English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PENYERAHAN PROJEK TALIAN PENGHANTARAN 500KV DENGAN KERJASAMA TNB BERHAD
Lokasi : HOTEL NIKKO, KUALA LUMPUR
Tarikh : 18-07-2003
 








1. Bersyukur kita ke hadrat Allah, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita berkumpul di majlis yang mulia ini. Semoga segala usaha kita mendapat berkatNya. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana sudi menjemput saya untuk menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Sistem Penghantaran 500kilovoltan (kv). Saya merasa sungguh gembira, kerana majlis ini menjadi bukti bahawa walaupun Malaysia telah mengharungi pelbagai cabaran sejak krisis kewangan Asia melanda pada tahun 1997 dan 1998, kita masih mampu menjalankan pembangunan infrastruktur, seperti yang dirancangkan.



Tuan - tuan dan puan - puan



2. Walaupun usia Malaysia sebagai sebuah negara merdeka boleh dianggap masih muda lagi, tumpuan ekonomi kita telah mengalami berbagai transformasi. Pada zaman 1950an, Malaysia merupakan negara yang miskin dan ekonomi kita bergantung khusus pada hasil komoditi seperti getah dan timah. Namun, kerajaan sedar bahawa penggantungan kepada harga komoditi yang terumbang-ambing tidak boleh menjadi asas yang kukuh bagi menjamin masa depan yang gemilang bagi rakyat Malaysia. Maka, dasar perindustrian telah diperkenalkan dan Malaysia telah membangunkan sektor pembuatan dengan giat, sehingga Malaysia diakui sebagai salah sebuah pengeluar barangan pembuatan (manufactured goods) yang masyhur di rantau Asia.



3. Kini, Malaysia menghadapi cabaran baru, iaitu bagaimana kita dapat bersedia untuk menghadapi persaingan yang dibawa arus globalisasi. Negara - negara jiran yang mempunyai kos perniagaan yang jauh lebih rendah menyebabkan kita terpaksa kurangkan penggantungan kepada industri- industri yang berteknologi rendah. Negara perlu meningkatkan daya saing dengan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang lebih canggih dan "value added".



4. Untuk melakukan transformasi ini, para pengusaha memerlukan kemudahan yang berkualiti tinggi, antaranya bekalan tenaga elektrik yang konsisten dan terjamin. Proses naiktaraf sistem penghantaran dari kapasiti yang sedia ada perlu digiatkan, bagi menampung keperluan bekalan tenaga elektrik yang semakin bertambah oleh sektor perindustrian, komersil, awam dan masyarakat keseluruhannya. Dalam konteks ini, Pembangunan Sistem Penghantaran 500kv adalah penting, kerana ia membolehkan TNB mengukuhkan tulang belakang Sistem Grid Kebangsaan yang kini sedang beroperasi dengan Sistem Penghantaran 275kv dan 132kv.



5. Saya difahamkan sistem ini juga bertepatan dengan perancangan jangka panjang untuk menghubungkan bekalan elektrik antara Malaysia dan negara-negara Asean. Negara- negara jiran yang juga turut menggunakan Sistem Penghantaran 500kv kini boleh mengadakan perkongsian tenaga bersama dengan Malaysia disamping menjayakan integrasi sistem sokongan sambungtara grid asean.



6. Kerajaan sentiasa mengadakan pelbagai rancangan ke arah pembangunan negara disamping mewujudkan kerjasama yang bersepadu dikalangan negara asean. Pengwujudkan satu zon perdagangan yang lebih erat akan membolehkan perkongsian teknologi baru dan peluang-peluang perniagaan dapat dilaksanakan demi kepentingan bersama. Integrasi di kalangan anggota asean juga dapat mengukuhkan kestabilan ekonomi serantau dalam jangkamasa panjang.



Tuan-tuan dan puan-puan



7. Upacara ini juga merupakan satu mercu tanda yang bermakna, kerana saya dimaklumkan projek ini adalah kali pertama sistem penghantaran 500kv telah dibina oleh syarikat tempatan. Saya difahamkan projek ini terpaksa melalui pelbagai kerumitan dan rintangan, kerana pembinaannya di kawasan hutan, lembah dan berbukit bukau. Di samping itu, ia memerlukan sumber tenaga kerja yang mahir dan cekap untuk membina sistem penghantaran dan pencawang tertinggi tahap voltannya di negara ini. Saya mengucapkan syabas kepada MRCB dan TNB di atas kejayaan cemerlang ini. Saya gembira melihat kontraktor tempatan yang telah membuktikan keupayaannya menyiapkan projek besar seperti ini dalam jangkamasa `fast track'.



8. Pencapaian ini perlu digunakan sebagai papan lonjakan untuk mengembangkan sayap ke seluruh rantau ini. Kemahiran yang telah diasah serta pengalaman yang telah ditimba dari penglibatan dalam projek - projek seperti ini, harus dijadikan bekalan untuk mara ke pasaran lain. Saya yakin syarikat-syarikat Malaysia berupaya untuk membawa perkhidmatan masing - masing ke negara lain dengan jayanya, setanding dengan syarikat-syarikat dari negara maju.



9. Oleh itu, carilah peluang - peluang projek di luar negara supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada tawaran projek dalam negara sahaja. Jangan bersikap berbangga dengan kejayaan yang kecil dan berlegar di "comfort zone". Sebaliknya, terapkan sikap positif dan agresif untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar. Barulah negara dapat melahirkan golongan profesional dan teknokrat yang berkualiti dan berdaya saing.



10. Kejayaan negara hari ini bergantung kepada inisiatif syarikat-syarikat tempatan supaya lebih berani untuk melabur dalam perniagaan yang mempunyai potensi luas di samping meningkatkan ilmu pengetahuan, kepakaran dan mutu kerja. Perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan keutuhan negara perlu diteruskan demi kepentingan kita bersama.



11. Akhir sekali, harapan saya ialah supaya syarikat MRCB dan TNB akan berkembang maju dan terus memainkan peranan masing-masing untuk membangunkan negara.



Sekian, terima kasih.





Kami menerima 4,625,664 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri