English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : SEMINAR MENANGANI CABARAN WAWASAN 2020: KE ARAH PEMBENTUKAN PARADIGMA BARU PERKHIDMATAN AWAM (PM OFF THE CUFF)
Lokasi : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, (PWTC) KUALA LUMPUR
Tarikh : 08-02-1994
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada INTAN kerana menjemput saya untuk menyampaikan pandangan saya kepada peserta-peserta seminar yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam pada hari ini.

2. Sepertimana yang diketahui kita telah pun mengenengahkan Wawasan 2020 sebagai satu arah yang dituju, sebagai dorongan bagi pembentukan mental, sebagai falsafah pembangunan, sebagai asas perancangan dan sebagai panduan prilaku kita, bagi menentukan kita akan menjadi sebuah negara yang benar-benar maju dan dihormati. Dengan ringkasnya Wawasan 2020 adalah asas kepada pembentukan budaya bangsa yang berupaya menangani perubahan dan cabaran serta mempelopori perubahan dan kemajuan.

3. Untuk membentuk sebuah negara maju, pemimpin-pemimpin dan pentadbir serta semua lapisan masyarakat perlu berupaya membezakan antara nilai yang baik dan yang buruk bagi kita.Apa yang datang dari negara maju tidak semestinya sesuai untuk kita. Banyak daripada nilai-nilai lama dan tradisi bangsa kita seperti perhubungan kekeluargaan, semangat bantu-membantu dan sifat hormat-menghormati masih relevan dan baik untuk masa depan kita.

4. Kita perlulah berupaya menggabungkan nilai baik dan positif daripada tradisi kita dengan nilai moden yang sesuai dengan kemajuan kita di samping tidak bercanggah bahkan dituntut oleh agama kita.

5. Sejarah tamadun manusia menunjukkan bahawa kemajuan bangsa dan negara dipengaruhi oleh banyak faktor. Di antara yang penting ialah: kepimpinan yang baik yang dibantu oleh penasihat-penasihat dan pegawai-pegawai yang mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan pembangunan negara. Sesuatu tamadun tidak akan bertahan lama sekiranya pemimpin- pemimpin, penasihat-penasihat, pentadbir-pentadbir dan seluruh masyarakat tidak dapat bekerjasama, tidak mempunyai penyatuan pemikiran dan tidak berjuang untuk menegakkan keutuhan tamadun tersebut.

6. Sebagai penjawat jawatan-jawatan awam tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu komponen penting untuk menentukan wawasan kita dicapai di tahap ataupun yang melebihi daripada matlamat yang kita gariskan. Sebagai penjawat jawatan awam tuan-tuan dan puan-puan merupakan faktor penting dalam memberi nasihat, merancang dan melaksanakan matlamat pembangunan yang telah kita bentuk. Walaupun dipisah daripada kepimpinan politik daripada segi organisasi, pegawai-pegawai awam perlu berpegang kepada prinsip dan matlamat yang sama dengan kepimpinan semasa.

7. Sebagai pasukan yang berpengalaman dalam kerajaan, pegawai awam mestilah berupaya memberi nasihat yang bernas, berani menegakkan kebenaran dan sanggup bekerja lebih keras.Nasihat yang baik hanya datang daripada pegawai yang progresif, berpengetahuan tinggi, bersemangat dan bersifat positif terhadap segala cabaran.

8. Malaysia adalah sebuah negara dagangan atau `trading nation`. Kita tidak mungkin mencapai tahap pembangunan sekarang jika tidak kerana kita cekap berdagang. Pasaran tempatan adalah terlalu kecil untuk pembangunan yang kita cita-citakan.

9. Negara dagangan perlu bersaing atau `compete` dalam pasaran dunia. Jika kita tidak cekap dan pintar tidak mungkin kita dapat bersaing dengan jayanya. Kecekapan dan kepintaran bukan sahaja diperlukan oleh swasta tetapi oleh pentadbir dan pentadbiran juga. Jika pentadbir tidak cekap kos pengeluaran semua barangan kita akan meningkat. Betapa tidak? Satu daripada pengawal kos ialah kepantasan mengeluarkan barangan atau khidmat. Pentadbiran yang tidak cekap dan tidak pintar akan melambat dan menghalang pengeluaran barangan atau pemberian khidmat. Dan kelewatan akan menaikkan kos.

10. Jika pentadbir bersikap negatif, maka idea baru tidak akan mendapat layanan. Ini sudah tentu akan membekukan proses pembangunan kerana idea-idea baru dicipta sepanjang masa dalam perusahaan dan perniagaan oleh pihak swasta.Demikian juga dengan pentadbiran. Cara-cara baru diperkenalkan hampir setiap hari. Jika semuanya ditolak atau masa yang panjang diguna untuk menilai dan menerima sesuatu idea baru, maka kos pentadbiran dan dengan itu kos pengeluaran akan meningkat dan kita akan hilang daya saing kita.

11. Di zaman dahulu pentadbir hanya menjalankan tugas yang ditetapkan baginya. Kebanyakan kerja adalah `routine` yang berulang-ulang. Apa yang menyusul atau menjadi hasil kerja tidak mengapa. Yang relevan ialah `so much work has been done in so much time for so much pay`. Apabila sampai masanya pentadbir akan bersara. Tidak ada penyertaan secara sedar oleh pihak pentadbir dalam kejayaan negara.

12. Hari ini keadaan sudah berubah. Pentadbir perlu tahu bahagian yang dimainkan olehnya dalam produk yang dihasilkan oleh Negara. Nilai produk itu, sama ada kepada Kerajaan atau swasta, perlu diketahui dan dengan pengetahuan itu pentadbir bertanggungjawab untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti barangan yang dikeluarkan. Menyusuli sumbangannya kepada produk ialah sumbangannya kepada kemakmuran negara. Sudah tentu jika sumbangannya membantu kemakmuran negara ia sebenarnya membantu diri sendiri. Oleh itu pandangan seseorang pentadbir di zaman ini tidak terhad kepada tugas yang sedikit yang didepannya. Tugasnya sudah menjadi lebih luas dan meliputi akhirnya maju-mundur negaranya.

13. Zaman pendapat bahawa kos pentadbiran tidak ada kena- mengena dengan kos produk oleh swasta dan seterusnya kos sara hidup rakyat sudah berakhir. Menaikkan cukai bukan caranya untuk membiayai pentadbiran. Sebaliknya cukai harus diturunkan supaya kos juga menurun untuk membolehkan segala produk lebih berdaya saing dan laris. Daripada peningkatan jumlah produk yang dipasar, kita berharap akan dapat menaikkan jumlah cukai untuk membiayai pentadbiran. Justeru itu, pentadbir yang cekap dan dapat menyumbang kepada pengurangan kos sebenarnya menyumbang kepada kemewahan negara dan hidupnya sendiri.

14. Jika kita sudah faham dan terima hakikat ini, maka mudahlah kita memperluas paradigma kita. Tidak lagi akan kita percaya bahawa bukan sahaja kebolehan kita sendiri terhad tetapi kemampuan negara kita juga terhad. Tidak lagi akan kita fikir bahawa menjadikan negara kita negara maju atau `developed nation` adalah mustahil. Sebenarnya kita mampu dan negara juga mampu. Ada negara Eropah yang sudah maju yang tidak lebih besar daripada segi kawasan atau penduduk atau sumber alam dari Malaysia. Rakyat mereka juga bukan lebih pandai atau mempunyai kualiti yang terhad kepada mereka sahaja. Segala-gala yang ada pada mereka ada pada kita. Hanya kita tidak membangunkan kualiti ini atau menggunakannya dengan sepenuh.

15. Manusia adalah `a creature of habit` iaitu manusia dikuasai oleh tabii mereka. Tabiat bukan sesuatu yang semula jadi. Ia adalah sesuatu yang dicipta dan dipupuk oleh individu atau masyarakat. Ia menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat atau bangsa itu.

16. Tidak ada sesuatu yang mempengaruhi pencapaian sesuatu masyarakat lebih daripada budaya masyarakat itu. Demikian juga dengan individu. Faktor sumber alam, iklim dan alam sekitar mempunyai kesan terhadap maju mundurnya sesuatu masyarakat tetapi tidak seperti budaya. Bahkan budaya boleh mengatasi kebaikan atau keburukan faktor-faktor lain. Sebab itu daripada kumpulan ethnik yang sama, ada kelompok yang berjaya dan ada yang mundur. Dan negara yang kaya sumber alamnya boleh menjadi mundur dan sebaliknya yang kekurangan sumber alam boleh menjadi maju. Faktor yang memainkan peranan utama ialah budaya.

17. Budaya kerap terbentuk tanpa apa-apa usaha oleh seseorang individu atau sesuatu masyarakat atau bangsa.Tetapi budaya boleh juga dibentuk dan dipupuk secara sengaja. Budaya boleh diperbaiki supaya ia dapat menghapuskan unsur-unsur yang buruk dan mengembangkan unsur- unsur yang baik. Dalam usaha pembentukan budaya inilah paradigma memainkan peranan yang amat penting.

18. Jika seseorang individu atau bangsa mempunyai kepercayaan bahawa kebolehannya adalah terhad, bahawa ia tidak boleh meningkat atau memperluaskan lagi kemampuannya, maka sudah tentu ia tidak mungkin membuat sesuatu yang di luar daripada paradigmanya. Soalnya ialah apakah paradigma yang diakui olehnya benar-benar paradigma baginya atau bangsanya atau apakah ini hanya satu persepsi sahaja?

19. Demikian di zaman penjajah pemikiran bangsa yang dijajah terkongkong sehingga mereka percaya bahawa mereka tidak mampu mentadbir negara mereka sendiri. Sesuatu peristiwa atau seseorang individu diperlukan untuk memecah tembok paradigma ini untuk meyakinkan bangsa itu bahawa mereka mampu dan boleh. Dengan perubahan pemikiran ini maka kemerdekaan dapat dituntut dan dicapai.

20. Biasanya masa yang panjang diperlukan untuk penerimaan perluasan paradigma ini. Setelah perluasan paradigma ini diterima, maka barulah pemikiran berubah. Secara langsung ia menolong menyediakan sifat-sifat yang diperlukan untuk tugas, tanggungjawab dan peranan yang akan dimainkan dalam arena yang lebih luas dan lebih mencabar hasil perubahan batasan paradigma yang lama.

21. Di zaman penjajahan, kepercayaan disemai bahawa peranan jajahan takluk ialah mengeluarkan bahan mentah yang mesti dieksport ke negara metropolitan untuk diproses. Pemerosesan ini digambarkan sebagai begitu canggih dan kompleks sehingga ianya tidak mungkin dibuat oleh penduduk di negeri yang dijajah. Dan pendapat ini diterima dan menjadi paradigma bukan sahaja oleh mereka yang dijajah tetapi penjajah juga. Sementara kemerdekaan dapat dicapai, paradigma ini masih dapat menyekat kemajuan negara yang telah dibebaskan. Secara tidak langsung negara yang telah merdeka ini kekal sebagai `colony` kepada penjajah dahulu. Dan selagi paradigma ini tidak dapat ditembusi dan perenggannya diperluaskan, penjajahan akan kekal.

22. Fenomena paradigma yang menakluk pemikiran, dan dengan itu kemampuan, berada di mana-mana sahaja. Tetapi di negara maju paradigma mereka amat luas. Manusia tidak mungkin mencipta pesawat terbang dan kapal angkasa jika tidak kerana mereka mempunyai paradigma yang luas. Apabila mereka percaya bahawa mereka boleh terbang maka mereka pun mula memikirkan cara-cara untuk berterbang. Sekali lagi mereka menghadapi satu lagi paradigma, iaitu penerbangan hanya boleh dilakukan jika manusia mempunyai sayap yang boleh mengepak seperti burung. Jika pemikiran seperti ini kekal maka manusia mungkin tidak boleh terbang sehingga sekarang. Tetapi ada orang yang tidak terkongkong dengan kepercayaan ini. Mereka ini mendapati bahawa sesuatu yang berat boleh melawan `gravity` jika ia bergerak dengan cukup pantas. Sebenarnya ketul batu boleh terbang jika dibaling dengan cukup kuat. Soalnya ialah bagaimana sesuatu benda itu dapat bergerak dengan pantas dengan tenaganya sendiri? Apabila enjin dapat memutar kipas yang menarik pesawat dengan cukup pantas maka penerbangan menjadi kenyataan bagi manusia. Semua ini boleh berlaku kerana ada orang yang tidak menerima paradigma yang lama. Tetapi paradigma yang baru juga diperluaskan sehingga manusia boleh mendarat di atas bulan.

23. Pengajaran daripada ini ialah setiap orang, setiap bangsa, setiap negara boleh maju lebih daripada yang dijangkakan jika sesuatu paradigma itu diperluaskan. Apabila kita mencipta Wawasan 2020 dan mengumumkan bahawa kita ingin menjadi negara maju, kita telah membesarkan paradigma untuk negara kita. Paradigma baru ini diterima oleh semua organisasi dan lapisan rakyat, oleh Kerajaan dan swasta dan oleh individu dan kumpulan daripada semua keturunan dan semua peringkat masyarakat. Penerimaan ini sahaja telah berjaya membebaskan fikiran dan sikap kita daripada kongkongan psikologi lama. Ia memberanikan kita memasuki bidang-bidang yang dahulu dianggap sebagai di luar kemampuan kita. Dan kita terkejut apabila kita dapati bahawa kita berupaya, bahkan berupaya mencapainya dengan cemerlang. Demikianlah kesan paradigma.

24. Hari ini kita percaya bahawa menjadi negara maju bukan lagi angan-angan yang keterlaluan. Kita telah lihat hasil awal perubahan paradigma yang kita cipta. Mungkin ia belum sampai matlamat, tetapi kemungkinannya ada. Perubahan paradigma negara memerlukan perubahan paradigma bagi Kerajaan dan anggotanya di semua lapisan. Sudah tentu pegawai-pegawai mempunyai peranan yang kritikal. Mereka mesti menentukan paradigma mereka. Untuk ini:

Pertama : Mereka perlu faham peranan paradigma dalam menentukan pencapaian diri mereka sendiri, selain daripada pencapaian negara.

Kedua : Mengenalpasti bidang-bidang yang perluasan paradigma diperlukan dan menerima paradigma yang baru.

Ketiga : Mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kecekapan sesuai dengan paradigma baru ini serta penuh yakin bahawa mereka mempunyai kebolehan.

Keempat : Di mana sahaja pertukaran pendekatan diperlukan, mereka harus membuat pertukaran ini, termasuklah penghapusan sikap terasing dari masyarakat dan swasta yang menjadi pelanggan mereka. Piagam pelanggan mesti diterima sepenuhnya.

Kelima : Pegawai-pegawai awam perlu sentiasa memikir akan hasil dan sumbangan mereka kepada masa depan dan tidak hanya memikir akan sumbangan hari ini untuk hari ini.

Keenam : Sementara setiap pegawai sebagai individu boleh menyumbang kepada kejayaan segala usaha, mereka harus sedar bahawa sumbangan sebagai anggota pasukan adalah lebih berkesan dalam apa juga usaha. Oleh itu mereka harus mengutamakan kerjasama yang berkoordinasi dalam pasukan bagi menembusi paradigma lama dan memasuki paradigma baru.

25. Ekonomi kita kebelakangan ini telah berkembang dengan pesat dalam keadaan inflasi yang rendah. Rata-rata kita lihat pembangunan dan kemajuan. Banyak negara ingin mencontohi kejayaan kita. Dalam pada itu, kita tidak harus berpuas hati dengan kejayaan kita ini. Kita perlu berusaha supaya kejayaan kita dapat terus dikekalkan. Malah kita perlu terus berusaha dan bekerja keras untuk meningkatkan lagi kejayaan hari ini dan untuk menempa kejayaan hari esok.

26. Tanpa usaha yang berterusan kejayaan hari ini tidak akan dapat menjamin kejayaan di masa hadapan. Tanpa usaha yang berterusan mungkin kita akan mengalami satu era di mana kegigihan untuk bekerja kuat, bermotivasi tinggi, berdaya kreatif dan inovatif akan mula pudar dan lebih buruk, lenyap sama sekali.

27. Oleh itu kita mesti sentiasa berusaha untuk memperkayakan minda, pemikiran dan tingkah laku kita supaya tidak terjebak dalam budaya `complacent` dan berpuas hati.Kita perlu sentiasa memperluas dan memperbesarkan paradigma kita serta berusaha untuk memenuhi paradigma yang baru kerana kita yakin kita memiliki kemampuan yang lebih dari sekarang.

28. Akhir sekali, saya berharap seminar ini dapat memperluaskan paradigma kita dan menyediakan pemikiran kita untuk matlamat yang lebih tinggi daripada yang kita percaya menepati paradigma sekarang. Insya-Allah kita akan mencapai matlamat Wawasan 2020.

Note: PM off the cuff.

Kami menerima 2,756,197 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri