English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN KOLEJ UNIVERSITI TEKNOLOGI DAN PENGURUSAN MALAYSIA
Lokasi : DEWAN TEATER, KAMPUS SEMENTARA SHAH ALAM, SELANGOR
Tarikh : 08-04-2003
 











Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dapat bersama- sama dengan saudara-saudari sempena Majlis Pelancaran Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM). Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan universiti kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan penubuhan KUTPM.



2. Saya amat berbangga dengan komitmen pengurusan universiti yang telah membangunkan Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) dengan mempelopori bidang-bidang pengajian yang kritikal dan menjurus kepada keperluan pasaran iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sains Integratif dan Perniagaan & Sains Pemutusan seterusnya menjana tenaga mahir negara dalam bidang berkenaan. Saya difahamkan KUTPM juga menawarkan pengajian peringkat pasca- siswazah dan program pengajian secara jarak jauh khususnya bagi golongan bekerja dan professional. Ini satu perkembangan yang sangat membanggakan.



3. Kita harus bersyukur kerana negara kita aman dan makmur. Dalam suasana sebegini kita dapat merancang pelbagai kegiatan serta membuka banyak peluang yang saling menguntungkan rakyat jelata. Antara peluang itu ialah bidang pendidikan yang terbuka kepada semua rakyat menimba ilmu dari peringkat yang serendah-rendahnya hinggalah ke peringkat menara gading. Berkat perancangan yang rapi dan tersusun, maka pada hari ini kita dapat melahirkan ramai cerdik pandai, golongan profesional dan teknokrat yang kini menjadi tenaga penggerak utama di dalam pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan negara. Hari ini telah terbukti negara kita telah dan sedang mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi dalam banyak bidang hatta InsyaAllah kita akan mencapai tahap negara maju pada tahun 2020 nanti. Oleh yang demikian saya berharap pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dapat menyesuaikan diri mereka dengan keperluan pasaran, relevan dan berguna kepada masyarakat. Program-program ini perlulah yang market-driven sesuai dengan perubahan dunia di sekeliling kita.



4. Penglibatan sektor swasta dalam penyediaan pendidikan khususnya di peringkat tertiari memang digalakkan. Ini bagi menampung dan melengkapkan usaha kerajaan membangunkan sektor pendidikan dan latihan ke arah menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau. Keutamaan yang tinggi akan diberi kepada IPTS yang dapat membantu meningkatkan kapasiti pendidikan tertiari terutamanya dalam bidang kritikal berorientasikan sains dan teknologi serta pengajian pengurusan. Penawaran menubuhkan universiti seperti KUTPM ini membuktikan komitmen kerajaan terhadap bidang pendidikan tersebut serta selaras dengan agenda pendemokrasian pendidikan serta konsep pendidikan sepanjang hayat.



5. Kerajaan tidak melihat IPTS sebagai pesaing kepada IPTA sebaliknya membantu kerajaan menyediakan lebih banyak tempat belajar serta lebih banyak pilihan untuk pendidikan tinggi. Sejak merdeka lagi kerajaan telah menitikberatkan bidang pendidikan dan banyak wang telah dilaburkan. Dalam kesemua Rancangan 5 tahun Malaysia, pendidikan menelan belanja amat besar. Sungguhpun kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi membiayai pendidikan tinggi, tetapi IPTA masih tidak dapat menyediakan infrastruktur, kemudahan dan tempat yang cukup bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat. Setiap tahun lebih kurang 400 ribu pelajar daripada sekolah bantuan kerajaan, swasta mahupun persendirian menduduki peperiksaan SPM dan rekod pada tahun 2002 adalah seramai 412,577 orang manakala untuk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bilangan calon tahun 2002 adalah sejumlah 47,022 orang. Daripada jumlah ini hanya 30% yang berjaya melanjutkan pengajian mereka ke institusi-institusi pengajian tinggi samada di dalam mahupun luar negara. Peluang pengajian di IPTA adalah terhad kerana IPTA yang sedia ada hanya dapat menampung 10% daripada pelajar lepasan SPM dan STPM yang layak pada setiap tahun.



6. Kebanyakan pelajar dan ibubapa, khususnya Bumiputera menggantungkan harapan untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja. Sehingga timbul anggapan bahawa jika tidak berjaya memasuki IPTA maka gelaplah masa depan mereka. Tanggapan seperti ini perlu segera diubah jika kita ingin melihat bangsa kita terus maju dan berjaya. Kita harus menerima kenyataan bahawa bilangan tempat di IPTA sangat terhad dan keupayaan kerajaan sendiri untuk membiayai operasi pendidikan pada peringkat tinggi juga terhad.



7. Begitu juga masyarakat perlu mengubah tanggapan dan pandangan mereka terhadap IPTS sebagai pilihan terakhir. Kita mahu masyarakat melihat IPTS bukan lagi sebagai alternatif selepas tidak berpeluang memasuki IPTA, sebaliknya IPTS merupakan satu lagi tempat untuk mendapatkan pendidikan peringkat tinggi yang setanding dengan IPTA. Saya percaya ada universiti dan kolej swasta yang menawarkan pendidikan berkualiti dan setanding dengan IPTA. Saya percaya tanggapan dan pandangan masyarakat akan berubah sesuai dengan peredaran masa. Bagaimana pun, IPTS sendiri hendaklah bersungguh-sungguh meningkatkan mutu pendidikan mereka termasuklah menyediakan kemudahan yang bermutu dan mencukupi, tenaga pengajar yang berkelayakan, serta pengurusan yang cekap dan berwibawa. Kerajaan melalui Lembaga Akreditasi Negara (LAN) bertanggungjawab merangka dasar, prosedur, standard dan pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan kualiti kursus pengajian yang sedang dan akan ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi swasta agar mengikut piawaian pihak kerajaan. Jangannya ada pihak yang memandang serong dan membuat tohmahan melulu apabila Kementerian Pendidikan bertindak menutup IPTS yang tidak memenuhi piawaian kerajaan. Tindakan kerajaan adalah berdasarkan aduan dan siasatan rapi yang dijalankan. Kita tidak berkompromi dalam hal ini sekiranya kita mahu diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau.



8. Sejak kerajaan mewartakan Akta IPTS 1996, bilangan IPTS di negara ini telah berkembang dengan pesat. Daripada 156 buah yang ada pada 1992, kini jumlah itu berkembang kepada hampir 706 buah IPTS. Ini adalah satu perkembangan yang menggalakkan selaras dengan impian kerajaan mahu menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Kita bukan saja ingin membuka sebanyak peluang pendidikan kepada anak bangsa kita, kita juga ingin menarik lebih ramai lagi pelajar antarabangsa belajar di negara kita. Setakat Januari lalu 36,466 pelajar antarabangsa telah belajar di IPTS kita. Pada 2005 kita jangkakan 50,000 pelajar antarabangsa akan belajar di negara ini dan negara dijangka memperolehi pendapatan tukaran wang asing sebanyak RM 1.5 billion.



9. Kemasukan pelajar antarabangsa di IPTS kita membawa banyak manfaat. Selain tukaran wang asing pelajar tempatan juga berpeluang bergaul serta dapat mewujudkan satu rangkaian dan contact untuk jangkamasa panjang yang pasti saling menguntungkan. Kita percaya kebanyakan pelajar antarabangsa ini akan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, menjadi ahli perniagaan dan sebagainya. Melalui rangkaian ini dapatlah kita membuat urusan dengan mereka dalam pelbagai bidang dengan mudah.



10. Kita memerlukan sumber tenaga manusia berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan bagi membolehkan kita berdaya saing. Kekurangan tenaga kerja mahir terutamanya guna tenaga akan memperlahankan peralihan Malaysia ke ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan membantutkan pencapaian aspirasi negara untuk mewujudkan struktur sumber manusia yang mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia.



11. Dengan bertambah pentingnya ekonomi berasaskan pengetahuan dalam abad ke-21ini, maka ketiga-tiga mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris akan terus menjadi lebih penting untuk para pelajar menimba ilmu pengetahuan yang berasaskan sains dan teknologi. Kekurangan tahap prestasi pelajar khususnya Bumiputera dalam Matematik dan Sains serta kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris dengan baik telah menjejaskan penyertaan mereka di dalam bidang berkaitan di peringkat universiti. Kedudukan negara ini masih rendah dari segi kemajuan di bidang penyelidikan apabila dibandingkan dengan negara maju. Misalnya, bilangan ahli sains dan teknologi di bidang penyelidikan dan pembangunan di Malaysia dalam tempoh 1990-1996 hanyalah 2 orang bagi setiap 10,000 penduduk berbanding dengan 71 orang di Jepun dan 29 orang di Korea Selatan. Sekiranya keadaan ini berterusan, keupayaan Malaysia untuk menjadi kompetitif pada peringkat antarabangsa akan terjejas.



12. Dasar yang menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris ini penting selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dengan menarik lebih ramai pelajar asing mengikuti pengajian di negara ini. Dalam usaha meningkatkan perkembangan ini, kerajaan telah menyediakan beberapa insentif seperti potongan cukai berganda kepada IPTS yang mengadakan promosi di luar negara, membenarkan IPTS membuat sendiri promosi pendidikan di luar negara, serta memudahkan permohonan untuk mendapatkan visa belajar bagi pelajar antarabangsa belajar di IPTS. Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan lebih banyak dasar pengambilan pelajar asing ini. Kerajaan juga sedang memantau implikasi daripada kesan peperangan di Iraq khususnya dalam konteks perkembangan IPTS di negara kita.



13. Kesan peperangan ini turut menjejaskan ekonomi kita. Dari segi industri pembuatan yang menyumbang sebahagian besar eksport negara telah mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan pembayaran insurans yang tinggi. Permintaan barangan elektronik dan elektrik juga dijangka berkurangan. Industri pelancongan kita turut mengalami pengurangan kedatangan pelancong terutama dari negara Timur Tengah. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau keadaan ini dan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi menghadapi kesan negatif peperangan ini terhadap ekonomi negara. Kerajaan berharap rakyat akan memberi sokongan dan kerjasama sepertimana yang diberikan semasa kita menghadapi krisis matawang tahun 1997 dan 1998. Kerjasama ini penting kerana hanya dengan cara ini sahaja kita boleh mengatasinya.



14. Akhir kata, saya berharap KUTPM akan dapat memberikan kualiti pendidikan terunggul bagi menghasilkan sumber tenaga manusia yang terlatih dan berpengetahuan. Saya yakin seluruh warga KUTPM akan berusaha lebih gigih dan bertekad untuk memantapkan lagi kecemerlangan universiti dan menjulang nama KUTPM di persada antarabangsa serta menjadi model institusi yang lebih dinamik dan responsive kepada keperluan semasa.



15. Dengan harapan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim, melancarkan penubuhan Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia, dengan rasminya.



Terima kasih.



Kami menerima 4,652,966 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri