English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SRI NAJIB TUN RAZAK
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN STUDIO DIGITAL MIXSTAGE
Lokasi : KOMPLEKS FINAS, HULU KELANG, SELANGOR
Tarikh : 01-02-2009
 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.



YB Dato' Seri Mohd Shafie Hj. Apdal;

Menteri Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan,



YB Dato' Razali Ibrahim;

Pengerusi FINAS



YBhg Datuk Dr. Muzahet Masruri;

Ketua Setiausaha KPKKW,



Yang Berusaha Encik Mohd Mahyidin Mustakim;

Ketua Pengarah FINAS,



Dif-dif jemputan,



Para penerbit, karyawan dan penggiat filem,



Para hadirin yang dihormati.



1. Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dan kepada FINAS di atas kesudian untuk menjemput saya ke majlis yang penuh bermakna ini. Saya kira majlis pada malam ini amat penting dalam susur galur pembangunan industri perfileman tanah air, dengan majunya kita setapak lagi dalam lapangan teknologi pembikinan filem.



2. Saya amat berbesar hati di atas penghormatan yang diberikan untuk saya merasmikan Studio Digital Mixstage FINAS ini, yang merupakan komponen penting dalam melonjakkan industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.



Tuan-tuan dan puan-puan,



3. Banyak perkara yang telah diperkatakan tentang industri filem tempatan oleh pelbagai pihak. Industri ini, sebenarnya telah lahir sejak zaman pra-merdeka lagi, iaitu lebih 75 tahun yang lampau, ketika filem Melayu pertama diterbitkan di Singapura pada tahun 1932. Dalam tempoh yang lama itu, industri perfileman telah mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan, kejayaan dan juga cabaran. Ada yang menyebut bahawa industri ini telah pun mengecap detik kegemilangannya pada tahun 50-an dan 60-an, ketika filem-filem tempatan mendapat sambutan sungguh hangat dan berjaya mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara serantau.



4. Namun begitu ramai juga yang berpendapat bahawa sejak beberapa dekad yang lalu, industri filem tempatan agak ketinggalan, mungkin kerana fenomena globalisasi yang mendedahkan lebih ramai rakyat Malaysia kepada filem-filem antarabangsa khususnya dari barat. Mungkin juga filem-filem tempatan menerima kesan dengan perkembangan teknologi terkini yang mempermudahkan lagi para pengguna mendapatkan filem asing dalam bentuk pita video dan cakera padat, apatah lagi dengan menularnya gejala cetak rompak.



5. Yang jelas, faktor-faktor ini adalah antara faktor utama yang mempengaruhi pasaran filem dan membawa kesan negatif kepada industri filem tempatan. Justeru itu bermulalah “vicious cycle” apabila kutipan dari jualan filem berkurangan yang menyebabkan modal pusingan serta pelaburan bagi pembikinan filem juga berkurangan dan akhirnya faktor kewangan ini mempengaruhi mutu dan hasil kerja pengusaha-pengusaha filem.



6. Bukan sahaja aspek teknikal pembikinan filem terjejas disebabkan kekurangan dana, tetapi aspek-aspek lain juga terganggu termasuklah penghasilan skrip dan pemilihan bakat-bakat bagi menjayakan sesebuah filem. Apabila mutu filem dari segi penerbitan dan hasil seni terjejas akibat faktor kos, lama kelamaan filem-filem yang dihasilkan dalam keadaan demikian mengalami kesukaran untuk menambat hati penonton. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira kematangan penonton filem hari ini, yang mempunyai cita rasa tinggi dalam memilih filem yang ingin ditonton.



7. Namun begitu, kita bersyukur kerana industri filem tempatan masih terus bertapak, dan masih terdapat filem-filem yang diterbitkan yang mendapat sambutan yang hebat di kalangan penggemar filem Melayu. Yang perlu kita semua sedari ialah sememangnya masih banyak ruang untuk kita perbaiki dan mantapkan lagi industri perfileman kita agar dapat dikatakan bahawa industri perfileman kita setanding dengan industri-industri filem negara lain yang lebih maju dan terkenal. Yang penting, pengusaha-pengusaha filem perlu sentiasa sedar dan peka akan cita rasa penonton filem yang sering berubah dan sentiasa berkeinginan untuk menonton sesuatu yang baru.



8. Di sinilah letaknya peranan FINAS yang amat besar dan penting. Pemerhatian serta bimbingan FINAS diperlukan bagi menjamin mutu filem yang dihasilkan. Saya amat gembira dengan sasaran FINAS yang dinyatakan menerusi Pelan Strategik bagi tahun 2009 sehingga tahun 2013 untuk memastikan penerbitan 50 filem dari pelbagai genre setahun, berbanding purata 20 hingga 25 filem setahun pada masa kini. Saya benar-benar berharap sasaran 50 filem ini boleh dicapai. Saya percaya dalam mengejar sasaran ini, mutu dan nilai seni setiap penerbitan akan diberikan penekanan yang sewajarnya oleh pihak FINAS agar bukan sahaja matlamat kita tercapai dari segi kuantiti, tetapi ia juga tercapai dari segi kualiti. Saya juga difahamkan bahawa FINAS menyasarkan purata 500,000 penonton bagi setiap filem dalam tempoh Pelan Strategik tersebut. Ini merupakan satu cabaran yang besar bagi FINAS, namun begitu, saya yakin bahawa ianya mampu dicapai jika semua pihak yang terlibat dalam industri filem termasuklah tuan punya panggung wayang bekerjasama dan filem-filem yang dihasilkan berkualiti tinggi dan menepati cita rasa penggemar-penggemar filem.



9. Dari segi pengukuhan aspek teknikal industri ini pula, dengan adanya Studio Digital Mixstage ini FINAS bukan sahaja mampu memantapkan penghasilan filem-filem tempatan, tetapi lebih dari itu, ia kini berupaya untuk memposisikan Malaysia sebagai antara destinasi “post-production” terbaik dirantau ini.



10. Dalam kata lain, bukan sahaja filem-filem tempatan tidak lagi perlu ke negara jiran untuk proses “Post–Production” yang melibatkan adunan suara dan suntingan kesan bunyi (dubbing and sound effects editing), malah penerbit-penerbit filem asing juga boleh ditarik ke Malaysia untuk menjalankan proses yang sama bagi filem-filem mereka. Ini amat selari dengan hasrat kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi perfileman yang baik, yang memiliki kepelbagaian lokasi yang sesuai untuk pelbagai bentuk filem.



11. Dengan adanya kemudahan studio ini, maka promosi Malaysia sebagai destinasi perfileman yang lengkap lebih mudah dijalankan. Insya-Allah, FINAS akan mampu memanfaatkan sepenuhnya studio canggih ini dan hasrat serta sasarannya akan mampu dicapai dalam masa yang ditetapkan.



12. Bagi pihak kerajaan, sudah tentu industri ini tetap dianggap penting dan akan terus diberikan perhatian sewajarnya. Antara lain kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang selaras dengan Dasar Perfileman Negara termasuklah:



• Mempertimbangkan tambahan dana Skim Pinjaman Filem Cereka dari RM50 juta kepada RM100 juta;

• Mewujudkan peruntukan khas bagi menyokong usaha-usaha mempromosikan serta penerokaan pasaran baru bagi filem-filem Malaysia ke peringkat antarabangsa;

• Memperluaskan kerjasama penerbitan dokumentari dan animasi dengan saluran antarabangsa;

• Menimbang untuk melengkapkan lagi kemudahan Kompleks FINAS untuk kegunaan industri; dan

• Mengkaji insentif khas galakan penggambaran filem asing di Malaysia.



13. Selain itu, bagi memperkasakan aktiviti persatuan perfileman terutamanya yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan juga persatuan yang memperlihatkan kemampuan menjalankan program kebajikan dan peningkatan profesionalisme, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk geran batuan pengurusan yang disalurkan melalui FINAS kepada setiap persatuan ditingkatkan dari RM20,000 setahun ke RM30,000 setahun. Ini adalah bagi membolehkan persatuan terus fokus merangka dan melaksanakan program pembangunan di kalangan ahli-ahlinya.



14. Demikianlah prihatinnya kerajaan terhadap industri perfileman tanah air, yang sebenarnya memiliki potensi besar untuk maju dan berkembang sebagai salah satu industri utama yang menyumbang kepada ekonomi negara. Saya berkeyakinan bahawa hasrat dan wawasan kita bagi industri ini akan mampu kita capai jika semua pihak berusaha dan memainkan peranan masing-masing. Insya-Allah dengan bimbingan dari pihak Kementerian dan dengan pemantauan serta inisiatif-inisiatif yang khusus dari pihak FINAS terutamanya, Industri Filem Malaysia akan lebih kukuh dan mantap, dan filem-filem yang diterbitkan akan mampu bersaing dengan filem-filem yang dihasilkan dari mana-mana jua negara lain.



Tuan-tuan dan puan-puan,



15. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan, dan syabas serta tahniah saya rakamkan kepada pihak FINAS di atas bermulanya operasi studio yang serba canggih ini. Saya doakan agar usaha-usaha kita untuk memajukan lagi industri filem negara akan terus berjaya. Maka dengan itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Studio Digital Mixstage Finas ini.



Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kami menerima 4,509,497 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri