English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERASMIAN PAMERAN MENGENAI PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM OPERASI PENGAMAN PBB
Lokasi : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 26-10-1995
 
Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya untuk memberi sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan Pameran mengenai Penglibatan Malaysia dalam Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini.

2. Tidaklah dapat dinafikan bahawa Pameran ini membawa erti yang besar kepada negara kita khususnya kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia. Saya telah difahamkan bahawa pameran ini adalah yang julung kali diadakan di negara kita dan ianya bertujuan untuk mengenang jasa sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh anggota-anggota tentera dan polis kita melalui penyertaan mereka dalam Operasi-operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu semenjak pertubuhan dunia itu ditubuhkan lima puluh tahun dahulu.

3. Semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua lima puluh tahun dahulu, dunia masih belum lagi aman dan selamat. Keamanan dan ketenteraman dunia yang diharap-harapkan oleh masyarakat antarabangsa setelah tamatnya Perang Dunia Kedua tinggal impian sahaja. Beberapa konflik yang hebat telah tercetus di beberapa pelusuk dunia sehinggalah kini. Konflik-konflik tersebut telah meragut nyawa beberapa juta manusia. Hak asasi manusia telah dicabuli, wanita diperkosai dan kanak-kanak yang tidak berdosa telah turut menjadi mangsa konflik-konflik tersebut.

4. Kita di sini amatlah bertuah kerana negara kita yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama telah dapat hidup dengan aman damai dan harmoni. Kerjasama yang erat dan keharmonian yang terjalin di antara rakyat di negara ini telah membawa Malaysia ke tahap kemajuan ekonomi yang membanggakan. Kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus setahun semenjak beberapa tahun kebelakangan ini telah membuktikan hakikat ini. Dalam hal ini, tidak dapat dilupakan juga peranan angkatan tentera dan polis yang telah berjuang menentang pengganas-pengganas komunis dan mempertahankan negara dari ancaman-ancaman subversif. Sayugia diingatkan bahawa keamanan, kesenangan dan kebebasan yang sedang kita nikmati kini, merupakan keistimewaan-keistimewaan yang amat berharga yang senantiasa perlu dikekal dan dipertahankan.

5. Walaupun negara kita aman dan perkembangan ekonominya pesat, Malaysia tidak lupa kepada penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat di negara-negara lain yang dilanda pergolakan. Justeru itu, Malaysia sebagai sebuah negara anggota PBB yang komited kepada prinsip-prinsip dan tujuan-tujuan piagam badan dunia ini menyokong usaha-usaha badan tersebut terutamanya dalam menjaga keamanan dan keselamatan dunia. Dalam hal ini, Malaysia telah memberi sokongan penuh kepada Operasi Pengaman PBB yang Malaysia percaya dapat membantu usaha-usaha antarabangsa untuk mencari penyelesaian ke atas pergolakan-pergolakan tersebut.

6. Penglibatan negara kita di Operasi Pengaman PBB, khususnya pasukan tentera kita, bermula 35 tahun yang lalu di Kongo. Sejak itu, Angkatan Tentera Malaysia telah menyertai 16 Operasi Pengaman PBB, manakala Polis DiRaja Malaysia pula telah menyertai enam Operasi Pengaman PBB. Antara Operasi-operasi Pengaman PBB yang Malaysia telah sertai selepas Kongo adalah Angola, Kampuchea, Iran dan Iraq, Namibia, Somalia dan Bosnia-Herzegovina. Sebelum pengunduran Operasi Pengaman PBB dari Somalia pada awal tahun ini, Malaysia merupakan penyumbang terbesar yang keenam kepada Operasi Pengaman PBB di kalangan 185 buah negara anggota PBB. Pasukan-pasukan tentera dan polis kita telah ditugaskan sebagai anggota pengawas, pemerhati dan pembantu dalam memberi bantuan perikemanusiaan kepada penduduk tempatan yang terperangkap dengan pergolakan di negara mereka. Sehingga Mei 1995, difahamkan seramai 14,092 anggota tentera dan 381 anggota polis telah terlibat dalam Operasi-operasi Pengaman PBB. Kita telah kehilangan sembilan orang anggota tentera kita yang terkorban dalam menjalankan tugas mereka di Operasi-operasi Pengaman PBB. Malaysia sekarang masih terlibat dalam enam operasi Pengaman PBB.

7. Perlu dijelaskan di sini bahawa penglibatan Malaysia dalam Operasi Pengaman PBB adalah berteraskan kepada prinsip-prinsip kedaulatan sesebuah negara, keadilan dan perikemanusiaan dan bukannya didorong semata oleh agama dan politik. Sebagai anggota PBB, Malaysia juga telah menyumbang wang kepada Operasi-operasi Pengaman PBB dan tidak pernah berhutang kepada badan dunia itu.

8. Masanya telah sampai bagi masyarakat antarabangsa mengkaji semula peranan Operasi Pengaman PBB. Kegagalan UNPROFOR untuk memberhentikan keganasan puak Serb Bosnia terhadap rakyat Islam dan Croat Bosnia-Herzegovina merupakan satu tamparan yang hebat kepada keberkesanan Operasi Pengaman PBB. Tidak ada gunanya satu pasukan pelindung dihantarkan sekiranya ia tidak dapat melindungi orang ramai sepertimana yang telah dimandatkan.

9. Adalah tidak munasabah pasukan pelindung PBB hanya membiarkan
pencabulan hak asasi yang amat dahsyat dilakukan oleh puak Serb ke atas rakyat Bosnia-Herzegovina yang tidak berdosa tanpa melindungi mereka. Pasukan Pelindung PBB mestilah diberikan kuasa dan dibekalkan dengan alat-alat senjata yang dapat digunakan untuk melindungi rakyat Bosnia-Herzegovina.

10. Kredibiliti Operasi-operasi Pengaman PBB mestilah dikembalikan semula dengan memberikannya kekuatan untuk menghalang keganasan yang berlaku di hadapan mata mereka baik di Bosnia-Herzegovina mahu pun dipergolakan-pergolakan yang lain. Sekiranya Operasi Pengaman PBB tidak dapat menjalankan tugas mereka untuk melindungi rakyat yang menjadi mangsa pergolakan dunia, sudah tiba masanya satu Pasukan Penguatkuasaan PBB (UN Peace-Enforcement Force) ditubuhkan oleh badan dunia tersebut yang dapat menghalang berlakunya keganasan dalam satu-satu pergolakan dunia.

11. Akhir kata, saya amat berbangga dengan semangat dan prestasi yang telah ditunjukkan oleh pasukan tentera dan polis kita yang telah dan sedang berkhidmat di Operasi-operasi Pengaman PBB. Pengorbanan yang dibuat oleh pasukan tentera dan polis bukan sahaja disanjung tinggi oleh kerajaan dan rakyat kita bahkan juga masyarakat tempatan di mana-mana pasukan kita berada. Syabas.

12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran Penglibatan Malaysia dalam Operasi Pengaman PBB.

Kami menerima 2,713,233 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri