English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERPISAHAN ANJURAN UMNO KEPADA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD (26-04-2004)
Lokasi : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 26-04-2004
 
UCAPAN

YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI

PERDANA MENTERI MALAYSIA

DI MAJLIS PERPISAHAN ANJURAN UMNO KEPADA

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA

KUALA LUMPUR

26 APRIL 2004, JAM 8.30 MALAM

---------------------------------



ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM SEJAHTERA



YABHG. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD,



YABHG. TUN DR SITI HASMAH MOHD ALI,



TIMBALAN PRESIDEN UMNO, DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK,



NAIB-NAIB PRESIDEN UMNO,



AHLI-AHLI UMNO YANG SAYA HORMATI SEKALIAN.



1. ALHAMDULLILAH, SAYA BERSYUKUR KEHADRAT ALLAH S.W.T. KERANA DENGAN IZIN DAN MAKBULNYA DAPAT KITA SAMA-SAMA BERHIMPUN MALAM INI UNTUK MERAIKAN YANG AMAT BERBAHAGIA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD - INSAN ISTIMEWA YANG KITA SEMUA SAYANGI. SAYA JUGA INGIN MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN KAK HASMAH KERANA SEKALI LAGI SUDI BERSAMA KITA DI MAJLIS INI.



2. MALAM INI, KITA INGIN MELAHIRKAN PENGHARGAAN UMNO KEPADA BEKAS PRESIDEN KITA YANG TELAH MENGABDIKAN DIRINYA DEMI KEMAJUAN PARTI DAN NEGARA. BIARPUN BELIAU SUDAH BERSARA TETAPI SEMANGAT DAN PERJUANGANNYA MASIH TETAP MEMBARA. BERKHIDMAT, BERKORBAN DAN BERBAKTI TELAH MENJADI DARAH DAGING HIDUPNYA. TIADA KATA YANG DAPAT DIUNGKAPKAN BAGI MEMBUKTIKAN RASA TERIMA KASIH KITA SEMUA KEPADA BELIAU. TERIMA KASIH, TUN DR. MAHATHIR.

SAUDARA DAN SAUDARI SEKALIAN,



3. TUN MAHATHIR TELAH MENYERAHKAN UMNO KEPADA SAYA DALAM KEADAAN YANG BEGITU KUKUH SEKALI. SAYA MASIH INGAT KATA-KATA JANJI YANG PERNAH BELIAU NYATAKAN KEPADA TUN HUSSEIN ONN SUATU KETIKA DULU. ANTARA LAIN BERBUNYI BEGINI: “MUDAH-MUDAHAN SAYA DAPAT MENYERAHKAN UMNO KEPADA PEMIMPIN AKAN DATANG DALAM KEADAAN KUKUH DAN BERPADU SEPERTI MANA YANG TELAH SAYA TERIMA.” ALHAMDULILLAH TUN, DOA ITU TELAH PUN DIMAKBULKAN. PARTI KITA TERUS UTUH DAN MENDAPAT PENERIMAAN DALAM SISTEM POLITIK NEGARA. INI TERBUKTI SEKALI LAGI, APABILA KITA MENDAPAT MANDAT YANG BESAR DALAM PILIHAN RAYA UMUM LALU.



4. KINI, SEBAGAI PENGGANTI TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, SAYA JUGA INGIN MEMOHON DOA YANG SAMA KEPADA TUHAN RABULALAMIN. SEMOGA SAYA MENDAPAT KEKUATAN DARI ALLAH UNTUK MENERUSKAN PERJUANGAN UMNO YANG DIMULAKAN OLEH BELIAU DAN PEMIMPIN-PEMIMPIN UMNO SEBELUM INI. SEMOGA SAYA MENDAPAT HIDAYAH DARI-NYA UNTUK MENERUSKAN KEJAYAAN PARTI KERANA UMNO HARI INI MEWARISI SATU KEJAYAAN BESAR. KITA MEWARISI SEBUAH NEGARA YANG STABIL. KITA MEWARISI SEBUAH NEGARA YANG LENGKAP DENGAN PRASARANA CANGGIH DAN MODEN. KITA MEWARISI SEBUAH PARTI POLITIK YANG TERKUAT DAN TERBESAR DALAM NEAGRA.



5. SAYA SEDAR, SESUNGGUHNYA KEJAYAAN INI TIDAK MUNGKIN TERCAPAI TANPA SOKONGAN DAN KEPERCAYAAN SEMUA PIHAK. ADALAH MENJADI TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA UNTUK MEMPERTAHAN MALAH MENINGKATKAN PRESTASI KEJAYAAN INI. SAYA YAKIN, JIKA NIAT DAN PEGANGAN KITA KEPADA PERJUANGAN ADALAH IKHLAS DAN MURNI, KITA DAPAT MENGURUSKAN KEJAYAAN INI DENGAN MEMBAWA KE TAHAP YANG LEBIH CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.



SAUDARA SAUDARI YANG SAYA HORMATI,



6. UMNO TELAH BERJAYA MEMPEROLEHI KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PILIHAN RAYA UMUM LALU, BERKAT HASIL USAHA KITA SEMUA MENGATASI SEGALA KELEMAHAN YANG DIKATAKAN MENJADI PUNCA PRESTASI PILIHAN RAYA 1999 MENURUN. PADA KESEMPATAN INI, SAYA INGIN MELAHIRKAN RASA TERIMA KASIH SAYA KEPADA TUN DR. MAHATHIR KERANA MASIH SANGGUP TURUN PADANG DAN BERKEMPEN BAGI MEMBANTU JENTERA BARISAN NASIONAL (BN).



7. SAYA JUGA TERPANGGIL UNTUK MENYATAKAN RASA TERHARU KEPADA TUN DR. MAHATHIR KERANA MENARUH KEPERCAYAAN TINGGI KEPADA KEPIMPINAN SAYA. SAYA MENGIMBAS AKAN PANTUN BELIAU PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN LALU:



“IZINKAN SAYA BEREDAR PERGI,

MEMBERI RUANG PADA PEMUDA,

MELUPAI UMNO TIDAK SEKALI,

TERUS BERJUANG WALAUPUN BERSARA.”





PADA MALAM INI, INGIN SAYA KATAKAN BAHAWA SEMANGAT PERJUANGAN YANG MASIH MEMBARA DALAM DIRI TUN DR. MAHATHIR TELAH MENYUNTIK SEMANGAT DALAM RAMAI AHLI UMNO UNTUK TERUS BERJUANG DEMI MASA DEPAN PARTI, BANGSA DAN AGAMA. KITA AKAN SAMA-SAMA MEMELIHARA KEJERNIHAN PARTI YANG KITA WARISI INI DARI SEBARANG KECUAIAN.



8. KALAU DULU, TUN DR. MAHATHIR SERING SALAHKAN DIRI SENDIRI KERANA SEPANJANG 22 TAHUN MEMIMPIN PARTI DAN NEGARA, BELIAU MERASA GAGAL DALAM MENGUBAH PEMIKIRAN MELAYU SECARA TOTAL. NAMUN, HAKIKAT ADALAH SEBALIKNYA, TUN. KESUNGGUHAN DAN PENGORBANAN YANG DIBERIKAN SELAMA INI SEBENARNYA TELAH LAMA MEMBUKA MATA ORANG MELAYU UNTUK MENILAI KELEMAHAN MEREKA. BERKAT USAHA TUN DR. MAHATHIR, KITA TELAH MELAHIRKAN RAMAI ANAK MELAYU YANG BERJAYA HINGGA KE PERINGKAT ANTARABANGSA. LAUNGAN “MALAYSIA BOLEH” YANG DISUNTIK BELIAU, KINI TELAH MENJADI SINONIM DENGAN NEGARA KITA. MALAH, LAUNGAN ITU TERUS MEMBAKAR SEMANGAT DALAM SETIAP RAKYAT MALAYSIA UNTUK TERUS BERGERAK MAJU BUKAN SAHAJA DI DALAM NEGARA, TETAPI JUGA DI PENTAS DUNIA. SEMANGAT INILAH YANG HARUS KITA PELIHARA DAN TERUS TANAM TERUTAMA KEPADA GENERASI MUDA.



9. NAMUN DEMIKIAN, SAYA TIDAK DAPAT NAFIKAN, KEBIMBANGAN YANG SERING TUN DR. MAHATHIR LUAHKAN MENGENAI NASIB MELAYU SEBENARNYA TURUT MENJADI KEBIMBANGAN DALAM DIRI SAYA. TETAPI SAYA YAKIN, BERKAT USAHA DAN HIDAYAH DARIPADA ALLAH, UMNO AKAN TETAP UTUH. DI SINI INGIN SAYA INGATI SAUDARA SAUDARI SEKALIAN BAHAWA UMNO DITUBUH UNTUK MENYATUKAN MELAYU. KERANA ITU, TUGAS UMNO, TUGAS KITA SEMUA, ADALAH MEMBERI PANDUAN DAN TELADAN KEPADA SEMUA ORANG MELAYU. JANGAN BIARKAN POLITIK MENUKAR KITA MENJADI MANUSIA YANG TAMAK ATAU TERLALU MATERIALISTIK.



YANG BERBAHAGIA TUN DR MAHATHIR DAN HADIRIN SEKALIAN,



10. TUN DR. MAHATHIR MERUPAKAN INSAN YANG MEMPUNYAI PANDANGAN DAN WAWASAN JAUH. SAYA SENDIRI MEMPELAJARI PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN DARIPADA DIRINYA. MELALUI VISI TUN DR. MAHATHIR, LANDSKAP NEGARA DARI SEGI FIZIKAL TERUS BERKEMBANG PANTAS. NAMA MALAYSIA KIAN TERSOHOR DI SELURUH DUNIA. BELIAU TELAH MENINGGALKAN SEBUAH KAPAL YANG BAIK UNTUK SAYA MENGGANTIKAN TEMPAT NAKHODANYA.



11. SESUNGGUHNYA, SUMBANGAN TUN DR. MAHATHIR KEPADA PARTI, BANGSA DAN AGAMA BEGITU TINGGI NILAINYA KEPADA KITA SEMUA. BELIAU TELAH MEMPERLENGKAPKAN ERTI KEMERDEKAAN DENGAN MENOBATKAN BANGSA MELAYU SEBAGAI BANGSA YANG DIHORMATI DUNIA. JATUH BANGUNNYA DALAM PARTI TELAH MENGORAK BELIAU MENJADI SEORANG PEMIMPIN ULUNG YANG BUKAN SAHAJA MEMPERJUANGKAN NASIB MELAYU TETAPI TURUT MELAUNGKAN KEADILAN YANG SEPATUTNYA WUJUD DI KALANGAN UMAT ISLAM DI SELURUH DUNIA. TIADA UNGKAPAN YANG LEBIH TEPAT UNTUK MENGGAMBARKAN BELIAU SELAIN SEBAGAI SEORANG NEGARAWAN TERBILANG ZAMAN INI.



12. WARISAN PUSAKA YANG DITINGGALKAN TUN DR. MAHATHIR UNTUK NEGARA, AKAN KITA JAGA DAN BELAI DENGAN BAIK. TIADA HARTA YANG LEBIH BERNILAI, SELAIN KEAMANAN, PERPADUAN DAN KESTABILAN EKONOMI YANG DIKECAPI MALAYSIA - BERKAT USAHA GIGIH KEPIMPINAN TUN DR. MAHATHIR SEBELUM INI.



13. MARILAH KITA MENGEKALKAN “WARISAN HARTA” YANG DITURUNKAN BELIAU. SEDARLAH BAHAWA USAHA INI HANYA BOLEH BERJAYA SEKIRANYA UMNO TERUS KEKAL KUKUH DAN RELEVAN DALAM MASYARAKAT NEGARA INI. JANGANLAH



14. PULA KITA PERSIAKAN SEGALA PENAT LELAH DAN PENGORBANAN YANG TELAH DICURAHKAN BEKAS PEMIMPIN KITA. JANGAN SESEKALI KITA LEKA HANYA KERANA KEPIMPINAN KERAJAAN DIKUASAI MELAYU. SEDARLAH SAUDARA SAUDARI. UCAPKAN RASA TERIMA KASIH ANDA, DENGAN MENJAGA KEKUATAN PARTI, AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.



HADIRIN SEKALIAN,



15. AKHIR KATA, MARILAH KITA MEMOHON KEPADA YANG MAHA ESA UNTUK KESEJAHTERAAN TUN DR. MAHATHIR, KAK HASMAH DAN SELURUH ISI KELUARGA BELIAU. MARILAH JUGA KITA MEMOHON PERLINDUNGAN ILLAHI SUPAYA PARTI KITA SENANTIASA DILINDUNGI DAN DIJAUHKAN DARI PENGARUH JAHAT YANG BOLEH MEMBUAT KITA TERPESONG DARI LANDASAN PERJUANGAN UMNO YANG SUCI. SEMOGA KITA SEMUA MENDAPAT BERKAT DARI KUASA-NYA.



16. SEBELUM SAYA MENGAKHIRI UCAPAN INI, SAYA INGIN MERAKAMKAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN SAYA KEPADA JAWATANKUASA MAJLIS KERANA BERJAYA MENGANJURKAN ACARA YANG PENUH BERMAKNA INI. KEPADA YANG BERBAHAGIA TUN DR. MAHATHIR DAN TUN DR. SITI HASMAH, SELURUH UMNO SEKALI LAGI INGIN MENYAMPAIKAN RASA SAYANG, HORMAT DAN TERIMA KASIH ATAS SEGALA JASA DAN PENGORBANAN YANG TELAH DITUNJUKKAN SELAMA INI. JASAMU TIDAK DAPAT KAMI BALAS TETAPI AKAN SENTIASA DIKENANG.



SEKIAN, TERIMA KASIH.

Kami menerima 2,736,583 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri