English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERASMIAN KOMPLEKS STUDIO MERDEKA FINAS DAN FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-9
Lokasi : KOMPLEKS STUDIO MERDEKA, HULU KELANG, SELANGOR
Tarikh : 01-06-1991
 
Yang Berbahagia Dato' Mohamad Rahmat, Menteri Penerangan; Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris, Pengerusi FINAS; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Saya mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana menyambut ulangtahunnya yang ke-10. Upacara hari ini bertambah meriah kerana perasmian Kompleks Studio Merdeka FINAS ini diadakan serentak dengan perasmian Festival Filem Malaysia ke-9.Saya ucapkan syabas kerana semenjak penubuhannya 10 tahun dahulu, FINAS telah berjaya mengadakan Festival Filem Malaysia tiap-tiap tahun kecuali tahun 1990.

2. Adalah wajar dalam menyambut hari ulangtahunnya yang ke-10, FINAS mengimbas kembali dan mengkaji sumbangannya kepada industri perfileman tempatan. Apakah dengan penubuhan FINAS industri perfileman hari ini telah menjadi lebih maju atau lebih mundur, ataupun tidak berubah berbanding dengan keadaan 10 tahun lalu? Seperti yang diketahui penubuhan FINAS pada asasnya ialah untuk membantu menghidupkan semula dan memberi nafas baru kepada industri perfileman tempatan, kerana ianya pada satu ketika dahulu berada dalam keadaan amat lemah dan hampir tidak wujud lagi.Penilaian seperti ini penting bagi semua pihak yang terlibat kerana pandangan serta kritikan yang konstruktif akan dapat membantu kita memperbaiki serta memperkemaskan lagi kedudukan industri filem tempatan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Kerajaan ingin melihat industri perfileman negara terus berkembang. Proses pemikiran yang sealiran dengan kebudayaan negara adalah penting dalam pembentukan masyarakat yang sihat. Adalah tidak wajar sama sekali sekiranya orang ramai khususnya muda-mudi kita hanya terdedah kepada filem-filem yang diimport kerana ini akan, dengan cara tidak sengaja, mempengaruhi cara-cara pemikiran, tingkah-laku dan kebudayaan kita.

4. Untuk menggalakkan aliran pelaburan ke industri perfileman di negara ini, kerajaan telahpun memberi insentif dalam bentuk taraf perintis dan elaun cukai pelaburan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan, 1986 ke atas aktiviti pengeluaran filem dan video. Pengeluar-pengeluar filem tempatan juga menikmati galakan kewangan di bawah Sekim Pemberian Galakan melalui Cukai Hiburan. Mereka juga boleh mendapat bantuan berbentuk kemudahan pinjaman dan sewaan alat kelengkapan penggambaran serta kemudahan produksi filem, dewan pratonton dan studio yang disediakan oleh FINAS. Kementerian Penerangan juga memberi potongan 50% kepada iklan-iklan di televisyen kerajaan untuk membantu pengeluar-pengeluar filem. Selain daripada itu, Akademi Filem telah ditubuhkan oleh FINAS semenjak 1987, untuk memberi latihan formal jangka pendek, peringkat sijil dan diploma kepada mereka yang berminat dalam bidang perfileman.

5. Kerajaan juga telah menguatkuasakan syarat Wajib Tayang mulai Januari 1991 dalam usaha membangunkan industri perfileman kita. Dengan adanya peraturan syarat Wajib Tayang ini, adalah diharapkan pengeluar filem dan penayang filem dapat bekerjasama demi kepentingan industri perfileman tempatan. Saya difahamkan setakat ini, 19 buah filem telah didaftarkan untuk syarat Wajib Tayang. Adalah diharapkan pengeluar filem tempatan tidak terlalu bergantung kepada syarat ini kerana pihak penayang mungkin akan menayang hanya sebanyak yang diwajibkan. Sebaliknya jika pengeluar- pengeluar filem mengeluarkan filem yang berkualiti yang boleh menarik penonton dengan ramai, pihak penayang akan berlumba-lumba untuk menayangkan filem-filem ini dengan bilangan yang lebih daripada yang diwajibkan.

6. Kesemua ini membuktikan bahawa Kerajaan adalah serius untuk memajukan industri perfileman tempatan. Walaupun banyak galakan dan insentif telah diberi, nampaknya industri perfileman, khususnya sektor pengeluaran filem, masih belum mencapai tahap kemajuan yang diharap-harapkan. Kegagalan filem terbitan Malaysia merangkul anugerah filem terbaik di Festival Filem Ke-8 pada tahun 1989 mungkin memberi satu gambaran tentang kedudukan industri perfileman kita sembilan tahun selepas FINAS ditubuhkan. Mungkin juga ianya adalah kerana tahap pencapaian yang diharapkan oleh para hakim adalah terlalu tinggi untuk dicapai oleh industri perfileman kita. Tetapi hakikatnya ialah ada pengeluar filem dari negara lain yang mampu mencapai tahap ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Saya difahamkan bahawa industri perfileman kita pada tahun 1990 hanya mengeluarkan 12 filem cereka. Juga di masa-masa yang lalu, tiada filem Malaysia yang mampu memungut 'gate collection' yang melebihi $500,000 ringgit.Bagaimanapun nampaknya keadaan ini telah berubah kerana pada tahun 1990, sudah ada satu filem Malaysia yang mampu mengutip 'gate collection' sehingga $1.5 juta ringgit. Ini satu petanda yang menggalakkan bagi industri perfileman tempatan.

8. Saya juga diberitahu bahawa di Malaysia, jumlah 'gate collection' bagi pawagam-pawagam ialah sebanyak lebih kurang $124 juta ringgit. Jikalau hanya 12 filem tempatan dihasilkan, dan tiap-tiap satu mengutip $500,000 ringgit, ini bermakna hanya $6 juta ringgit adalah bahagian filem- filem tempatan, dan $118 juta ringgit lagi itu adalah bagi filem luar negeri. Oleh itu usaha-usaha yang lebih gigih perlu dijalankan bagi meningkatkan bahagian filem-filem tempatan daripada jumlah 'gate collection'.

9. Dalam hal ini industri perfileman hendaklah memikirkan cara-cara bagaimana hendak meningkatkan lagi pengeluaran filem tempatan dan mutunya. Para penonton, seperti yang telah terbukti, akan menonton filem-filem Malaysia yang bermutu tinggi. Memang benar membuat filem bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan daya kreatif, komitmen, dedikasi dan disiplin. Selain daripada itu, citarasa dan selera para penuntun juga mesti diambilkira di samping sensitiviti-sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia. Juga penting ialah kaedah dan teknik yang digunakan.

10. Filem-filem yang bermutu tinggi bukan sahaja dapat bersaing dengan filem-filem bermutu yang diimport tetapi juga boleh mengenalkan lagi kebudayaan kita. Pengarah, penerbit, jurukamera, artis dan kakitangan teknik mempunyai peranan yang sama penting menyumbang kepada memperkayakan kebudayaan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Pengeluar-pengeluar filem Malaysia seharusnya juga mempunyai pandangan yang jauh bagi menjamin industri perfileman kita terus berkembang dan maju. Memandangkan pasaran tempatan bagi filem-filem keluaran negara ini adalah terhad, kita patut juga memikirkan dan berusaha untuk mengeluarkan filem-filem untuk pasaran yang lebih luas.Walaupun filem-filem Malaysia juga ditayangkan di Indonesia, Brunei dan Singapura, apakah ini memadai? Kenapa tidak kita mengeluarkan filem-filem yang boleh dipasarkan ke negara- negara ASEAN yang lain, malah untuk penonton-penonton dunia yang lain? Apakah ini boleh dilakukan melalui usahasama dengan pengeluar-pengeluar filem luar negeri, dengan mengeluarkan filem yang menggabungkan bintang-bintang filem tempatan dan luar negeri atau filem-filem yang mempunyai tema yang universal? Industri perfileman harus mempertingkatkan usahanya untuk memainkan peranan yang lebih besar daripada masa ini selaras dengan pencapaian bidang- bidang yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Saya difahamkan bahawa berbagai-bagai usul telah dikemukakan oleh kumpulan-kumpulan yang terlibat di dalam industri perfileman. Antara cadangan-cadangan ini ialah mewujudkan satu perkampungan filem seperti yang terdapat di Taiwan dan Singapura.

13. Kerajaan sedia menimbangkan usul-usul dan cadangan- cadangan yang dibuat. Walau bagaimanapun, perlulah ditegaskan bahawa Kerajaan dalam usahanya membantu membangunkan industri filem tempatan perlu melihatnya daripada berbagai-bagai dimensi dan secara menyeluruh.

Tuan-tuan dan puan-puan,

14. Akhir kata, saya berharap kita semua berganding bahu dan bekerjasama dalam semangat 'Persyarikatan Malaysia' untuk terus membangunkan industri perfileman kita.

15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kompleks FINAS serta melancarkan Festival Filem Malaysia ke-9 dan Perayaan 10 Tahun FINAS.

Kami menerima 4,450,897 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri