English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN E-SYARIAH
Lokasi : HOTEL MARRIOTT, PUTRAJAYA
Tarikh : 07-02-2003
 
Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah S.A.W. kerana dapat kita bersama di Majlis Pelancaran Projek E- Syariah hari ini. 2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek E-Syariah; terutamanya kepada MAMPU sebagai agensi peneraju yang menyelaras pelaksanaan projek ini; kepada Jabatan Kehakiman Syariah sebagai agensi pelaksana; dan kepada Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (atau SAINS) selaku pihak yang membangunkan sistem E-Syariah ini.

3. Pelancaran E-Syariah hari ini menandakan setapak lagi kemajuan pentadbiran hal-ehwal Islam di negara kita, sesuai dengan tuntutan masa dan persekitaran. Sekaligus E-Syariah menjawab persoalan sejauhmana komitmen Kerajaan kepada usaha berterusan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan jentera pentadbiran kepada orang ramai, dan khususnya untuk menambahbaik pentadbiran hal-ehwal Islam dan melengkapkan usaha- usaha menegakkan syiar Islam.

4. Kerajaan memang berhasrat untuk membawa pembaharuan kepada jentera Kerajaan secara menyeluruh dengan menggunakan ICT. Langkah Kerajaan memperkenal teknologi terkini dan membangunkan sistem elektronik bagi membantu pentadbiran hal-ehwal Islam seumpama E- Syariah ini memang dirancang. Ia bertujuan memastikan pentadbiran hal-ehwal Islam terus dilengkapkan dengan peralatan terkini untuk menjadikannya jentera dan organisasi yang mampu menangani cabaran dan harapan baru.

5. Peralatan, sistem dan jentera pengurusan sesuatu badan hanya dapat menolong melicin dan mempercepatkan segala proses urusan, tetapi akhirnya pihak yang dipertanggungjawabkan untuk urusan yang terlibat juga yang akan mejayakan sesuatu tugas. Kita semua perlu akui bahawa orang ramai, khususnya orang Islam di Malaysia tidak begitu senang hati dengan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia.

6. Ini menjadi lebih tidak memuaskan memandangkan Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang mempunyai undang-undang Islam yang tersusun dan jelas yang menterjemahkan kehendak agama Islam berkenaan dengan keadilan dan pengadilan. Di Malaysia pelaksanaan hukum Islam tidak bergantung kepada tafsiran bersendirian oleh hakim akan kehendak Islam dan hukum yang diwajibkan. Kita pernah mendengar hakim di negara Islam lain yang menghukum wanita yang dipercayai telah berzina dengan hukuman supaya ia dirogol oleh beberapa lelaki. Kita juga pernah mendengar orang Islam yang membunuh sendiri adik perempuan kerana berkawan dengan lelaki bukan Islam.

7. Selain daripada perbuatan dan penghakiman mengikut fahaman sendiri, ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap agama Islam dan orang Islam. Ia juga sebenarnya bukan daripada ajaran agama Islam. Sebenarnya hukuman yang dibuat oleh pihak ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam, ajaran yang terdapat dalam Al-Quran yang berkali-kali menuntut supaya; "Apabila kamu menghukum, hukumlah dengan adil".

8. Hukuman yang dijatuhkan kerapkali berasas kepada amalan pra-Islam orang daripada suku-suku kaum yang jahil. Sepatutnya setelah memeluk Islam mereka gugurkan budaya lama mereka, sepertimana kita tahu mereka gugurkan amalan menanam hidup-hidup bayi perempuan. Yang jelas larangan Islam terhadap membunuh bayi perempuan ialah kerana perbuatan itu begitu zalim sekali. Tentulah amalan-amalan lain yang juga zalim, seperti membunuh adik perempuan kerana kononnya memalukan keluarga, adalah tidak diizinkan oleh Islam.

9. Al-Quran selain daripada memberi panduan yang jelas, juga memberi perumpamaan. Al-Quran tidak menghitung satu-persatu kesalahan dan larangan dalam Islam. Manusia Islam tentulah dapat memahami akan ajaran dan kehendak Islam dalam perkara-perkara lain yang tidak disebut secara khusus. Dalam soal penghakiman, atau pengadilan yang utama tentulah keadilan. Tidak ada kezaliman yang dituntut oleh Islam. Sebab itu dalam Al-Quran disebut berkali-kali, "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil".

10. Jika ketidakadilan berlaku di kalangan orang Islam sebabnya tentulah kerana sifat zalim yang ada pada mereka sebagai manusia. Dalam sejarah Islam terdapat beberapa khalifah yang zalim, raja yang zalim. Di zaman ini pun kita dapat lihat kezaliman pemimpin yang beragama Islam. Kezaliman mereka bukanlah kerana ajaran Islam. Kezaliman mereka adalah kerana sebagai manusia mereka bersifat zalim sehingga sanggup melanggar ajaran Islam dan undang-undang Islam.

11. Oleh kerana ada orang yang beragama Islam yang sanggup melakukan kezaliman dan menidakkan keadilan kononnya kerana itu adalah ajaran Islam, maka imej yang buruk terpalit kepada agama Islam. Dan musuh-musuh Islam pun mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan lagi agama Islam supaya agama suci ini ditolak oleh orang bukan Islam. Hari ini orang Islam dan agama Islam begitu dihinakan, bukan kerana agama Islam tidak baik tetapi kerana telatah dan kelakuan orang Islam yang tidak menghiraukan ajaran Islam yang sebenar. Mereka suka membuat tafsiran mengikut kehendak dan kepentingan mereka walaupun imej Islam terjejas.

12. Mereka ini suka mendakwa bahawa pandangan bukan Islam terhadap Islam tidak penting, nasib buruk orang Islam tidak perlu diambilkira asalkan ajaran Islam dipatuhi. Mereka ini suka mempamerkan kekerasan Islam kerana bagi mereka inilah ajaran Islam. Mereka lebih suka kepada hukum yang berat seperti memancung kepala atau memotong tangan tanpa memberi tekanan kepada tuntutan Islam untuk berlaku adil apabila menghukum. Bahawa semua pengadilan dalam Islam dikehendaki supaya diambilkira situasi dan persekitaran tidak diberi perhatian.

13. Demikian pencuri yang mencuri kerana ianya menghadapi tekanan hidup merana perlu diringankan hukuman terhadap jenayahnya tidak disebut-sebutkan dan diberi pertimbangan. Yang selalu disebut ialah hukuman potong tangan seolah-olah Islam tidak mengambilkira masalah sosial masyarakat sama sekali.

14. Sebaliknya yang ditekankan ialah tentang tidak mengaibkan seseorang pembesar yang melakukan jenayah. Untuk ini ada orang yang berpengetahuan agama yang mendakwa jika pembesar dihadapkan ke mahkamah syariah maka dapatlah keaibannya dilindungi. Bahawa dengan perlindungan ini, mangsanya tidak mendapat keadilan tidak mengapa. Sekali lagi ternampak kesanggupan membelakangkan keadilan kerana kepentingan lain, seolah- olah dalam Islam keadilan tidak diutamakan, keaiban seseorang adalah lebih utama.

15. Sesungguhnya agama Islam tidak cacat. Tidak ada yang buruk kepada agama Islam. Yang ada ialah manusia yang zalim dan berkepentingan di kalangan mereka. Mereka inilah yang memburukkan imej Islam dalam soal- soal penghakiman dan keadilan.

16. Di Malaysia kita amat sedar akan kelemahan manusia apabila menghakimkan sesuatu. Sebab itu undang-undang Islam dikanunkan. Undang-undang lain juga dikanunkan supaya tidak ada percanggahan undang-undang lain daripada segi prinsip dan asas undang-undang Islam.

17. Banyak jenayah yang terdapat di zaman ini tidak terdapat di zaman nabi dan zaman keagungan tamadun Islam. Tetapi ini tidak bermakna perundangan Islam tidak lengkap untuk menangani masalah zaman ini. Sudah cukup perumpamaan dan contoh yang terdapat dalam Al- Quran dan Hadis-Hadis yang sahih. Jika sukar mendapat contoh dan perumpamaan daripada punca-punca ini sekurang-kurangnya prinsip keadilan dalam undang-undang dan hukum Islam mestilah dijadikan panduan. Tidak mungkin hukuman dalam Islam tidak mengambilkira keadilan. Tekanan akan pentingnya keadilan diulang berkali-kali dalam Al-Quran seperti yang terdapat dalam ayat-ayat 58 dan 135 dalam Surah An-Nisa, ayat 8 dalam Surah Al-Maaidah, ayat 90 dalam Surah An-Nahl dan ayat 15 dalam Surah Asy-Syura.

18. Pendapat bahawa walaupun ternampak tidak adil tetapi sebenarnya hukuman itu adil kerana ia menurut proses dan prosedur Islam adalah tidak munasabah. Tidak boleh ada dalam Islam ketidakadilan yang kononya adil. Demikian menghukum mangsa jenayah dan melepaskan penjenayah adalah tidak adil dalam Islam sepertimana ia juga tidak adil dalam apa-apa undang-undang lain. Pengadilan bermakna mencari keadilan iaitu hasil daripada proses pengadilan ialah keadilan dan bukan pematuhan kepada proses sehingga berlaku ketidakadilan.

19. Kita tahu pihak yang terlibat, samada yang menjadi mangsa atau yang melaku apa yang dituduh oleh mangsa tidak mungkin mengadili secara adil. Kadangkala kedua- dua pihak dapat bertolak ansur dan menyelesaikan sesuatu pertikaian dengan cara rundingan di luar mahkamah. Tetapi dalam kebanyakan kes penyelesaian secara ini tidak dapat dicapai. Dalam keadaan ini pihak ketiga, pihak yang tidak terlibat sama sekali, tidak mempunyai apa-apa kepentingan perlulah menjadi orang tengah dan hakim.

20. Hakim perlu bersifat berkecuali, tidak terpengaruh dengan apa-apa kepentingan atau sentimen selain daripada menentukan keadilan kepada kedua-dua pihak yang menuduh dan yang dituduh.

21. Hakim tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak, melindungi satu pihak kerana ingin menjaga keaibannya sehingga menidakkan keadilan kepada pihak lain.

22. Hakim perlu memiliki sifat-sifat yang mulia, yang berilmu dan mengetahui hukum-hukam dan, sudah tentu bagi hakim syariah, mengetahui secara mendalam agama Islam. Di zaman ini jenayah dan bukti-bukti tentang jenayah yang boleh disabitkan dengan penjenayah adalah lebih kompleks, terutama yang berasas kepada ilmu sains dan perubatan. Pakar-pakar dapat memberi maklumat yang perlu diambilkira dalam proses penghakiman jika kita tidak hendak melihat ketidakadilan berlaku.

23. Sudah tentu hakim tidak boleh membenar dirinya dipengaruhi oleh pandangannya terhadap perkara-perkara lain yang tidak ada kaitan dengan kes, termasuk pandangan politik dan sosial. Pandangan hakim terhadap wanita dan lelaki tidak boleh mempengaruhi pengadilan dalam jenayah yang sama. Segala-gala yang menidakkan keadilan adalah bertentangan dengan Islam, kerana Islam bukan sahaja agama penyembahan tuhan tetapi juga adalah cara hidup.

24. Kerana ingin melihat keadilan berlakulah yang hakim dibebaskan daripada tekanan keatas dirinya, baik oleh Kerajaan atau mana-mana pihak. Tetapi oleh kerana hakim tidak boleh ditegur dan sukar diambil tindakan pembetulan, tidak bermakna hakim boleh mengetepikan kepentingan pengadilan yang adil semata-mata kerana bebas daripada teguran atau tindakan. Jika hakim menyimpang jauh daripada pengadilan yang adil kerana menganggap dirinya bebas, maka institusi kehakiman tentulah akan hilang kepercayaan masyarakat selain daripada hakim berkenaan tidak akan diberi kepercayaan. Dalam keadaan perlanggaran yang ketara dan berulang, kebebasan hakim tidak boleh melindunginya secara mutlak. Proses penyingkiran hakim memang pun lebih susah tetapi bagi memeliharakan keadilan, penyingkiran hakim boleh dibuat. Tidak ada sesiapa dalam masyarakat yang bebas daripada kuasa undang-undang. Perletakan semua anggota masyarakat termasuk raja di bawah undang- undang adalah penting untuk kesejahteraan masyarakat. Hanya pemerintahan mengikut undang-undang, samada undang-undang awam atau syariah, iaitu apa yang sekarang dikenali sebagai " the Rule of Law" yang akan menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Kerajaan dan rakyat mesti menghormati undang-undang. Tetapi hakim dan pegawai-pegawai mahkamah "officers of the court" termasuk pendakwaraya dan peguambela juga tidak terkecuali daripada keperluan mematuhi undang-undang awam atau undang-undang syariah.

25. Pengenalan E-Syariah dalam urusan pengadilan di mahkamah syariah juga bertujuan menentukan keadilan tercapai. E-Syariah boleh mempercepatkan proses penghakiman kerana kelewatan mengadil akan menidakkan keadilan. Kita tahu ada kalanya masa bertahun-tahun berlalu sebelum pengadilan diputuskan. Dengan berlalunya masa saksi, tertuduh daripada pihak yang mengadu akan lupa berkenaan perkara-perkara yang relevan dengan kes berkenaan, atau mereka sudah meninggal dunia. Dengan ini pengadilan tidak dapat dibuat atau menjadi tidak bermakna lagi. Ini sudah tentu bercanggah dengan kepentingan keadilan.

26. Dengan adanya kemudahan E-Syariah segala proses penghakiman dapat dipermudah dan dipercepatkan. Ini akan menolong menentukan keadilan lebih mungkin tercapai. Pengenalan sistem ini bukanlah untuk kecanggihan walaupun kita tidak hendak melihat penguatkuasaan undang-undang Islam kekal di takuk yang lama.

27. Sesungguhnya Malaysia berjaya mempraktikkan ajaran Islam dengan tersusun dan tertib sesuai dengan keadaan zaman. Kita telah berjaya mengadakan perbankan Islam, takaful, dan pentadbiran yang memiliki nilai-nilai Islam. Undang-undang awam kita juga dikaji dan diubahsuai supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, terutamanya daripada segi menentukan keadilan. Demikianlah berjayanya penerapan Islam sebagai cara hidup kita di Malaysia sehingga banyak negara Islam lain mendakwa Malaysia adalah negara Islam contoh dan mereka sering menghantar rombongan untuk mempelajari cara-cara kita.

28. Di masa yang sama kaum lain di Malaysia tidak tersinggung atau berasa tertekan kerana penerapan nilai- nilai dan ajaran Islam yang kita lakukan. Ini adalah kerana kita tidak mengada-ngada sehingga hendak diIslamkan segalanya yang tidak mungkin diIslamkan. Ada yang percaya bahawa warna tertentu lebih Islam daripada warna lain, pakaian tertentu adalah Islam dan pakaian lain tidak dan seterusnya. Kita anggap bahawa Islam adalah agama bagi semua masa dan zaman dan tidak bagi abad ke tujuh 1400 tahun dahulu sahaja. Mencuba mengembalikan keadaan 1400 tahun dahulu untuk mengembalikan kebesaran Islam sebenarnya menghina agama Islam sebagai agama yang hanya mampu berjaya di zaman kuno. Kita perlu buktikan bahawa dalam apa juga zaman dan keadaan persekitaran, Islam tetap sama dan berkemampuan untuk menjadi agama yang sesuai yang mampu mendirikan tamadun yang gemilang.

29. Pada masa ini, kita menyaksikan penggunaan ICT di mana-mana sahaja. Penggunaan Internet, e-mel dan berbagai-bagai rupa bentuk komputer, sudah tidak asing lagi bagi kita. Teknologi maklumat yang menggabungkan teknologi komputer dan teknologi telekomunikasi telah terbukti berupaya mengumpul, memproses, dan menyebar maklumat untuk kegunaan meluas. Jika kerana alatan moden ini berlaku keruntuhan akhlak dan kepincangan dalam masyarakat manusia, termasuk yang beragama Islam, sebabnya bukanlah kerana alat-alat ini, tetapi kerana sifat yang tidak baik yang ada pada manusia. Sebilah pisau boleh mengukir sesuatu yang cantik tetapi pisau yang sama boleh juga membunuh. Yang salah bukan pisau tetapi manusia yang menggunakannya.

30. Dalam arus teknologi maklumat dan komunikasi, umat Islam wajib menguasai bidang ICT bukan sahaja bagi maksud memanfaatkannya dalam kehidupan kita, malah untuk membuktikan keupayaan kita bersaing. Kita tidak harus menjadi pengguna semata-mata. Malah kita perlu berusaha untuk menghasilkan perkakasan dan teknologi baru. Dalam hubungan ini, aplikasi E-Syariah merupakan satu-satunya perisian aplikasi Mahkamah Syariah yang terbukti mampu dibina oleh anak tempatan tanpa memerlukan kepakaran luar negara.

31.E-Syariah bukan jawapan kepada permasalahan. E- Syariah cuma merupakan alat pemudah dan kaedah pemboleh (enabler) yang saya harapkan akan dapat membantu warga pentadbiran hal ehwal Islam dan pengurusan Mahkamah Syariah meningkat kecekapan dan ketelusan urusan dan perkhidmatan bagi kebajikan orang ramai.

32.Saya yakin pelaksanaan Projek E-Syariah ini boleh mendatangkan banyak manfaat kepada sistem kehakiman syariah, memudahkan urusan, dan membolehkan orang ramai menikmati perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan terutama dengan pemasangan sistem E-Syariah di semua Mahkamah Syariah di seluruh negara. Saya harap dengan terlaksananya sistem ini proses kerja di mahkamah- mahkamah akan lebih teratur dan sistematik dengan kes- kes didaftar dan dipantau dengan lebih rapi dan telus. Mudah-mudahan orang ramai akan memperolehi perkhidmatan yang lebih cekap dan memuaskan.

33. Sekian dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Projek E-Syariah ini.

Kami menerima 4,622,559 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri