English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : UCAPAN YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG
Lokasi : ISTANA MELAWATI, PUTRAJAYA
Tarikh : 05-06-2004
 
UCAPAN

YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI

PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN

SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG

5 JUN 2004, JAM 11.00 PAGI

ISTANA MELAWATI, PUTRAJAYA

---------------------------------





MENGHADAP SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG

MENGHADAP SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG



AMPUN TUANKU

SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN,



1. BAGI PIHAK KERAJAAN DAN SELURUH RAKYAT MALAYSIA, PATIK MELAFAZKAN DOA KESYUKURAN KERANA PADA HARI INI, NEGARA DAN WARGA SEKALI LAGI DAPAT MENGADAKAN ACARA SAMBUTAN SEMPENA HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN RASMI SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG. PATIK MENDOAKAN, SEMOGA TUANKU DAN TUANKU RAJA PERMAISURI AGONG BERADA DALAM KEAFIATAN, BERSEMAYAM DI TAKHTA KERAJAAN DENGAN SEGALA KEBESARAN DAN KEDAULATAN, TERUS BERPERANAN SEBAGAI LAMBANG KEUTUHAN NEGARA – SEBAGAI PAYUNG NEGARA, TEMPAT RAKYAT DAPAT BERTEDUH DI BAWAH NAUNGAN TUANKU, SESUAI DENGAN SEMANGAT RAJA BERPERLEMBAGAAN DAN DEMOKRASI BERPARLIMEN. SEMOGA NEGARA DAN RAKYAT YANG BERADA DI BAWAH PAYUNG NAUNGAN TUANKU, AKAN DILIMPAHKAN ILAHI SEGALA KEBERKATAN DAN KESEJAHTERAAN JUA HENDAKNYA. AMIN, YA RABUL ALAMIN.



2. ALHAMDULILLAH, NEGARA MALAYSIA DI BAWAH NAUNGAN TUANKU BERADA DALAM SUASANA POLITIK YANG STABIL DAN KEADAAN EKONOMI YANG MAKMUR. PROSES PEMILIHAN KERAJAAN YANG MENJUNJUNG SEMANGAT DAN AMALAN DEMOKRASI TELAH SEKALI DAPAT DISEMPURNAKAN MELALUI PILIHAN RAYA KESEBELAS YANG BERLANGSUNG PADA 21 MAC YANG LALU. RAKYAT TELAH MEMBUAT PILIHAN MEMUNGKINKAN SEBUAH KERAJAAN YANG STABIL DAPAT DIBENTUK. PATIK MENJUNJUNG KASIH ATAS PERKENAN TUANKU KEPADA PERLANTIKAN PATIK UNTUK MENGETUAI KERAJAAN DEMIKIAN JUGA PARA ANGGOTA JUMAAH MENTERI.



3. PERKENAN TUANKU AKAN PATIK JUNJUNG BERSAMA AHLI-AHLI JUMAAH MENTERI. ADALAH MENJADI TANGGUNG JAWAB PATIK BERSAMA ANGGOTA JUMAAH MENTERI DENGAN DI BANTU OLEH JENTERA KERAJAAN UNTUK MEMASTIKAN BAHAWA KERAJAAN TUANKU AKAN MELAKSANAKAN TUGAS SECARA AMANAH DENGAN MENGAMALKAN PRINSIP KETELUSAN, KEADILAN, BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG, SERTA MENGUTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT. SEMANGAT PERLEMBAGAAN YANG MENEKANKAN PEMBAHAGIAN KUASA ANTARA CABANG PERUNDANGAN, CABANG EKSEKUTIF DAN CABANG KEHAKIMAN AKAN DIJADIKAN PEGANGAN, SUPAYA SATU SISTEM SEMAK DAN TIMBANG ANTARA SATU SAMA LAIN DAPAT BERLANGSUNG DEMI KEBAIKAN NEGARA DAN DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT JELATA.



4. SETELAH MENDAPAT SOKONGAN MAJORITI RAKYAT, KERAJAAN BERASA LEBIH INSAF AKAN TANGGUNG JAWAB UNTUK MEMASTIKAN BAHAWA PENGHARAPAN RAKYAT DAPAT DIPENUHI DAN KEYAKINAN RAKYAT TERUS DITINGKATKAN. OLEH ITU, KERAJAAN AKAN MEMASTIKAN USAHA-USAHA PEMBANGUNAN DILAKSANAKAN SECARA BIJAK DAN BERTERUSAN DENGAN MEMBERIKAN TUMPUAN KEPADA SEKTOR-SEKTOR PEMBANGUNAN YANG NEGARA MALAYSIA MEMPUNYAI KELEBIHAN. PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA AMATLAH PENTING DALAM USAHA MEMBINA SEBUAH NEGARA YANG GEMILANG, CEMERLANG DAN TERBILANG. PEMBINAAN MINDA UNTUK MELAHIRKAN WARGA YANG BERFIKIRAN LEBIH PROGRESIF, INOVATIF, KREATIF DAN DINAMIK AMATLAH PENTING DIJAYAKAN MELALUI PROGRAM PEMBANGUNAN MANUSIA YANG LEBIH MANTAP DAN RELEVAN KEPADA KEPERLUAN SEMASA.



5. USAHA-USAHA YANG DAPAT MENGIMBANGKAN PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR AMAT MEMERLUKAN PERHATIAN DARI SEGI AGIHAN SUMBER TENAGA DAN SUMBER KEWANGAN. PENDEKATAN PERTANIAN SECARA MODEN LAGI SAINTIFIK UNTUK MENGHASILKAN PRODUKTIVITI YANG LEBIH TINGGI MERUPAKAN SATU USAHA YANG PERLU DITEROKAI SECARA BERSUNGGUH UNTUK MEMBANTU MENAIKKAN TARAF HIDUP RAKYAT DI LUAR BANDAR SUPAYA KEMISKINAN SIFAR DAPAT DICAPAI. SEMENTARA DI BANDAR, LANGKAH-LANGKAH STRATEGIK PERLU DILAKUKAN BAGI MENGATASI MASALAH KEMISKINAN BANDAR. PATIK AMAT SEDAR BAHAWA KEMISKINAN ADALAH ANTARA FAKTOR YANG TURUT MEMPENGARUHI BERLAKUNYA PELBAGAI GEJALA SOSIAL, KERUNTUHAN MORAL, KEJADIAN JENAYAH, KEPINCANGAN KELUARGA, KUALITI HIDUP DAN KESIHATAN RAKYAT YANG RENDAH, SERTA PRESTASI PENCAPAIAN PELAJAR DI SEKOLAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN. OLEH ITU PENDEKATAN SECARA BERKESAN LAGI BERKEKALAN UNTUK MENGATASI MASALAH KEMISKINAN MERUPAKAN CABARAN PALING BESAR YANG PERLU SEGERA DIATASI.



AMPUN TUANKU,

6. DUNIA KINI SEDANG MENGHADAPI SAAT YANG SANGAT MENDEBARKAN. KEADAAN POLITIK DAN EKONOMI DUNIA MENJADI SEMAKIN RUMIT DISEBABKAN KONFLIK YANG BERLAKU DI IRAQ SERTA SUASANA DI AFGHANISTAN YANG TIDAK MEMBERIKAN GAMBARAN POSITIF BERIKUTAN DARI CAMPUR TANGAN KUASA BESAR. KEKECEWAAN DI PALESTIN TELAH SAMPAI KEPERINGKAT YANG MENCETUSKAN BERLAKUNYA KEGANASAN DI SERATA DUNIA. TIDAK ADA NEGARA DI DUNIA YANG DIKECUALIKAN DARI MENJADI SASARAN KEGIATAN KEGANASAN. RAMAI MANUSIA YANG TIDAK BERDOSA MENJADI MANGSA DAN BANYAK HARTA BENDA YANG MUSNAH. SESUNGGUHNYA KERAJAAN MENENTANG KERAS SEGALA BENTUK KEGANASAN DALAM MENYELESAIKAN SEBARANG KONFLIK.



7. OLEH ITU DALAM MEMENUHI TANGGUNG JAWAB SEBAGAI PENGERUSI NAM DAN OIC, MALAYSIA MEMILIH PENDEKATAN BERTAMADUN SECARA RUNDINGAN MELALUI SALURAN BADAN-BADAN DUNIA YANG SEWAJARNYA DIBERIKAN SOKONGAN DAN KERJASAMA PENUH OLEH SEMUA NEGARA LEBIH-LEBIH LAGI KUASA BESAR. MALAYSIA KEKAL MENOLAK AMALAN UNDANG-UNDANG RIMBA YANG MEMBERIKAN HAK DAN KEMENANGAN KEPADA YANG KUAT MELAKUKAN APA SAHAJA KEPADA YANG LEMAH. BAHAWA YANG LEMAH JUGA ADALAH NYAWA YANG MEMPUNYAI NILAI YANG SAMA DENGAN YANG KUAT. MALAYSIA AKAN TERUS MENYUARAKAN TENTANGAN TERHADAP AMALAN KETIDAKADILAN DAN MELALUI SALURAN DIPLOMASI BERUSAHA MENCARI PENYELESAIAN KEPADA KETEGANGAN YANG MELANDA POLITIK DUNIA TERUTAMANYA DALAM ISU DI PALESTIN, IRAQ DAN AFGHANISTAN.



8. MALAYSIA AKAN TERUS BERPERANAN KONSTRUKTIF DI PENTAS ANTARABANGSA. HUBUNGAN LUAR NEGARA AKAN DIJALINKAN ATAS DASAR SALING MENGHORMATI SERTA TIDAK CAMPUR TANGAN DALAM URUSAN NEGARA LAIN. KERJASAMA DAN PERMUAFAKATAN SERANTAU AKAN TERUS DITINGKATKAN SUPAYA MENJADI BERTAMBAH KUKUH. KERJASAMA DI BIDANG EKONOMI, PELABURAN, PERDAGANGAN, PELANCONGAN, PENDIDIKAN, SAINS DAN TEKNOLOGI, DIBERIKAN KEUTAMAAN UNTUK DAPAT MEMBERIKAN FAEDAH SECARA LANGSUNG KEPADA RAKYAT DI NEGARA-NEGARA YANG BERKAITAN.

AMPUN TUANKU,

9. DALAM TAHUN 2003, MALAYSIA MENCATATKAN KADAR PERTUMBUHAN EKONOMI 5.2 PERATUS. DAGANGAN NEGARA BAGI TAHUN YANG SAMA, MENCATAT PERTUMBUHAN TINGGI DENGAN LEBIHAN IMBANGAN BAYARAN MENINGKAT KEPADA 39.1 BILLION RINGGIT BERBANDING 14.2 BILLION RINGGIT BAGI TAHUN 2002. BAGI TAHUN 2004, EKONOMI NEGARA DIJANGKA MENCATAT KADAR PERTUMBUHAN 6 HINGGA 6.5 PERATUS. DALAM PADA ITU, KERAJAAN MENELITI DENGAN PENUH KEWASPADAAN AKAN PENINGKATAN HARGA MINYAK DI PERINGKAT GLOBAL DAN KEMUNGKINAN BERLAKUNYA PENINGKATAN KADAR FAEDAH DI AMERIKA SYARIKAT. PERUBAHAN GLOBAL INI AKAN MEMPUNYAI KESAN LANGSUNG TERHADAP EKONOMI NEGARA. OLEH ITU KERAJAAN AKAN MEMPASTIKAN BAHAWA EKONOMI NEGARA DAPAT DILANDASKAN KEPADA ASAS YANG KUKUH. BELANJAWAN NEGARA AKAN DIGUBAL SECARA BERHEMAH DENGAN MEMBERIKAN TUMPUAN KEPADA PROJEK-PROJEK YANG BENAR-BENAR DAPAT MEMBERI FAEDAH LANGSUNG KEPADA RAKYAT SERTA BERADA DALAM KEUPAYAAN KEWANGAN KERAJAAN.



10. KERAJAAN JUGA MENGAMBIL PENGAJARAN BAHAWA DALAM MENGHADAPI PERSAINGAN DUNIA GLOBAL, AMATLAH PERLU PIHAK PENGURUSAN MEMILIKI DAYA SAING YANG TINGGI. PENINGKATAN PRODUKTIVITI MELALUI PENGELUARAN BERSEKALA EKONOMI, BERTEKNOLOGI TINGGI, DENGAN KOS PENGELUARAN YANG RENDAH PENTING DILAKSANAKAN. BAGI SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN (GLC), KERAJAAN TELAH MEMPERKENALKAN SKIM INDEKS PENCAPAIAN UTAMA (KPI) UNTUK MENDORONG TERBINANYA BUDAYA PENCAPAIAN PENGELUARAN YANG LEBIH TINGGI. KERAJAAN JUGA SEDANG MELAKSANAKAN PELBAGAI PEMBAHARUAN PENDEKATAN UNTUK MENGURANGKAN BIROKRASI, MENINGKATKAN INOVASI, MEMBINA KAPASITI SUMBER MANUSIA, MENGGALAKKAN PERSAINGAN, MENGUTAMAKAN MERETOKRASI SEBAGAI PERSEDIAAN DALAM MENGHADAPI CABARAN DAN PERSAINGAN GLOBAL.



11. KEYAKINAN TERHADAP KESTABILAN SESEBUAH NEGARA TURUT DIPENGARUHI DARI SUDUT JAMINAN KESINAMBUNGAN BAIK DARI SEGI KEPIMPINAN POLITIK, KEPIMPINAN EKONOMI, KEPIMPINAN PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENTADBIRAN. OLEH ITU KERAJAAN MENGAMBIL PENDEKATAN MENGIMBANGKAN PENYERTAAN DI PELBAGAI PERINGKAT DARI PERINGKAT PENGGUBALAN DASAR MEMBAWA KEPADA PERINGKAT PERLAKSANAAN, ANTARA TENAGA BERPENGALAMAN DAN TENAGA MUDA. TENAGA MUDA, PERINGKAT DEMI PERINGKAT DIPERSEDIAKAN UNTUK BERPERANAN SECARA LEBIH SIGNIFIKAN DENGAN MEMBERIKAN KEPADA MEREKA AMANAH DAN PENDEDAHAN YANG LEBIH BESAR BAIK DI DALAM MAHUPUN DI LUAR NEGARA. PATIK BERPANDANGAN BAHAWA KEPIMPINAN YANG BERWAWASAN JAUH, PERLULAH MENYEDIAKAN SEBUAH NEGARA YANG DAPAT MEMBERIKAN HARAPAN YANG MEYAKINKAN KEPADA GENERASI MUDA DAN GENERASI MUKA.



AMPUN TUANKU,

12. DALAM USAHA MEMBINA SEBUAH NEGARA YANG AMAN LAGI MAKMUR, MERDEKA LAGI BERDAULAT, KESATUPADUAN RAKYAT AMATLAH PENTING DIPELIHARA DAN TERUS DIPUPUK. IA MENJADI LEBIH PERLU DALAM SEBUAH NEGARA YANG RAKYATNYA TERDIRI DARI PELBAGAI AGAMA, PELBAGAI KAUM, PELBAGAI BUDAYA, PELBAGAI BAHASA. PROGRAM INTEGRASI NASIONAL PERLU DISOKONG OLEH SEMUA RAKYAT. PROGRAM INI MEMERLUKAN INTERAKSI SEMUA RAKYAT DAN PERLU DIPUPUK DARI PERINGKAT USIA YANG MASIH MUDA. SEKOLAH ADALAH SEBAIK TEMPAT MEMBANTU USAHA MEMBINA PERPADUAN NASIONAL. UNTUK ITU KERAJAAN SEDANG BERUSAHA MENJADIKAN SEKOLAH KEBANGSAAN SEBAGAI SEKOLAH UTAMA, SEBAGAI SEKOLAH PERDANA YANG MENDAPAT SOKONGAN DAN KEPERCAYAAN RAKYAT DARI PELBAGAI AGAMA, KAUM, BUDAYA DAN BAHASA. SEKOLAH KEBANGSAAN ADALAH SEKOLAH MILIK SEMUA KAUM. OLEH ITU USAHA KERAJAAN INI PERLULAH DIBERIKAN SOKONGAN PADU OLEH SEMUA KAUM DI NEGARA INI. KEJAYAAN PROGRAM INTEGRASI NASIONAL MEMERLUKAN PARTISIPASI RAKYAT SECARA MENYELURUH, MEMERLUKAN RAKYAT BERPANDANGAN JAUH UNTUK SAMA-SAMA MENGHAYATI WAWASAN NEGARA.



13. ATAS SEMANGAT DEMIKIAN JUGA, KERAJAAN BERPEGANG TEGUH KEPADA KONTRAK SOSIAL YANG TELAH TERMAKTUB DI ANTARA RAKYAT PELBAGAI KAUM DI NEGARA INI. TIDAK HARUS ADA PENINDASAN DAN DISKRIMINASI YANG BOLEH DILAKUKAN ATAS NAMA AGAMA ATAU KAUM BAIK DI PIHAK KERAJAAN BEGITU JUGA DI PIHAK SWASTA. PENDEKATAN ISLAM YANG DI BAWA OLEH KERAJAAN MENEKANKAN KEPADA ASPEK PEMBANGUNAN, KEAMANAN, KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN. KERAJAAN BERPENDIRIAN TEGAS TIDAK MEMBENARKAN SEBARANG FAHAMAN EKSTREMIS DAN SAMA SEKALI TIDAK MEMBENARKAN APA JUGA PENDEKATAN BERBENTUK KEGANASAN DAN FAHAMAN BERCORAK MILITAN. SETIAP RAKYAT DI NEGARA INI AKAN DILINDUNGI SECARA SAKSAMA MENGIKUT HAK DAN JAMINAN YANG TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN NEGARA.





AMPUN TUANKU,

14. NEGARA MALAYSIA YANG AMAN DAN MAKMUR INI ADALAH MILIK SETIAP WARGA. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN KESETIAAN KEPADA NEGARA TETAP DIJADIKAN RUKUN PEGANGAN SETIAP RAKYAT. RAKYAT YANG TERUS BERSATU DI BAWAH NAUNGAN TUANKU DAN DIPIMPIN OLEH SEBUAH KERAJAAN YANG MENGHARGAI PANDANGAN RAKYAT DAN MENGUTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT INSYA’ALLAH AKAN DAPAT MEMBAWA NEGARA INI TERUS MENCAPAI TAHAP KEMAJUAN.



15. KEDAULATAN DAN KEBESARAN SEORANG RAJA PEMERINTAH DIUKUR DARI KEJAYAAN NEGARA DAN PENCAPAIAN KERAJAAN DI BAWAH NAUNGAN BAGINDA. SEMPENA HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN TUANKU, DI SAMPING MELAFAZKAN SEMBAH UCAPAN DIRGAHAYU TUANKU DAN MENGULANGI SEMBAH IKRAR TAAT SETIA PATIK BAGI PIHAK KERAJAAN DAN RAKYAT TUANKU, PATIK TURUT MEMOHON PETUNJUK DAN KEKUATAN DARI ILAHI UNTUK DAPAT MELAKSANAKAN AMANAH TUANKU DAN AMANAH RAKYAT MEMBAWA NEGARA MALAYSIA MENCAPAI KEJAYAAN YANG CEMERLANG, GEMILANG, DAN TERBILANG.



16. PADA HARI YANG BERBAHAGIA DAN PENUH ISTIADAT INI, KERAJAAN, PEGAWAI DAN KAKITANGAN PERKHIDMATAN AWAM DAN RAKYAT DENGAN PENUH HORMAT DAN TAKZIMNYA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI KEPUTERAAN KEPADA TUANKU DAN MENYAMPAIKAN IKRAR TAAT SETIA YANG TIDAK BERBELAH BAGI KEPADA TUANKU SEBAGAI RAJA YANG MEMERINTAH DAN JUGA KEPADA RAJA PERMAISURI AGONG.



SEKIAN,

AMPUN TUANKU BERIBU-RIBU AMPUN.



WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Kami menerima 2,702,352 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri