English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI OLEH YAB PERDANA MENTERI
Lokasi : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh : 15-12-2001
 
1. Alhamdullilah, segala puji bagi Allah S.W.T yang mengurniakan begitu banyak nikmat kepada kita semua di Malaysia. Sepanjang satu bulan Ramadhan kita dapat menunaikan ibadat puasa dengan cukup sempurna. Tidak ada apa-apa gangguan terhadap umat Islam di Malaysia berpuasa, bersembahyang dan berterawih. Semua yang wajib dan sunat dapat kita tunaikan dengan sempurna.

2. Di negara bertuah ini tidak ada apa-apa kekurangan. Makan minum lebih daripada mencukupi; pakaian dan tempat berteduh tetap ada bagi semua. Jika ada yang daif, yang ditimpa apa-apa malapetaka, ada sahaja bantuan yang dihulur oleh Kerajaan dan oleh masyarakat. Jika ada sebilangan kecil yang masih bernasib buruk kerana tidak dikesan, yang mungkin dicungkil oleh pihak tertentu untuk membuktikan bahawa keadaan di negara kita tidak sebaik seperti yang didakwa, ini hanyalah kerana tidak dimaklumkan kepada masyarakat. Sesungguhnya mereka tetap akan mendapat bantuan daripada orang yang murah hati dalam masyarakat dan daripada Kerajaan apabila keadaan mereka dilapor. Sebenarnya tidak ada rakyat Malaysia yang harus hidup merana, kekurangan makanan dan minuman, serta kekurangan pakaian dan bumbung di atas kepala. Sebenarnya rakyat Malaysia bahagia dan bertuah dan perlu bersyukur sepanjang masa.

3. Esok kita akan merayakan hari besar umat Islam, Hari Raya Aidilfitri. Kita akan rayakannya dalam keadaan aman sentosa, dengan ceria, dengan mewah pun. Berpakaian baru dan bersih, kita orang Islam akan berkumpul di masjid-masjid untuk bersembahyang raya, bertakbir, bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan memperbaharui persahabatan dan kenalan kita dengan semua orang Islam yang ditemui.

4. Kita akan melawat rumah kawan dan rakan, menikmati juadah dan makanan yang disediakan, dan sekali lagi bertemu dan bermesra dengan pelawat-pelawat lain, Islam dan bukan Islam di rumah-rumah terbuka. Pelawat asing juga kita raikan.

5. Suasana Hari Raya adalah suasana riang gembira dan ceria kerana kejayaan kita menunaikan ibadat puasa sebulan dan kebebasan kita untuk makan minum semula di siang hari. Memang pun kita berhak bergembira tetapi tidaklah sehingga tidak sedar diri dan melaku apa yang di larang bagi kita.

6. Inilah negara kita Malaysia, di mana kita hidup sempurna, mewah dan selamat, di mana undang-undang melindungi kita semua tanpa mengambilkira pangkat darjat. Tetapi semasa kita bergembira, janganlah kita lupa akan saudara seagama kita di negara-negara lain yang tidak dapat merayakan hari kebesaran ini, yang terpaksa tinggal di kem-kem pelarian yang amat daif, yang terdedah kepada kesejukan yang tidak terhingga di musim salji ini, yang mempunyai hanya khemah-khemah yang koyak-rabak, tidak berselimut, tidak ada makanan dan ubat untuk yang sakit.

7. Lebih tiga juta rakyat Afghanistan terpaksa lari dari negara mereka untuk menyelamatkan diri daripada bom dan roket. Ramai yang cedera, yang patah kaki dan tangan, yang buta, yang sakit cirit-birit dan bermacam penyakit lain. Tidak ada tandas bagi mereka melainkan tanah lapang di sekeliling mereka. Debu ditiup angin yang sejuk dan kuat sehingga yang dihidu semasa bernafas hanyalah debu yang kotor dan berbau busuk, penuh dengan kuman penyakit.

8. Bagi pelarian Afghanistan ini, tidak ada suasana raya pada hari yang mulia, Aidilfitri. Tidak ada juadah, bahkan tidak ada makanan. Kanak-kanak tidak ada pakaian baru, hanya kelaparan dan menggigil dengan kesejukan.

9. Di Palestin, orang Palestin juga tidak dapat merayakan AidilFitri dengan sempurna. Israel menyerang wilayah Arab Palestin dengan kereta kebal, roket dan bom. Bandar-bandar diroboh dan kebakaran yang teruk berlaku.

10. Mungkin serangan Israel disebabkan oleh keganasan rakyat Palestin yang meletupkan diri dan membawa maut dan cedera kepada sebilangan orang Israel. Perbuatan orang Palestin ini boleh ditafsir sebagai keganasan dan kita boleh kutuk keganasan ini, boleh mendakwa bahawa mereka yang melakukan ini adalah pengganas.

11. Tetapi kita perlu kutuk juga orang Israel dan Kerajaan Israel sebagai pengganas. Bagi tiap seorang rakyat Israel yang terbunuh, empat rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel.

12. Kita tidak boleh lupa bahawa Israel didirikan di atas wilayah Arab Palestin oleh kuasa-kuasa Barat. Kerana ingin menebus dosa mereka membunuh enam juta orang Yahudi di Eropah, orang Arab diusir dari wilayah mereka supaya sebuah negara Yahudi dapat didirikan di Palestin. Inilah bangsa-bangsa yang sering bercakap berkenaan keadilan.

13. Selepas itu Israel merampas wilayah orang Palestin lagi; mengusir orang Arab, meroboh rumah-rumah mereka dan mendirikan perkampungan Yahudi. Apabila rakyat Palestin memprotes dan membaling batu, mereka ditembak mati oleh askar Israel. Kanak-kanak tidak dikecualikan. Mereka ditembak mati oleh tentera Israel yang mengguna kereta kebal, meriam besar dan roket. Maka ramailah rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera parah.

14. Perbuatan tentera Israel di bawah arahan Kerajaan Israel tidak kurang ganas, bahkan lebih ganas daripada tindakan balas rakyat Palestin. Tetapi Kerajaan Israel dan tentera Israel tidak dikecam sebagai pengganas oleh dunia Barat. Sebaliknya Presiden Arafat didakwa sebagai ketua pengganas kerana tidak memberkas orang- orang Palestin yang mengganas.

15. Presiden Arafat bukan Presiden negara yang bebas dan berkuasa penuh. Apakah mungkin pemerintahan Arafat membendung dan mengawal rakyatnya yang amat marah kerana kehilangan saudara mara, anak cucu dan kawan rakan yang telah dibunuh oleh Kerajaan Israel? Kerajaan yang penuh berkuasa pun tidak dapat memberkaskan semua penjenayah dalam masyarakatnya. Apatah lagi Kerajaan Arafat yang tidak diberi kuasa yang sepenuhnya.

16. Sementara itu di Afghanistan perang sesama orang Islam berlaku. Kita tahu kekecewaan dan kemarahan puak Perikatan Utara pimpinan Rabbani terhadap Taliban dan orang asing yang menyertai Taliban. Tetapi apakah Islam tindakan membunuh ratusan askar Taliban dan askar sekutunya yang terdiri daripada orang Pakistan, Chechen dan Arab setelah ditawan? Kononnya mereka telah cuba melarikan diri dan membunuh pengawal mereka. Dakwaan ini tidak munasabah. Sebab itu kuasa Barat menolak desakan supaya disiasat peristiwa ini.

17. Di mana juga kita lihat kita akan dapati ramai orang Islam bukan sahaja tidak dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan riang gembira, tetapi sebaliknya mereka menderita sepanjang masa. Mereka ditindas, dibunuh; mereka mati kerana kesejukan, kelaparan dan tidak mempunyai perubatan yang diperlukan. Sesungguhnya ramai umat Islam yang bernasib amat buruk.

18. Tetapi dapatkah kita salahkan musuh-musuh Islam semata-mata? Tidakkah ada kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri, yang menyebabkan nasib buruk ini menimpa mereka? Apakah semua ini memang sudah ditakdirkan? Apakah ini adalah kehendak Tuhan?

19. Allah S.W.T telah berfirman dalam Al Quran Surah An-Nisaa` Ayat 79 bahawa segala yang buruk yang menimpa kita datangnya daripada kita sementara segala yang baik yang kita perolehi datang daripada Allah S.W.T.

20. Allah juga telah berfirman dalam Surah Al Ra`du, Ayat 11 bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

21. Justeru itu janganlah kita dengan mudah menyalahkan takdir apabila yang buruk berlaku kepada kita. Yang buruk itu datangnya daripada kita. Dan sebenarnya kita yang menyebabkan kita orang Islam menjadi lemah dan mudah ditindas. Kita tidak berusaha menguatkan diri kita dengan mengelak daripada perpecahan, mendirikan pemerintahan yang berwibawa dan cekap, menguasai segala ilmu yang penting untuk kemajuan dan ketahanan umat Islam. Sementara kita boleh berdoa meminta perlindungan dan pertolongan Tuhan, kita juga perlu berusaha untuk melindungi dan mempertahankan diri kita. Kemudian barulah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

22. Tetapi kita tahu ramai orang Islam yang menolak persaudaraan dalam Islam, yang suka melempar fitnah, dan cuba mencetuskan huru hara dalam negara sendiri dengan menyalah tafsir dan memperalatkan agama Islam untuk kepentingan diri.

23. Tiap negara Islam mempunyai puak yang ingin menjatuhkan Kerajaan kerana kononnya kerajaan yang ada adalah sekular dan tidak Islam. Mereka melancarkan serangan untuk menggulingkan kerajaan. Akibatnya kerajaan tidak dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan pertahanan negara. Di Afghanistan puak ini telah menjatuhkan Kerajaan dan mereka kemudian merebut kuasa bagi diri mereka.

24. Kepimpinan negara Islam seperti ini hanya berharap kepada semangat, semangat berjihad kononnya. Pertahanan diserah kepada pasukan yang tidak berdisiplin, tidak terlatih, tidak tersusun secara tentera. Ada kalanya budak belasan tahun yang tidak pun dapat memikul senjata, tidak tahu menggunakannya, dihantar ke medan perang untuk berjihad dengan menjanjikan bahawa tempat mereka di syurga dijamin, seolah-olah ada manusia yang boleh menjamin sesuatu di akhirat, mengambil alih kuasa Tuhan.

25. Tetapi apa yang berlaku ialah Kerajaan dan puak yang begitu berani berjihad telah lari berselerak apabila diserang. Rupa-rupanya mereka sendiri tidak begitu ingin menjadi korban perang dan mati syahid.

26. Kerana kumpulan-kumpulan seperti ini yang kononnya berjuang untuk Islam dengan menjatuhkan Kerajaan negara- negara Islam dan merebut kuasa pemerintahan, maka hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang dapat dibangunkan dan mampu mempertahankan umat Islam dan negara-negara Islam. Apakah keburukan ini datang daripada Allah s.w.t.? Sudah tentu tidak. Ia datang daripada orang Islam sendiri, yang tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar, yang berpecah belah, yang tidak berusaha untuk membangun dan menguatkan negara Islam.

27. Masa sudah tiba bagi orang Islam berhenti daripada menyalahkan Tuhan dan merenung dan menganalisa akan sebab-sebab umat Islam ditindas, negara Islam menjadi begitu lemah, mudah diserang dan ditewas dan tidak ada hari kebesaran Islam yang dapat dirayakan dengan sempurna dan gembira oleh ramai daripada orang Islam. Kita perlu bertanya kepada diri kita apakah malapetaka yang menimpa umat Islam ini di sebabkan oleh takdir atau apakah ia disebabkan oleh kita mengabaikan ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang menyuruh kita berusaha mengubah nasib kita sendiri dan tidak hanya berdoa meminta-minta daripada Tuhan untuk menyelamatkan kita? Apakah jika kita berusaha dan dengan itu kita menjadi kuat, maju dan selamat maka kejayaan kita ini tidak boleh dikatakan takdir juga? Jika apa yang berlaku kepada kita adalah takdir, maka kejayaan hasil usaha kita tentulah juga takdir.

28. Janganlah kita percaya orang yang mendakwa tempat kita orang Islam adalah di akhirat dan yang diperlukan daripada kita hanyalah berbuat ibadat tertentu yang memberi pahala kepada diri kita sendiri. Hari ini musuh kita berupaya memusnahkan orang Islam dengan menggugur beberapa bom nuklear sahaja. Jika semua orang Islam terbunuh, apakah akan ada manusia yang menganut ajaran Islam yang akan di tempatkan di akhirat kelak? Ingatlah apabila Sepanyol berjaya menewaskan Kerajaan-kerajaan Islam di Al Andalus, orang Islam dipaksa memeluk agama Kristian. Keturunan mereka sekarang tidak lagi ingat atau tahu berkenaan agama Islam anutan nenek moyang mereka. Yang mereka tahu ialah sekarang mereka bukan Islam. Inilah nasib yang menimpa orang Islam yang di tewas. Apakah kita hendak nasib ini menimpa kita, kerana kita enggan berusaha untuk mengubah nasib kita seperti yang disuruh oleh Tuhan dalam Al-Quran?

29. Di Malaysia hari ini kita hidup terselamat. Kita dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna. Kita tidak perlu melarikan diri daripada apa-apa serangan, daripada bencana dan malapetaka hasil perbuatan kita.

30. Kita selamat kerana kita berjaya dalam usaha menangkis berbagai-bagai percubaan untuk merosakkan negara kita, menjadikan kita miskin, menjadikan kita pengemis yang meminta-minta pertolongan daripada orang asing yang tidak mempunyai niat baik terhadap kita. Tetapi janganlah kita fikir serangan ke atas kita tidak akan dilakukan lagi. Jika kita tidak berjaga-jaga, tidak berusaha meningkatkan daya tahan kita, serangan yang akan datang mungkin menewaskan kita.

31. Ekonomi negara kita masih kukuh. Keharmonian kaum masih wujud. Percubaan untuk menjatuhkan Kerajaan secara ganas dapat kita patahkan. Dan majoriti rakyat masih siuman, tidak terlalu terpengaruh dengan emosi sehingga bertindak tanpa mengambilkira padahnya.

32. Pada hari yang mulia ini kita harus memperingati diri kita akan nasib baik kita, nasib baik hasil usaha kita, hasil dari pegangan majoriti daripada kita kepada ajaran Islam bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha mengubahnya sendiri, kepercayaan kita bahawa segala keburukan yang menimpa kita datangnya daripada kita dan bukan daripada Allah s.w.t.

33. Dengan kesedaran ini marilah kita semua membuat resolusi bahawa kita akan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu kita bermula dengan merapatkan kembali hubungan kita sesama kita orang Islam semasa kita berjemaah di masjid dan bersalam-salaman, bermaaf- maafan, menziarahi rumah-rumah ahli keluarga dan kawan- kawan, bahkan ke rumah kenalan yang rapat dan yang tidak, berbual-bual berkenaan dengan persaudaraan kita sesama orang Islam, berkenaan dengan ajaran Islam yang semuanya baik belaka, supaya dapat kita hidup sebagai orang Islam yang bersaudara, yang tidak sahaja mengutamakan fardhu ain untuk diri kita, tetapi sumbangan kita kepada masyarakat Islam setempat dan keseluruhannya melalui fardhu kifayah.

34. Selepas hari raya kita orang Islam patut tukar budaya kita supaya lebih merupakan budaya Islam yang sebenar, iaitu dengan mengurangkan tekanan kepada rupa bentuk Islam tetapi kepada isi kandungan ajaran Islam yang mengutamakan usaha untuk memperbaiki pencapaian hidup kita di dunia dan bekalan kita untuk akhirat. Ini bermakna kita semua harus berusaha menguasai semua ilmu yang boleh menguat dan meningkatkan daya tahan orang Islam Malaysia di samping memiliki pengetahuan ajaran Islam yang sebenar.

35. Janganlah sesiapa menghalang anak-anak kita daripada menuntut ilmu-ilmu yang boleh membebaskan kita daripada bergantung kepada orang lain, kepada musuh kita, untuk keperluan hidup kita, untuk pertahanan kita, kerana sesungguhnya perbuatan ini mengkhianati Islam dan umat Islam.

36. Kita orang Islam di Malaysia dan di negara-negara Islam lain atau di negara-negara bukan Islam mestilah menguasai semua ilmu dan kecekapan supaya kita dapat bersaing dengan jayanya dengan orang bukan Islam di mana sahaja. Untuk ini kita perlu berusaha dengan lebih gigih, lebih daripada orang bukan Islam yang sudah maju kerana tidak mungkin kita mengejar orang yang berada di hadapan kita jika kita bergerak sama pantas dengan mereka. Sudah tentu jika kita kurang pantas daripada mereka, jarak di antara kita dengan mereka akan menjadi lebih jauh dengan pengaliran masa. Ingatlah hari ini betapa mudahnya kita ditekan, ditakluk dan dipermain oleh mereka. Jika kita di masa- masa akan datang tertinggal lebih jauh, nasib kita tentu akan lebih buruk lagi dari sekarang.

37. Orang Islam perlu menjaga maruah dan kemuliaan agama Islam dan umat Islam. Kita boleh berdoa meminta kepada Tuhan supaya kita diselamatkan tetapi kita tahu Tuhan tidak menyuruh kita meminta-minta daripadanya sahaja tanpa berusaha sendiri. Janganlah kita lupa dan ketepikan bahagian kita di dunia yang perlu mengimbangi bahagian kita di akhirat.

38. Sementara kita gembira dengan ibadat puasa bulan Ramadhan, kita juga sedih kerana kemangkatan raja yang disayangi oleh kita, Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, Yang di Pertuan Agong yang ke sebelas. Baginda adalah seorang raja yang mesra rakyat. Dalam jangka masa yang pendek Baginda bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia, Baginda telah menjalankan tugas dan tanggungjawab Baginda dengan penuh dedikasi, bahkan lebih daripada yang dipertanggungjawab ke atas seorang Yang di Pertuan Agong.

39. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia saya ingin sampaikan ucap takziah kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seluruh kerabat di Raja Selangor dan bekas Permaisuri Agong. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Inallillahi wainailla hirajiun.

40. Kerajaan dan rakyat juga turut gembira dengan perlantikan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang ke duabelas, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Baginda. Didoakan supaya Baginda Yang di Pertuan Agong ke duabelas akan bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan penuh kedaulatan dan sempurna.

41. Institusi Raja Berperlembagaan dan Yang di Pertuan Agong adalah sesuatu yang membawa kestabilan kepada negara Malaysia yang bertuah ini. Janganlah sesiapa cuba mencabul institusi ini dengan apa-apa tindakan di luar dari undang-undang tubuh dan adat istiadat diraja dengan apa cara sekalipun.

42. Malaysia adalah negara berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Sebagai kaum yang menjadi majoriti dalam negara yang demokratik, orang Islam sebenarnya boleh merebut kuasa sepenuhnya bagi diri mereka. Tetapi kita tidak ingin menunjuk bahawa orang Islam adalah orang yang tamak. Kita bukan sahaja sanggup berkongsi kuasa dengan kaum-kaum lain tetapi kita juga ingin menunjuk bahawa orang Islam adalah pemurah dan adil, tidak menindas puak minoriti, dan tidak suka bermusuh-musuhan dengan sesiapa. Oleh itu pada Hari Raya, kunjungan orang bukan Islam ke rumah kita hendaklah disambut dengan kemesraan yang ikhlas. Sesungguhnya kita tidak akan rugi kerana kesediaan kita berbaik-baik dengan orang bukan Islam kerana ia akan menjamin keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia. Dan keharmonian ini akan memberi banyak manfaat, termasuklah keamanan yang menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita semua di negara bertuah ini.

43. Hari Raya memberi peluang kepada kita menunjuk kebaikan agama Islam kepada semua pihak. Dengan ini kita akan dapat mematahkan dakwaan pihak tertentu yang cuba memburuk-buruk agama Islam dan orang Islam. Kita akan dapat mempamerkan apa sebenarnya agama Islam dan apakah peribadi orang Islam menurut ajaran Islam yang sebenar.

44. Kita juga perlu memperingati diri kita akan sumbangan pihak tertentu yang menyelamatkan kita sepanjang masa dengan menjaga keamanan dan keselamatan negara kita. Pasukan keselamatan kita adalah cekap dan berdedikasi, bersikap profesional dan sedar akan tanggungjawab mereka. Kita dapat merayakan Hari Raya dengan selamat kerana di sempadan, di laut dan di tempat-tempat tertentu pasukan keselamatan kita sanggup menjalankan tugas mereka tanpa berehat dan bercuti.

45. Kepada anggota Pasukan Keselamatan dan pegawai dan kakitangan awam yang lain Kerajaan dan juga rakyat umumnya mengucap berbanyak terima kasih.

46. Kepada mereka dan kepada umat Islam di Malaysia dan orang Islam Malaysia di mana juga mereka berada, saya sebagai Perdana Menteri dan sebagai seorang Muslim serta keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, mudah-mudahan kita semua akan merayakan Hari Kemenangan ini dengan riang gembira.

47. Khusus kepada mereka yang mengguna jalan raya untuk balik ke kampung dan kemudian kembali ke bandar- bandar, tolonglah pandu dengan cermat. Adalah lebih baik kita sampai ke destinasi lambat sedikit daripada terbunuh atau cedera dalam kemalangan di dalam perjalanan.

48. Sekali lagi saya ucap Selamat Berhari Raya Aidilfitri dan saya dan keluarga memohon maaf zahir dan batin.

Kami menerima 2,703,409 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri