English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KIJANG EMAS
Lokasi : HOTEL MANDARIN ORIENTAL, KUALA LUMPUR
Tarikh : 17-07-2001
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana menjemput saya untuk melancarkan duit syiling bulion Malaysia yang diberi nama Kijang Emas. Kijang Emas akan meletakkan negara kita di peta dunia sebagai salah sebuah negara yang berjaya mengeluarkan duit syiling bulion. Dengan terbitnya Kijang Emas ini, kita telah membuktikan yang negara kita juga mempunyai keupayaan kreativiti dan kepakaran anak tempatan untuk mengeluarkan produk setanding mutunya dengan produk- produk yang dikeluarkan oleh negara lain.

2. Cabaran persaingan dalam dunia perniagaan antarabangsa hari ini amatlah sengit. Oleh itu kemajuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan atau R&D dalam bidang-bidang yang diceburi amatlah penting bagi meningkatkan kualiti produk-produk yang dikeluarkan dengan kos yang rendah dan mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar antarabangsa. Pengusaha- pengusaha tempatan mestilah peka dengan tahap kos pengeluaran, produktiviti dan kualiti produk. Pengusaha-pengusaha juga mestilah bijak menggunakan sumber-sumber tempatan dan meningkatkan nilainya kerana dengan usaha ini bukan sahaja sumber tempatan dapat digunakan dengan kos yang lebih rendah, tetapi juga akan meningkatkan ekonomi negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Usaha ini juga akan dapat meningkatkan keupayaan persaingan dalam perniagaan, lebih-lebih lagi kepada yang ingin memasuki pasaran luar negara.

3. Kita mestilah sentiasa berusaha dengan gigih kerana sesuatu kejayaan dalam apa-apa jua bidang pun tidak akan datang bergolek tanpa perancangan yang rapi dan usaha yang gigih. Saya selalu berpesan kepada pengusaha-pengusaha supaya memberi perhatian kepada R&D. Faktor R&D sangat penting untuk menjamin mutu dan mencari satu metodologi pengeluaran yang cekap dan berkesan bagi menghasilkan sesuatu produk yang dapat menjimatkan kos pengeluaran dan seterusnya memberikan kita daya saing yang tinggi.

4. Dasar liberalisasi perdagangan akan membuka pasaran kepada peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha luar ke dalam pasaran kita. Peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha ini, akan membawa bersama mereka teknologi dan inovasi yang bakal menjadi pesaing kepada pengusaha dan peniaga tempatan. Adakah kita bersedia untuk bersaing dengan mereka ini? Apakah strategi dan kelebihan yang kita ada untuk menghadapi cabaran daripada pesaing-pesaing dari luar ini? Pengusaha dan peniaga tempatan tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada Kerajaan kerana dalam arus globalisasi peranan Kerajaan akan menjadi semakin terhad. Oleh itu pengusaha-pengusaha tempatan harus bijak mengambil peluang yang ada, mempunyai kekuatan, semangat dan daya tahan yang tinggi dalam mengharung arus globalisasi ini.

5. Menyedari hakikat kesan daripada proses globalisasi ini, kita memperkenalkan K-ekonomi yang menekankan kepentingan ilmu dalam menghadapi persaingan yang hebat yang tercetus dari revolusi teknologi dan penghapusan sempadan perniagaan. Harapan kita ialah dengan peningkatan ilmu, pengusaha dan peniaga tempatan dapat terus merumus formula terbaik untuk maju dan bersaing dengan pesaing-pesaing dari luar. Dengan ilmu yang dimiliki dan sentiasa dikemas kini, ianya akan digunakan bukan sahaja untuk kemajuan sendiri tetapi juga kemajuan sesama rakan niaga. "Ilmu yang tidak digunakan adalah ibarat pokok yang tidak berbuah".

6. Kita sentiasa berharap agar negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang positif setiap tahun. Kerajaan sahaja tidak berupaya untuk menjana pertumbuhan memandangkan kita mempunyai sumber-sumber yang terhad. Oleh itu, tugas menjana pertumbuhan ekonomi seharusnya dipikul bersama oleh sektor swasta yang merangkumi antaranya masyarakat peniaga, pengusaha dan perbankan. Mereka perlu saling bergantung antara satu sama lain dengan matlamat utamanya untuk mencapai tahap kejayaan yang lebih cemerlang.

7. Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) adalah antara sektor yang penting dalam ekonomi yang mendapat perhatian kerajaan sebagai sektor yang berupaya menyumbang kepada pertumbuhan. Bagaimanapun, keupayaan IKS terhad kepada jumlah modal dimiliki dan mereka memerlukan bank untuk mendapatkan bantuan bagi mengembangkan perniagaan ataupun menampung defisit aliran tunai. Walau bagaimanapun, ada antara bank yang terlalu berhati-hati dalam memberikan pinjaman kepada syarikat IKS sehingga ada antara mereka yang terpaksa gulung tikar. Ini adalah perkara yang merugikan negara apabila modal yang dilabur hilang begitu sahaja. Usaha yang sepatutnya berupaya menjana pertumbuhan positif, kini berubah kepada pertumbuhan yang negatif. Bank perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu pengusaha IKS seperti memberikan khidmat nasihat tentang pengurusan kewangan, pentadbiran dan pemasaran. Saya percaya langkah ini akan membantu memajukan syarikat IKS dan secara langsung dapat mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar. Saya ingin menyeru kepada institusi kewangan agar memberi perhatian sewajarnya kepada sektor IKS. Janganlah mengenakan syarat pinjaman yang terlalu membebankan.

8. Pengeluaran Kijang Emas oleh The Royal Mint of Malaysia melambangkan keberanian dan semangat mampu bersaing pengusaha IKS tempatan dengan negara yang lebih maju. Kerajaan ingin melihat banyak lagi produk kraftangan tempatan yang kreatif, menarik dan berkualiti dapat dihasilkan oleh IKS tempatan yang lain.

9. Pengeluaran Kijang Emas ini bukan setakat untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia, tetapi ia juga menyediakan pilihan bagi orang ramai untuk melabur dan menabung. Dengan harga emas yang secara relatif lebih stabil, pelaburan dalam Kijang Emas dapat mengimbangi risiko dalam portfolio pelaburan yang lain seperti pasaran saham.

10. Saya mengucapkan tahniah kepada Bank Negara Malaysia dan The Royal Mint of Malaysia kerana telah bekerjasama dalam menjayakan penerbitan Kijang Emas ini. Setinggi penghargaan saya kepada World Gold Council yang turut menyumbang kepada kejayaan Malaysia mengeluarkan Kijang Emas. Saya harap kerjasama begini dapat diteruskan dalam membantu Malaysia mempromosi dan memasarkan Kijang Emas di peringkat dunia.

11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Kijang Emas dengan rasminya.

Kami menerima 3,880,280 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2017 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri