English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : UCAPAN ISTIADAT PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KE-XIII
Lokasi : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 26-04-2007
 











BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM



AMPUN TUANKU



MENGADAP SERI PADUKA BAGINDA AL WATHIQU BILLAH, AL-SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM AL-SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH AL-HAJ, YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KE-TIGABELAS, DENGAN SEGALA KEMULIAAN DAN KEBESARANNYA



1. PADA SAAT YANG BERSEJARAH DAN PENUH GILANG-GEMILANG INI, PATIK BAGI PIHAK AHLI-AHLI JEMAAH MENTERI, PARA PEGAWAI KERAJAAN, SERTA SELURUH RAKYAT MALAYSIA, DENGAN PERASAAN RIANG GEMBIRA DARI HATI YANG IKHLAS, MENGANGKAT SEMBAH TAKZIM SERTA MERAFAKKAN UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH SEMPENA PERTABALAN TUANKU SEBAGAI RAJA MEMERINTAH BAGI SELURUH RAKYAT MALAYSIA.



2. PATIK JUGA MERAFAKKAN SEMBAH UNTUK MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA SULTANAH NUR ZAHIRAH DI ATAS PERLANTIKAN SERI PADUKA BAGINDA MENJADI RAJA PERMAISURI AGONG.



3. SEMOGA TUANKU BERDUA DILANJUTKAN USIA, DILIMPAHI RAHMAT DAN DIKURNIAKAN HIDAYAH OLEH ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.



AMPUN TUANKU,



4. NEGARA KITA SUDAH MERDEKA SELAMA HAMPIR 50 TAHUN. SELAMA ITU JUGA, RAKYAT MALAYSIA TELAH HIDUP DENGAN AMAN, MAKMUR DAN BAHAGIA DI BAWAH PAYUNG PEMERINTAHAN SERI PADUKA BAGINDA SERTA RAJA-RAJA YANG MEMERINTAH TERDAHULUNYA.



5. SELAMA NEGARA KITA MENIKMATI ANUGERAH KEMERDEKAAN, KITA TELAH MENITI KEJAYAAN DEMI KEJAYAAN. HASIL ILTIZAM DAN USAHA RAKYAT YANG BERSATU PADU, NEGARA KITA MALAYSIA KINI DIPANDANG TINGGI DI MATA DUNIA.



6. TAHUN INI, KITA MENYAMBUT JUBLI EMAS KEMERDEKAAN NEGARA KITA. PATIK SERTA SELURUH RAKYAT NEGARA INI SENANTIASA MENDOAKAN SEMOGA DETIK KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE-50 INI AKAN MENANDAKAN SATU KESINAMBUNGAN BAGI NEGARA KITA YANG TERUS MENERUS SELAMAT DAN SEJAHTERA DI BAWAH NAUNGAN SERI PADUKA TUANKU.



7. KEDUDUKAN EKONOMI NEGARA SEMAKIN HARI SEMAKIN KUKUH. KEPESATAN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA DILAMBANGKAN OLEH PERTUMBUHAN KELUARAN DALAM NEGARA KASAR (K.D.N.K.) YANG MEMBERANGSANGKAN, SERTA JUMLAH DAGANGAN ANTARABANGSA YANG TELAH MENJANGKAU NILAI LEBIH 1 TRILION RINGGIT PADA TAHUN LEPAS. PROJEK-PROJEK YANG KINI GIAT DIGERAKKAN DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KE-SEMBILAN DIJANGKA AKAN MEMASTIKAN KELANGSUNGAN MOMENTUM PEMBANGUNAN NEGARA.



8. DALAM USAHA MEMACU PEMBANGUNAN NEGARA SECARA MAPAN DAN TERURUS, KERAJAAN TELAH MENGATUR STRATEGI YANG TERBINA KUKUH DI ATAS TIGA TONGGAK UTAMA. SEKTOR PEMBUATAN, YANG MASIH MENJADI PENJANA UTAMA BAGI EKSPORT NEGARA, AKAN DIANJAKKAN KEPADA RANTAIAN NILAI YANG LEBIH TINGGI. UNTUK ITU, PEMBANGUNAN SUBSEKTOR BERNILAI TINGGI SEPERTI INDUSTRI PETROKIMIA, MARITIM, DAN AEROANGKASA AKAN DIGALAKKAN.



9. SEKTOR PERKHIDMATAN PULA AKAN TERUS DIBERI PERHATIAN SEBAGAI TONGGAK KEDUA EKONOMI NEGARA. UNTUK ITU, KERAJAAN AKAN TERUS MENGATUR LANGKAH DEMI UNTUK MELONJAKKAN MALAYSIA SEBAGAI HAB PERKHIDMATAN SERANTAU BAGI PELBAGAI JENIS PERKHIDMATAN, TERMASUKLAH PENDIDIKAN, KESIHATAN, DAN PERBANKAN ISLAM.



10. DALAM USAHA MENAMBAHKAN DAYA SAING EKONOMI NEGARA, SEKTOR PERTANIAN AKAN DIPERKASAKAN SEBAGAI TONGGAK KETIGA EKONOMI NEGARA. KERAJAAN KINI GIAT DALAM USAHA MELAKSANAKAN PROGRAM ”PERTANIAN BARU” YANG BERTERASKAN PENGELUARAN MODEN DAN PENAMBAHAN NILAI TINGGI. KITA YAKIN BAHAWA USAHA MURNI INI BUKAN SAJA AKAN MEMBERI NAFAS BARU KEPADA SEKTOR PERTANIAN, MALAH AKAN MEMBANTU USAHA KERAJAAN UNTUK MENAIKKAN MARTABAT MASYARAKAT LUAR BANDAR. HASRAT KITA ADALAH UNTUK MEMASTIKAN BAHAWA KEMEWAHAN YANG MELIMPAHI NEGARA KITA AKAN DAPAT DIKONGSI BERSAMA OLEH SEMUA RAKYAT JELATA.



11. DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN YANG LEBIH SAKSAMA, KERAJAAN JUGA SEDANG GIAT MENGUSAHAKAN PERANCANGAN BEBERAPA KORIDOR PEMBANGUNAN DI SELATAN JOHOR, UTARA DAN TIMUR SEMENANJUNG, SERTA DI SABAH DAN SARAWAK. WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR, YANG TERLETAK DI SELATAN JOHOR, TELAHPUN DILANCARKAN PADA TAHUN LEPAS, MANAKALA PAKEJ INSENTIF BAGI PARA PELABUR KE WILAYAH TERSEBUT TELAHPUN DIUMUMKAN BARU-BARU INI. SEMENTARA ITU, KORIDOR PEMBANGUNAN DI BAHAGIAN UTARA DAN TIMUR SEMENANJUNG KINI DALAM PERINGKAT AKHIR PERANCANGAN, DAN AKAN DILANCARKAN SEBELUM AKHIR TAHUN INI. PADA MASA YANG SAMA, KORIDOR PEMBANGUNAN BAGI NEGERI SABAH DAN SARAWAK JUGA SEDANG BERADA DALAM PERINGKAT PERANCANGAN, DAN AKAN DILANCARKAN SECEPAT YANG MUNGKIN. USAHA PEMBANGUNAN KORIDOR PEMBANGUNAN INI ADALAH SATU KEUTAMAAN BAGI KERAJAAN, BAGI MEMASTIKAN AGAR NIKMAT PEMBANGUNAN AKAN DAPAT DIRASAI OLEH SEMUA RAKYAT DI SEGENAP PELOSOK NEGARA SECARA ADIL DAN SAKSAMA.



12. DALAM TAHUN-TAHUN YANG MENDATANG, KERAJAAN AKAN TERUS BERUSAHA UNTUK MEMPERSIAPKAN NEGARA BAGI MENGHADAPI CABARAN EKONOMI YANG SEMAKIN BERSIFAT GLOBAL. KITA YAKIN DAN PASTI BAHAWA NEGARA KITA AKAN TERUS MELANGKAH GAGAH MENUJU KE ARAH STATUS NEGARA MAJU MENJELANG TAHUN 2020.



13. PERPADUAN DAN PERSEFAHAMAN ANTARA RAKYAT JUGA MASIH TERSULAM ERAT. SEJAK SEBELUM MERDEKA LAGI, KERJASAMA DI ANTARA KAUM TELAH MENCORAKKAN KELAHIRAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA BERDAULAT. SEJARAH NEGARA KITA TELAH MENGABADIKAN KERJASAMA SERTA PERSAHABATAN ERAT ANTARA PEJUANG BANGSA SEPERTI TUNKU ABDUL RAHMAN, TUN ABDUL RAZAK, TUN H.S. LEE, DAN TUN V.T. SAMBANTHAN DALAM USAHA MURNI UNTUK MENCAPAI KEMERDEKAAN NEGARA. JELAS DI SINI, BAHAWA KEMERDEKAAN NEGARA SERTA PENGISIANNYA TIDAK MUNGKIN TERHASIL TANPA KERJASAMA YANG IKHLAS DAN PADU DARI SEMUA KAUM DI NEGARA KITA.



14. KINI, NEGARA KITA MASIH TERUS BERDIRI TEGUH BERSATU, SETELAH 50 TAHUN KITA MERDEKA. SUNGGUHPUN NEGARA KITA TERDIRI DARIPADA MASYARAKAT YANG BERBILANG BANGSA DAN AGAMA, SEMANGAT TOLERANSI DAN BEKERJASAMA MASIH MENDASARI HUBUNGAN SESAMA RAKYAT JELATA. YANG BERAT SAMA-SAMA KITA PIKUL; YANG RINGAN BERSAMA JUALAH KITA JINJING.



15. DALAM HAL KESELAMATAN DAN KEAMANAN NEGARA, HARUS DIJELASKAN BAHAWA KERAJAAN TIDAK PERNAH DAN TIDAK AKAN BERKOMPROMI DALAM USAHA MENJAGA KEHARMONIAN YANG SEDIA ADA. KITA AKAN SENANTIASA BERWASPADA TERHADAP MANA-MANA ANASIR YANG INGIN MENGGANGGU GUGAT KESTABILAN NEGARA. INI ADALAH TANGGUNGJAWAB BERAT YANG AKAN TERUS KITA GALAS, DEMI MENJAGA KEAMANAN DAN KEDAULATAN NEGARA DI BAWAH NAUNGAN SERI PADUKA TUANKU.



16. DALAM ARENA ANTARABANGSA, NEGARA KITA AKAN TERUS MEMAINKAN PERANAN YANG AKTIF UNTUK MENINGKATKAN KERJASAMA DENGAN NEGARA-NEGARA LAIN. DALAM KOMUNITI ASEAN, MALAYSIA AKAN TERUS BERUSAHA MENINGKATKAN KERJASAMA DEMI MENJAMIN KEMAJUAN EKONOMI DAN POLITIK SERANTAU. SEBAGAI PENGERUSI BAGI PERSATUAN PERSIDANGAN NEGARA-NEGARA ISLAM (O.I.C.), MALAYSIA TELAH DIBERIKAN SATU TANGGUNGJAWAB YANG BESAR. SEMESTINYA, KITA AKAN TERUS BERTINDAK TEGAS DALAM MEMASTIKAN BAHAWA KEPENTINGAN NEGARA-NEGARA ISLAM SERTA NEGARA-NEGARA MEMBANGUN TERUS TERPELIHARA DAN DIBERI PERHATIAN SEWAJARNYA DALAM ARUS PERDANA DIPLOMASI DUNIA.



17. DALAM MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PENGERUSI O.I.C., MALAYSIA KINI MEMBERIKAN FOKUS UTAMA TERHADAP USAHA MENGUBAH WAJAH PEMBANGUNAN EKONOMI DI NEGARA-NEGARA ISLAM. ADALAH MENJADI SATU KEWAJIPAN BAGI KITA UNTUK MEMERANGI KEDAIFAN, KEMISKINAN DAN KETERTINGGALAN YANG KINI TERUS MEMBELENGGU UMAT ISLAM SEDUNIA. UNTUK ITU, MALAYSIA KINI MENJADI SALAH SATU PELOPOR UTAMA DALAM USAHA MEMARTABATKAN INDUSTRI HALAL SEDUNIA. BEGITU JUGA, USAHA MALAYSIA UNTUK MENGANGKAT SISTEM KEWANGAN ISLAM SEDUNIA KINI SEMAKIN MEMBUAHKAN HASIL. JIHAD EKONOMI INI AKAN TERUS KITA LAKSANAKAN, SELARAS DENGAN IMEJ MALAYSIA SEBAGAI MODEL TELADAN BAGI KEBANYAKAN NEGARA MEMBANGUN YANG LAIN.



AMPUN TUANKU,



18. SEMPENA HARI BERSEJARAH DAN MULIA INI, PATIK BAGI MEWAKILI PIHAK KERAJAAN SERTA RAKYAT JELATA SEKALIAN INGIN MENGAMBIL PELUANG INI UNTUK MENGANGKAT IKRAR TAAT SETIA KEPADA SERI PADUKA TUANKU DAN RAJA PERMAISURI AGONG. PATIK SEMUA MENDOAKAN SEMOGA SERI PADUKA TUANKU AKAN TERUS MENAUNGI NEGARA DAN MEMAYUNGI RAKYAT DENGAN PENUH SIFAT ADIL DAN BIJAKSANA.



19. SEMOGA ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA YANG MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG MELANJUTKAN USIA TUANKU BERDUA DAN MELIMPAHKAN RAHMAT CAHAYA HIDAYAH SENANTIASA.



AMPUN TUANKU,



SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN.



Kami menerima 2,736,174 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri