English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA
Lokasi : BANGUNAN RESIDENSI KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh : 07-07-1992
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Memo- rial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada pagi ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Sarji, Ketua Setiausaha Negara selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Memorial Tunku Abdul Rahman, yang telah sudi menjemput saya untuk menghadiri majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha serta memberi kerjasama dan sokongan untuk melaksana dan menjayakan projek ini.

3. Keagungan sesuatu bangsa itu ditentukan oleh kepentingan yang diberikan pada sejarah. Sejarah merupakan suatu khazanah yang amat bernilai. Sejarah adalah gedung pengalaman. Bangsa yang agung adalah bangsa yang menempah sejarah dan yang mahu mempelajari daripada sejarah. Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai kehormatan diri kita. Daripada sejarah juga kita dapat menginsafi kedudukan kita di dalam sejarah kemanusiaan dan alam semesta. Sejarah akan memberi kita tenaga dan landasan di dalam menempa dan membentuk tamadun baru.

4. Pada hari ini, kita akan merasmikan Memorial Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj.Saya merasa bangga kerana negara kita dapat menghargai sumbangan, jasa dan bakti pemimpin besar negara ini. Memo- rial ini akan dapat melengkapkan khazanah sejarah negara yang telah bermula dengan pelancaran memorial Tun Abdul Razak sepuluh tahun yang lalu. Detik-detik peristiwa perjuangan kemerdekaan bangsa yang akhirnya telah membolehkan pengisytiharan kemerdekaan sehinggalah membawa kepada penubuhan Malaysia akan terpapar di Memorial ini.Ciri-ciri demokrasi negara kita seperti yang kita amalkan sekarang ini telah dibentuk, diolah dan diperkukuhkan melalui detik-detik sejarah negara yang bermula dengan pengisytiharan kemerdekaan. Memahami sejarah Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku adalah memahami sejarah perjuangan kemerdekaan bangsa Malaysia.

5. Sepertimana yang kita ketahui, Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku menerajui pemerintahan negara dari tahun 1955 sehingga tahun 1970 sebagai Ketua Menteri dan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia.Memorial Tunku ini akan menempatkan semua warisan berkaitan Tunku dan nilai-nilai yang diserapkan oleh kepimpinan Almarhum Tunku di dalam kehidupan rakyat Malaysia. Memorial ini akan memainkan peranan penting sebagai pusat penyelidikan mengenai negarawan yang dikasihi dan dihormati dan yang banyak menyumbangkan bakti kepada negara dan rakyat. Memorial ini juga akan menjadi pusat perolehan bahan yang aktif mengenai Almarhum Tunku, dan juga sebagai pusat pameran dan aktiviti-aktiviti yang akan menghidupkan sejarah negara ini termasuk waktu kepimpinan Almarhum Tunku.

6. Pemilihan bangunan Residensi sebagai pusat kompleks Me- morial ini amat sesuai sekali. Bangunan ini menjadi tempat kediaman Almarhum Tunku di antara tahun 1956 hingga ke tahun 1970 semasa beliau menjadi Ketua Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri. Banyak peristiwa telah berlaku di dalam bangunan ini. Di sinilah sebahagian besar daripada perbincangan-perbincangan, keputusan-keputusan dan tindakan- tindakan yang mempengaruhi serta menentukan sejarah negara telah dibuat. Mungkin ada di antara hadirin di majlis ini dapat mengenang kembali liku-liku sejarah untuk mengingati semula detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Residensi ini.

7. Memandangkan rapatnya Residensi ini dengan Almarhum Tunku, adalah bersesuaian Residensi ini dihayati sebagai Me- morial Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, iaitu sebagai satu tinggalan sejarah yang penting bagi memperingati Almarhum Tunku sebagai seorang tokoh, pejuang dan negarawan tanah air kita dan Bapa Kemerdekaan. Memorial ini akan menempatkan segala rupa benda yang berkaitan dengan Almarhum Tunku di dalam bentuk asal sepertimana ketika Almarhum Tunku mendiami residensi ini.

8. Bagi keluarga Almarhum Tunku tentulah banyak yang menjadi kenangan pahit manis di Residensi ini. Sesuai dengan majlis pada pagi ini, izinkan saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada keluarga Almarhum Tunku yang telah dengan ikhlas hati menyerahkan segala khazanah dan bahan sejarah Almarhum Tunku untuk dijadikan bahan pameran Memorial ini. Sumbangan bahan-bahan tersebut adalah tidak ternilai daripada segi sejarah.

9. Projek Memorial ini adalah satu usaha Kerajaan dan rakyat untuk memperingati seorang bekas Perdana Menteri.Usahasama ini bukanlah untuk mendewa-dewakan seorang tokoh negara tetapi sebaliknya untuk memperlihatkan kepada rakyat, khususnya kepada generasi akan datang, tentang perjuangan, pengorbanan, harapan serta aspirasi seorang pemimpin terhadap negara, bangsa dan agama. Adalah penting bagi seluruh rakyat dan setiap generasi menginsafi perjuangan dan pengorbanan bagi membina dan memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara.

10. Sebagai seorang pewaris kepada perjuangan Almarhum Tunku izinkan saya mengulas sedikit mengenai sumbangan yang terbesar yang dibuat oleh Yang Teramat Mulia kepada negara.

11. Hari ini Malaysia terkenal kerana pembangunannya yang amat pesat. Pembangunan ini dibolehkan kerana negara berbilang kaum ini aman dan tenteram. Walaupun ini dianggap perkara biasa sekarang, tetapi di waktu Malaysia mencapai kemerdekaan ramai yang meramalkan bahawa Malaysia akan hancur kerana kaum-kaum di Malaysia akan bersengketa dan bermusuh-musuhan antara satu sama lain apabila penjajah meninggalkan negara ini. Ramai juga yang berkata bahawa orang Melayu akan menindas kaum lain dan akan merampas harta mereka.

12. Tetapi semua ramalan ini tidak menjadi kenyataan.Walaupun pada tahun 1969 rusuhan kaum telah berlaku, tetapi ia dapat dibendung dan keadaan keselamatan dipulihkan semula dalam jangkamasa yang pendek.

13. Kerjasama antara kaum ini adalah hasil utama usaha Almarhum Tunku. Walaupun UMNO dan MCA bermusuh dan orang Melayu tidak bersahabat dengan orang Cina, tetapi Tunku menerima baik cadangan kerjasama UMNO/MCA dalam penubuhan Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dari permulaan ini Almarhum Tunku telah membentuk satu jenis kerjasama politik antara kaum yang unik melalui Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC.

14. Konsep Parti Perikatan ini dilanjutkan ke Sabah dan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan. Konsep ini diteruskan lagi dengan penerimaan parti pembangkang ke dalam Barisan Nasional.

15. Hari ini kita lihat di mana-mana sahaja di seluruh dunia permusuhan dan peperangan berlaku di antara kaum-kaum yang tinggal di sesuatu negara. Sudah banyak negara yang dipecah-pecahkan menjadi negara kecil kerana permusuhan ketat antara kaum. Dalam proses ini beribu-ribu yang mati dan cedera. Namun belum lagi berakhir rusuhan kaum dan perpecahan negara.

16. Sebaliknya kaum-kaum di Malaysia hidup rukun damai dan keadaan negara selamat dan aman. Tidak syak bahawa keadaan ini adalah hasil falsafah Almarhum Tunku yang mencipta asas perpaduan kaum di Malaysia.

17. Walaupun kita sedang berusaha untuk mendirikan sebuah monumen bagi Almarhum Tunku, monumen sebenar baginya ialah negara Malaysia yang berbilang kaum yang hidup aman damai.Tidak ada penghargaan kepada Almarhum Tunku yang lebih daripada usaha rakyat berbilang kaum Malaysia mengekalkan perhubungan yang harmonis antara mereka.

18. Berbanding dengan kejayaan negara Malaysia sebagai monumen kepada Almarhum Tunku, monumen yang akan kita dirikan hanyalah simbolik sahaja.

19. Untuk menjadikan Memorial Tunku Abdul Rahman ini sebagai satu monumen yang boleh dibanggakan oleh rakyat dan akan dikunjungi oleh segala lapisan masyarakat dan pelawat, Memorial ini perlu disediakan dengan kemahiran dan kepakaran serta peruntukan yang cukup. Ini bererti Memorial ini memerlukan kewangan yang banyak, bukan sahaja untuk pembinaannya tetapi juga untuk penyelenggaraannya. Kita bersyukur bahawa berbagai-bagai lapisan rakyat dari sektor awam dan swasta telah menyumbang untuk menjayakan projek ini. Walau bagaimanapun memandangkan Memorial ini adalah untuk generasi sekarang dan akan datang, Kerajaan merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk tampil ke hadapan membantu menjayakan Memorial ini. Sumbangan rakyat akan menunjukkan penghargaan kepada seorang pemimpin dan negarawan yang disayangi dan dihormati. Sumbangan yang diharapkan adalah sumbangan derma kepada Tabung Amanah Memo- rial Tunku Abdul Rahman Putra. Pada masa yang sama sumbangan bahan-bahan sejarah berkenaan dan mengenai Almarhum Tunku akan juga dihargai.

20. Saya dimaklumkan bahawa bahan-bahan yang telah dikumpulkan mengenai Almarhum Tunku adalah amat banyak.Tetapi oleh sebab terhadnya bangunan dan kawasan ini, cuma sebahagian sahaja daripada barang-barang tersebut yang dapat dipamerkan di sini. Namum demikian saya gembira kerana pihak Arkib Negara yang bertanggungjawab menguruskan Memo- rial ini akan mengubahsuaikan bahan-bahan pameran mengikut tema-tema tertentu dengan menekankan aspek-aspek penting di dalam sejarah hidup Almarhum Tunku dari semasa ke semasa.Justeru itu, memorial seperti ini hendaklah sentiasa hidup dan dapat membuktikan bahawa segala sumbangan tokoh itu berguna sepanjang zaman.

21. Saya berharap pameran yang disediakan di Memorial ini akan menarik minat orang ramai khususnya di kalangan generasi muda terhadap sejarah dan warisan tanah air. Kita perlu semaikan rasa dan semangat cintakan tanah air di kalangan anak-anak kita. Di dalam hal ini peranan bahan- bahan bersejarah adalah amat penting bagi menyingkap perasaan ini. Bahan-bahan di dalam Memorial ini seharusnya akan dapat menimbulkan minat dan memberi dorongan serta perangsang kepada generasi muda untuk berkhidmat dan berbakti kepada negara. Sumbangan dan khidmat bakti Almarhum Tunku dalam membangunkan negara ini tidaklah seharusnya tinggal sebagai kenangan tetapi hendaklah menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk berazam dan bercita- cita tinggi supaya dapat bersama-sama menyumbang untuk negara.

22. Dengan harapan ini saya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi, dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Memorial Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kami menerima 2,605,888 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
2014 Hakcipta Terpelihara SMPKE, Pejabat Perdana Menteri