English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN PUBLISITI TAHUN MELAWAT MALAYSIA 1994
Lokasi : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC)
Tarikh : 01-08-1992
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Sabbaruddin Chik kerana menjemput saya untuk merasmikan Pelancaran Kempen Publisiti Tahun Melawat Malaysia 1994 pada malam ini.

2. Sejak beberapa tahun yang lalu, sektor pelancongan bukan sahaja telah mendapat perhatian besar Kerajaan dan swasta yang terlibat, tetapi juga orang ramai dan media massa tempatan yang banyak memperkatakan mengenai perkembangan yang berlaku dalam bidang pelancongan serta potensinya. Walaupun pelancongan di Malaysia boleh dikatakan baru berkembang berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, tumpuan yang diberi kepada sektor pelancongan sekarang membuktikan bahawa masyarakat Malaysia semakin sedar mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh pelancongan di dalam pembangunan ekonomi negara.Kesedaran ini perlu bagi membolehkan sektor ini mendapat sokongan dan penglibatan sepenuhnya pengusaha-pengusaha dan penyertaan rakyat secara langsung dan tidak langsung.

3. Kemajuan yang telah dicapai setakat ini tentunya memberi perangsang kepada kita untuk meningkatkan usaha memajukan lagi sektor ini. Faedah-faedah yang telah dinikmati oleh mereka yang mengambil peluang daripada perkembangan sektor pelancongan seperti penyediaan kemudahan penginapan, makanan, pengangkutan, barang-barang cenderamata dan lain-lain perkhidmatan kepada pelancong-pelancong asing dan tempatan akan menggalakkan lebih ramai lagi pengusaha dan peniaga melibatkan diri dalam industri ini.

4. Pelancongan di Malaysia masih mempunyai potensi yang besar untuk tumbuh dengan pesat. Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di mana pelancongan sudah menjadi sektor utama dalam struktur ekonomi mereka, pelancongan di Malaysia masih menjadi penyumbang ketiga besarnya kepada tukaran asing negara. Bilangan mereka yang terlibat di dalam sektor ini masih lagi rendah. Selain daripada tempat- tempat tertentu yang dibanjiri oleh pelancong dan pelawat terutamanya semasa musim cuti sekolah, masih banyak lagi kawasan pelancongan dan tempat lain yang menarik yang boleh diperkenalkan.

5. Memandangkan pelancongan boleh memainkan peranan sebagai penggerak utama kepada peningkatan mutu hidup rakyat dan pendapatan negara, pihak Kerajaan akan terus memberi galakan serta sokongan untuk membolehkan sektor pelancongan berkembang maju.

6. Itulah sebabnya selepas dinilai hasil-hasil daripada pelaksanaan program Tahun Melawat Malaysia 1990 yang sungguh menggalakkan, pihak Kerajaan telah memutuskan supaya diulangi program penggalakan pelancongan yang bersepadu di peringkat kebangsaan supaya prestasi pelancongan yang telah dicapai itu dapat dikekalkan dalam tahun-tahun akan datang.Tahun Melawat Malaysia '94 sebagai susulan kepada Tahun Melawat Malaysia 1990 akan memastikan adanya kesinambungan dalam usaha negara untuk mempromosikan Malaysia supaya menjadi destinasi pelancongan yang benar-benar terkenal.

7. Warisan budaya dan seni yang terdapat di negara ini merupakan keistimewaan yang boleh ditawarkan kepada pelancong-pelancong asing. Kekayaan kebudayaan Malaysia yang dihasilkan oleh penduduknya yang berbilang kaum serta suasana keharmonian masyarakat Malaysia yang terjalin hasil daripada persefahaman dan usaha kita semua, sememangnya mempesonakan orang asing apabila mereka melawat negara ini.

8. Saya perhatikan juga bahawa sejak diadakan Tahun Melawat Malaysia 1990, kegiatan-kegiatan kebudayaan dan kesenian semakin meningkat mutunya dan dapat menarik peserta-peserta dan penonton-penonton yang lebih ramai.Penghebahan kegiatan-kegiatan ini nampaknya lebih tersusun dengan adanya Kalendar Aturcara Tahunan yang diedarkan kepada orang ramai. Perkembangan ini adalah selaras dengan usaha-usaha untuk menghidup semula dan memajukan kegiatan kebudayaan dan kesenian yang pada satu masa hampir luput.Tidaklah dapat dinafikan bahawa industri pelancongan telah menyumbang secara langsung kepada perkembangan seni budaya Malaysia. Hari ini ia tidak lagi menjadi hanya bahan kajian sejarah tetapi sudah menjelma sebagai sesuatu yang hidup subur dan mampu menyumbang kepada pembentukan identiti bangsa dan negara.

9. Pelancongan dalam negeri seharusnya juga menjadi asas pertumbuhan dan perkembangan industri pelancongan. Di samping menawarkan "alternative" kepada penduduk tempatan untuk beristirehat, berekreasi dan mengenali negara sendiri, industri pelancongan yang bergantung kepada permintaan pelancong-pelancong tempatan adalah lebih kukuh kedudukannya. Ini kerana pelancongan dalam negeri dapat mengurangkan kesan-kesan daripada masalah yang menjejaskan pergerakan pelancong-pelancong asing seperti ancaman peperangan, kemerosotan ekonomi serta pendapatan yang mungkin menyekat keupayaan orang asing untuk melancong.

10. Justeru itu, dalam memajukan sektor pelancongan penekanan yang sama hendaklah diberikan kepada penggalakkan pelancongan dalam negeri di samping menarik pelancong- pelancong asing. Kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan keupayaan dan citarasa pelancong-pelancong tempatan, umpamanya kadar bayaran dan taraf penginapan yang berlainan daripada yang ditawarkan untuk pelancong-pelancong asing haruslah disediakan. Ini adalah kerana sementara pelancong asing biasanya terdiri daripada mereka yang berpendapatan tinggi, pelancong tempatan terdiri daripada semua lapisan masyarakat.

11. Sejak akhir-akhir ini perhatian semakin tertumpu kepada soal-soal mengenai pembangunan yang boleh menimbulkan kesan buruk kepada alam semulajadi, termasuk yang disebabkan oleh pembangunan pelancongan. Dalam hubungan ini, perluasan aktiviti pelancongan sering memerlukan kawasan-kawasan baru diterokai untuk dijadikan tempat tumpuan pelancongan. Oleh yang demikian, seperti juga projek-projek lain yang melibatkan pembangunan fizikal, projek-projek pelancongan sedikit sebanyak tentunya akan membawa kesan kepada kawasan berkenaan. Misalnya, pembukaan kawasan perhutanan atau pembinaan infrastruktur dan lain-lain kemudahan di pulau- pulau kecil untuk pembangunan pelancongan tentunya akan mengubah kawasan tersebut dan persekitarannya.

12. Saya percaya semua pihak sama ada rakyat yang mengikuti perbincangan-perbincangan mengenai perubahan alam sekitar, mahupun pengusaha-pengusaha pelancongan, menyedari tentang perlunya mengimbangkan kemajuan sektor pelancongan yang melibatkan pembangunan fizikal dengan keperluan melindungi dan mengekalkan keadaan alam sekitar yang asli.

13. Tidak semestinya sesuatu projek pembangunan itu akan membawa kesan yang buruk sahaja kepada alam sekitar. Dengan perancangan yang rapi kita boleh melaksanakan pembangunan sektor pelancongan yang "manageable", iaitu memperkembangkan aktiviti pelancongan ke tahap yang tidak menjejaskan keadaan alam semulajadi. Oleh yang demikian, pelaksanaan projek- projek pembangunan hendaklah dirancang supaya sesuatu kawasan tersebut dijamin tidak tercemar semasa pembinaannya atau akibat daripada bertambahnya bilangan pengguna-pengguna di kawasan itu. Pengusaha industri pelancongan tentu sedar bahawa pelancong asing terutamanya tidak datang untuk melihat bangunan yang terdapat di seluruh dunia, tetapi mereka ingin menikmati keindahan alam semulajadi yang sudah tidak ada lagi di negara mereka. Jika pengusaha memusnahkan kecantikan persekitaran Malaysia, terutama di pusat-pusat peranginan, dayatarik negara akan hilang dan pelancong asing tidak akan berminat untuk datang.

14. Perkembangan sektor pelancongan seperti juga bagi sektor-sektor lainnya bergantung kepada setakat mana pihak swasta dapat menyambut sepenuhnya peluang yang disediakan oleh pihak Kerajaan. Dalam tindakan mereka memperluaskan perniagaan dan meraih keuntungan daripada perkembangan pelancongan, mereka perlu bertindak sepakat dan sehaluan dengan matlamat Kerajaan dalam bidang ini. Pihak swasta perlulah sentiasa berusaha memperbaiki kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong-pelancong.Harga-harga bagi perkhidmatan yang dikenakan kepada pelancong-pelancong perlulah berpatutan dan tidak dinaikkan dengan sewenang-wenangnya hanya disebabkan oleh permintaan yang terlalu tinggi. Mereka perlu bersama-sama menentukan supaya imej negara ini sebagai satu destinasi pelancongan terus meningkat demi faedah mereka sendiri dan demi kepentingan negara.

15. Seperti juga dalam semua usaha, kita perlu mengutamakan keperluan jangka panjang. Kita akan rugi akhirnya jika kita anggap pelancong hanya sebagai punca kekayaan kita yang perlu diperah habis-habisan secepat mungkin. Jika ini menjadi pendekatan kita, industri ini tidak mungkin tumbuh dan menolong meningkatkan pendapatan kita dan hasil negara secara berkekalan. Sepertimana kita tidak ingin melawat negara yang mempunyai penduduk yang tamak dan memberi layanan yang buruk kepada kita, begitu juga pelancong asing tidak akan berminat melawat negara kita jika kita anggap mereka sebagai lembu tenusu yang harus diperah hingga kering. Janganlah kita fikir mereka akan ke sini sekali sahaja dan tidak perlu dilayan dengan baik kerana mereka tidak akan datang lagi. Layanan yang buruk tetap akan sampai ke telinga pelancong lain dan mereka ini juga mungkin tidak akan melancong ke sini.

16. Sebenarnya kita tidak akan rugi jika kita beri layanan yang baik, sama ada kepada pelancong asing atau pelancong tempatan. Setiap yang baik tetap akan membawa balasan yang baik. Justeru itu, mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan semua rakyat Malaysia hendaklah memberi layanan yang baik kepada pelancong kerana secara langsung dan tidak langsung kita semua memperolehi manfaat daripadanya.

17. Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan untuk memajukan Malaysia dengan menyumbangkan usaha dan tenaga kepada program Tahun Melawat Malaysia '94.

18. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Publisiti Tahun Melawat Malaysia '94 dengan rasminya.

********

Kami menerima 4,645,469 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri