajaan Amerika Syarikat. Kita sama sekali tidak memusuhi rakyat dan warga Amerika Syarikat secara peribadi. Malah, kita juga bersimpati dengan kaum keluarga di serata dunia yang kehilangan orang yang mereka kasihi disebabkan peperangan dan perbuatan keganasan. Kita juga tidak memusuhi kumpulan perniagaan dan industri yang melabur dan beroperasi di negara kita. Oleh itu saya menyeru setiap warga Malaysia untuk mempunyai persefahaman yang jelas dalam mentafsir isu ini.



Sedarlah kita kini sedang berada dalam suasana politik dunia yang sangat berbeza. Dunia sedang memperlihatkan kebenaran berada di pihak yang kuat. Nasib negara- negara kecil bagaikan terletak kepada ihsan negara yang kuat dari segi ketenteraan.



Kekuatan pertahanan yang tinggal kepada negara kecil seperti kita adalah perpaduan dalaman. Perpaduan dari segi tujuan, perpaduan untuk mempertahankan kedaulatan negara kita. Keamanan di dalam negara Malaysia perlu diutamakan. Kita hendaklah berwaspada dalam menghadapi elemen dalam dan luar negara yang ingin menangguk di air keruh yang boleh menggugat keamanan negara kita.



Marilah kita bersama-sama berdoa semoga masalah Iraq segera diatasi tanpa mengakibatkan kesengsaraan dan malapetaka yang besar kepada rakyat Iraq dan tanpa melibatkan banyak kerugian kepada kepentingan dunia.













? ?

?

Kami menerima 4,570,192 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri