English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA HARI KEBANGSAAN KE 46 TAHUN
Lokasi : PUTRAJAYA
Tarikh : 31-08-2003
 
Ini adalah kali terakhir saya berkesempatan membuat ucapan pada hari yang begitu bermakna bagi kita; Hari Kemerdekaan, Hari Kebangsaan kita.

2. Oleh itu saya pohon izin untuk berucap lebih panjang daripada biasa. Sesungguhnya banyak benar pesanan yang ingin saya sampaikan, yang saya berpendapat boleh membawa kebaikan kepada kita semua dan kepada negara tercinta ini, negara kita bersama, negara Malaysia.

3. Tahun ini kita menyambut ulangtahun Hari Kebangsaan bagi kali ke 46. Rakyat kita sungguh beruntung dan bertuah kerana dapat menyambutnya tanpa berasa bimbang akan sebarang ancaman walaupun keadaan dunia sekarang masih diselubungi dengan rasa ketakutan akibat keganasan, pencerobohan dan peperangan.

4. Sebenarnya sudah hampir lima dekad kita kekal bebas daripada penjajahan asing. Ia adalah kerana rakyat berbilang kaum kita sudah matang daripada segi politik demokrasi, matang dan cinta kepada kestabilan dan keamanan. Kita tidak tamak dan suka merebut semua bagi diri kita sahaja. Kita tidak ganas semasa mengambil bahagian kita. Sebaliknya kita percaya dan kita sanggup berkongsi; berkongsi secara bijak segala nikmat yang ada. Kita lebih rela mendapat sebahagian daripada nikmat yang ada kerana kita percaya dan kita tahu dalam keadaan aman dan tenteram, bahagian kita akan tumbuh dan menjadi besar. Kita juga tahu jika kita bolot semua untuk kita dan dengan kerana itu ketegangan antara kaum berlaku dan negara menjadi kurang stabil dan aman, maka apa yang diperolehi oleh kita tidak akan tumbuh membesar, bahkan akan susut dan kecut dan akhirnya tidak akan ada apa-apa yang dimiliki oleh kita.

5. Jika diperhatikan segala masalah yang dihadapi di merata tempat di dunia, segala kezaliman, huru-hara dan perang adalah disebabkan sikap tamak haloba dan tuntutan untuk semua bagi diri sendiri. Tidak sanggup berkongsi ialah sebabnya rusuhan berlaku.

6. Sebab itu dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru umpamanya, walaupun jumlah Bumiputera lebih ramai kita sanggup menerima agihan 30 peratus sahaja dan bukan Bumiputera 40 peratus, asing 30 peratus. Kita tahu bukan mudah untuk mencapai peratusan ini pun. Setelah 33 tahun DEB dilaksanakan bahagian Bumiputera hanyalah 19 peratus. Jika kita memberontak sekali pun ia tidak akan meningkat, sebaliknya ia akan merosot.

7. Tetapi tentu ada di kalangan kita yang tidak senang dengan kegagalan mencapai matlamat DEB setelah 46 tahun merdeka. Tentu ada yang ingin cari kesalahan terutama kesalahan Kerajaan. Tidakkah boleh Kerajaan mengambil sahaja bahagian Bumiputera dan menyerah kepada mereka?

8. Sebenarnya Kerajaan telah pun berbuat demikian. Jika Bumiputera tidak dapat juga, sebabnya ialah kerana Bumiputera menjual balik hak mereka kepada bukan Bumiputera untuk mendapat untung cepat. Bukan sahaja saham yang dijual balik, tetapi kontrak, peluang dan apa sahaja yang didapati dijual balik dan ini sudah tentu menggagalkan pelaksanaan DEB. Sejumlah 19 peratus yang dicapai pun adalah kerana institusi Bumiputera diperuntukkan bahagian Bumiputera dan memegangnya, tidak menjual.

9. Kenapakah ini berlaku? Kenapakah matlamat DEB tidak tercapai sepenuhnya? Kenapakah dijual hak yang diterima? Sebabnya ialah kerana kurang sabar, kerana suka kepada yang mudah, kerana tamak.

10. Pada hari yang bermakna ini, hari kita merdeka dan berkuasa mengurus hal ehwal kita sendiri, marilah kita akui kesalahan kita Bumiputera khususnya dan kita betulkan kesalahan ini. Kita boleh, kita boleh seperti orang lain boleh. Jika kita sanggup bertekun, sabar, tidak mencari jalan yang mudah percayalah kita boleh berjaya seperti orang lain berjaya. Orang lain juga salah tetapi agak lebih sukar menyuruh orang lain membetulkan diri supaya kita mendapat untung.

11. Baru-baru ini seorang anak Melayu telah berenang 58 km menyeberangi Selat Inggeris. Percubaan ini bermula 4 tahun sebelumnya. Bukan sahaja latihan dan disiplin diri yang terpaksa dibuat, tetapi tekanan mental kerana masalah kewangan dan sokongan moral yang tidak sebegitu. Seperti juga dengan Azhar apabila dia bercadang untuk belayar seorang diri mengelilingi dunia, ramai yang tidak yakin dan tidak percaya Malik akan lakukan renangan ini, jauh sekali berjaya. Namun dia tidak putus asa, tabah hati dan kekal dengan cita- cita besarnya.

12. Semasa berenang di Selat Inggeris dengan suhu yang sejuk, gelombang yang tinggi, arus yang deras, tekanan ke atas semangat dan pemikiran tentulah tinggi. Tentulah ada perasaan untuk berhenti menyeksa diri dan naik sahaja bot yang turut sama. Hanya semangatnya menghalang dirinya daripada mengambil jalan yang mudah. Renangan yang sepatutnya 32 km telah menjadi 58 km kerana arus yang kuat. Semangat Malek tidak luntur. Tiap satu minit dia kuak hampir 60 kali selama 18 jam. Namun dia sanggup meneruskan sehingga sampai ke Pantai Perancis.

13. Ini adalah satu cabaran yang amat besar yang dia sendiri memilih untuk mengatasi dan dia mengatasi dengan jayanya dan mengharumkan nama bangsa, agama dan negaranya di samping nama dirinya sendiri.

14. Apabila Azhar berjaya belayar seorang diri mengelilingi dunia dan kembali ke tanah air ramai yang tertanya-tanya bagaimana dia berjaya menghadapi cabaran sebesar ini. Sudah tentu Malek juga akan ditanya bagaimana.

15. Di sini ingin saya nyatakan kekecewaan saya kerana ramai orang Melayu, termasuk pemuda Melayu yang bertanya kepada Azhar "Apa ilmu yang beliau pakai?"

16. Maksud ilmu yang ingin diketahui ialah ilmu ghaib, ilmu yang diselit dengan doa tertentu yang kononnya akan menjamin kejayaan. Mereka ingin tahu ilmu ini supaya dengan mudah mereka juga boleh menghadapi cabaran dan berjaya. Sikap mereka adalah sama dengan orang yang menuntut ilmu kebal yang kononnya akan membolehkan mereka menangkis tikaman dan peluru. Dengan itu mereka berani.

17. Tidak ada ilmu kebal, tidak ada ilmu ghaib yang boleh menjamin kejayaan.

18. Orang Melayu, yang semuanya beragama Islam, yang berpegang kepada Al-Quran dan hadis tentu tahu Nabi sendiri terpaksa melalui cabaran demi cabaran, aneka jenis ujian dan kegagalan sebelum Baginda mencapai kejayaan. Dan Nabi sendiri tidak kebal. Di Jabal Uhud Baginda cedera parah.

19. Jika manusia boleh kebal tentulah Allah s.w.t. kurniakan kepada Rasul kesayangannya kekebalan. Tentulah perjuangan Nabi mengembangkan syiar Islam dipermudahkan.

20. Mungkinkah apa yang tidak dikurniakan kepada Rasulullah diberi kepada manusia biasa walaupun beragama Islam tetapi tentunya tidak sunyi daripada dosa.

21. Jika kita benar-benar pegang kepada hadis dan sunnah Nabi maka iman dan sifat-sifat ketekunan, keberanian dan disiplin yang ada pada Nabi tentulah dicontohi oleh kita. Kita boleh berdoa untuk dilindungi oleh Allah s.w.t. Kita boleh berdoa untuk diberi kejayaan. Tetapi Tuhan tidak menjanjikan kejayaan hanya dengan berdoa sahaja. Tuhan berkehendak kita berusaha dan membuat persediaan untuk menjayakan diri kita. Ini jugalah yang dilakukan oleh Nabi untuk mencapai kejayaan.

22. Semasa Iraq diserang ramai orang Islam yang berdoa, tetapi Iraq dikalahkan juga dan ditakluk. Apakah Tuhan tidak makbulkan doa kita? Tidak sekali- kali. Kekalahan Iraq ialah oleh kerana usaha untuk mempertahankan diri tidak dibuat. Kerajaan Saddam zalim, menindas rakyatnya sendiri sehingga mereka benci kepadanya dan tidak sanggup menggadai nyawa untuk mempertahankannya. Yang mengalahkan Saddam ialah Saddam sendiri kerana tidak mematuhi ajaran Islam berkenaan dengan segala persediaan pertahanan. Doa kita tidak mencukupi untuk mengatasi pengabaian ajaran Islam oleh pemimpin Iraq.

23. Demikian juga dengan menghadapi cabaran belayar keliling dunia, berenang merentasi Selat Inggeris, mendaki Gunung Everest, berjalan ke Kutub Utara dan cabaran-cabaran lain. Kita boleh berdoa kerana akhirnya Allah s.w.t. yang akan menentukan jaya atau tidaknya kita. Tetapi di samping berdoa kita perlu buat persediaan. Ilmu yang perlu dituntut ialah ilmu berkenaan pelayaran, berkenaan renangan dan segala-gala ilmu yang berkaitan. Kita perlu berlatih bersungguh- sungguh, mengambil masa yang diperlukan. Kita perlu bekal diri kita dengan semangat yang kental dan disiplin yang tinggi. Hanya setelah kita berjaya melengkapkan diri dengan kebolehan dan semangat barulah boleh kita cuba. Kita mungkin berjaya. Kita mungkin gagal. Gagal, kita bangun dan cuba lagi. Kita berdoa, kita pohon pertolongan daripada yang maha Esa. Dan kita cuba dan cuba lagi. Jika berjaya kita bersyukur, jika tidak kita tidak kecewa.

24. Kita bercita-cita besar. Kita ingin melihat anak bangsa ke angkasa lepas. Kita perlu calon yang sesuai, yang bersemangat, berdisiplin, berani. Kita berdoa tetapi kita akan membuat persediaan yang mencukupi. Adalah diharapkan ramai calon yang akan mempelawa diri untuk menjadi angkasawan Malaysia yang pertama, yang akan mengharumkan lagi nama Malaysia.

25. Sesungguhnya kita boleh mencapai kejayaan dalam apa juga bidang jika kita sanggup melatih diri, berdisiplin, tidak tamak dan kita sabar. Tidak ada yang mudah dalam apa juga kerja. Ada yang berpendapat jika mereka dapat kedudukan tertentu mereka juga boleh berjaya. Ada puak yang berpendapat jika mereka berkuasa mereka juga boleh menjayakan negara. Tidak perlu berterima kasih kepada sesiapa kerana nikmat yang kita terima.

26. Dalam masyarakat yang anggotanya tidak tahu berterima kasih, masing-masing akan utamakan kepentingan dirinya sahaja. Tidak akan ada persahabatan bahkan tidak akan ada sifat-sifat kekeluargaan pun. Semua akan menjadi tamak dan masyarakat tidak lagi hidup sebagai masyarakat manusia yang bertamadun. Masyarakat yang akan wujud ialah masyarakat zaman batu, di mana yang kuat akan ambil segala-gala bagi diri mereka, dan yang lemah akan ditindas hingga jatuh tersungkur, tidak bangkit- bangkit. Inilah jenis masyarakat di mana sifat-sifat tidak berterima kasih kepada yang memberi pertolongan, yang membawa nikmat, dipupuk dan diamalkan. Inilah jenis masyarakat yang tidak Islam. Bahawa yang memupuk sifat-sifat ini berbuat demikian kononnya atas nama Islam tidak akan menjadinya sifat Islam. Yang tidak Islam tidak Islam juga. Sebenarnya mereka yang mengembang dan memupuk sifat tidak berterima kasih ini mengkhianati Islam dan umat Islam.

27. Sesungguhnya jika orang Islam berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, yang tidak diputarbelit oleh orang yang berkepentingan, orang Islam tetap maju dan berjaya dalam semua bidang. Tetapi ramai daripada kita yang tidak mengamal ajaran Islam. Dalam bidang perniagaan kita tetap berjaya jika kita beramanah, sabar, berdisiplin, membendung nafsu, jujur dan ikhlas. Tetapi apabila kita tidak sabar untuk kaya cepat dan dengan itu menjual hak kita, nama kita, maruah bangsa kita, agama kita maka sudah tentu kita akan gagal dan rugi. Mungkin pada mulanya menjual hak kita akan memberi keuntungan segera pada kita. Menjual agama kita memberi kemenangan politik kepada kita. Tetapi akhirnya kita pasti akan rugi, tidak dipercayai, tidak dihormati, didakwa di mahkamah, didapati salah dan dihukum penjara. Bagi yang menjual agama kerana kepentingan tertentu mereka berdosa kerana mereka membawa kecelakaan kepada orang Islam, menjadikan mereka lemah, tertindas dan dihina bersama agama mereka. Apabila ada orang yang menghalangkan penguasaan ilmu kerana kononnya agama tidak menyuruh belajar ilmu yang mereka cap sebagai sekular dan dengan kerana itu orang Islam menjadi bodoh dan mudah dikuasai orang lain, maka tentulah orang Islam dan agama Islam akan rugi besar.

28. Kegagalan kita adalah kerana kita abaikan ajaran yang baik, terutama ajaran agama yang sebenar, dan kita tunduk kepada nafsu sehingga sanggup bekerjasama dengan syaitan. Hasil kerjasama dengan syaitan ternampak jelas apabila sudah sanggup menghinakan Allah s.w.t., memberi sifat-sifat yang buruk yang ada pada manusia kepada Tuhan.

29. Dalam kehidupan seharian demikian juga. Kita gagal kerana kita tidak pegang kepada nilai hidup yang mulia, kita tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak kita terima.

30. Negara kita Malaysia bukan lagi sebuah negara yang kecil. Empat puluh enam tahun dahulu penduduk Malaysia hanyalah lima juta dan purata pendapatan kita hanya RM 800 seorang setahun. Tidak ada lebuh raya, bekalan elektrik dan air, tidak ada sekolah, klinik dan hospital. Tidak ada cukup peluang bekerja, tanah untuk bercucuk tanam.

31. Sekarang penduduk Malaysia berjumlah 25 juta, dengan pendapatan purata per kapita 14,000 Ringgit. Kemudahan infrastruktur hampir sama dengan negara maju. Jika dahulu pada tahun 1957 upah kakitangan Kerajaan yang terendah ialah 25 Ringgit Malaysia dan yang tertinggi ialah 1,950 Ringgit Malaysia iaitu 78 kali ganda, sekarang upah yang terendah ialah 480 Ringgit Malaysia dan yang tertinggi 13,940 Ringgit Malaysia. Jurang di antara yang terendah dengan yang tertinggi dikurangkan kepada 29 kali ganda, tetapi yang terendah mendapat kenaikan 19 kali ganda berbanding dengan tujuh kali ganda bagi yang tertinggi. Sementara pendapatan semua peringkat meningkat sebanyak 6.5 peratus setahun; kenaikan harga barang atau inflasi hanyalah 3.3 peratus setahun. Ini bermakna pendapatan meningkat lebih daripada harga barangan dan khidmat. Dengan pendapatan yang bertambah daya beli tentulah meningkat juga.

32. Tetapi kita harus ingat jika upah meningkat, peniaga juga perlu mendapat keuntungan yang juga meningkat. Justeru itu pembeli barangan atau khidmat perlulah sanggup membayar lebih untuk bekalan yang sama atau yang lebih baik. Setelah membayar harga yang sudah naik, kuasa beli barangan dan khidmat tambahan tetap ada. Dengan itu kualiti hidup rakyat Malaysia tetap meningkat. Sebenarnya kerana kawalan harga, rakyat Malaysia menikmati kos sara hidup yang amat rendah berbanding dengan kualiti hidup yang dinikmati.

33. Sesungguhnya jika kita bertimbang rasa dan tidak utamakan diri sendiri sahaja, banyak lagi kemudahan yang akan dapat diadakan supaya kualiti hidup kita akan meningkat. Sebenarnya jika kita dapati apa-apa secara percuma, kita terpaksa bayar juga secara tidak langsung melalui cukai dan bayaran-bayaran lain. Tidak ada yang benar-benar percuma di dunia; tidak ada yang percuma di akhirat juga.

34. Seperti yang telah saya sebut tadi, Malaysia sudah separuh negara maju. Kita tidak boleh mendapat kualiti kemudahan negara maju tetapi membayar dengan harga negara membangun. Sudah tentu kita tidak dapat menjadi negara maju jika sikap dan budaya kita adalah sikap dan budaya bangsa yang masih membangun.

35. Kewangan Kerajaan bukan tidak terhad. Sebenarnya jika pembangunan negara bergantung semata-mata kepada kewangan Kerajaan, hari ini tidak mungkin ada lebuhraya, bekalan elektrik dan air, telekomunikasi canggih, khidmat keretapi ringan, pelabuhan dan banyak kemudahan lain seperti yang terdapat sekarang. Sebabnya yang kita dapat mengadakan semua ini ialah kerana pengguna membayar untuk mengguna. Kerajaan memberi subsidi yang berpatutan. Jika semuanya ditanggung oleh Kerajaan maka mereka yang tidak mengguna juga terpaksa bayar melalui cukai tidak langsung. Amatlah tidak adil memaksa semua rakyat membayar untuk kemudahan yang diguna oleh sebahagian daripada mereka sahaja. Pilihan alternatif ialah tidak mengadakan kemudahan-kemudahan seperti yang terdapat sekarang. Dengan itu kualiti hidup kita tidak akan lebih tinggi daripada yang terdapat di negara membangun yang lain.

36. Ada negara maju yang pendapatan purata seorang atau `per capita income`, sepuluh kali ganda lebih daripada kita jika dikira dalam mata wang Amerika. Tetapi daya beli mereka hanyalah tiga kali ganda sahaja lebih daripada kita. Sebaliknya daya beli Ringgit kita di negara kita hampir 2 ¬ kali atau 225 peratus lebih daripada daya beli Dolar Amerika di Amerika.

37. Kekuatan Ringgit kita di negara kita adalah kerana kita berjaya mengawal harga barangan dan khidmat, iaitu mengawal inflasi. Dengan itu walaupun upah di negara kita rendah berbanding dengan negara maju, kualiti hidup kita tidaklah terlalu rendah berbanding dengan mereka. Di masa yang sama kerana upah di negara kita lebih rendah daripada negara maju, kita dapat mengeluarkan barangan untuk eksport dan mendapat tukaran asing kerana barangan kita lebih murah dan berdaya saing di pasaran dunia. Dengan itu juga kita dapat menarik pelaburan dari luar (FDI) dan dari dalam negara kita. Ingatlah FDI, pelaburan oleh pelabur asing di negara kita adalah disebabkan kos di negara mereka tinggi kerana upah yang tinggi yang disebabkan kos sara hidup mereka tinggi.

38. Kita masih boleh menaikkan upah tanpa menaikkan kos jika daya keluaran kita, produktiviti kita dapat ditingkatkan sama ada dengan kenaikan usaha dan kecekapan pekerja atau dengan mengguna cara pengeluaran yang lebih baik, seperti otomasi dan penggunaan I.T. Pekerja mestilah sanggup dilatih semula supaya lebih cekap dan dapat mengguna alatan yang lebih canggih yang mempunyai daya pengeluaran yang lebih tinggi.

39. Untuk ini penguasaan bahasa Inggeris menjadi amat penting. Ini tidak bermakna kita ingin membelakangkan bahasa kita, bahasa kebangsaan. Bahasa kita tidak akan dapat dimajukan jika kita kekal sebagai bangsa yang mundur. Hanya bangsa yang maju sahaja yang akan dapat mengembangkan bahasanya. Di zaman dahulu orang Arab adalah bangsa yang gagah, maju dan memiliki ilmu-ilmu yang penting seperti hisab, falak, sains, pelayaran dan sebagainya, selain daripada agama. Sesiapa yang ingin mempelajari ilmu-ilmu yang diterokai oleh orang Arab terpaksalah mempelajari bahasa Arab. Tetapi hari ini bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris. Jika kita tidak ingin menjadi bangsa yang mundur maka terpaksalah kita belajar dan fasih dalam bahasa Inggeris. Demikian juga jika kita ingin tingkatkan daya keluaran kita, supaya pendapatan kita bertambah maka tiap pekerja mestilah menguasai bahasa Inggeris, jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya mampu memahami cara dan arahan bekerja dalam bahasa Inggeris. Untuk mempelajari bahasa lain pun kita perlu kuasai bahasa Inggeris dahulu kerana kita belum ada buku dan kursus bahasa lain dalam bahasa kita.

40. Strategi dan pendekatan kita untuk membangunkan negara kita, menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia ialah dengan jati diri dan membentuk pendekatan kita sendiri setelah memeriksa dengan halusi cara-cara dan pendekatan orang lain. Kita tidak tolak cara biasa atau cara orang lain dengan buta tuli tetapi kita juga tidak menerima cara lain ini dengan buta tuli. Jika kita bentuk pendekatan kita sendiri ianya hanya dibuat setelah menghalusi cara-cara biasa.

41. Hasil yang telah kita dapati membuktikan bahawa cara kita tidak kurang baik daripada cara orang lain dan mungkin lebih baik. Dunia sekarang akui cara kita mampu menangani masalah kita, mampu menjayakan kita lebih daripada cara yang diamalkan oleh orang lain.

42. Kita menangani masalah perkauman dengan cara kita sendiri, masalah keselamatan dan keamanan dengan cara kita sendiri, pembangunan negara dengan cara kita sendiri, pentadbiran ekonomi dan kewangan juga dengan cara kita sendiri. Dan umumnya kita berjaya. Justeru itu janganlah kita mudah melatah dan mengkritik apabila kita bentuk pendekatan kita untuk menangani masalah kita. Percayalah cara kita mampu menjayakan usaha kita.

43. Selama 450 tahun negeri-negeri Melayu telah dijajah dan terpaksa menghantar bunga emas dan bunga perak kepada kuasa-kuasa besar. Alhamdulillah 46 tahun dahulu kita dapat tebus balik kemerdekaan dan maruah negara dan bangsa kita. Tetapi sekarang kita dapati bahawa mereka yang dahulu menjajah kita tidak akan benar kita terus bebas. Wilayah kita masih menjadi sasaran penjajahan mereka. Jika tidak secara langsung, secara tidak langsung mereka akan cuba menjajah kita semula.

44. Cara yang terhalus melakukan penjajahan adalah dengan menjajah pemikiran kita. Semasa mereka menjajah kita dahulu mereka tidak pernah sebut tentang demokrasi dan hak asasi manusia. Sebaliknya sejarah mereka dipenuhi dengan rampasan wilayah penduduk tempatan, yang kadang-kadang mereka bunuh atas alasan mereka bertanggungjawab untuk mengembangkan tamadun dan agama mereka. Ini disebut mereka sebagai "manifest destiny" mereka, iaitu tanggungjawab yang ditentukan oleh Tuhan bagi mereka.

45. Tetapi selepas wilayah yang ditakluki mereka mencapai kemerdekaan tiba-tiba demokrasi dan hak asasi menjadi begitu utama sehingga jika negara bebas tidak mengamalkan demokrasi atau kononnya mencabul hak asasi manusia, mereka boleh mengetepikan kebebasan negara- negara yang baru merdeka dan masuk campur tangan dalam urusan negara-negara berkenaan.

46. Demikianlah cekapnya mereka menyemai dan mempengaruhi fikiran sehingga ramai daripada penduduk negara yang merdeka menuduh Kerajaan sendiri bersalah, mencuba menjatuhkannya dan rela menerima sokongan dan bantuan daripada penjajah dahulu. Mereka ini tidak nampak muslihat penjajah, tidak sedar mereka sudah diperalat. Sebenarnya bekas penjajah tidak mendokong demokrasi dan hak asasi manusia. Apabila kepentingan mereka terancam, semua ini digugurkan sahaja dan mereka akan kembali kepada cara lama mereka.

47. Selain daripada demokrasi dan hak asasi manusia, nilai hidup kita juga terancam. Jenayah rogol, termasuk sumbang mahram, dan pembunuhan yang dahsyat berlaku setiap hari di negara kita yang dahulunya tidak berlaku. Sebabnya ialah budaya keganasan dan seks yang disebar melalui t.v., dan video dari Barat. Moral kita sudah runtuh disebabkan video lucah sehingga orang tempatan pun sanggup berlakon dalam adegan lucah. Filem-filem Barat memuja-muja seks, keganasan, membunuh dan berperang. Hari ini amalan homoseks dihalalkan oleh mereka dan pemimpin agama yang diterima oleh mereka pun secara terbuka mengamalkan cara hidup gay. Mereka amat marah, terutamanya pemberita mereka yang ramai homo, apabila amalan ini dikenakan tindakan undang-undang oleh kita.

48. Sebenarnya keruntuhan akhlak dan keghairahan memuaskan nafsu melemahkan semangat juang dan membawa keburukan kepada masyarakat. Tekanan mereka supaya korupsi dihapuskan memang baik tetapi korupsi moral kita oleh mereka akan menghalang kemajuan bangsa dan negara kita. Kebolehan kita membezakan di antara yang baik dengan yang buruk sudah luntur. Bersama dengan gangguan pemikiran kita tentang ideologi demokrasi liberal, hak asasi manusia, penjajahan daya fikir kita sudah menjadi menyeluruh.

49. Tetapi datang pula penjajahan melalui ekonomi dan kewangan. Melalui bantuan (aid) dan pinjaman wang, banyak negara membangun menjadi `client states` yang mudah diperalatkan oleh mereka. Sekarang datang globalisasi, pasaran terbuka dan dunia tanpa sempadan yang semuanya akan membolehkan mereka masuk dengan bebas ke dalam negara yang lemah dan menguasai segala- gala termasuk politik dalaman juga. Walaupun kita juga berhak memasuki negara mereka, tetapi kemampuan kita amat terhad.

50. Berhadapan dengan ancaman dijajah semula, kita di Malaysia menolak tawaran bantuan atau "aid", dan kita kurangkan pinjaman dari negara maju.

51. Alhamdulillah dengan pengurusan kewangan negara secara berhemah dan berhati-hati, kita berjaya membebaskan diri kita daripada di kuasai oleh orang asing dan agensi-agensi mereka.

52. Tetapi untuk ini kita perlu kepada kerjasama rakyat. Budaya dan nilai-nilai hidup kita yang mulia mestilah dipertahankan. Daya pengeluaran rakyat mestilah ditingkatkan dan permintaan peruntukan daripada Kerajaan tidak melebihi daripada yang mampu ditanggung oleh Kerajaan. Bagi yang mampu, rakyat mesti bersedia menanggung sebahagian daripada kos, terutama untuk kemudahan yang lebih baik.

53. Negara kita adalah tanggungjawab kita. Bukanlah kita angkuh dan anggap kita begitu pandai sehingga tidak perlu kepada orang lain. Kita sanggup belajar dari Barat dan dari Timur. Tetapi akhirnya yang akan memutus cara mana yang terbaik yang akan diamal atau dilaksanakan oleh kita mestilah kita sendiri.

54. Kebebasan bukanlah sesuatu yang tidak terhad. Jika kita terlalu liberal dan bebas maka akan runtuhlah akhlak kita seperti yang kita lihat di negara-negara maju yang begitu liberal. Kita tidak harus malu kerana kita tidak "liberal" atau amat bebas seperti mereka.

55. Demokrasi adalah untuk kesejahteraan hidup kita dan bukan kesejahteraan hidup kita harus dikorban untuk demokrasi. Kebaikan demokrasi sebenarnya hanyalah untuk kita menukar pemerintahan tanpa kekerasan dan revolusi. Kebebasan yang tidak terhad yang kononnya menjadi sebahagian daripada demokrasi adalah ciptaan dan tambahan yang dibuat oleh mereka yang kecewa kerana mereka tidak direstui oleh majoriti rakyat.

56. Demikian juga dengan "rule of law" atau pemerintahan berasas undang-undang. Undang-undang yang dimaksudkan ialah undang-undang yang diterima oleh majoriti daripada kita. Hak minoriti, hak individu mesti dipelihara tetapi tidak sehingga hak majoriti terkorban.

57. Rakyat Malaysia perlu faham semua ini dan tidak terlalu taksub dengan pendapat dan nilai hidup bangsa- bangsa keturunan Eropah. Mereka tidak selalu betul dan kita tidak selalu salah. Jika kita ingin hidup sempurna dan bahagia di negara kita dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia pandai-pandailah kita nilai, uji dan pilih tiap sesuatu yang hendak kita jadikan sebahagian daripada budaya dan tamadun kita. Jangan pilih yang mudah, jangan pilih kerana takut dikatakan kolot. Pilih yang baik bagi kita.

58. Kita tidak kurang bijak dan tidak kurang terdaya daripada orang lain. Rakyat kita sekarang bukan sahaja mampu mendaki gunung, berjalan atas salji ke kutub utara, berenang dalam laut yang sejuk, belayar mengelilingi dunia tetapi mereka juga mampu membekalkan dunia dengan barangan buatan yang canggih, membina bangunan dan jalan-jalan moden di negara sendiri dan negara asing, mencarigali dan mengeluar minyak di seluruh dunia. Kita boleh. Dan kita boleh jadi negara maju menjelang tahun 2020, Insyaallah.

59. Saya pohon maaf jika ucapan ini lebih tertumpu kepada masalah Bumiputera, orang Melayu dan Islam. Sebabnya ialah kerana pembangunan mereka belum sama dengan kaum lain. Pendapat saya ialah imbangan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah kunci kepada kesejahteraan hidup dan keamanan negara bertuah ini. Oleh itu saya harap bukan Bumiputera tidak akan kecewa dengan nada dan tumpuan ucapan ini. Jika berkesanlah pesanan ini, semua kaum akan mendapat faedah daripadanya.

60. Pencapaian negara kita adalah hasil sumbangan oleh semua pihak; pasukan keselamatan, kakitangan dan pegawai-pegawai Kerajaan, pekerja-pekerja, peniaga dan pengusaha kecil dan besar. Bagi pihak diri saya dan Kerajaan, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang menjayakan negara bertuah ini.

61. Selamat merayakan Hari Kebangsaan, Hari Merdeka kita. Insyaallah perjuangan yang mulia yang kita perjuangkan akan direstui oleh Allah s.w.t. Insyaallah kita akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Kami menerima 4,512,224 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri