English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERASMIAN LOT 10 KOMPLEKS MEMBELI-BELAH KUALA LUMPUR
Lokasi : LOT 10 KOMPLEKS MEMBELI-BELAH KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh : 13-03-1991
 
Yang Berbahagia Dato' Suleiman Manan, Pengerusi Mayang Sari Sdn Bhd; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan, Saya berasa sukacita kerana diberi peluang untuk memberikan sepatah dua kata sempena Majlis Perasmian Lot 10 Kompleks Membeli-belah ini.

2. Kompleks membeli-belah ini merupakan satu lagi pusat membeli-belah yang menarik bagi penduduk dan pelawat ke bandaraya ini. Warnanya yang berlainan pun sudah cukup bagi mengasingkan bangunan ini daripada bangunan-bangunan lain di sekitar Kuala Lumpur. Ia juga merupakan pusat membeli-belah yang agak eksklusif kerana barang-barang yang terdapat di kompleks ini adalah terdiri daripada jenama-jenama yang terkenal. Kompleks ini yang terletak di Kawasan Tiga Segi Emas yang sentiasa sibuk siang dan malam dengan sendirinya meletakkan Lot 10 di antara kompleks membeli-belah yang istimewa. Hakikat tempat kedudukannya ini saya yakin akan membantu menjayakan Kompleks Lot 10 sebagai pusat membeli- belah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Bandaraya Kuala Lumpur semakin terkenal sebagai bandaraya yang bersih dan cantik yang di senangi oleh bukan sahaja penduduknya tetapi juga oleh para pelancong dari dalam mahupun dari luar negeri. Kuala Lumpur juga semakin terkenal sebagai pusat membeli-belah yang sangat menarik serta mampu bersaing dengan pusat-pusat membeli-belah yang lain di rantau ini. Kita masih ingat tidak berapa lama dahulu begitu ramai sekali rakyat Malaysia mengambil kesempatan pada musim-musim percutian, perayaan dan sebagainya untuk ke negara jiran bagi tujuan membeli-belah. Tetapi sekarang ini kita perhatikan yang sebaliknya berlaku.

4. Ini adalah kerana Kerajaan telah menghapuskan cukai ke atas berbagai-bagai jenis barang-barang yang dahulu dikenakan cukai yang tinggi. Strategi ini bertujuan untuk meningkatkan aktiviti membeli-belah bukan semata-mata untuk rakyat tempatan tetapi juga untuk para pelancong. Sekaligus ia membantu industri pelancongan yang juga akan meningkatkan pendapatan rakyat. Jelaslah hari ini strategi ini tepat dan berkesan. Tetapi harus diingat bahawa kesan strategi ini bergantung juga kepada penyampaian kesan penghapusan cukai kepada pembeli. Jika peniaga membolot semua pengurangan cukai bagi diri sendiri, maka harga tidak akan turun dan sudah tentu tidak akan menjadi daya penarik bagi pembeli. Saya berbangga kerana ini tidak dilakukan oleh peniaga- peniaga di Kuala Lumpur. Percayalah bahawa dengan strategi mengambil untung yang sederhana, peniaga akan menikmati keuntungan yang berpanjangan.

5. Pertumbuhan pusat membeli-belah mewah dapat diadakan hanya jika ada bilangan rakyat yang mampu membeli barang- barang mewah ini. Oleh kerana negara kita aman dan stabil dan dengan itu ekonomi tumbuh dengan pesatnya, maka hari ini ramai rakyat yang mampu menjadi pelanggan barangan mereka. Harus diingat juga bahawa retail business memberi banyak peluang pekerjaan, dan pekerja juga mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam sektor ini. Justeru itu pekerja- pekerja di pusat membeli-belah hendaklah melayan pelanggan dan membantu menjayakan perniagaan kerana secara langsung mereka akan mendapat nikmat. Mudah-mudahan dengan majunya perniagaan, pekerja akan dapat pendapatan yang lebih.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Saya merasa gembira kerana tidak banyak berlaku kes-kes di mana kemudahan awam dimusnahkan. Ini adalah bukti bahawa penduduk-penduduk di bandar-bandar semakin 'civic conscious' dan bertanggungjawab terhadap kemudahan-kemudahan yang memang pun disediakan untuk mereka. Tuan-tuan punya bangunan juga semakin bertanggungjawab dan menjaga keadaan bangunan mereka supaya sentiasa kelihatan bersih dan menarik. Membelanjakan wang yang banyak untuk bangunan yang indah dan menarik akan menjadi pembaziran jika "maintenance" kurang dan dalam masa yang singkat menjadi tidak menarik lagi.

7. Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan menjadi seindah dan sebersih seperti yang kita dapati pada hari ini, jika tidak dengan kerjasama setiap penghuni yang tinggal di bandaraya ini. Pihak penguatkuasa dan pihak yang menjaga kebersihan bandar ini tidak akan terdaya dan mampu menjaga kebersihan tanpa kerjasama daripada setiap penduduk. Mereka tentu sedar bahawa yang menikmati secara langsung keselesaan hidup hasil kerjasama mereka ialah mereka sendiri. Lebih daripada itu bandar yang bersih dan indah menarik para pelancong dan juga syarikat-syarikat untuk mengadakan pejabat mereka di sini, dan sekali lagi secara langsung peluang pekerjaan bertambah dan semua jenis perniagaan meningkat maju kerana ramai lagi pelanggan yang membeli-belah. Hanya kebaikan yang mendatangkan kebaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Kerajaan memang sentiasa bersikap terbuka kepada cadangan-cadangan dan pandangan-pandangan daripada mana-mana pihak jika ianya adalah bertujuan untuk memajukan lagi bandaraya Kuala Lumpur ini. Kita ingin melihat Kuala Lumpur satu hari nanti menjadi bandaraya yang setaraf dengan bandaraya-bandaraya lain yang sudah lama terkenal di dunia ini. Dengan mempelajari pengalaman yang telah dilalui oleh bandaraya-bandaraya yang lebih lama ini, dan dengan tidak melakukan kesilapan-kesilapan yang telah mereka lakukan, Kuala Lumpur mungkin dapat menjadi bandaraya yang lebih berjaya dari bandaraya-bandaraya tersebut. Dengan ini bukan sahaja kita boleh berbangga, bahkan bermegah sedikit dengan ibu kota negara kita, tetapi kita akan dapat berbagai nikmat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. Lot 10 yang terletak di kawasan yang strategik di mana terdapat juga beberapa pusat membeli-belah yang lain yang sudahpun menjadi terkenal akan terpaksa bersaing untuk menentukan ianya juga mampu mendapatkan tempat bagi dirinya sendiri. Persaingan jika dilakukan dengan mematuhi kepada etika-etika perniagaan yang baik yang perlu ada kepada setiap ahli perniagaan akan merupakan persaingan yang sihat. Persaingan yang sihat akan mendatangkan manfaat kepada semua pihak bukan sahaja kepada peniaga-peniaga, tetapi juga kepada para pengunjung dan mereka yang membeli-belah.

10. Saya berharap Lot 10 Kompleks Membeli-belah yang terbaharu di Bandaraya Kuala Lumpur ini akan dapat mengukir 'niche'nya yang tersendiri dan berjaya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Lot 10 Kompleks Membeli-belah yang indah ini.


Kami menerima 4,356,899 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri