English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-37
Lokasi : KUALA LUMPUR
Tarikh : 18-09-1986
 
1. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita sekali lagi berkumpul menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang ke-37 ini. Sebagai Presiden parti, bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi, saya mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan sekalian ke Perhimpunan Agung kita ini. Saya juga mengalu-alukan wakil-wakil parti-parti komponen Barisan Nasional di Perhimpunan ini. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala supaya diberi hidayat dan petunjuk-Nya kepada kita semua bagi menjayakan Perhimpunan Agung kita ini.

2. Sepertimana kita maklum pergerakan Pemuda dan Wanita telah melaksanakan tanggungjawab mereka dan meneruskan tradisi demokrasi kita sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Parti dengan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan masing-masing. Syukur alhamdulillah proses ini telah berjalan dengan teratur dan penentuan telahpun dibuat oleh para perwakilan pergerakan tersebut. Saya bagi pihak parti keseluruhannya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang telah memenangi jawatan masing-masing bagi kedua-dua pergerakan.

3. Pada hari yang bahagia ini kita bersidang sekali lagi untuk mengkaji pencapaian kita, Parti UMNO, mengenal dan membahas isu-isu semasa dan membuat garis panduan perjuangan kita pada masa akan datang.

UMNO DAN PILIHANRAYA 1986 _________________________

4. Kali ini kita bersidang selepas pilihanraya dalam mana kita mencapai kejayaan yang terbaik sekali sejak tertubuhnya UMNO dan sejak pilihanraya diadakan dalam negara kita. Jika pada tahun 1955, semasa kita masih dijajah oleh British, UMNO menang 34 daripada 35 kerusi yang kita tandingi, pada kali ini UMNO menang 83 daripada 84 kerusi yang ditandingi. Dari segi peratusan, dalam tahun 1955, kita menang 97% daripada kerusi yang dipertandingkan tetapi dalam tahun 1986 kita menang hampir 99% daripada kerusi yang kita tandingi. Di peringkat negeri juga kita mencapai kejayaan yang cemerlang.

5. Kita berhak berbangga dengan kejayaan ini. Tetapi kita tidak boleh terlalu sangat berbangga dengan kejayaan diri sendiri, atau bersikap sombong dan angkuh atau begitu berpuas hati sehingga lalai akan tanggungjawab kita, akan betapa perlunya kita bekerja lebih kuat dan memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada kita.

6. Kemenangan UMNO sudah tentu akan menambahkan lagi perasaan irihati dan geram di kalangan musuh kita. Mereka telah membuat berbagai ramalan yang sebenarnya berasaskan kepada angan-angan dan khayalan mereka. Kononnya UMNO menghadapi krisis kepimpinan, UMNO telah diserang oleh gejala berpuak-puak atau factionalisme, UMNO telah terbawa-bawa dengan sentimen kedaerahan atau menjadi `parochial`. Ada yang berpendapat bahawa UMNO sudah menjadi begitu busuk di dalam sehingga tidak dapat dibersihkan lagi.

7. Mereka juga telah menyebarkan berbagai berita angin untuk menghilangkan kepercayaan rakyat dan ahli-ahli UMNO kepada kepimpinan parti. Kononnya pemimpin-pemimpin tertentu terlibat dengan rasuah, termasuk melesapkan duit BMF. Kononnya Perdana Menteri Malaysia adalah seorang Perdana Menteri yang terkaya sekali dalam dunia dan kononnya perkara ini telah dilaporkan dalam majalah dagangan Fortune. Apabila tidak sesiapapun boleh mengesahkan telah membaca rencana ini dalam majalah Fortune, berbagai helah telah dibuat kononnya keluaran yang berkenaan disekat daripada dijual di Malaysia, atau sebaliknya bukan Fortune tetapi Business Week atau Forbes Magazine yang menyiarkan berita ini.

8. Walaupun dibuktikan bahawa semua berita ini tidak benar, fitnah-fitnah ini terus disebarkan juga sehinggalah sekarang.

9. Sejurus sebelum Pilihanraya, penjualan timah dan kes Makuwasa telah diheboh-hebohkan seolah-olah sekali lagi pemimpin tertentu dalam Kerajaan terlibat dengan penyalahgunaan duit Kerajaan dan bukannya berusaha untuk menyelamatkan ekonomi dan kewangan negara.

10. Demikianlah propaganda musuh UMNO dan penyokong-penyokong mereka dari luar negeri, termasuk beberapa majalah dan akhbar yang dikuasai oleh Zionist, sehingga mereka sendiri percaya bahawa apa yang diperkatakan oleh mereka itu benar dan UMNO akan kalah teruk dalam pilihanraya apabila pilihanraya diadakan.

11. Penipuan diri juga berlaku dalam parti lawan. Mereka mendewa-dewakan pemimpin mereka dan puluhan ribu datang dari jauh, untuk mendengar jaguh ciptaan mereka ini di mana juga beliau berucap. Tetapi puluhan ribu ini kebanyakannya bukan orang tempatan dan mereka tidak berhak mengundi di tempat itu. Sebenarnya tidak ramai penduduk tempatan yang menyokong parti ini. Sebahagian orang tempatan yang hadir adalah orang yang tidak committed kepada parti lawan atau mungkin juga orang UMNO yang datang untuk melihat.

12. Kita bersyukur kerana walaupun kadang-kadang kita khuatir akan sokongan rakyat kepada kita, tetapi umumnya kita ketahui pendirian rakyat. Kita akui ada sebilangan bumiputera terpelajar di bandar yang tidak menyokong UMNO. Mereka ini berpendapat kononnya mereka adalah lebih layak memerintah daripada orang politik tetapi mereka tidak sanggup mengadu nasib dalam proses demokrasi.

13. Orang-orang yang memang anti- establishment mencari alasan tentang sebab- sebab mengapa rakyat tidak akan menyokong parti Kerajaan. Seperti juga dengan parti lawan yang disebutkan tadi, mereka akhirnya percaya dengan propaganda mereka sendiri dan yakin parti Barisan Nasional akan kehilangan banyak kerusi, dan tidak lagi akan berkesan apabila menubuhkan Kerajaan.

14. Setelah mendapati bahawa ramalan mereka tidak menjadi kenyataan, mereka ini sekarang asyik pula menganalisa keputusan pilihanraya umum baru-baru ini untuk membuktikan bahawa tekaan mereka adalah tepat dan Barisan Nasional tidak menang seperti yang dicerminkan dengan bilangan kerusi yang dimenangi. Mereka sekarang mengubah asas perkiraan mereka. Hasil usaha menipu diri ini ialah dakwaan mereka bahawa sebenarnya 43% rakyat menyokong parti lawan dan hanya 57% sahaja yang menyokong Barisan. Ada yang berkata kemenangan BN di tempat-tempat tertentu adalah begitu kecil seolah-olah kelebihan kecil itu tidak bermakna kemenangan.

15. Parti lawan pun bersetuju dan menggunakan perkiraan ini. Kata DAP parti lawan mendapat 43% undi. Yang mereka lupai ialah 24 ahli Dewan Rakyat dari Parti itu tidak mendapat 43%. Ramai daripada 43% pengundi ini menyokong parti-parti lawan yang lain dan calun-calun bebas yang tidak secucuk dengan DAP. Sebaliknya BN mendapat 57% dan peratusan ini dicapai oleh BN tanpa berkongsi dengan parti-parti lain.

16. Ada pula yang berkata bahawa tanpa orang-orang Cina, UMNO tidak mungkin menang. Mereka mengenepikan konsep kerjasama antara kaum dalam Barisan Nasional di mana asasnya ialah tolong-menolong. Parti-parti lain dalam BN menang kerana sokongan orang-orang Melayu. Mereka amat kecewa kerana chauvinisme DAP jelas kelihatan, tetapi UMNO nyata tidak chauvinistik. Sebenarnya jika UMNO hendak, UMNO boleh bertanding di dalam lebih daripada separuh kawasan-kawasan Dewan Rakyat. Tetapi UMNO sanggup bukan sahaja untuk memberi tempat kepada lain-lain parti komponen Barisan Nasional, malah sanggup pula menjayakan mereka.

17. Kita akui bahawa memang benar hanya 57% daripada rakyat yang mengundi Barisan Nasional sedangkan BN dapat empat per lima daripada kerusi Dewan Rakyat. Apakah ini ganjil dalam demokrasi? Berapa peratuskah daripada rakyat yang mengundi yang menyokong Kerajaan-Kerajaan yang sekarang memerintah di negara-negara demokratik di Eropah dan Amerika Utara? Tahukah mereka bahawa di Amerika Syarikat, setiap negeri atau `state` diberi dua kerusi dalam Senat yang begitu berkuasa di Amerika Syarikat. Misalnya penduduk New Jersey yang hanya 5 juta mendapat dua kerusi, sementara penduduk California yang berjumlah 22 juta mendapat dua kerusi juga. Ini bermakna orang-orang New Jersey mempunyai empat setengah undi bagi setiap satu undi di California.

18. Di Amerika Syarikat juga negeri atau `state` yang merupakan desa atau rural yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada para petani yang bilangannya tidak ramai, tetapi mendapat dua kerusi Senat juga. Jelaslah bahawa di Amerika Syarikat juga terdapat rural weightage atau diskriminasi yang memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar dan petani. Sebenarnya pembahagian kerusi yang berat ke kawasan luar bandar adalah satu amalan yang universal dalam demokrasi.

19. Sungguhpun BN mendapat 57% daripada undi dan 4/5 daripada kerusi, ini adalah perkara biasa. Negara yang memberi keutamaan kepada peratusan undi akan menghadapi masalah jika lebih daripada dua parti bertanding. Malaysia akan mengekalkan sistem yang memberi weightage kepada kawasan luar bandar kerana sistem ini adalah yang terbaik bagi kestabilan politik dan pembangunan yang seimbang.

HUBUNGAN KAUM _____________

Saudara-saudari sekalian,

20. Malaysia adalah negara majmuk. Di negara majmuk apakah kedudukan minoriti yang bukan bumiputera? Di negara-negara yang baru merdeka biasanya jika bumiputera menjadi majoriti, mereka menindas minoriti daripada kaum bukan bumiputera. Ada yang terpaksa menggugurkan nama asal mereka, ada yang tidak boleh belajar bahasa asal mereka, ada yang tidak dibenarkan berniaga di kawasan-kawasan tertentu. Ada juga yang tidak dibenarkan mengamal barang-sedikit pun kebudayaan mereka.

21. Apakah ini tidak berlaku di negara maju seperti di Amerika dan Eropah? Di Britain, warganegara bukan kulit putih menjadi rakyat kelas dua. Sementara yang kulit putih boleh berkahwin dengan orang asing dan membawa balik isteri, warganegara bukan kulit putih tidak dibenarkan membawa isteri dari luar negeri, bahkan terpaksa mendapatkan visa bila ke luar negeri. Warganegara Komanwel berkulit putih boleh keluar masuk dengan bebas. Hasil Kerajaan tidak boleh digunakan untuk sekolah yang menggunakan bahasa yang bukan Inggeris. Sekolah yang diakui dan dibiayai oleh Kerajaan adalah sekolah Inggeris sahaja.

22. Dalam bidang politik walaupun lebih daripada 10% penduduk Britain terdiri daripada orang-orang yang berasal dari India, Pakistan, Bangladesh, Caribbean dan Afrika, mereka tidak mempunyai wakil rakyat dalam Parlimen. Kalau adapun seorang menjadi ahli Majlis Bandaran, ini diheboh-hebohkan.

23. Warganegara British yang bukan Inggeris ini kerapkali dipukul, kadang-kadang sampai mati. Mereka adakan `Paki-bashing` iaitu memukul rakyat British keturunan Pakistan.

24. Sebenarnya Britain akan menjadi bankrap hari ini jika tidak kerana usaha dan kerajinan warganegara British berketurunan Asia, Afrika dan Caribbean. Tetapi mereka ini tidak ada suara dan menjadi warganegara kelas dua.

25. Demikian juga di Amerika Syarikat di mana terdapat lebih daripada 20% warganegara yang terdiri daripada orang-orang kulit hitam dan Hispanics. Tidak mungkin orang-orang ini dapat memegang pangkat tertinggi dalam Amerika Syarikat. Sebabnya ialah diskriminasi ras. Di negara yang bukan demokratik amalan diskriminasi kaum memanglah berlaku.

26. Sebaliknya di Malaysia kaum minoriti keturunan orang-orang yang datang ke negara ini di zaman British dahulu diberi layanan yang lebih baik daripada layanan di lain-lain negara di dunia ini -- sama ada yang baru merdeka atau yang sudah maju.

27. Ada bukti yang menunjukkan bahawa di beberapa buah negara apabila orang mendatang pula sudah menjadi majoriti, maka mereka tidak akan memberi peluang atau apa-apa layanan kepada orang tempatan yang sudah menjadi minoriti. Di negara ini pun sudah ternampak trend seperti ini berlaku di mana mereka menjadi majoriti, umpamanya di bandar-bandar tertentu. Mereka menolak persahabatan orang-orang tempatan dan dengan lantang mengecam mereka seolah-olah orang tempatan tidak berhak sama sekali.

28. Lim Kit Siang dari DAP baru-baru ini menyeru supaya langkah-langkah diambil untuk mencegah polarisasi kaum. Aneh sekali seruan ini datang daripadanya, sedangkan DAPlah yang menentang segala usaha perpaduan. DAP adalah parti anti-Melayu yang tebal yang menggunakan isu-isu yang boleh membangkitkan kebencian orang-orang Cina terhadap orang-orang Melayu sebagai asas popularitinya. Selepas membakar hati orang-orang Cina terhadap orang-orang Melayu dan menolak konsep kerjasama antara kaum anjuran Barisan Nasional, Kit Siang kononnya mahu polarisasi kaum dikurangkan.

29. Apakah perwakilan DAP dalam Dewan Rakyat mencerminkan kedudukan kaum-kaum di Malaysia? Siapakah wakil Melayu di Parlimen dari DAP? DAP memperingati kita bahawa 43% dari rakyat menyokong parti-parti lawan. Dengan tidak seorang pun dari wakil rakyat DAP di Dewan Rakyat terdiri daripada orang Melayu, apakah bagi DAP tidak ada orang Melayu di Malaysia ini?.

30. Jika DAP hendak bercakap berkenaan dengan perkauman, lebih baik DAP tumpukan kepada parti PAS yang tebal perkauman Melayunya. UMNO sanggup bekerjasama dengan orang-orang bukan Melayu sehingga dalam kawasan di mana orang Melayu merupakan majoriti pun, kita sanggup menyokong calun bukan Melayu daripada parti komponen Barisan Nasional sehingga menang. Kalau hari ini setelah pilihanraya diadakan terdapat orang-orang Melayu, Iban, Kadazan, dan lain-lain kaum bumiputera di samping orang-orang Cina dan India di sebelah Kerajaan dan dalam Kabinet, sebabnya ialah kerana ada Barisan Nasional dan kerana Barisan Nasional disertai oleh UMNO.

31. Di negara-negara lain racialists, racists dan chauvinists dikecam hebat oleh akhbar-akhbar luar negeri. Di Malaysia, akhbar-akhbar yang sama menyokong parti racialist dan racist seperti DAP dan PAS. Kita hairan kenapa? Apa hubungan DAP dan PAS dengan akhbar-akhbar asing ini? Ataupun mungkin DAP dengan PAS dianggap sebagai alat untuk menghancurkan negara, satu-satunya negara yang orang Islam berkuasa dan demokratik serta stabil.

Saudara-saudari sekalian,

32. Walaupun UMNO kecewa dengan aliran chauvinistik di kalangan ramai orang-orang Cina di kawasan-kawasan bandar dalam pilihanraya baru-baru ini, UMNO tidak akan membalas dengan menjadi racialist Melayu. UMNO percaya dan menyokong kerjasama antara kaum di Malaysia. Sebab itu walaupun parti-parti Cina dalam Barisan Nasional tidak memenangi kerusi yang sepatutnya, bilangan Menteri dan Ketua Menteri yang bukan Melayu tidak dikurangkan. Dengan UMNO memenangi 83 daripada 84 kerusi, UMNO sepatutnya mendapat tambahan jawatan menteri kabinet. Hakikat ini tidak akan disebut oleh orang-orang lain di luar UMNO kerana mereka takut jikalau mereka berbuat demikian, ini bererti mereka mengiktiraf kejujuran dan kemurahan hati UMNO. Tetapi ini tidak mengapa kepada UMNO. Kita bukan membuat sesuatu untuk dipuji atau untuk orang lain terhutang budi kepada kita. Kita membuat sesuatu kerana perbuatan itu baik dan adil.

33. Kita teruskan dasar berbilang kaum dan kerjasama antara kaum ini tanpa mengambil kira segala kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap kita. Pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO akan terus menegakkan keadilan antara kaum. Dasar mengimbangkan pembangunan kaum-kaum di Malaysia akan diteruskan.

DASAR EKONOMI BARU __________________

Saudara-saudari sekalian,

34. Dasar Ekonomi Baru memberi kepada bumiputera hanya 30% kekayaan negara ini, sedangkan lebih daripada 50% daripada penduduk negara ini terdiri daripada bumiputera. Nisbah ini menggambarkan bahawa pembahagian ini akan membuat bumiputera terus lebih miskin daripada bukan bumiputera walaupun DEB tercapai. Kita tidak akan menuntut lebih walaupun kita berhak. Kerajaan Barisan Nasional akan meneruskan Dasar ini sehingga ia tercapai, kerana Dasar ini sudahpun mencerminkan kesanggupan kita bertolak-ansur dan mengutamakan bukan bumiputera.

35. Jangan sesiapa fikir oleh kerana kita senyap apabila hak kita dicabar, maka ini bermakna bahawa kita berasa tersalah atau kita lemah. Orang-orang Melayu tidak berjuang untuk mencapai kemerdekaan bersama supaya orang-orang Melayu menjadi golongan yang miskin dalam negara sendiri.

36. Kita tidak berniat untuk merampas hak sesiapa. Tetapi jangan sesiapa cuba merampas hak kita. Kita lihat di negara-negara lain, kaum yang memiliki kuasa politik dan kuasa ekonomi tidak pernah memberi layanan kepada kaum yang ketinggalan dan tidak mampu. Di Malaysia bumiputera memiliki kuasa politik sahaja. Kita tidak ada kuasa ekonomi tetapi kita masih juga melayan kepentingan orang-orang lain.

37. Janganlah menunjuk kepada Kerajaan sahaja apabila memperhitungkan ketidakseimbangan. Tunjuk juga kepada swasta di mana peluang-peluang berkerja bagi bumiputera terhad kepada jawatan rendah atau jawatan yang tidak mempunyai tanggungjawab tetapi baik untuk imej.

38. Kerajaan yang kita sertai dan pimpin bersedia untuk memperbaiki kedudukan kaum dalam Kerajaan. Soalnya apakah pihak swasta bersedia untuk berbuat demikian?

39. Kalau pihak swasta berkata bahawa bumiputera tidak mempunyai kebolehan atau kecekapan, jangan kecam Kerajaan apabila Kerajaan memberi keutamaan kepada bumiputera untuk belajar dan berlatih.

40. UMNO sedar bahawa Malaysia sudah menjadi negara berbilang kaum. Kita terima akan pentingnya kerjasama antara kaum. Jika tidak, UMNO tidak akan menyertai Barisan Nasional.

41. Jika Malaysia ingin maju, semua kaum mesti mendapat tempat. Dan UMNO akan berusaha dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk menentukan semua mendapat tempat yang sepatutnya. Walaupun orang-orang Cina di bandar-bandar telah membuktikan chauvinisme mereka dan menolak tangan persahabatan kita dalam pilihanraya baru-baru ini, UMNO tidak akan mengubah sikapnya. Kita sanggup bekerjasama dengan semua kaum untuk menegakkan Malaysia yang lebih maju. Kita menolak racialisme yang sempit sama ada daripada orang-orang Melayu atau daripada orang-orang Cina atau daripada orang-orang India.

42. Kita sedar tentang percubaan yang dibuat oleh satu gabungan badan-badan politik, badan-badan perkauman dan lain-lain untuk menghancurkan kestabilan negara kita Malaysia. Apabila kita mengadakan kempen melawan rasuah, mereka memfitnah dan membuat tuhmah bahawa Kerajaan sendiri terlibat dengan rasuah. Mereka membesar-besarkan penyelewengan dalam BMF bukan dengan niat untuk memulihkan keadaan atau mendapat balik wang yang hilang tetapi untuk memburukkan nama Kerajaan, untuk mendapat political mileage.

43. Jika Kerajaan hendak menjadi popular Kerajaan boleh dengan mudah menjadikan BMF sebagai isu politik. Kita boleh melupakan sahaja ribuan juta yang hilang dan sebaliknya mengadakan tangkapan dan perbicaraan walaupun kita tidak berkuasa ke atas jenayah yang berlaku di luar negara kita. Dengan ini Kerajaan akan nampak tegas.

44. Tetapi Kerajaan tidak semata-mata melihat daripada sudut keuntungan politik. Kita berasa bertanggungjawab terhadap wang yang begitu banyak yang telah hilang. Justeru itu, kita utamakan usaha untuk mendapat balik wang ini. Jika tindakan terhadap penjenayah tidak diambil, ini adalah kerana undang-undang negara ini tidak boleh dikuatkuasakan di Hong Kong di mana jenayah itu berlaku.

45. Sebenarnya pihak Kerajaan Hong Kong pun tidak dapat mengambil tindakan serta merta kerana proses mendapat bukti tetap memakan masa. Adalah dianggarkan bahawa proses undang-undang akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun sebelum hukuman dijatuhkan. Dan apabila hukuman dijatuhkan wang yang hilang tidak akan didapati balik.

46. Sekarang ini kes timah pula dibangkitkan. Kerajaan mengaku kita telah cuba menyelamatkan perniagaan timah dengan memasuki pasaran dan membeli timah. Memang benar Kerajaan tidak boleh memasuki pasaran timah tetapi penipuan yang besar dibuat dalam London Metal Exchange (LME) pada ketika itu yang merugikan kita.

47. Pada ketika itu sekumpulan ahli LME telah sengaja menekan turun harga timah dengan menjual forward, iaitu untuk dibekal pada masa hadapan, dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran ketika itu. Mereka ini tidak memiliki walau satu paun pun timah. Harapan mereka ialah tindakan mereka akan mengurangkan pembelian semasa yang akan menurunkan harga timah. Apabila harga timah turun, mereka akan membeli timah untuk membekal pelanggan mereka apabila genap tempoh yang dijanjikan.

48. Untuk menstabilkan harga, Kerajaan, melalui broker yang berdaftar dengan LME (tidak ada orang Malaysia yang boleh menjual-beli timah dalam LME), telah membeli timah yang dijual forward oleh ahli-ahli LME untuk mempertahankan harga tinggi dalam pasaran.

49. Melalui cara ini, apabila genap masanya untuk timah dibekalkan kepada pembeli, pilihan yang boleh dibuat oleh ahli-ahli LME yang berjudi dengan pasaran timah, ialah membeli timah dengan harga mahal dari kita untuk membekal kepada pembeli forward mereka atau mereka terpaksa mungkir janji dan menerima tindakan kerana breach of contract.

50. Tetapi LME telah menipu dengan menukar aturan-peraturan jual beli apabila sampai masanya bagi ahli-ahli mereka menunai janji. Mereka berkata bahawa janji itu tidak perlu ditunaikan. Dengan itu terselamatlah ahli-ahli mereka dan harga timah pun turun dengan mendadak.

51. Kerana tindak-tanduk LME, Kerajaan rugi dalam operasi ini yang diluluskan oleh Kabinet dalam tahun 1980. Tetapi kita bercadang mengganti balik kerugian ini dengan penjualan timah yang ada pada Kerajaan dan perniagaan tertentu yang akan dibuat oleh sebuah syarikat yang dimiliki 100% oleh Kerajaan yang diberi nama Makuwasa. Sebenarnya saham KWSP yang dipindahkan kepada Makuwasa bukanlah hak KWSP. Saham ini ialah saham yang dikhaskan untuk bumiputera yang harganya memang rendah daripada harga pasaran. KWSP tidak pernah diberi saham untuk bumiputera kerana ia bukan badan bumiputera yang diiktiraf. Walau bagaimanapun agihan kepada KWSP ini dibuat semata-mata untuk dipindahkan kepada Makuwasa yang mana keuntungannya akan didapati oleh Kerajaan.

52. Adakah sesiapa dari Kerajaan mendapat untung daripada operasi ini? Tentulah jelas bahawa tidak sesiapapun yang mendapat apa-apa untuk diri sendiri. Apa yang dibuat oleh Kerajaan adalah bertujuan menyelamatkan perniagaan timah. Ramai daripada pelombong-pelombong yang sepatutnya sudah bankrap lebih awal lagi telah terselamat kerana operasi Kerajaan ini. Dan Kerajaan pula dapat mengutip hasil yang lebih tinggi kerana, buat beberapa waktu, harga timah kekal di paras yang tinggi. Jika tidak kerana penipuan yang dibuat di London yang mana aturan-peraturan dipinda untuk melindungi ahli-ahli LME, Kerajaan tidak akan rugi dan soal penglibatan Kerajaan dalam mempertahankan harga bijih timah tidak akan dibangkitkan sama sekali.

53. Saya sedar pihak DAP ingin menjadikan perkara ini sebagai satu lagi skandal. Jika DAP mempunyai bukti bahawa terdapat pemimpin atau pegawai Kerajaan terlibat dengan rasuah, silalah buat aduan. Jika tuduhan tidak berasas, sila sanggup pula menerima tindak balas.

54. Tak usah sebut tentang Suruhanjaya Siasatan. Kita tahu apabila sahaja Suruhanjaya ditubuhkan, satu kempen akan diadakan untuk menentukan Suruhanjaya itu menari mengikut gendang dan irama pihak tertentu.

55. Ahli Suruhanjaya akan begitu ghairah dengan publisiti dan keinginan menjadi hero sehingga tidak dapat bersikap berkecuali dan objektif lagi. Berbagai hadiah akan diberikan kepada ahli Suruhanjaya semasa menjalankan tugas supaya tindakannya berat sebelah kepada pihak tertentu.

56. Jika kita tidak suka kepada orang tengah yang mirip kepada Kerajaan, kita juga sepatutnya tidak suka kepada orang tengah yang mirip kepada pihak anti-Kerajaan. Di sini letaknya keadilan.

57. Sementara BMF dan Makuwasa dijadikan isu dan skandal, perbuatan beberapa orang banker dari Malaysia, yang bukan dari Bank Bumiputra, yang menyalahgunakan wang dua buah bank di Hong Kong tidak pula diberi perhatian. Kerana mereka ini, nama orang Malaysia menjadi begitu busuk di kalangan masyarakat banker dan financier di luar negeri. Demikian juga dalam peristiwa Carrian. Hampir seratus buah bank lain kehilangan wang, termasuklah sebuah bank yang terbesar yang mempunyai cawangannya di Malaysia. Semua pihak membisu seribu bahasa, berkenaan bank-bank ini baik di Hong Kong ataupun di Malaysia. Mengapakah Bank Bumiputra diheboh-hebohkan? Kerana skandal atau kerana bumiputera? Kerana tidak suka melihat bumiputera berjaya? Kerana seronok melihat kegagalan bumiputera?

58. Bank Bumiputra kerugian dua-ribu juta ringgit. Tetapi skandal Pan-Electric menyebabkan kerugian enam-belas ribu juta ringgit, bukan duit Kerajaan, bukan semua duit tauke, tetapi duit pelabur kecilan di Malaysia, hampir kesemua mereka terdiri daripada orang-orang Cina Malaysia. Soal siapakah yang bersalah tidak perlu kita bincangkan. Tetapi kerana Pan-El, buat kali pertamanya dalam sejarah pasaran saham Malaysia, pasaran saham terpaksa ditutup. Kerana Pan-El semua saham jatuh harga. Kerana Pan-El ramai peniaga dan syarikat bankrap. Kerana Pan-El hutang bank tidak dapat dibayar oleh ramai pelanggan bank dan bank-bank rugi. Kerana Pan-El harga bangunan, harta dan saham jatuh sehingga rendah daripada nilai cagaran di bank. Kerana Pan-El ekonomi negara terjejas.

59. Tetapi reaksi terhadap kes Pan-El tidak seperti dengan kes BMF. Mengapa tidak begitu dihebohkan oleh pencipta skandal daripada parti-parti lawan? Mungkinkah kerana tidak dilakukan oleh bumiputera? Pada pandangan saya, bukan kehilangan duit yang penting kepada mereka. Yang menggerak dan mendorong kritikan mereka ialah perasaan chauvinisme, perasaan perkauman yang tebal.

60. Demikian juga dengan Pasaran Komoditi di mana harga minyak kelapa sawit telah mengalami manipulasi sehingga musnah pasaran itu. Dan sekarang Koperasi pula. Ratusan juta daripada duit rakyat dilesapkan oleh orang-orang tertentu yang menguasai koperasi ini.

61. Akibat daripada semua ini, ekonomi negara merosot dan kepercayaan orang asing kepada negara ini tergugat. Perniagaan-perniagaan kecil dan besar sudah tidak ada pelanggan lagi. Modal untuk pelaburan baru sudah tidak ada. Bangunan-bangunan yang didirikan tidak mendapat penyewa.

62. Siapakah yang menyebabkan semua ini berlaku? Orang kampungkah? Dasar Ekonomi Barukah? Atau orang-orang di bandar-bandar -- orang-orang yang begitu senang mengecam Kerajaan, orang yang selalu menyalahkan Kerajaan, orang yang begitu marah sehingga ingin melihat BN kalah.

PENTINGNYA KESTABILAN _____________________

Saudara-saudari sekalian,

63. Malaysia perlukan kestabilan dan keamanan supaya rakyat hidup bahagia, supaya rakyat dapat bergerak dan mencari nafkah, selamat daripada sebarang ancaman, supaya ekonomi tumbuh dengan baik untuk memberi keuntungan kepada peniaga dan pengusaha, serta peluang-peluang pekerjaan kepada ratusan ribu yang keluar dari sekolah-sekolah dan institusi-institusi pelajaran tinggi setiap tahun dan supaya Kerajaan memperolehi hasil dan cukai yang cukup untuk membayar gaji, mentadbir dan membangunkan negara.

64. Malaysia perlukan kestabilan dan keamanan supaya pelabur dan peniaga asing dapat melabur dengan selamat dan mendapat keuntungan yang sewajarnya, di samping menolong mengembangkan ekonomi negara dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi penduduk negara kita. Pelabur-pelabur asing amat sensitif dan mereka mempunyai pilihan yang luas kerana banyak negara-negara lain juga mempelawa mereka.

65. Pelabur-pelabur asing tidak memegang semata-mata kepada janji Kerajaan atau kelonggaran syarat-syarat melabur, tetapi mengambilkira semua aspek iklim pelaburan. Mereka menghantar pakar-pakar perisik komersial untuk memerhati, menyoal-selidik dan menganalisa sebarang kejadian, laporan akhbar, cakap-cakap di kedai-kedai kopi dan di kelab-kelab dan berita-berita angin.

66. Dengan perasaan bertanggungjawab terhadap kebahagiaan rakyat dan negara, Kerajaan cuba sedaya-upaya mengelak dari membuat apa-apa atau mengeluarkan kata-kata yang boleh disalahertikan atau boleh memberi gambaran bahawa terdapat unsur-unsur ketidakstabilan atau ketegangan di negara kita. Saya sendiri tidak membuat apa-apa komen atau menyatakan pendapat saya, jika komen itu mungkin disalah-tafsirkan dan memberi gambaran ketidak-stabilan atau ketegangan dalam negara kita.

67. Rupa-rupanya penghargaan yang tinggi yang diberi oleh Kerajaan, dan kita UMNO umumnya, terhadap stabiliti negara ini, telah dilihat oleh pihak-pihak tertentu sebagai peluang untuk mereka menggugat kedudukan Kerajaan, orang-orang Melayu dan bumiputera, peluang untuk mereka menuntut itu dan ini.

68. Sepanjang masa parti-parti perkauman bukan Melayu telah sengaja membuat kenyataan-kenyataan dan ugutan-ugutan yang menghalang usaha Kerajaan untuk menyelamatkan rakyat. Sementara kita berdiam, mereka sengaja menjolok isu-isu perkauman.

69. Mereka mengecam DEB dan pelaksanaannya. Mereka memberi gambaran yang tidak tepat berkenaan dengan hasil DEB. Mereka sengaja membisik bahawa keadaan perhubungan kaum di Malaysia tidak baik sehingga mungkin meletup bila-bila sahaja.

70. Mereka cuba menggambarkan kedudukan Kerajaan sebagai tidak kukuh, sebagai Kerajaan yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat lagi, sebagai Kerajaan yang korap dan akan tumbang pada bila-bila masa sahaja.

71. Dengan dibantu oleh akhbar-akhbar asing yang dimiliki oleh Zionist, mereka sedikit sebanyak berjaya menghilangkan kepercayaan para pelabur asing terhadap kestabilan negara kita.

72. Kerana ingin menghapuskan dakwaan bahawa Kerajaan tidak mendapat sokongan rakyat dan dasar-dasarnya tidak diterima oleh rakyat, Kerajaan dan Barisan Nasional telah mengadakan pilihanraya. Keputusan pilihanraya menunjukkan bahawa sebenarnya sokongan kepada Kerajaan tidak merosot walaupun bertukar corak sedikit. Tetapi usaha untuk mengurangkan kepercayaan kepada Malaysia diteruskan juga supaya ekonomi terus terjejas.

JANGAN SALAHKAN DEB ___________________

Saudara-saudari sekalian,

73. Sejurus selepas pilihanraya, beberapa pihak telah membuat analisa kononnya beberapa aspek keputusan pilihanraya disebabkan oleh pelaksanaan DEB. Kononnya DEB baik, tetapi pelaksanaannya tidak betul. Kononnya DEB hanya berjaya mewujudkan beberapa jutawan Melayu.

74. Apakah dakwaan ini benar? Apakah DEB semata-mata bermakna pembahagian saham atau peluang berniaga? Apakah pelaksanaannya tidak betul? Apakah yang sebenarnya berlaku?

75. Pertamanya DEB bukan semata-mata pembahagian saham atau kontrak. DEB meliputi segala kegiatan ekonomi dan sosial. Sebelum DEB, anak Melayu dan bumiputera yang berpelajaran tinggi amat berkurangan. Semenjak DEB ramai daripada anak orang kampung, anak pekerja mahir dan tidak mahir, anak orang miskin sudah mendapat pelajaran dan sekarang menjadi orang-orang professional. Malang sedikit, kadang-kadang mereka ini sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah hasil program-program DEB. Lalu mereka menyahut tuduhan bahawa DEB cuma menambah jurang perbezaan antara bumiputera dengan bumiputera. Maka lebih gembiralah pengkritik DEB daripada parti-parti pembangkang.

76. Jika tidak ada DEB dapatkah kita melihat begitu ramai bumiputera dan Melayu menuntut di universiti-universiti di dalam dan di luar negeri? Jika mereka semua anak orang-orang kaya, maka bermaknalah DEB sudah berjaya mewujudkan ramai orang kaya bumiputera, bukan sahaja segelintir jutawan Melayu. Tetapi kita tahu ramai daripada mereka adalah anak-anak orang miskin, dan ini bermakna bahawa DEB memberi manfaat kepada bumiputera yang miskin.

77. Soal jutawan bumiputera! Berapa ramaikah mereka? Kita nampak mereka kerana mereka adalah orang kaya baru yang memang suka menunjuk-nunjukkan kekayaan mereka. Mereka menggunakan Rolls-Royce, kot Pierre Cardin, berumah besar dan ke sana-sini dengan designer brief-case, berjalan first class. Cuba tanya pula, berapa ramaikah jutawan bukan bumiputera? Kita tidak tahu, sehinggalah seseorang yang memakai singlet sahaja dicolek dan mampu membayar berjuta-juta ringgit sebagai tebusan. Ketika itu barulah kita tahu yang ianya seorang jutawan. Dan kita tahu ramai yang terkenal sebagai jutawan, sama ada baru atau lama. Bagi setiap orang jutawan bumiputera, kemungkinannya ialah terdapat sekurang-sekurangnya sepuluh orang jutawan bukan bumiputera. Jadi, apakah yang dihebohkan bahawa DEB kononnya hanya mewujudkan jutawan bumiputera?

78. Salahkah kalau bumiputera menjadi jutawan? Kita bukan sosialis. Kita amalkan sistem free enterprise, sistem bebas. Siapa yang mempunyai kepintaran dan inisiatif boleh menjadi kaya. Tidak bolehkah seorang bumiputera menjadi kaya di antara sepuluh, mungkin seratus orang kaya yang bukan bumiputera? Apakah kita hendak melihat bumiputera cuma miskin atau middle-class atau golongan pertengahan sahaja? Selagi kita bukan sosialis atau komunis, selama itulah akan terdapat orang-orang yang kaya dalam masyarakat kita. Apakah mereka semua mesti terdiri daripada orang-orang bukan bumiputera?

79. Benar, kebanyakan bumiputera yang mendapat sedikit kekayaan adalah kerana mendapat kontrak atau bantuan Kerajaan. Kenapa? Sebab kontraktor bumiputera tidak boleh bermimpi akan mendapat kontrak daripada pengusaha atau peniaga kaya yang bukan bumiputera. Sementara kontraktor bukan bumiputera boleh mendapat kontrak daripada bumiputera, kontraktor bumiputera tidak pernah diberi kontrak oleh bukan bumiputera. Kononnya tidak cekap, tidak layak. Bila nak cekap? Bila nak layak jika tidak diberi peluang kerja?

80. Apakah kontraktor bukan bumiputera tidak dapat kontrak langsung daripada Kerajaan, tidak dapat menjadi jutawan kerana tidak dapat membekal dan membina itu dan ini untuk Kerajaan? Apakah DEB memberi keuntungan kepada bumiputera sahaja?

81. Sila semak hutang dari bank. Sila semak bilangan ahli-ahli profesional bumiputera. Sila bandingkan bilangan peguam bumiputera, dan bandingkan dengan nisbah kaum di negara ini. Kalau kerana, kononnya, tumpuan kepada satu kaum, penganut satu agama sahaja, terdapat keadaan yang begitu tidak seimbang antara kaum dalam semua bidang selain daripada politik, apakah nisbah yang akan terdapat di dalam negara ini jika pelaksanaan DEB dibuat mengikut kemahuan para pengkritik yang begitu lantang mengecam DEB, mengecam pelaksanaan DEB?

82. Cukuplah UMNO diarah supaya jangan bangkitkan isu-isu yang boleh menjejas kestabilan negara. Saya sendiri membisu supaya iklim pelaburan tidak tergugat. Kita cuba melayan bermacam-macam tuntutan. Kita pinda syarat-syarat Industrial Coordination Act (ICA). Kita benarkan tarian singa. Kita berdailog dengan peniaga-peniaga tertentu dan bersabar apabila mereka mengecam Kerajaan. Kita berdiam apabila kata-kata kesat digunakan dalam akhbar, apabila beberapa chauvinis bercakap seolah-olah orang Melayu tidak berhak di negara ini, seolah-olah ini bukan asalnya negeri Melayu, sebaliknya adalah sebahagian daripada negara asing.

83. Kita berdiam apabila mereka berkata mereka tidak suka kepada perkataan bumiputera, tidak mahu dengar DEB disebut, tidak mahu apa-apa rancangan bagi menentukan nasib orang bumiputera dan Melayu selepas DEB.

84. Mereka tahu bahawa matlamat DEB tidak akan tercapai apabila genap masa yang ditentukan untuk Dasar ini. Mereka tahu bahawa sebenarnya pencapaian mereka telah melebihi 40%, walaupun sebelum tamat DEB. Mengikut projection yang dibuat, pada tahun 1990 sebahagian daripada kuota bumiputera dan kuota orang-orang luar akan terdapat kepada orang-orang bukan bumiputera. Tetapi awal-awal lagi mereka mengugut bahawa ketegangan akan berlaku jika ada usaha untuk mencapai matlamat DEB setelah genap tempohnya pada tahun 1990.

85. Rancangan DEB diasaskan kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak 7% hingga 8%. Sekarang tidak ada pertumbuhan dan dengan itu target bagi bumiputera tidak mungkin dicapai. Tetapi yang ditonjolkan ialah tarikh dan bukan imbangan ekonomi antara kaum sebagai objektif DEB. Sedangkan kita tahu sebabnya DEB dibentuk ialah kerana terdapat perbezaan yang ketara dalam pembahagian kekayaan antara kaum di negara ini. Pada masa DEB dibentuk, pertumbuhan ekonomi amat baik, dan mengikut perhitungan tahun 1970, kita memerlukan dua puluh tahun sahaja untuk mencapai objektif 30% bagi bumiputera yang berjumlah 52% daripada penduduk negara ini. Kita menerima nisbah ini kerana kita tidak tamak. Perancangan pada tahun 1970 tidak sama sekali menyangka bahawa ekonomi akan merosot dan matlamat DEB tidak akan tercapai dalam masa 20 tahun. Jelas sekali DEB bukan menekankan jangkamasa tetapi imbangan pembahagian kekayaan.

86. Kita tidak mahu menekan atau membahaskan perkara ini dahulu kerana kita tidak mahu memberi gambaran bahawa kaum-kaum di Malaysia tidak sepakat. Kita percaya bahawa jika ada masalah antara kita, maka eloklah jika kita bincangkan dalam keluarga terutama bagi anggota Barisan Nasional. Kita tidak suka terseret dalam perbahasan terbuka kerana ini tetap akan mencetuskan ketegangan dan menakutkan para pelabur, sama ada dari dalam atau luar negeri. Kita tidak mahu pertumbuhan ekonomi negara terjejas kerana pertengkaran antara kita, antara kaum-kaum di Malaysia. Di mana-mana juga kita pergi, kita sebutkan tentang kestabilan dan keamanan di Malaysia sebagai satu asset untuk menarik para pelancung dan para pelabur.

87. Kita sedar ada masalah kadang-kadang dalam pelaksanaan DEB. Mungkin ada pegawai yang over-zealous. Tetapi ini semua boleh dirunding tanpa diheboh-hebohkan dan ia boleh dibetulkan.

88. Malang sekali sikap kita ini ditafsir sebagai pendirian orang yang salah, orang yang lemah. Justeru itu ugutan secara terbuka dibuat. Mereka sengaja mengancam harmoni dan kestabilan negara untuk memaksa supaya DEB tidak dilaksanakan, tidak dicuba supaya tercapai matlamatnya.

Mereka sengaja membuat interpretasi yang tidak betul kepada orang luar dan pelabur asing untuk menjejas pertumbuhan ekonomi.

Saudara-saudari sekalian, 89. Kita mahu harmoni. Kita mahu kestabilan. Kita mahu pertumbuhan ekonomi. Kita sedar pertumbuhan ekonomi penting untuk kesejahteraan kita dan juga untuk negara.

90. Tetapi, NOT AT ANY COST. Kita tidak akan menggadai maruah kita. Kita tidak akan memperdagangkan kehormatan kita sehingga anak cucu kita tidak dapat memanggung kepala.

Kita tidak akan menyondol-nyondol hanya kerana terpikat dengan kekayaan kebendaan.

91. Sudah banyak pengorbanan yang telah kita buat. Kita terima bahawa kita sudah menjadi salah satu kaum dalam negara yang berbilang kaum. Nampaknya bangsa Melayu sudah hilang. Yang tinggal hanya kaum Melayu bangsa Malaysia.

Kita akui kaum-kaum lain mempunyai hak untuk mengekalkan identiti mereka. Kita tidak protes melihat semakin banyak kekayaan negara diperolehi oleh orang lain. Kita tidak protes apabila dalam bidang swasta diskriminasi dikenakan kepada kita.

Saudara-saudari sekalian,

92. Sebaliknya kita sanggup membendung ke-melayuan kita dalam politik. Untuk bersahabat dengan kaum-kaum lain di negara ini, kita berlawan habis-habisan dengan ekstrimis di kalangan kaum kita sendiri. Di kawasan-kawasan di mana kita mempunyai majoriti yang absolute, kita sanggup bertanding sesama kita sehingga kalah-menang kita bergantung kepada pengundi kaum lain. Kita terima calon-calon bukan daripada kaum kita di kawasan-kawasan di mana kita ramai dan kita tentukan mereka mendapat kemenangan.

93. Semua ini kita buat kerana kita percaya kepada kerjasama antara kaum dan pembahagian kuasa antara kaum. Dan kita masih percaya kepada konsep ini. Kita masih ingin melihat negara ini stabil dan aman. Kita masih bersedia untuk menghulur tangan persahabatan kepada kaum-kaum lain. Tetapi `Don`t take us for granted`. Kesabaran kita bukan tidak terhad.

UMNO - TERAS PEMERINTAHAN _________________________

Saudara-saudari sekalian,

94. UMNO masih merupakan tulang belakang Barisan Nasional dan tulang belakang Kerajaan. Justeru itu, UMNO perlu merintis jalan serta menjadi contoh dan teladan dalam semua bidang. Sekarang ini kita menghadapi masalah kemelesetan ekonomi. Kita tidak boleh harap orang lain menolong mengatasi masalah ini. Kita juga tidak boleh bergantung kepada Kerajaan.

95. Harga getah, harga kelapa sawit, harga minyak mentah, harga lada, harga kayu balak tidak akan naik walaupun Kerajaan membuat undang-undang supaya harga naik. Harga barangan ini ditentukan oleh pasaran dunia dan kita tidak berkuasa ke atas pasaran dunia. Kita juga tidak mampu melawan negara-negara kaya yang memberi subsidi yang banyak untuk menurunkan harga barangan mereka supaya dapat bersaing dengan jayanya dengan barangan kita.

96. Kita hanya mempunyai satu cara sahaja untuk mengatasi masalah kemelesetan ekonomi akibat daripada kejatuhan harga barangan eksport kita. Caranya ialah dengan mengurangkan kos pengeluaran, supaya apa yang dikeluarkan oleh kita lebih murah daripada apa yang dikeluarkan oleh orang lain, dan dengan itu barangan kita lebih laris dijual.

97. Apakah peranan kita untuk mengurangkan kos pengeluaran? Apakah dengan menurunkan gaji kita? Bagi eksekutif meman inilah menjadi satu daripada cara-caranya. Gaji di sini bukan bermakna gaji sahaja tetapi segala elaun dan kemudahan atau perks, yang didapati. Bahawa jumlah semua gaji, elaun dan perks eksekutif, yang bilangannya tidak ramai, tidak banyak, tidaklah boleh dijadikan alasan mengapa ia tidak boleh dikurangkan. Di masa kecemasan semua pihak mesti memikul beban supaya ianya menjadi ringan. Dan sekarang ini kita menghadapi kecemasan ekonomi.

98. Saya ingin menyebut bahawa kita telah memotong gaji menteri-menteri lebih daripada 10% semenjak tahun 1982. Tetapi saya tahu bagi yang sinis, mereka akan berkata menteri boleh potong gaji kerana mereka rasuah, terutama perdana menteri. Mereka yang berkata demikian dusta. Kalau tidak mahu berkorban sendiri, janganlah memperkecil dan memfitnah tentang pengorbanan orang lain untuk melindungi kebakhilan diri sendiri.

99. Bagi pekerja yang gaji rendah, pengurangan gaji tidak dapat dibuat. Tetapi peningkatan hasil kerja mesti dibuat. Untuk ini satu rancangan latihan besar-besaran akan diadakan terutamanya bagi yang menganggur. Rancangan latihan ini tidak akan tertumpu kepada kemahiran sahaja tetapi juga kepada sikap dan sifat yang akan menjamin daya-pengeluaran yang tinggi.

100. Pusat-pusat latihan akan diadakan bagi memupuk nilai-nilai yang baik untuk membantu meningkatkan etika kerja. Kerja-kerja yang berkesan akan ditekankan. Peserta akan terdiri daripada mereka yang rela menghadapi cabaran latihan yang intensif dan hebat. Mereka yang lulus dan menunjuk bukti bahawa sikap mereka terhadap kerja sudah berubah dan boleh meningkatkan tanggungjawab dan hasil, mereka ini akan diutamakan apabila ada peluang kerja, baik dalam Kerajaan atau dalam bidang swasta.

101. Semua kaum akan berpeluang mendapat latihan ini. Tatanegara juga akan diajar supaya para lulusan kursus ini tidak begitu tebal perkaumannya dan mempunyai sifat-sifat patriotisme terhadap negara. Ini ialah kerana kita percaya bahawa masa hadapan negara ini bergantung kepada pengurangan polarisasi kaum dan pembangunan yang seimbang antara kaum selain daripada kerajinan, disiplin, inisiatif dan lain-lain nilai murni masyarakat yang boleh meningkatkan keupayaan kita bersaing dengan orang lain.

102. UMNO sebagai parti politik yang ulung akan menyokong usaha ini dengan menggalakkan ahli-ahli UMNO menyertainya. Jika orang lain tidak mahu mempercayai niat baik Kerajaan, tidak mahu menyertai rancangan ini, ahli-ahli UMNO dari golongan muda akan menyertainya. Walau apa sekalipun tuduhan dibuat, rancangan ini akan diteruskan. Pemulihan ekonomi negara ini dan pembangunannya adalah tanggungjawab istimewa UMNO, tanggungjawab kita yang setia kepada parti walau apa pun fitnah yang dilempar kepada kita.

DASAR LUAR NEGERI _________________

Saudara-saudari sekalian,

103. Kita baru sahaja membentuk Kerajaan yang baru dan eloklah jika kita tegaskan semula dasar-dasar kita, termasuk dasar luar negeri. Kerajaan pimpinan UMNO ini akan terus mengutamakan ASEAN sebagai satu pakatan jiran se wilayah walaupun matlamat pasaran bersama belum tercapai.

104. Kita akan meneruskan kerjasama kita dengan Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura. Jarak perhubungan kita dengan Filipina akan ditentukan selepas mereka selesai menggubal perlembagaan baru negara mereka.

105. Singapura meminta pertolongan kita berkenaan dengan bekalan air. Sebagai jiran, kita sedia menimbang permohonan ini dengan wajarnya. Sementara kita sedar akan pentingnya air bagi Singapura, kita tidaklah dapat membelakangkan kepentingan kita sendiri.

106. Keutamaan kita selepas ASEAN ialah Pertubuhan Negara-Negara Islam atau OIC. Kita berminat dengan kerjasama dunia Islam walaupun negara-negara Islam tidak lagi kaya seperti dahulu, dan mereka sering berkelahi antara satu sama lain. Di samping itu, terdapat nationalisme Arab yang begitu ekstrimis sehingga membelakangkan Islam. Ada juga yang Marxist atau sekurang-kurangnya menjadi client state kepada komunis atau kepada Amerika Syarikat. Ada pula yang suka menimbulkan kekacauan di negara-negara Islam yang lain, bahkan sanggup cuba mempengaruhi politik dalam negara kita. Semua ini kita tahu tetapi kita masih ingin mengadakan kerjasama dengan negara-negara dan orang-orang Islam di mana juga mereka berada.

107. Keutamaan kita yang ketiga ialah Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali. Kita tidak mungkin mendapat apa-apa pertolongan daripada negara-negara ini tetapi sebagai third force mereka mengimbangkan pertandingan antara blok Timur dan Barat. Sebagai sebuah negara kecil, kita tidak mahu menyebelahi mana-mana blok. Sebaliknya, kita memerlukan kawan yang setaraf dengan kita dan bukan kuasa besar yang memandang kita hanya sebagai client state iaitu pelanggan mereka sahaja.

108. Di antara pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di dunia ini, kita hanya menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan beberapa agensinya. Jika perlu kita bercakap kepada dunia keseluruhannya, kita akan gunakan forum Bangsa-Bangsa Bersatu. Demikianlah dengan masalah dadah. Kita akan menyertai perjumpaan-perjumpaan anjuran Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha menentang bahaya dadah kerana dadah bukan masalah kita sahaja tetapi adalah juga masalah dunia.

109. Satu kajian terperinci akan dibuat berkenaan dengan pertubuhan Komanwel untuk mengetahui faedah daripada keahlian kita dalamnya dan membandingkannya dengan perhubungan antara Britain khususnya dengan beberapa negara bukan Komanwel. Ada perbezaan yang jelas di antara ahli yang kulit putih dengan ahli yang bukan kulit putih dalam Komanwel dan butir-butir berkenaan aspek ini perlu diketahui. Kita juga tahu bahawa sementara penuntut-penuntut dari Eropah dan Amerika Syarikat yang bukan ahli Komanwel mendapat layanan istimewa, penuntut-penuntut kita dikenakan yuran pelajaran yang begitu tinggi sehingga secara tidak langsung kita membantu penuntut Inggeris dan lain-lain.

110. Dasar Pandang ke Timur akan diteruskan. Kebudayaan dan moraliti bangsa-bangsa di Timur lebih secucuk dengan kita. Di samping itu cara-cara mereka membangunkan negara mereka membawa lebih banyak kejayaan, dan kita tidak mahu meniru orang yang gagal. Sekarang ini terdapat ramai pekerja dan eksekutif Barat pergi ke Jepun untuk belajar teknik-teknik pembuatan dan etika kerja. Jelaslah bahawa bangsa-bangsa Barat pun sedang memandang ke Timur dan mengikut jejak langkah kita. Tidak ada satu sebab mengapa kita perlu menolak dasar Pandang Ke Timur ini.

MARUAH BANGSA _____________

Saudara-saudari sekalian,

111. Manusia sanggup berperang bermati-matian kerana tidak suka dihina. Orang-orang Melayu adalah sama daripada segi memelihara maruah. Jika kita berjuang selama 400 tahun untuk kebebasan negara kita, sebabnya ialah kerana sebagai satu bangsa kita tidak sanggup diperhambakan oleh sesiapa.

112. Di zaman ini penjajahan secara langsung sudah hampir luput. Sebenarnya kebanyakan daripada saudara-saudari tidak pernah merasai kehinaan sebagai orang yang dijajah. Justeru itu, penghargaan terhadap kebebasan bangsa yang merdeka tidak sebegitu tebal. Ketidaksedaran ini akan melalaikan kita, terutama apabila penjajahan secara tidak langsung diusahakan.

113. Melalui ekonomi, melalui kebudayaan, penjajahan indirect ini sedang berlaku. Kita amalkan sistem free enterprise kerana ianya lebih baik daripada sistem feudal. Kita sedar bahawa ekonomi negara-negara di dunia tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Tetapi kita tidak begitu bebas kerana harga barangan kita dikuasai oleh orang-orang lain. Hari ini kita merasai kesan penjajahan ekonomi ini apabila harga barangan kita ditekan turun sehingga meleset ekonomi negara kita.

114. Penjajahan melalui kebudayaan dapat dilihat apabila kita simpan rambut panjang, kita pakai jeans walaupun ke majlis perkahwinan, kita menari macam orang gila tanpa segan silu di Rock konsert, lelaki pakai subang, atau sengaja suka pakaian yang kotor dan koyak. Adat resam, sopan santun bangsa kita sudah hampir luput dan kita hampir kehilangan identiti.

115. Bukan semua peniruan kebudayaan asing membuktikan penjajahan oleh bangsa asing. Ada amalan yang baik yang sepatutnya kita tiru dengan mata terbuka. Tetapi penjajahan kebudayaan berlaku apabila kita terbawa-bawa dengan kebudayaan asing sehingga tidak mempedulikan akan kesan buruk daripadanya.

116. Kita juga dijajah melalui dadah. Kita tidak mengeluarkan dadah di negara ini. Amalan ini bukan sebahagian daripada kebudayaan kita. Tetapi hari ini majoriti yang mengisap dan menyuntik dadah adalah belia-belia Melayu. Mereka ini tidak boleh mempertahankan maruah bangsa kita.

117. Dalam bidang media-massa pula, pada mulanya hanya media-massa asing sahaja yang brainwash kita. Sedikit demi sedikit nilai-nilai kita berubah. Akhirnya ada wartawan dan akhbar kita sendiri yang telah dibrainwashkan. Tidak perlu lagi akhbar asing subvert nilai hidup dan kebudayaan kita. Kita sendiri sudah mengambil-alih peranan brainwashing ini. Kadang-kadang yang memburukan imej negara kita ialah orang-orang Malaysia sendiri. Mereka tidak peduli bahawa mereka sendiri akan menjadi mangsa keburukan itu. Mereka sudah begitu objektif, kononnya. Tetapi sebenarnya mereka telah diperalatkan oleh penjajah.

Saudara-saudari sekalian,

118. Sebenarnya UMNO sahaja yang terdaya mempertahankan maruah kaum kita, maruah bangsa Malaysia kita dan maruah negara kita. Kalau kita desak supaya UMNO mengutamakan perpaduan dan berdisiplin, sebabnya bukanlah kerana ini memudahkan kerja pemimpin tetapi kerana perpaduan dan disiplin sahaja yang menjadikan parti kita berkesan dan dihormati dan layak memimpin dan menjadi teladan kepada lain-lain penduduk di Malaysia, baik Melayu, baik bukan Melayu.

119. Perpaduan, disiplin dan kesetiaan kepada parti menentukan kemenangan kita dalam pilihanraya dan pembentukan Kerajaan yang berkesan. Wakil-wakil rakyat yang menang, menang kerana disiplin dan ketaatan ahli dan pemimpin-pemimpin kepada parti. Jikalau kita mendapat kebahagiaan daripada sifat-sifat ini janganlah apabila kita tidak bertanding lagi, kita lupakan akan jasa-jasa orang lain kepada kita dahulu. Janganlah kita bertukar haluan dan bersikap berkecuali dan kononnya objektif apabila kita tidak perlu lagi sokongan parti. Taat setia bukanlah untuk mendapat tempat. Taat setia adalah sifat kita ahli UMNO, sifat yang kita junjung sepanjang hayat kita, kerana taat setia inilah yang memberi kejayaan kepada kita. Oleh itu teruskanlah sokongan kita kepada UMNO terutamanya di waktu pilihanraya, walaupun kita tidak bertanding lagi.

120. Cerah atau gelapnya masa depan orang Melayu dan agama Islam khususnya, bangsa Malaysia, negara Malaysia bahkan kaum-kaum lain yang berada di Malaysia bergantung kepada UMNO. Parti-parti lain adalah ekstrimis atau chauvinis atau terlalu kecil untuk memelihara negara ini dan menghadapi berbagai cabaran. UMNO adalah binding force atau kuasa yang mengikat, kuasa yang menarik semua parti yang bersikap sederhana supaya bekerjasama. Sikap ini adalah pilihan UMNO sendiri. Jika tidak, akan berpecahlah rakyat negara ini seperti yang terjadi di negara-negara lain yang mempunyai berbagai kaum. Sistem demokrasi dengan sendirinya tidak menjamin keadilan dan kebahagiaan. Yang benar-benar menjamin kedua-dua nikmat ini ialah pengamalan demokrasi yang ikhlas dan jujur. Dan UMNO adalah pengamal demokrasi yang ikhlas dan jujur.

121. Jelas sekali bahawa tanggungjawab kita, ahli-ahli UMNO, adalah berat. Kita mesti memikul tanggungjawab ini dan kita mesti menentukan kestabilan dan keadilan bagi semua rakyat di negara ini. Kita mesti menghulur tangan persahabatan setiap masa.

122. Di waktu kemelesetan ini, di waktu wang sukar dicari dan Kerajaan sendiri menghadapi masalah kewangan, ahli-ahli UMNO perlu menunjukkan kesabaran dan sanggup berjimat cermat dengan wang ringgit dan harta yang ada kepada kita. Kita tidak boleh meneruskan cara hidup yang biasa kita amalkan di zaman mewah dahulu. Sebaliknya kita harus menerima kesan kemelesetan ekonomi ke atas kehidupan kita dan kita menyesuaikan diri kita dengan keadaan ini.

SYIAR ISLAM ___________

Saudara-saudari sekalian,

123. Kita bersyukur negara kita bukan sahaja masih aman dan sejahtera, tetapi juga agama Islam yang kita anuti terus berkembang dan terpelihara. Kita berdoa semoga umat Islam negara ini akan terus berpegang kepada tali Allah dan bersatupadu.

124. Perpaduan ummah negara ini telah terancam semasa pilihanraya umum yang lalu. Kita seharusnya mencuba supaya perpaduan yang tergugat itu dapat dipulihkan semula. Apa-apa perbezaan pendapat dan apa-apa salah faham sesama sendiri janganlah dibiarkan berpanjangan. Bersama-samalah kita menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup kita. Kita patutlah mengutamakan sifat-sifat yang lebih luhur dan sederhana supaya kita tidak bersikap keterlaluan atau ekstrim. Kita harus yakin akan kesederhanaan yang dituntut oleh agama Islam yang bukan sahaja dapat mengekalkan perpaduan di kalangan ummah, tetapi juga dapat mengembangkan lagi syiar Islam. Ia juga akan membolehkan kita bekerjasama dengan kaum-kaum lain, bahkan memberi perlindungan kepada mereka.

125. Kita telah membuktikan tekad Kerajaan mengembangkan syiar Islam dengan melaksanakan beberapa projek dan dasar. Saya tidak bercadang menyenaraikan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan kerana umum mengetahuinya. Kita harus bertekun untuk melaksanakan apa sahaja yang boleh dilakukan untuk mengembangkan syiar Islam.

126. Di sini harus kita berhati-hati kerana dalam iklim politik yang terdapat di negara ini, amat mudah kita memperkata atau membuat sesuatu bukan kerana agama tetapi kerana terbawa-bawa dengan arus tekanan politik. Orang yang membenarkan kepentingan politik sendiri mempengaruhi tindakan keagamaannya akan membawa kepada penyelewengan dan mungkin merosakkan akidah. Oleh itu setiap kali kita bertindak atau membuat cadangan, bertanyalah diri terlebih dahulu sama ada ianya didorong oleh agama atau kerana perasaan riak. Hanya dengan bersikap jujur dalam menjawab soalan ini baharulah agama Islam terselamat.

PENUTUP _______

Saudara-saudari sekalian,

127. Perjuangan UMNO belum tamat. Kita masih mempunyai banyak kerja yang perlu dibuat, banyak matlamat yang perlu dicapai.

128. Dengan izin Allah Subhanahu Wataala, kita telah sekali lagi diberi kuasa mentadbirkan negara yang kita cintai ini. Marilah kita memperbaharui azam dan tekad, marilah kita rapatkan barisan dan dengan tegasnya kita menghadapi segala masalah dan rintangan dalam perjuangan mempertahan dan meningkatkan maruah kaum dan bangsa, agama dan negara kita. Insya-Allah.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kami menerima 4,512,549 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri